Tuesday, June 28, 2011

KEAJAIBAN KATA-KATA

PERNAHKAH anda mendengar ungkapan ini, ‘kata-kata adalah doa.’ Setiap apa yang kita tuturkan memberi kesan pada diri kita. Perkataan positif dapat menjana kesihatan minda dan spiritual, selain menjadikan kita terus bertenaga untuk menjalani kehidupan seharian. Kenyataan ini disokong pakar komunikasi dengan mengatakan perkataan mempunyai kuasa ajaib yang boleh mempengaruhi kehidupan seseorang . Malah, melalui perkataan yang kita ucapkan ia akan menjadi satu kenyataan dan membentuk kehidupan kita berdasarkan pemikiran kita. Maka tidak hairanlah mengapa sejak kecil lagi kita dididik oleh ibu bapa kita untuk bercakap perkara yang baik dan menghindari perkataan buruk dan keji. Bukan setakat itu saja, kita juga disuruh berlemah lembut dalam setiap pertuturan dan perbuatan serta sentiasa menjaga hati orang lain dalam hubungan sosial. Masyarakat Melayu zaman dulu berpandukan adab dan nilai murni sebagai garis panduan kepada keharmonian dan kesejahteraan hidup. Sejak dulu kita diajar untuk berkomunikasi secara berhemah dan tidak menyinggung perasaan orang lain dalam pertuturan seharian kita. Sikap seumpama ini ditekankan lagi dalam banyak pepatah dan bidalan yang berkait rapat dengan bercakap baik dan berhemah. Umpamanya orang-orang tua selalu berpesan ‘jika bercakap biar berlapik’ jangan menyakitkan hati orang. ‘Cakap siang pandang-pandang cakap malam dengar-dengar.’ Keterlanjuran perkataan memberi kesan kepada pendengarnya dan amat bersesuaian dengan pepatah ‘terlajak perahu boleh diundur terlajak kata buruk padahnya.’ Pepatah paling popular, ‘sebab pulut santan binasa, sebab mulut badan binasa.’ Menurut sejarah, zaman kegemilangan tamadun Melayu banyak bergantung kepada nilai murni yang diamalkan pada zaman itu. Namun, apabila zaman beredar dan media baru mempengaruhi kehidupan masyarakat, cara berkomunikasi dan cara hidup juga turut berubah. Nilai murni serta budi bahasa turut mengalami kelunturan dan terancam. Alasan dan pendapat masa kini mengatakan kita harus berubah sejajar peredaran masa dan teknologi. Perkataan dan cara berkomunikasi menjadi semakin ringkas dan adakalanya membawa maksud dan persepsi berbeza mengikut peringkat umur. Menurut Zamri Mohamad, seorang perunding bebas dan penulis buku, perkataan mempunyai nilai kuasa tersendiri. Apabila kita mengetahui nilai kuasa tersebut, kita perlu lebih berhati-hati dan bertindak bijak untuk menyebut serta memilih perkataan yang memberi kesan baik kepada diri. Beliau juga berkata, perkataan yang keluar daripada mulut amat berpengaruh dalam kehidupan. Selain itu menurutnya, perkataan boleh mengubah emosi dan membuat manusia bertindak serta menggambarkan budaya hidup. Dalam kaitan yang sama apabila perkataan boleh mengubah emosi, kita mengambil contoh perkataan kurang baik dan menjatuhkan maruah seseorang. Secara tidak langsung perkataan seumpama itu akan menyebabkan individu berkenaan bukan saja rasa sedih dan malu malah menyebabkan kehidupan tertekan dan tidak bermotivasi. Tidak salah jika ingin membetulkan kesilapan seseorang melalui percakapan dan nasihat yang baik serta bahasa lemah lembut yang boleh menaikkan semangat mereka yang mendengarnya. Nabi juga pernah berpesan dan mengajar kita menggunakan perkataan yang baik-baik kerana ia dapat menghubungkan rasa kasih sayang dan memotivasikan seseorang bagi menuju kejayaan dunia dan akhirat. Dalam kaitan yang sama, sarjana komunikasi sendiri menggariskan antara ciri-ciri komunikasi berhemah ialah bercakap dengan lemah lembut serta menjadi pendengar yang baik. Ini bertujuan menjayakan komunikasi dua hala selain menjalin keharmonian dalam interaksi. Perkataan tidak manis didengar dan adakalanya menyakitkan hati menyebabkan manusia boleh bertindak di luar