Semua orang tidak kira yang tua atau muda bercita-cita ingin melanjutkan pelajaran di Universiti. Dalam zaman serba maju dan berteknologi tinggi kelulusan akademik dilihat sebagai satu laluan kearah memperolehi kerjaya yang baik dan dapat menjamin masa depan. Apabila keputusan peperiksaan rasmi negara diumumkan. Pelajar yang mendapat keputusan cemerlang akan memilih Universiti dan kursus yang mereka ingin pelajari. Bagi yang mempunyai ibubapa yang berpelajaran, mereka amat bernasib baik kerana Ibubapa turut menjadi penasihat dan pembimbing memilih kerjaya masa depan. Bagaimanapun bagi mereka yang kurang arif mengenai pemilihan bidang dan kusus yang sepatutnya di ambil, adakalanya terpaksa memilih apa saja bidang yang ada asalkan mereka dapat dipilih untuk belajar di Universiti.
Perjalanan dan pengembaraan kehidupan di Universiti bermula apabila mereka terpilih menjadi mahasiswa dan mahasiswi Universiti tertentu. Saat itu bukan sahaja membanggakan keluarga dan diri mereka sendiri, malah pelbagai azam dan janji turut di buat. Sesi minggu suai kenal , merupakan cabaran pertama yang terpaksa ditempuh pelajar baru. Dalam masa seminggu itu pelajar didedahkan mengenai selok beluk dan kehidupan sebagai Mahasiswa dan mahasiswi serta maklumat mengenai kursus,Fakulti dan Universiti .Bagi pelajar lepasan SPM, STPM dan yang setara, persekitaran dan pembelajaran di peringkat Universiti amat berbeza daripada disekolah. Peralihan dari pendidikan menengah ke pendidikan tinggi adakalanya menyebabkan satu kejutan budaya kepada mereka. Di Universiti, survival adalah perkara utama yang harus menjadi pegangan mereka. Hidup diUniversiti perlu banyak berdikari dan semuanya dilakukan sendiri. Tidak ada ibu atau ayah serta saudara mara yang boleh membantu kehidupan mereka di Universiti. Semangat survival harus tinggi dan mereka juga mesti kuat dari segi Fizikal dan mental bagi mengharungi pelbagai cabaran yang bakal mereka hadapi di peringkat Universiti.
Tidak dinafikan dalam mengharungi dunia baru dikampus, adakalanya emosi pelajar mudah terusik. Berjauhan dengan keluarga dan berada ditempat asing akan membuatkan mereka sentiasa terkenangkan kampung halaman.
Perkara yang sering melanda pelajar baru ialah mengenai `homesick’ atau rindu keluarga dan kampung halaman. Tidak hairanlah ada pelajar yang sanggup balik kekampung halaman mereka setiap minggu semata-mata kerana terlalu rindu pada keluarga dan sahabat handai yang ditinggalkan. Kalau mereka belajar di Shah Alam, pulang ke Melaka atau Negeri sembilan setiap minggu tidak lah menghairankan. Tetapi ada antara mereka yang tinggal di Kelantan, Trengganu, Kedah dan Perlis sanggup pulang ke kampung setiap minggu. Keadaan ini adakalanya menyebabkan mereka letih dan tidak dapat menyelesaikan tugasan yang diberi pensyarah.
Apabila kuliah bermula antara cabaran yang dihadapi pelajar ialah pengurusan masa. Mereka perlu bijak mentadbir masa dalam kehidupan dan menghadiri kuliah yang sangat padat waktunya. Diperingkat Universiti tempuh satu semester sangat pendek antara tiga ke empat bulan sahaja. Matapelajaran yang ditawarkan pula banyak, antara tujuh hingga sembilan matapelajaran.
Disebabkan itu, masa amat berharga bagi pelajar Universiti, mereka perlu bijak mengurus masa dengan baik. Adakalanya kuliah bermula dari pagi dan tamat sebelah petangnya. Sabtu dan ahad pula ada kelas ko kurikulum dan aktiviti lain seperti Kemahiran Insaniah. Pendekkata hidup sebagai pelajar Universiti sentiasa sibuk dan mereka adakalanya tidak mempunyai masa untuk bersenang-senang dan waktu bersenggang. Mendisiplinkan diri untuk hadir kekuliah setiap hari, selain menyiapkan tugasan pada waktu yang ditentukan dan menjaga kesihatan amat penting bagi pelajar universiti. Jika mereka gagal menyesuaikan diri dalam persekitaran baru mereka akan ketinggalan banyak perkara dan menyebabkan ada antaranya tidak mampu meneruskan pengajian dan menyerah kalah sebelum berjuang.
