Sunday, February 21, 2010
Yang Tua Di hormati Yang Muda Disayangi
Sikap saling hormat menghormati bukan sahaja diamalkan dikalangan bangsa kita Melayu. Malah bangsa lain seperti Jepun, Korea dan banyak lagi bangsa di dunia ini amat mementingkan rasa hormat menghormati dan saling memahami antara satu sama lain.
Sejak dulu lagi, generasi muda dan generasi tua sering berbalah dan berselisih pendapat mengenai banyak perkara. Jika dizaman saya dulu, ibu dan ayah saya paling tidak gemar kepada fesyen dan gaya remaja masa dulu iaitu pakaian ketat dan seluar bellbottom serta rambut afro yang menjadi kegilaan fesyen ketika itu.Saya pula agak kurang senang dengan muzik zaman sekarang dan gaya hidup generasi muda yang terlalu ambil ringkas segala perkara seperti pendek dan ringkasnya sistem pesanan melalui telefon sekarang.
Namun sebagai pensyarah apa yang saya masih boleh banggakan ialah sikap pelajar saya yang masih tebal dengan budi bahasa apabila bertemu saya. Mereka masih tidak lupa bersalam dan memberi senyuman apabila bertembung dengan saya di Fakulti mahupun di perkarangan Universiti. Sememangnya saya cukup menyenangi sikap mereka yang jika dilihat dari luaran mereka seperti kelihatan sombong namun betul kata pepatah melayu, jangan menilai seseorang dari luarannya sahaja. Pelajar Masscom sinonim dengan gaya glamour dan penampilan dress to kill mereka. Namun keluhuran hati mereka tidak boleh diukur dari penampilan luaran mereka.
Bagaimanapun saya terpanggil untuk berkongsi pengalaman bersama semua pembaca dan pelajar saya mengenai sikap seorang pensyarah muda di Fakulti saya yang seakan tidak berpijak dibumi nyata. Kesombongan dan sikap tinggi dirinya mengatasi pensyarah yang sudah lama mengajar. Sedangkan beliau baru berkhidmat dua tahun memegang jawatan pensyarah di Fakulti kami.
Bukan mengatakan diri saya baik atau sempurna, tetapi sikap suka mengadu hal kepada dekan dan ada saja perkara yang tidak kena serta tidak boleh berlebih kurang beliau membuatkan saya terpanggil menulis artikel ini dengan harapan para pelajar yang bakal menjadi pensyarah jangan mudah lupa diri. lebih-lebih lagi jika anda menjadi pensyarah ditempat yang anda pernah menimba ilmu pengetahuan. Jangan rasakan anda berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan pensyarah yang sudah lama berkhidmat. Hormati mereka ( pensyarah lama) walaupun mungkin anda lebih baik dari mereka. Tidak salah mempunyai sikap beralah dengan orang lama. yalah berapa lama sangatlah kami yang lama ini akan berkhidmat. Generasi muda inilah yang akan menjadi pelapis pensyarah di Fakulti ini serta menjadi pentadbir Fakulti yang menentukan arah tuju siswa dan siswinya.
Ingatlah bahawa menjadi pensyarah adalah satu kerjaya yang sangat mulia dan memerlukan ketabahan dan kesabaran dalam menanggani banyak perkara dalam proses penyampaian ilmu. Menjadi pensyarah perlu ada `passion' dan minat mendalam. Bukan sekadar mengajar sahaja tetapi berkongsi segala maklumat dan menyebarkan ilmu serta menerapkan nilai murni dan akhlak pada pelajarnya. Sehubungan itu pensyarah perlu menunjukkan contoh yang baik kepada pelajarnya. Pada pendapat saya jika anda berumur 28 tahun dan menjadi pensyarah sudah semestinya pelajar lebih mudah mendekati anda daripada pensyarah tua seperti saya. Ini mungkin kerana persamaan pendapat dan ideologi orang muda yang memungkinkan mereka boleh menjalani proses pembelajaran dengan mudah. Namun lain mula dengan pensyarah ini. Sikap sombongnya amat ketara.