jangkaan. Perasaan marah dan sakit hati akibat perkataan menghina dan caci maki menyebabkan pergaduhan berlaku dan ada kalanya melibatkan nyawa dan kerosakan. Mungkin kita banyak membaca laporan di akhbar mengenai isu seumpama itu yang menyebabkan pergaduhan dan permusuhan kerana emosi kemarahan yang tidak dapat dikawal. Bercakap kurang sopan juga melambangkan sikap dan budaya serta cara hidup seseorang yang dipenuhi dengan unsur negatif. Umpamanya, individu yang selalu cepat marah tidak kira dalam apa juga situasi dan kerap memaki hamun tidak tentu pasal secara tidak langsung melambangkan peribadi kurang elok individu berkenaan. Kita mungkin pernah berhadapan dengan rakan pejabat, rakan sebaya atau mereka yang berurusan dengan kita yang sentiasa mengeluarkan perkataan tidak sopan dan mudah memaki hamun serta menghina orang lain. Aura negatif individu seumpama ini akan menyebabkan hidup kita juga tertekan dan tidak tenang untuk berurusan dan berinteraksi. Mereka yang tergolong dalam kumpulan ini sebenarnya mempunyai rasa tidak puas hati dengan diri mereka sendiri dan mengalami harga diri yang rendah. Sehubungan itu, pakar psikologi mengatakan individu yang berjaya adalah mereka yang mempunyai harga diri tinggi dan berfikiran positif manakala, individu yang gagal mempunyai harga diri rendah serta sentiasa berfikiran negatif. Mereka yang mempunyai harga diri tinggi bercakap dengan berhemah, bahasa yang mereka gunakan baik, lebih lancar, tersusun, lemah lembut dan tata bahasanya betul. Mereka menggunakan kata-kata jenis positif. Mereka juga menunjukkan komitmen kepada apa yang mereka ucapkan, iaitu mereka menepati janji dan menunaikan kata-kata mereka. Bagaimanapun, mereka yang punyai harga diri rendah adalah sebaliknya. Ironinya, kata-kata yang baik dan lembut pertuturannya membuatkan kita rasa seronok mendengar dan menghayatinya, sebaliknya kata-kata negatif, kasar dan penghinaan membuatkan kita rasa murung dan tidak bermotivasi. Justeru, walaupun zaman beredar tidak rugi jika kita mempraktikkan cara berbahasa dan bercakap dengan baik kepada semua golongan dan peringkat masyarakat. Di rumah umpamanya, amalkan cara berkomunikasi yang lembut dan baik dengan seluruh ahli keluarga kerana ibu bapa contoh terbaik kepada anak-anak. ‘Bagaimana kuih begitulah acuannya’ perlakuan ibu bapa menjadi contoh terbaik kepada anak-anak. Di sekolah dan di pusat pengajian tinggi pula, guru dan pendidik harus mengamalkannya supaya budaya murni ini dicontohi pelajar. Adakalanya guru dan pendidik menyuruh pelajar mengamalkan sikap baik tetapi mereka sendiri tidak mempraktikkannya. ‘Sikap kepemimpinan melalui teladan’ pendidik akan membuatkan pelajar lebih menghormati mereka. Begitu juga di pejabat, jika menjadi ketua pejabat, komunikasi yang baik dan berhemah menjalin kesejahteraan antara ketua dengan kakitangan serta antara kakitangan dan kakitangan yang lain. Sikap sombong dan tidak mesra seorang ketua pejabat akan menyebabkan produktiviti kakitangan menjadi rendah serta tidak bermotivasi. Seterusnya sebagai orang awam interaksi yang baik dengan masyarakat umum secara tidak langsung menunjukkan peribadi mulia anda. Mengamalkan cara berkomunikasi yang baik dan lemah lembut sebenarnya boleh mengubah seseorang serta menjaga keharmonian persahabatan seterusnya membina kesejahteraan hidup. Akhir sekali sifat terpuji yang amat disukai Allah dalam diri seseorang Muslim ialah sifat lemah lembut. Oleh sebab itu, Rasulullah pernah bersabda maksudnya: “Allah itu bersifat lemah lembut dan amat menyukai sifat lemah lembut dalam setiap urusan.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim). Oleh Hariyati Ariffin Pensyarah Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media Uitm, Shah Alam

Cabaran Menjaga Ibubapa Uzur.