Di Universiti juga pelajar perlu membina rangkaian kawan-kawan baru dan perhubungan dengan rakan sekelas, sekolej dan mereka yang sama dalam pesatuan. Mereka perlu bijak berkomunikasi dan berinteraksi sesama rakan sebaya dan tidak menjadi katak dibawah tempurung yang tidak tahu perkembangan di kelas, fakulti mahupun Universiti. Mereka digalakkan menyertai persatuan dan tidak mengamalkan sikap anti sosial. Hubungan Interpersonal yang baik dapat menjalin persahabatan dengan ramai rakan baru termasuk pelajar senior selain mencambah minda dan menjadikan mereka lebih positif menghadapi alam baru dalam kampus.
Dalam kaitan yang sama, rakan sebaya memainkan peranan penting membentuk sahsiah dan sikap seseorang mahasiswa dan mahasiswi. Kita biasa mendengar ungkapan ini, kawan mencerminkan siapa diri kita. Sama juga dengan perumpamaan ini, ” andai berkawan dengan penjual wangian, kalaupun kita tidak memakainya kita juga dikatakan berbau wangi, sebaliknya jika kita berkawan dengan pengimpal besi, kalaupun kita tidak melakukan pekerjaan itu, pasti percikan api dan besi terkena pada kita” . Umpamanya kita berkawan dengan rakan yang sangat malas bangun pagi dan sentiasa suka ponteng kelas, mereka juga tidak kisah dimarahi pensyarah jika tidak menyiapkan tugasan, akhirnya kita akan terikut-ikut perangai rakan kita tadi dan rasa selesa kerana ada rakan yang sama tidak kekuliah dan sebagainya.
Justru apa yang ingin dijelaskan disini ialah memilih siapa kawan kita di Universiti adalah perkara yang amat penting.
Jika tersalah pilih kawan, matlamat utama menjadi pelajar Universiti dan menimba ilmu untuk masa depan yang cerah mungkin tidak tercapai. Malah cita-cita mengganggam segulung diploma atau ijazah mungkin tidak kesampaian dan akan hanya tinggal kenangan. Kawan yang baik akan menasihatkan dan selalu mengajak ke arah kebaikan. Jika sudah tersalah langkah, seharusnya pelajar memikirkan kesusahan ibu dan ayah yang ada antaranya terpaksa bergolok bergadai demi menghantar anak-anak ke Universiti. Buat pemilihan yang bijak dan tanamkan satu tekad dan azam yang kuat untuk menghabiskan pengajian walau apa pun cabaran yang mereka hadapi di Universiti.
Selain pemilihan rakan, adakalanya pelajar menghadapi kesukaran dalam bidang yang mereka pelajari.
Masalah bahasa menjadi satu halangan besar bagi pelajar yang kurang mahir berbahasa Inggeris. Sekiranya kuliah dijalankan dalam Bahasa Inggeris mereka akan menghadapi masalah kerana tidak faham apa yang disampaikan. Bagaimanapun itu bukan masalah besar, kerana dimana ada kemahuan disitu ada jalan. Masalah bahasa bukan penghalang utama bagi pelajar Universiti menimba ilmu , kerana jika mereka rajin membaca dan selalu membuat tugasan, ia seperti kata pepatah ` alah bisa tegal biasa’ . Lama kelamaan mereka akan terbiasa dengan penggunaan bahasa Inggeris sebagai medium pembelajaran mereka.
Menyentuh mengenai cabaran seterusnya , pensyarah juga adakalanya menjadi cabaran kepada pelajar baru dan pelajar lama. Ramai pelajar merungut, sikap tertutup pensyarah yang sukar difahami pelajar ,yang secara tidak lansung membuatkan pelajar rasa tertekan untuk menghadiri kuliah.
Pensyarah cerewet, tidak boleh lebih kurang, terlalu ego adalah antara rungutan pelajar. Sebenarnya semua ini tidak akan menjadi masalah besar kepada pelajar jika mereka bijak berinteraksi dengan pensyarah. Mereka ini (pensyarah) manusia biasa, pelajar seharusnya berfikiran positif dan cuba mendekati pensyarah untuk berinteraksi secara berhemah dan menjalani proses penyaluran ilmu yang lebih mesra dan memberi manafaat. Jika pelajar bijak mengambil hati pensyarah seperti sentiasa datang awal kekuliah, tidak pernah ponteng, membuat tugasan yang diberikan dengan bersungguh-sungguh pasti mereka tidak akan menghadapi masalah dengan pensyarah.