Paling tidak menyenangka apabila pensyarah muda juga sudah pandai menengking dan herdik pelajar serta selalu boikot kelas dengan alasan pelajar datang lambat 10 minit ini. Sebenarnya tindakan ini menunjukkan attitude pensyarah yang kurang matang dan tidak layak duduk di Universiti menjadi tenaga pengajarnya. Sikap panas baran pensyarah muda ini dan sikap menunjuk pandai beliau amat memualkan. Bukan orang tidak kenal siapa beliau yang hanya pandai bercakap tapi kerja tak jalan. Ibarat tin kosong yang bising tanpa membawa faedah. Mungkin beliau terlalu teruja mendapat jawatan pensyarah di Fakulti ini sehingga lupa diri.
Akhir kata nasihat pensyarah lama seperti saya kepada beliau, contohi ketabahan dan ketenangan serta kebijaksanaan pensyarah lama di Fakulti kita seperti Profesor Mokhtar, Prof Madya Abdullah, Dr Halimatun, dan ramai lagi yang menjadi icon Masscom. Seperti kata pepatah `Yang Tua Dihormati Yang Muda Disayangi' ubahlah sikap sombong yang ada pada anda supaya anda dihormati sebagai pensyarah yang berkalibar dan mempunyai akhlak yang boleh dicontohi pelajar lain.
Tuesday, February 2, 2010
Elemen Komunikasi Dalam Budi Bahasa Bangsa Melayu
Yang kurik itu kendi yang merah itu saga
Yang baik itu budi yang indah itu bahasa
Kata bidalan diatas menggambarkan keindahan Budaya Melayu dan adap sopan yang menjadi kebanggaan masyarakat Melayu suatu masa dulu.Namun peralihan zaman dan perkembangan teknologi masa kini semakin hari semakin mengikis budaya Melayu dikalangan bangsa Melayu sendiri. Malah ada segelintir dikalangan masyarakat melayu masa kini merasakan budaya Melayu sudah lapuk dan ditelan zaman.Mereka mencemuh dan mengatakan 1anya sudah tidak sesuai digunapakai dalam zaman moden yang serba pantas dan berteknologi tinggi.
Ada juga yang berpendapat jika masih mengamalkan budaya Melayu seperti lemah kembut, bertolak ansur dan sentiasa mengalah dan menjaga hati orang lain, mereka ini akan terus ketinggalan kerana dunia yang serba pantas ini memerlukan manusia yang tiada berhati perut, serba pantas, zalim, menikam dari belakang dan pandai mengambil kesempatan atau opportunis.
Seperti konsep `kiasu' yang pernah menjadi amalan masyarakat Singapura suatu masa dulu, masyarakat melayu kini melihat mementingkan diri sebagai satu cara mencapai kejayaan dan menjadi terkenal dimata masyarakat. Sikap angkuh dan sombong menjadi budaya baru yang dirasakan sebagai sebahagian daripada cara mereka dihormati. Penampilan diri yang berkonsep kebaratan dan berbahasa Inggeris adalah pakej status yang mereka mahu. Jika bercakap bahasa melayu berpakaian baju kurung dan bertudung serta berbaju melayu ianya tidak menggambarkan prestij, lalu untuk mencari prestij mereka melihat budaya barat sebagai model kejayaan dan suatu yang dipandang tinggi dalam masyarakat.
Dewasa ini bersikap berbudi bahasa bukan lagi satu keutamaan bagi segelintir masyarakat kita. Unpamanya disekolah, sudah tidak lagi diajar bersalaman dengan guru waktu habis masa persekolahan. Begitu juga diUniversiti, konsep bersalam dan mencium tangan pensyarah dilihat sebagai satu yang memalukan dan ketinggalan zaman. Malah ada yang dengan sinis memberitahu jika ada pensyarah yang mengamalkan budaya bersalam selepas habis kelas sama standardnya dengan guru tadika.
Dalam komunikasi konsep budi bahasa bukan sahaja dilihat dari sudut verbal atau perkataan, tetapi juga merangkumi perlakuan atau nonverbal communication. Dalam perkataan budibahasa diterjemahkan dengan mengucapkan kata-kata seperti terimakasih, maaf, minta laluan, boleh saya tolong dan sebagainya.manakala dalam perlakuan juga dapat dilihat seperti tunduk atau bongkok apabila melalui dua orang yang sedang berbual, bersalaman dan sebagainya.