Kitaran hidup manusia yang bermula sejak dari rahim Ibu sehingga saat kematian telah di tentukan oleh Allah. Yang muda akan menjadi tua dan mereka juga akan melalui apa yang pernah dilalui oleh mereka yang terdahulu . Menurut Erik Erikson (1963) pakar saikologi Barat, kitaran hidup manusia merangkumi beberapa tahap dalam kehidupan serta mempunyai tugas dan tanggungjawab perkembangan yang perlu dilakukan. Tahap tersebut bermula dari peringkat bayi hingga tua dan saat kematian. Oleh yang demikian menjadi tua adalah suatu yang pasti dan kita tidak dapat mengelakkannya. Dinegara kita bilangan warga emas semakin meningkat dengan kemajuan bidang perubatan dan kesedaran menjaga kesihatan. Hasilnya Warga emas dinegara kita dapat hidup lebih lama dan menjalani kehidupan yang lebih berkualiti. Statistik dari Kementerian Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat mendapati bilangan warga emas di Negara kita pada tahun lalu mencecah hampir 2 juta iaitu 7.1 peratus daripada 26.7 juta penduduk dinegara ini. Bilangan itu dijangka meningkat lebih 10 peratus sekitar 2025 dan akan mencapai 15 peratus pada tahun 2035. Apa yang ingin ditekan disini ialah dengan pertambahan jangkahayat warga emas di Negara kita, masyarakat perlu lebih bersedia memikul tanggungjawab menjaga kebajikan mereka khususnya ahli keluarga sendiri bagi terus membantu warga emas ini menjalani kehidupan masa tua dengan berkualiti dan penuh kasih sayang. Bagi warga emas yang sudah tidak berdaya untuk mengurus diri , mereka amat memerlukan sokongan, kasih sayang dan bantuan dari seluruh ahli keluarga dan masyarakat . Perubahan gaya hidup masa kini banyak memberi cabaran kepada anak2 untuk menjaga ibubapa yang telah uzur. Mungkin akibat desakan kehidupan dan factor ekonomi ada segelintir anak2 yang terpaksa menghantar ibubapa ke pusat jagaan orang2 tua sebagai jalan terbaik bagi ibubapa berkenaan. Masing-masing punya alasan tersendiri berbuat demikian. Disebalik kisah ibubapa yang dihantar kerumah orang2 tua, sebenarnya masih ramai juga yang mengambil tanggungjawab menjaga sendiri ibubapa yang sakit dan uzur dengan bantuan pembantu rumah dan anak2 serta menantu yang tidak bekerja dirumah. Keselesaan dan kasih sayang keluarga sememangnya ubat paling mujarab bagi warga emas melalui saat tua mereka. Selain itu rumah sendiri atau rumah anak2 adalah tempat paling kondusif bagi ibubapa uzur menghabiskan sisa hidup mereka. Sememangnya tidak semudah yang diperkatakan. Adakalanya konflik timbul dikalangan ahli keluarga sendiri kerana urusan menjaga ibubapa yang uzur dan adakalanya yang hilang keupayaan dan nyanyuk. Banyak faktor yang menyebabkan berlakunya konflik keluarga dalam penjagaan ibubapa seumpama ini. Salah satunya perangai ibubapa yang uzur dan terlalu meminta perhatian sehingga menyebabkan keluarga berkonflik. Sikap anak2 lain dan menantu yang jarang ambil berat serta sikap lepas tangan anak2 yang merasakan ibubapa mereka ada tempat bergantung yang selesa, Selain itu ada juga kes dimana mereka yang diamanahkan untuk menjaga ibubapa yang uzur kurang mendapat sokongan dan bantuan dari segi fizikal mental dan material daripada ahli keluarga yang lain. Biasanya anak2 yang terpilih menjaga ibubapa adalah mereka yang rapat dan paling sabar serta mempunyai kedudukan ekonomi yang agak kukuh. Dalam hal yang berkaitan, biasanya jika ibubapa berkenaan tinggal bersama anak2 yang boleh menjaga mereka ahli keluarga yang lain seringkali merasakan keperluan ibubapa sudah terisi. Mereka juga sering merasakan ibubapa berkenaan sudah selesa dengan mereka yang menjaganya dan adakalanya lupa bahawa mereka ( anak2 ini) juga harus bersama2 memberikan komitmen terhadap ibubapa berkenaan walaupun tinggal berasingan. Rambut sama hitam hati lain2, begitu lah sikap dan perangai manusia walaupun lahir dari satu ibu atau satu ayah, mereka punya pelbagai karenah dan pendirian hidup. Seperti kata pepatah, `dalam setandan pisang tidak semuanya yang eluk’. Dalam kes seumpama ini , jika ada anak yang sanggup bekorban menjaga ibubapa yang sakit anak2 yang lain dengan senang hati menjadi pemerhati jarak jauh sahaja. Adakalanya ahli keluarga yang lain tidak memikirkan bahawa mereka yang bertanggungjawab itu perlu menjalani kehidupan seperti orang lain walaupun pada hakikatnya mereka sanggup berkorban