Oleh yang demikian, bagi mereka yang bakal bergelar Mahasiswa dan Mahasiswi Universiti lengkapkan diri anda dengan kekuatan rohani dan jasmani yang dapat membantu anda mengharungi dunia baru di kampus dan Universiti, sebagai langkah pertama merancang masa depan yang cemerlang. Sentiasa berfikiran positif, mendisiplinkan diri dan jangan lupa lengkapkan diri dengan pegangan agama yang baik yang dapat menjadi pendinding dan garis panduan dalam perlakuan dan amalan ketika berada di Universiti. Semoga anda semua menjadi graduan yang berilmu dan berakhlak yang bakal meneraju negara kearah kesejahteraan dunia sejagat.
Penulis adalah
Pensyarah Kanan
Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media.
UiTM Shah Alam.
Tamat.
Showing posts with label Kalam Mama. Show all posts
Showing posts with label Kalam Mama. Show all posts
Friday, May 31, 2013
Sabar, Ikhlas dan Berbudi Bicara dalam Mendidik
Seorang pensyarah muda bertanya kepada saya, rahsia bersabar dengan pelajar dan keakraban bersama pelajar. Beliau berkata, beliau tidak dapat bersabar dengan karenah pelajar yang adakalanya membuatkan beliau terlalu marah dan tidak dapat mengawal perasaan. Walaupun baru bekerja dalam tempuh dua tahun beliau sudah rasa mahu berhenti kerja, kerana tekanan yang dihadapinya daripada pelajar. Dengan memegang bahunya saya berkata, menjadi pendidik perlukan jiwa seorang pendidik. Sabar adalah satu daripada sifat dan peribadi pendidik yang baik. Selain sabar peribadi mulia yang harus ada pada pendidik ialah sifat kasih sayang, kasihan, bertanggungjawab dan sentiasa mendekati pelajar tidak kira latar belakang mereka.
Lebih 15 tahun menjadi pensyarah di UiTM, saya sudah berdepan dengan pelbagai karenah pelajar. Ada yang rajin, ada yang pandai memberi alasan, ada yang nampak bijak tapi pada hakikatnya menggunakan orang lain untuk segala tugasan yang diberi.
Ada juga pelajar yang berbudi bahasa, rajin membantu dan tidak kurang juga pelajar yang mempunyai sikap sombong, angkuh dan ego. Pelajar sekarang lebih bijak memanipulasi keadaan berbanding pelajar dulu. Mereka hidup dalam dunia siber dan bijak menipu pensyrah dengan pelbagai cara. Golongan lama macam saya yang kurang bijak menggunakan teknologi terkini, adakalanya tertipu dengan helah pelajar.
Apapun itu semua tidak pernah memetahkan semangat saya untuk terus berbakti dan berkhidmat untuk anak bangsa. Melalui pengalaman mengajar, saya berpendapat untuk dekati pelajar dan menyelami perasaan dan masalah mereka, pertama sekali kita mesti mengenali mereka secara dekat. Gunakan pendekatan saikoloji dan diplomasi. Pelajar suka jika pensyarah mengenali mereka melalui nama. saya akan cuba mengingati nama pelajar dan setiap kali masuk kelas saya akan panggil seorang demi seorang nama mereka dan cuba dekati mereka dalam kelas.
Sesekali saya buat panggilan telefon atau sms mereka mengingatkan tentang assignments dan kerja luar kelas. Jika ada rezeki lebih saya belanja mereka makan. saya dapati mereka menghargai cara saya dan ada antaranya pula yang menelefon mama untuk bercerita masalah dan sebagainya. Sesekali saya luangkan masa untuk pergi minum atau berbual kosong selepas kelas. Pendekatan seumpama itu memang berkesan pada saya untuk dekati pelajar. Paling tidak disangka masih ada bekas pelajar yang mengingati saya walaupun mereka sudah graduate lebih 10 tahun dari fakulti ini.
Pernah juga saya terserempak dengan bekas pelajar yang saya sendiri sudah lupa siapa mereka. Bekas pelajar perempuan ini dengan begitu terujanya memeluk saya bila berjumpa. Kadang tu saya terpinga2 juga memikirkan siapa mereka, tapi kemudian mereka memberitahu mama mereka siapa dan bila saya ajar mereka. Semua ini menjadi kenangan paling indah dalam hidup saya. Seronok bila diingati. Inilah kebahagiaan dalam hidup saya sebagai pensyarah.
Sebenarnya menjadi pendidik adalah cita-cita saya kecil lagi. Masih saya ingat kalau bermain dengan kawan-kawan saya akan mengajak mereka bermain `cikgu-cikgu’. Saya akan mengaturkan jenis permainan dan secara sukarela memilih diri untuk menjadi cikgu. Ketika itu saya akan memberikan soalan dan pelbagai ujian kepada rakan-rakan. Dirumah juga saya suka berlagak menjadi guru. Adik beradik saya yang ramai adalah suatu kelebihan untuk bermain `cikgu-cikgu’ . Apatah lagi saya anak kedua daripada 10 orang adik beradik dan merupakan anak perempuan sulung. Adik-adik semua menjadi Pak turut dan sentiasa patuh dan akur pada arahan saya.