Jika dalam perbualan budibahasa adalah melalui percakapan yang tidak meninggi diri dan suara, sentiasa senyum dan memberi maklum balas dengan baik serta memahami orang yang sedang berkomunikasi dengan kita. Cara duduk dan berdiri juga mempunyai makna tersendiri dalam budaya melayu. Adap pergaulan dengan lelaki dan perempuan juga ada pelbagai cara yang sungguh cantik budayanya. Wanita Melayu amat dijaga dari kesopanannya, umpamanya bercakap tidak boleh terjerit0jerit, tidak sewenang-wenangnya bertepuk tampar dan menjaga kesopanan diri dengan berpakaian yang sopan. lelaki juga mempunyai adap tersendiri dalam berkomunikasi.
Namun sejak kebelakangan ini, konsep budi bahasa itu semakin hilang ditelan arus pembangunan dan budaya barat yang lebih dominan. Anak2 sekarang sudah tidak segan silu lalu dihadapan tetamu dirumah mereka dan tidak pandai bersalaman dengan tetamu yang datang. Anak dara zaman sekarang juga tidak pandai menyediakan minuman untuk tetamu.
Dimana agaknya silap kita? Adakah sistem pendidikan, pengaruh media atau kesilapan ibu ayah yang tidak peka terhadap kepentingan budaya dalam masyarakat masa kini. Cuba kita renungkan masyarakat tanpa budi bahasa suatu masa nanti. Bayangkan apa yang akan terjadi pada kita jika sikap mementingkan diri menguasai hidup kita. Pastinya anak2 tidak menghormati ayah dan ibu, generasi muda tidak menhormati yang tua dan kita hidup dalam hidup yangs serba mementingkan diri.
Walau apapun yang anda fikirkan hayati puisi yang ditulis oleh Allahyarham Usman Awang, penyair terkanal negara kita yang kaya dengan makna dan maksud tersirat dalam setiap patah perkataannya.
Melayu itu orang yang bijaksana. Nakalnya bersulam jenaka. Budi bahasanya tidak terkira. Kurang ajarnya tetap santun. Jika menipu pun masih bersopan. Bila mengampu bijak beralas tangan. Melayu itu kaya falsafahnya. Kias kata bidal pusaka. Akar budi bersulamkan daya. Gedung akal laut bicara. Menikam dengan pantun. Menyanggah dengan senyum. Marahnya dengan diam. Merendah bukan menyembah. Meninggi bukan melonjak.
Akhir kata anak-anak dan pelajar tersayang, renung-renungkan masa depan masyarakat kita yang hidup dalam dunia materialistik dan menolak budi bahasa. Aman kah negara jika masyarakatnya terlalu bersikap mementingkan diri. Tanya pada diri kita sendiri bolehkah kita melahirkan ramai modal insan yang berilmu dan berakhlak jika penghayatan budaya ditolak tepi begitu sahaja.
Saturday, November 28, 2009
`SMS' dan `Chatting' Menolak Kemurnian Bahasa dan Budaya Melayu
SMS atau khidmat pesanan ringkas dan Chatting di laman sosial seperti Yahoo Messenger adalah antara fenomena kegilaan masyarakat masa kini. Masyarakat tidak kira dari pelbagai kelompok usia, menggunakan teknologi ini untuk bersosial dan menyampaikan maklumat selaras dengan perkembangan Teknologi Maklumat dan Komunikasi zaman ini.
Kewujudan Media baru yang menggabungkan teknologi Internet, audiovisual dan telefon ini bukan sahaja memberi banyak kemudahan untuk menyampaikan maklumat dan bersosial, malah hubungan dan interaksi diseluruh pelusuk dunia dapat dijalinkan dengan mudah ,cepat dan pantas.
Namun disebalik keghairahan masyarakat menggunakan teknologi baru ini, suatu perkara yang mungkin terlepas pandang ialah kemurnian Bahasa dan adap sopan dalam proses berkomunikasi.Sejajar dengan budaya Melayu yang sentiasa mementingkan serta menjaga adap, sopan dan ketertiban dalam berkomunikasi bahasa sms dan chatting dilihat sebagai menolak kemurnian bahasa. Melalui Bahasa sms dan chatting yang dikontotkan dan penggunaan akronim serta cara berkomunikasi yang amat ringkas kadangkala boleh menyebabkan kekeliruan dan memberi tafsiran berbeza dari seorang pengirim kepada penerima mesej.
Dalam kaitan yang sama Bahasa SMS yang sentiasa di ekonomikan kerana ruang menerima pesanan ringkas tidak boleh menampong lebih 160 perkataan sekali penghantaran, membuatkan penghantarnya sentiasa meminimum perkataan yang akan dihatar. Sekaligus jika di lihat dari sudut terminologi bahasa dan nahu ianya secara terang menjadi satu kesalahan bahasa. Apatah lagi jika menggunakan pengekronim bahasa seperti OMG, ASAP yang kadangkala tidak difahami akan membawa maksud yang berlainan dan disalahtafsirkan oleh penerima mesej berkenaan.