menggalas tanggungjawabmenjaga ibubapa yang uzur. Seringkali juga sikap tidak prihatin ahli keluarga yang lain terhadap kehendak ibubapa yang uzur dan mereka yang diamanahkan menjaga menyebabkan keluarga berpecah belah. Masing-masing mempunyai alasan tersendiri apabila terpaksa memberi sedikit komitmen dan masa untuk kedua ibubapa. Betul lah kata orang2 tua, seorang ibu boleh menjaga 10 anak, tapi seorang anak belum tentu boleh menjaga seorang ibu. Memang agak pedas bunyinya pepatah itu, tapi harus diingat bahawa, bukan mudah melayan karenah ibubapa yang sudah uzur dan sakit. Mereka amat2 memerlukan perhatian dan adakalanya permintaan mereka sering membuatkan anak2 menjadi keliru dan sukar memenuhinya atas alasan tertentu. Tidak semua orang tua mempunyai karenah cerewet dan sukar difahami, tapi jika ada yang sedemikian, ini adalah cabaran paling hebat buat mereka yang menjaganya. Sikap cerewet dan kembali menjadi keanak2anakan serta suka mengadu perkara yang bukan2 pada anak2 yang lain menyebabkan mereka yang menjaganya mendapat tekanan yang amat tinggi. Sebenarnya ibubapa yang uzur ini menjalankan `modus operandi’ seumpaman ini bagi menagih simpati dan kasih sayang anak2. Mereka mengalami apa yang dinamakan sebagai sindrom ` Empty Nest’ dalam sosiologi. Mereka kesunyian dan mahukan anak2 sentiasa berada disisi mereka. Karenah mereka memang amat mencabar. Mereka amat memerlukan perhatian disaat keuzuran. Oleh itu jika tidak berbuat demikian jarang yang ada datang melawat. Semuanya memberi alasan sibuk bekerja. Namun bagi anak2 yang kurang prihatin dan tidak sensitif terhadap kehendak ibubapa yang uzur ini menyebabkan mereka malas melayan segala perangai remeh temeh ibubapa yang uzur ini. Tetapi haruslah dingat bahawa melihat karenah orang tua adalah pengajaran terbaik bagi semua yang bergelar manusia kerana ada masanya kita juga akan tua dan menajdi seperti ibubapa kita yang uzur. Dalam hal ini bagi mereka yang menjaga ibubapa yang uzur semestinya amat maklum mengenai karenah dan perangai ibubapa berkenaan. Seperti kata pepatah `ditelan mati mak diluah mati bapak’ jika tidak diturutkan dikatakan anak derhaka jika terus menerus mengikut setiap apa suruhan dan melayan karenah yang kadangkala tidak masuk akal, mereka yang menjaga nya boleh menjadi terlalu tertekan dan mengalami sakit sampingan kerana berhadapan dengan kehidpan yang penuh stress. Betul lah ada yang kata, bahawa menjaga kedua orang tua yang sakit dan uzur perlu banyak bersabar dan tabah, kerana adakalanya kita mengumpul lebih banyak dosa berbanding pahala yang Allah berikan. Berat mata memandang berat lagi bahu yang memikul. Orang luar nampak segalanya cantik namun yang merasainya dan mengalaminya hanya tuhan sahaja yang tahu. Bagi mereka yang menjaga ibubapa uzur adakalanya rumahtangga juga boleh bergoyang. Jika suami atau isteri memahami dan tahu tanggungjawab mereka dalam menjaga ibubapa yang uzur mungkin masalah tidak terlalu rumit. Namun apa yang terjadi masa kini ada suami atau isteri khususnya menantu yang tidak dapat menerima tangggungjawab ini sebagai satu tanggungjawab bersama. Adakalanya ianya dibebankan pada satu pihak sahaja selalunya anak kandung sendiri sehingga menyebabkan mereka yang terpaksa menanggung ibubapa yang uzur mengalami tekanan dan terpaksa bertindak diluar dugaan. Justru, sebagai anak kita perlu banyak bersabar dan berdoa pada Allah semoga Ibubapa yang uzur diberikan ketabahan dan kesabaran sewaktu uzur. Melalui pengalaman mereka yang pernah menjaga ibubapa yang sakit, kesabaran dan ketabahan adalah pokok segalanya bagi meneruskan apa yang dilakukan. Adakalanya apa yang dipaparkan di media dan filem2 hanyalah pandangan satu pihak sahaja, namun realitinya menjaga ibu dan ayah yang sakit benar2 menguji kesabaran, keimanan dan ketabahan. Paling penting tahap kesabaran yang tinggi serta sentiasa merasakan ini semua satu tanggungjawab besar yang diamanahkan Allah. Tidak hairan lah mengapa Allah suruh kita berbuat baik dan bersabar kepada orang tua khususnya kedua ibubapa. Ini kerana ketabahan dan keimanan seseorang itu amat di duga Allah disaat berhadapan dengan karenah kedua ibubapa yang uzur. Ingatlah hidup ini karma, jika kita berbuat baik pada kedua ibubapa insyaAllah anak2 kita akan berbuat perkara yang sama kepada kita. Tamat.