Begitulah seronoknya zaman kanak-kanak dan jiwa pendidik serta sifat sabar saya sememangnya sudah terselah sejak dari kecil dulu. Sebagai kakak sulung saya diamanahkan untuk menjaga adik2 yang ramai. Kenakalan mereka sentiasa menjadi kemarahan arwah mak dan arwah bapak saya. Sewaktu muda arwah mak dan bapak memang terlalu garang, kerana kami hidup dalam serba kekurangan.. Kami adik beradik selalu kena pukul kerana kenakalan dan kerana kesempitan hidup. Adakalanya hanya perkara kecil seperti adik2 merengek mahukan aiskerim mereka sudah menaikkan kemarahan arwah mak. Bukan apa, kami orang susah, nak makan aiskerim masa dulu memang susah, duit tak ada. Jadi jika ada adik2 yang degil dan tetap mahukan iaskerim, arwah mak akan pukul mereka supaya tidak berterusan meminta aiskerim.
Sebagai kakak yang sulung, saya akan memujuk adik2 dan jika selepas kena pukul saya akan mandikan adik2 dan ajak makan, lepas tu suruh mereka tidur. Saya sentiasa tak sampai hati melihat adik-adik berterusan minta sesuatu yang mak dan bapak tak mampu. Selalunya saya akan menasihatkna adik2 dan memujuk mereka supaya jangan degil. saya lah tempat adik2 meminta tolong dan jurucakap untuk adik beradik yang lain. Seingat saya, apa saja yang disuruh oleh arwah mak dan bapak tidak pernah saya bantah. Saya ikut saja dan buat untuk mereka. Tidak hairan jika kedua arwah mak dan bapak sangat menyayangi saya. Adik saya selalu cakap, mak dan bapak pilih kasih sebab sayangkan saya, tapi sebenarnya saya menjadi orang yang ikut perintah mak dan bapak dan jarang menolak atau membantah apa yang mereka suruh.
Sifat ini terbawa2 sehingga tua. saya sanggup bekorban untuk anak2 dan suami dan sentiasa cuba mengawal rasa marah. Apabila menceburi bidang pendidikan yang menjadi cita2 sejak kecil, saya menjiwai kerjaya ini sepenuh jiwa raga dan sentiasa rasa seronok bersama pelajar dan rakan2 pensyarah yang lain. Manusia ada pelbagai ragam dan perangai. Di Fakulti, pensyarah juga pelbagai perwatakan. Ada yang garang ada yang penyabar dan ada yang terlalu strict dengan peraturan yang mereka buat. Apa pun mereka adalah warna2 kehidupan dikampus dan fakulti. Pelajar juga begitu, mereka punya pelbagai sebab datang belajar dan pelbagai cara menghabiskan tempuh pengajian.
Bagi saya jika kita menceburi bidang pendidikan, kita seharusnya sayang pada profession ini dan cuba menjiwai kerjaya ini sepenuhnya. Jika ada pelajar yang sentiasa bermasalah, cuba selidik apa masalah mereka. Adakalanya mereka kesempitan wang, masalah diri dan pelbagai lagi. Pada mama menjadi pendidik perlu banyak berkorban seperti kata pepatah, guru ibarat lilin yang membakar diri menerangi orang lain. Mungkin ada yang kata, mereka mempunyai banyak kerja lain, kerana pelajar Universiti sudah dewasa dan mereka boleh berdikari. Tetapi saya rasa dengan mendengar permasalah mereka saja sudah boleh menringankan apa juga perkara dan masalah yang membelenggu jiwa dan perasaan mereka. Saya amalkan menjadi pendengar yang baik. Sebenarnya mereka memerlukan orang untuk mendengar luahan hati dan perasaan sahaja. Bagi saya apa kita lakukan biarlah penuh keikhlasan dan semuanya kerana Allah. InsyaAllah ganjarannya lebih besar diberikan Allah pada kita. Justru menjadi seorang pendidik haruslah di bekalkan dengan sebuah perasaan halus yang memahami anak murid, disamping ketebalan rasa sabar dan kekuatan minda menyampaikan ilmu dengan berkesan dan kreatif serta sifat kasih sayang yang akan menyuburkan jiwa kita dan jiwa pelajar yang kita curahkan ilmu. Semoga lebih ramai pendidik mengamalkan sifat toleransi dan memahami anak2 didik mereka. Ingatlah bahawa pendidik yang terbilang, melahirkan pelajar cemerlang dari sudut ilmu dan akhlak.
Subscribe to:
Posts (Atom)