Bahasa SMS dan chatting ini sememangnya sudah diterima pakai oleh umum, namun dari sudut bahasa, ianya secara tidak langsung menolak kemurnian bahasa itu sendiri. Umpamanya jika seseorang bertanya kepada pengirim mesej dengan berbunyi begini:
`Ni sape ek' atau `mane ko dapat no aku ni' secara intonasinya jika di terjemahkan dalam bahasa lisan sudah terlalu kasar bunyinya. Malah amat tidak sopan lagi bila pensyarah menerima mesej yang kurang manis bunyinya seperti ini.
`ni sape ni ek'
Melalui sms itu jelas menunjukkan sikap kurang ajar yang ada dalam diri seorang pelajar berkenaan, namun disebalik tafsiran berkenaan mungkin pelajar itu tidak bermaksud untuk bersikap kurang ajar.
Salah tafsir atau maksud yang tidak sampai kerana ayat yang terlalu pendek juga berlaku, Mengambil contoh kejadian di FKPM (Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, UiTM, Shah Alam) iaitu apabila seorang pensyarah menerima mesej dari pelajarnya dan dia menjawab mesej berkenaan dengan begitu pendek sehingga menyebabkan kekeliruan kerana salah pentafsiran terhadap mesej berkenaan. Mesej berbunyi begini:
`Encik ari ni klas jam 8 pg di DK 16 kan...'
Jawab pensyarah:
` Ya...btl'
Apa yang terjadi apabila pensyarah tiba dikelas seorang pelajar pun tidak menghadiri kelas pagi itu. Rupa-rupanya pelajar mentafsirkan mesej pensyarah sebagai Ya Batal...
Senario ini adalah antara masalah pentafsiran dan salahfaham mesej kerana ayat yang dihantar terlalu pendek dan adakalanya kurang difahami penerima.
Menurut Siti Rohana Mohd Thani pensyarah di Fakulti Bahasa dan Linguistik Universiti Malaya, Bahasa sms dan chatting yang sentiasa memendekkan ayat akan membuat masyarakat tidak lagi tahu mengeja perkataan yang sebenarnya. Jika ianya menjadi budaya yang diterima pakai semua golongan, beliau bimbang golongan pelajar dan murid2 sekolah khususnya akan terpengaruh menulis dalam bentuk sms dan chatting dalam kerja sekolah dan tugasan di Universiti.
Rohana juga berkata jika gejala ini tidak dibendung dan tidak dipandang serius oleh pihak tertentu khususnya DBP dan kementerian yang berkenaan kemungkinan pelajar akan malas menulis dan tidak akan berminat dalam bidang penulisan lagi.
Beliau juga berkata,amat penting masyarakat kita mengagungkan bahasa, kerana bila kita lalai tentang maruah bahasa, kita juga akan lupa pada asal usul kita. Pepatah ada mengatakan Bahasa menunjukkan Bangsa dan bila rosak bahasa rosaklah bangsa.
Sementara itu, Pensyarah Kewartawanan di Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media,UiTM Shah Alam, Dr Rahmat Ghazali pula menegaskan bahawa kewujudan Media baru adalah penciptaan teknologi terkini yang memudahkan untuk berinteraksi dengan cepat diserata pelusok dunia. Ianya dilihat sebagai satu perkembangan teknologi terkini yang sangat memberi manafaat kepada manusia sejagat.
Namun beliau juga berpendapat terdapat sudut negatif dalam Media baru khususnya sms dan ruang sembang maya atau chatting ini. Beliau berpendapat penggunaan ayat-ayat yang tidak ditapis dan ayat sosial yang sewenang-wenangnya digunakan dalam internet dan sms mencemarkan budaya Melayu yang terkenal dengan bahasa yang indah dan berlapik.
Beliau memberi komen mengenai bahasa dalam ruangan chatting yang kadangkalanya amat keterlaluan sehingga terlalu bebas membicarakan apa sahaja termasuk seks dan bahasa lucah. Ketiadaaan `gatekeeper' atau badan penapisan dalam internet ini katanya membuatkan penyembang dengan berani menulis kata-kata yang kurang manis dan tidak bersopan dalam ruang sembang maya.