Senyum Ikhlas, beramah mesra dan bertanggungjawab.

Amalan Komunikasi Berhemah di rumah dan di Pejabat. Pesan orang tua-tua ` cakap siang pandang-pandang, cakap malam dengar-dengar’ yang bermaksud menyuruh kita berhati-hati jika bercakap agar tidak menyentuh perasaan orang lain serta tidak menyakitkan hati orang yang mendengarnya. Maksud dan pengertian nya amat mendalam khususnya dalam keberkesanan komunikasi seharian yang banyak melibatkan hubungan individu dengan individu yang lain serta masyarakat keseluruhannya. Tidak dinafikan masalah dalam komunikasi seharian terlalu banyak antaranya, silap tafsir dan pengertian terhadap mesej yang nak disampaikan, konflik yang berlaku antara rakan pejabat, konflik dalam keluarga, mengendalikan aduan dan rungutan, tidak kira dirumah atau tempat lain . Selain itu berhadapan dengan orang yang bersikap autokratik dan sentiasa `hendak menang’, serta orang yang bersikap talam dua muka ’ dan orang yang ego dan sukar menerima pendapat orang lain. Ini adalah antara sebahagian masalah komunikasi dalam kehidupan manusia yang tidak pernah habis selagi kita bernyawa. Proses komunikasi sentiasa berlaku dalam kehidupan kita. Malah ada kajian yang mengatakan 80 peratus daripada masa sehari manusia digunakan untuk bercakap dan mendengar. Pernah kah kita berhadapan dengan situasi berkomunikasi yang kurang menyenangkan seperti yang dinyatakan tadi. Adakalanya masalah komunikasi menganggu ketenangan hidup kita dan menambah tekanan terhadap hidup yang sudah sentiasa berdepan dengan pelbagai cabaran yang lain khususnya dialaf ini. Masalah komunikasi juga menghilangkan keceriaan dalam hidup seseorang serta mendatangkan penyakit seperti kemurungan dan pengasingan diri dari masyarakat atau anti sosial. Benarlah seperti kata sarjana komunikasi bahawa komunikasi adalah proses yang sangat rumit. kerana halangan komunikasi seperti sikap, latar belakang, bahasa dan persekitaran sering menjadi punca utama konflik dalam hubungan dan ini menganggu keharmonian hidup dan tugas kita seharian. Menurut Sigmund Freud, komunikasi adalah kata-kata yang mempunyai kuasa sakti yang boleh membawa kegembiraan dan keputusan yang mendalam. Ia berupaya menimbulkan emosi yang mendalam dan menggerakkan tindakan manusia. Berdasarkan itu amat jelas sekali bagaimana peranan komunikasi dapat mengubah banyak perkara dalam hidup seseorang. . Dalam kaiatan yang sama kita mungkin pernah berhadapan dengan individu yang tidak tahu berbahasa dengan lembut dan setiap perkataannya terlalu menghiris perasaan sesiapa sahaja yang mendengarnya. Adakalanya bukan sahaja sindiran sinis dan kata-kata yang tajam keluar dari mulutnya tetapi termasuk juga intonasi yang kurang menyenangkan halua telinga serta bahasa tubuh (body language) yang kurang sopan hingga menyebabkan ramai orang cuba menjauhkan diri dari individu seumpama ini. Tidak hairanlah ada pepatah Melayu yang mengatakan `sebab pulut santan binasa sebab mulut badan binasa’ Pernah kah kita terfikir bagaimana mahu berhadpan dengan individu seumpama ini yang adakalanya membuatkan hidup kita menjadi sukar dan hilang keceriaan serta kesabaran Islam sendiri mempunyai garis panduan dalam berkomunikasi secara berhemah bertujuan menjaga keharmonian hidup bermasyarakat. Malah Nabi kita amat menggalakkan