Menurut Dr Rahmat lagi, kajian yang dijalankan oleh seorang pelajar FKPM mengatakan ruang sembang maya Yahoo Messenger didapati digunakan sebagai wadah bagi mereka yang ingin mengiklankan diri bagi tujuan kurang sihat seperti mencari teman bersosial dan menjalankan aktiviti kurang sihat seperti mencari teman untuk kegiatan seks dan sebagainya. Beliau mengatakan penggunaan bahasa yang kurang bersopan secara tidak langsung mencemarkan budaya berkomunikasi dikalangan masyarakat Melayu.
Dr Rahmat mengatakan bahawa, melalui kajian yang dijalankan itu mendapati kebanyakan penyembang dalam Yahoo Messenger adalah golongan Melayu berdasarkan cara penulisan dan audio. Ini jelas membimbangkan kerana kata beliau lagi, masalah gejala sosial dikalangan masyarakat Melayu dikhuatiri akan meningkat jika tidak ada badan yang mengawal selia ruang sembang maya ini. Beliau juga menjelaskan ekoran dari sembang diinternet ini tidak mustahil gejala ini menjalar ke masalah sosial yang lain seperti kes pembuangan anak dan kes pesta seks dan sebagainya.
dalam kaitan yang sama laporan muka depan harian Metro dalam bulan Nov 2009 juga ada menyebut bagaimana enam siswi diperdaya oleh seorang lelaki yang pandai memujuk rayu dengan kata2 cintanya dalam ruang sembang maya sehingga menyebabkan enam siswi ini dikenduri oleh rakan2 lelaki berkenaan dalam satu pesta seks dan arak di Pahang.
Jelaslah bahawa, sesuatu inovasi teknologi terkini tidak semuanya memberi manafaat secara total kepada masyarakat sejagat. Naluri manusia sendiri lebih mudah menyalahgunakan sesuatu yang dicipta untuk tujuan tidak sihat. Sehubungan itu sebagai manusia kawal selia oleh pihak tertentu dikatakan sesuatu yang amat baik untuk mengawal kelalaian dan kealpaan manusia terhadap etika dan penggunaan sesuatu teknologi baru yang dicipta.
Seperti kata Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Dato Saifuddin Abdullah dalam satu seminar Antarabangsa Komunikasi dan Budaya di UiTM baru-baru ini, masyarakat perlu ada self regulation dalam mengawal selian penyalahgunaan teknologi baru ini. Bermakna masyarakat sendiri perlu mengawal diri dalam usaha membendung penyalahgunaan media baru serta mengamalkan etika murni kepada budaya baru masyarakat dunia masa kini. Ini kerana buat masa ini tidak ada lagi akta dalam Multi Media yang boleh mensabitkan mereka yang menyalahgunakan ruangan sembang dan sms ini. Dalam akta Komunikasi dan Multi Media 1992 ada menyebut:
`( Nothing in this law should be construct as allowing censorship)
Tidak ada mana-mana dalam akta ini yang boleh di terjemahkan sebagai membenarkan penapisan'
Mungkin tidak semudah saranan Dato Saifuddin tentang mengamalkan self regulation ini, kerana manusia sekarang sudah ramai yang tidak beretika, malah ada yang sudah menolak agama dalam hidup mereka. Jadi bagaimana mahu beretika dan mengikut peraturan jika alam siber sendiri sudah tidak dapat mengenal yang baik dan yang buruk serta ketaksuban alam ini membuatkan manusia sendiri lupa bahawa Allah melihat apa yang mereka lakukan.
Tidak hairanlah jika ada yang terpaksa dikorbankan kerana terlalu ghairah dengan keajaiban teknologi ini.Semestinya harga bagi sebuah kemajuan seumpaman ini terpaksa dibayar dengan maruah bahasa dan bangsa. Justru sebelum terlewat, pengawasan terhadap ketaksuban teknologi baru ini perlu ada hadnya. Dalam hal ini, dinegara kita khususnya isu bahasa dan kesopanan menggunakan teknologi ini perlu mendapat perhatian serius pihak tertentu. Kawalan dan tapisan juga perlu di buat bagi memastikan masyarakat tidak terlalu taksub terhadap perkembangan teknologi komunikasi ini sehingga tidak lagi menghiraukan isu bahasa dan adap sopan dalam norma kehidupan manusia.Jika negara seperti china, Arab saudi dan singapura boleh mengawal selia Media baru mereka mengapa negara kita tidak melakukannya.
Sudah tiba masanya MCMC, kementerian pendidikan dan kepimpinan tertinggi duduk semeja membincangkan mengenai kes-kes terpencil yang menjadi akar umbi kepada jenayah bahasa, penyalahgunaan media baru dan masalah2 lain yang boleh menjurus kepada masalah pembinaan jati diri dan pembinaan negara bangsa. Bak kata pepatah api sewaktu kecil menjadi kawan sesudah besar menjadi lawan. Begitulah masalah Media baru yang perlu dibendung penyalahgunaanya sebelum ianya merebak menjadi api yang memusnahkan.
Monday, November 16, 2009
Friday, November 13, 2009
Tuesday, February 3, 2009
Akhlak dan Menghormati Guru
Menjadi seorang pendidik adalah impian Mama semasa kecil lagi. Mama sering berangan-angan untuk menjadi guru yang baik dan disayangi pelajarnya. Akhirnya doa Mama pada Allah di makbulkan dan disini (UiTM) Mama menabur bakti mengikut cara dan pendekatan Mama sendiri.
Meskipun adakalanya apa yang kita buat rasanya sudah cukup terbaik, namun ada juga orang yang tidak begitu suka cara kita. Sememangnya manusia tidak pernah puas dan ada saja kesalahan orang lain yang cuba diketengahkan.
Mama memahami kehidupan ini tidak sempurna, dimana-mana kita akan mendapat kritikan dan teguran. Mama tidak kisah itu semua. Tapi yang penting niat Mama untuk berkhidmat kepada generasi muda dan melihat mereka menjadi pemimpin yang bukan sahaja berilmu tinggi malah mempunyai peribadi yang baik.
Beberapa minggu yang lalu seorang teman menegur Mama melayani pelajar dengan terlalu baik. Baginya sikap itu tidak professional dan jika Mama berterusan seperti itu adalah lebih baik Mama mengajar budak2 sekolah rendah sahaja. Baginya pendekatan `mesra pelajar' Mama hanyalah layak untuk dipraktikan disekolah sahaja. Malah Mama katanya lebih layak jadi cikgu berbanding pensyarah Universiti. Menurutnya di sini siswa dan siswi perlu lebih berdikari dan lebih mementingkan diri sendiri. Ini kerana survival diUniversiti menetukan tahap kejayaan seseorang.
Berdesing juga telinga Mama mendengar komen rakan baik mama tu...tapi Mama anggap itu pendapat peribadi dia. Mungkin cara dia lain...cara Mama lain...namun yang pastinya kami sama-sama mendidik anak bangsa dan melahirkan cendekiawan bumiputera yang bakal memegang tampuk pimpinan negara.
Hari ini pula...Mama menerima komen dari seorang kawan yang kagum melihat kemesraan mama dan students Mama. Beliau berkata pendekatan mama cukup unik dan pendekatan itu sebenarnya adalah pendekatan pendidikan cara lama yang cukup murni dan seharusnya dihidupkan kembali bagi membawa generasi cerdik pandai kita kearah pemantapan jiwa dan nilai murni. Katanya, cara mama dapat menghidupkan suasana menghormati guru dan menyalurkan ilmu dengan lebih berkesan. Bagi beliau dengan masalah sosial dan kerapuhan jatidiri remaja masakini pendekatan Mama ini dilihat mampu mengambalikan nilai murni dalam jiwa remaja khususnya pelajar IPT. Beliau juga memuji cara Mama mengajar menggunakan pendekatan praktikal yang cukup terkesan dihati setiap pelajar.
Secara jujur Mama rasa komen rakan mama itu suatu komen yang membangun dan menaikkan semangat Mama untuk terus berkhidmat dan memberi yang terbaik untuk pelajar2 Mama. Kita sering mendapat kritikan jika kita mahu membawa sesuatu perubahan yang baik. Namun semua ini adalah asam garam kehidupan sebagai pendidik.
Mengambil kata nasihat dari Dekan Masscomm Prof Adnan Hashim katanya `sedangkan nabi yang begitu maksum dan baik menerima cemuhan dan kejian...inikan pula kita manusia biasa yang serba kekurangan' Buatlah apa yang kita fikir baik, jujur dan ikhlas dalam melakukan sesuatu perkara serta yang penting niat kita bersih...Insyaalah Tuhan tahu segala-galanya."
Kita tidak boleh menyekat manusia dari memberikan komen dan pendapat. Sebagai manusia kita sering berhadapan dengan berjenis ragam manusia dan apa yang pentingnya kita berbuat baik dan tidak menyakiti hati orang lain.
Hari ini jiwa Mama rasa tenang.. dan sejuk. Semoga segala rintangan yang bakal mendatang Mama dapat hadapi dengan sabar dan bertaqwa.Terima kasih anak2 tersayang...tanpa kalian sebagai pelajar Mama tidak mungkin Mama begitu bersemangat seperti ini. Siapalah Mama tanpa pelajar semua....
Wednesday, January 28, 2009
`Sentuhan keibuan' Merangsang Akademik Pelajar
Menjadi pelajar Universiti adalah satu2nya perkara yang amat membanggakan dalam diri seseorang remaja. Mereka adalah insan2 bertuah yang terpilih untuk menimba ilmu di menara gading yang menjadi impian ramai pelajar sekolah. Justru apabila melangkah dan menjejakkan kaki ke Universiti mereka akan berdepan dengan pelbagai cabaran dan dugaan sebelum mencapai hasrat menggenggam segulung Ijazah dan menyarung jubah kebanggaan menara gading berkenaan.
Menjadi pelajar Universiti tidak semudah yang disangka. Selain bergelut dengan pelajaran, berhadapan dengan karenah kawan2 dan pengaruh persekitaran, mereka juga terpaksa berhadapan dengan sikap pensyarah yang kadangkala menyebabkan minat belajar terus mati dan terhenti.
Kehidupan pelajar yang begitu `monotonous' didalam kelas kadangkala begitu membosankan. Ditambah dengan pelajaran yang kadangkala tidak dapat difahami menambahkan bebanan pemikiran mereka. Justru sebagai escapismnya pelajar benyak melibatkan diri dalam aktiviti dikampus sebagai menghilangkan kebosanan dan tekanan menghadiri kuliah.Tidak hairan jika kebosanan berlaku ramai pelajar mencari pelarian kepada permasaalahan ini dengan bercinta untuk menghilangkan rasa tekanan pada pelajaran dan kehidupan di Kampus.
Melalui pengamatan dan pemerhatian saya salah satu punca pelajar hilang minat belajar ialah dari sikap pensyarah. Karenah pensyarah kadangkala boleh menyebabkan pelajar mengalami penurunan pencapaian akademik. Beberapa kes yang diceritakan pelajar kepada saya memperlihatkan bagaimana pelajar amat tidak suka jika ada pensyarah yang melayan mereka sebagai `objek' dalam istilah komunikasi Interpersonalnya.Ada segelintir pensyarah yang masuk kekelas hanya bertujuan untuk mengajar sahaja tanpa mendekati pelajar2nya. Ketiadaan two way communication ini membuatkan pelajar berasa tertekan menghadiri kelas selama tiga jam bagi setiap satu subjek.
Remaja adalah satu `transisi dari zaman kanak2 ke dewasa' kehidupan diwaktu ini penuh dengan dugaan. Pelbagai perubahan fizikal, mental dan spiritual mereka lalui ketika ini dan konflik jiwa yang mereka alami ketika ini akan menimbulkan tekanan jiwa. Justru kehidupan di Universiti tidak terkecuali. Sebagai manusia mereka mahukan sentuhan kasih sayang dan dihormati sebagai seorang individu. Kasih sayang sudah terbukti sebagai remedi atau pengubat kepada banyak permasaalah remaja. kekurangan kasih sayang akan menyebabkan mereka mengalih tumpuan kepada perkara negatif dan boleh membawa kepuasan dirisecara songsang.Berdasarkan ini saya berpendapat pendekatan kasih sayang dan sentuhan keibuan dari pensyarah amat penting merangsang minat pelajar lebih cenderung pada bidang akademik.Tidak susah mengaplikasikannya, kita hanya perlu sedikit masa dan minat terhadap kerjaya kita.
Sejak menjadi pensyarah saya telah menjalankan kajian persendirian secara mendalam dengan mendekati pelajar serta menyemaikan rasa kasih sayang serta menghormati mereka sebagai individu. Hasilnya saya dapati pelajar yang terasa diri disayangi mudah meningkatkan prestasi pelajarannya sebaliknya pelajar yang merasakan diri sering tersisih mengalami penurunan prestasi akademik yang ketara.Ada pelajar bermasalah yang menjadi `subjek study ' saya sejak semester satu lagi. Tapi mereka tidak mengetahuinya.
Berbalik kepada soal pendekatan kasih sayang didalam kelas, keakrabab pelajar dengan saya telah memudahkan saya mengawal mereka walaupun bilangan pelajar didalam kelas kadangkala mencecah 70 orang untuk `Mass Lecture' Cara pendekatan ini yang saya terapkan sejak hampir sepuluh tahun menjadi pensyarah terbukti menjadi catalyst atau perangsang kepada pencapaian akademik mereka.
Setiap hari sebelum memulakan kelas saya akan menyuruh pelajar membaca doa dan setelah habis sesi pembelajaran hari itu mereka juga akan membaca doa dan sebelum pulang bersalaman dengan saya. Sedikit taskirah tentang kehidupan akan saya selitkan dalam setiap subjek yang saya ajar. Kadangkala mereka boleh berjumpa saya di bilik saya untuk membincangkan masalah yang mereka alami tidak kira yang berkaitan pelajaran mahupun peribadi. Masa diluar kelas juga saya peruntukkan bagi mereka sekiranya ada yang benar2 penting dan mahu berbincang dengan saya.
Berdasarkan pendekatan ini pelajar menjadi rapat dengan saya dan tidak pernah takut untuk berjumpa atau menyatakan permasaalahan mereka kepada saya. Oleh kerana keakraban inilah pelajar menggelarkan saya dengan panggilan MAMA dan saya terima panggilan itu untuk diguna pakai di fakulti sebagai satu cara saya mendekati pelajar.
Walaupun saya mendapat cemuhan dan sindiran tajam dari rakan2 pensyarah yang lain berhubung pendekatan pengajaran saya dikelas, namun saya tidak pernah berputus asa. Ada yang mengatakan cara pendekatan saya umpama sebuah tadika dan saya lebih layak menjadi guru sekolah rendah dan ada juga yang mengatakan saya tidak professional kerana banyak yang saya terapkan dikatakan bertentangan dengan tatacara diperingkat Universiti yang seharusnya lebih survival. Namun itu semua tidak pernah mematahkan semangat saya, malah lebih memberi kekuatan kepada saya apabila melihat pelajar seronok berada didalam kelas saya. Selain itu keceriaan pelajar didalam kelas menambahkan minat mereka untuk datang kekuliah dan seterusnya memperbaiki prestasi akademik mereka.
Dalam sebuah perbincangan antara saya dan seorang Timbalan Pendaftar baru-baru ini, beliau juga mengakui pendekatan kasih sayang dan sentuhan keibuan amat penting diterapkan kepada pelajar. Ini kerana sejak kebelakangan ini ramai pelajar yang mengalami masalah tekanan perasaan akibat kekurangan kasih sayang dan perhatian kerana kesibukan ibubapa mereka mencari rezeki.Kehidupan masa kini sudah banyak bezanya dengan zaman dulu. Manusia terlalu ghairah mengejar kehidupan materialistik dan mengenepikan soal spiritual dan nilai kasih sayang. Akibatnya generasi sekarang kurang nilai2 murni dan rendah akhlaknya. Justru jika adanya sentuhan kasih sayang dan perhatian dari pensyarah mereka akan lebih bersemangat untuk menimba ilmu selain memperbaiki sikap dan mengamalkan nilai murnidalam kehidupan mereka.Masih saya ingat lagi salah satu ciri2 yang terdapat dalam wawasan 2020 iaitu melahirkan masyarakat yang berilmu dan berakhlak mulia. Berdasarkan itu adalah amat penting bagi pendidik khasnya mendekati pelajar melalui pendekatan yang menjurus kepada kasih sayang sebagai membaja sikap pelajar menjadi insan yang lebih baik dimasa depan.
Sebagai penutup kata, saya ingin meminta para pendidik tidak kira guru atau pensyarah agar menerapkan nilai2 kasih sayang dan memberi perhatian kepada anak2 didik kita kerana mereka ini memerlukan sentuhan ajaib dari kita untuk menjadi generasi wawasan 2020 yang bukan sahaja berilmu yang tinggi malah memiliki keperibadian yang mulia dan terpuji. Sama-samalah kita renungkan perkara ini. Ini kerana ditangan kita terletaknya kecemerlangan generasi masa depan .
Subscribe to:
Posts (Atom)