umatnya untuk bercakap dengan lemah lembut serta berhemah. Orang yang tidak berhemah dalam berkomunikasi mungkin menghadapi masalah dalam diri mereka yang memerlukan bantuan rakan sepejabat dan orang yang rapat dengan mereka bagi membantu mereka menukar gaya komunikasi agar dapat menjalin interaksi yang baik dengan orang sekeliling. Pejabat merupakan rumah kedua bagi mereka yang bekerja. Suasana pejabat yang tenang dan harmoni boleh meningkatkan prestasi kerja dan interaksi sosial bersama rakan setugas. Justru ketika dipejabat adalah amat digalakkan berkomunikasi secara berhemah bagi melicinkan pentadbiran di tempat kerja selain membentuk hubungan yang mesra dan mewujudkan satu persekitaran pekerjaan yang kondusif dan mudah menjalankan tugas sebagai satu pasukan. Banyak perkara asas dalam berkomunikasi yang boleh kita praktikan dipejabat bagi menceriakan suasana ditempat kerja selain dapat menjalankan tugas dnegan penuh dedikasi dan ikhlas. Umpamanya senyuman dan memberi salam adalah satu cara membuka jiwa dan perasaan sesiapa sahaja yang menerimanya. Ianya juga satu tanda kita menghormati orang lain dan memperkasakan budaya murni kita. Dengan memberi senyuman ikhlas kita boleh membuat semua orang turut tersenyum kerana senyuman adalah bahasa universal yang mennggambarkan keikhlasan hati kita. Senyuman yang ikhlas adalah sesuatu yang terindah bagi siapa saja yang menerimanya, karena senyuman merupakan ekspresi dari hati atas kesenangan atau kegembiraan yang dirasakan pemilik senyum itu sendiri. Seperti kata Nabi senyum itu satu sedekah yang paling mudah tapi amat berharga. Selain itu menjadi pendengar yang baik dan aktif adalah satu lagi perkara yang dapat dipraktikkan dalam komunikasi berhemah bagi memupuk keharmonian dipejabat. Sebagai pendengar yang baik, kita dapat mencerna maklumat yang diterima dengan berkesan dan secara tidak langsung feedback nya akan menyebakan kita lebih dipercayai dan disegani. Dalam menjalin hubungan baik sesama rakan sekerja bersikap positif dan ikhlas dalam apa juga yang dilakukan di tempat kerja.adalah amalan yang sangat terpuji. Secara fitrahnya manusia tidak pernah puas dengan apa yang mereka ada dan miliki. Maka tidak hairan mengapa adakalanya orang suka merungut dan tidak pernah puas dengan apa yang mereka ada serta suka mencari kesalahan orang lain. Jika kita ikhlas dan berfikiran positif segala apa yang berlaku dipejabat dapat di hadapi dengan tenang. Komunikasi berhemah juga dapat di praktikkan dipejabat dengan bersifat empati dan memahami masalah orang lain. Sikap seumpama ini membuatkan individu berkenaan mudah didekati kerana mereka memahami masalah orang lain dan tidak bersikap indivisualistik. Ironisnya dengan perubahan gaya hidup dan cabaran dunia pekerjaan yang menduga kesabaran mungkin tidak salah jika kita kembali mengamalkan budaya murni dan mempraktikkan komunikasi berhemah seperti memberi senyuman, bersalam dan sentiasa memahami rakan sekerja dalam pergaulan seharian kita. Seperti pesanan Luqman Al Hakim: Layanlah orang kecil sesuai dengan kecilnya, layanlah orang besar sesuai dengan kedudukannya. Orang jahil berdasarkn kekurangan ilmunya dan orang alim berdasarkan kelebihannya’ Dengan demikian berdasarkan persefahaman dan nilai murni yang dipupuk melalui komunikasi secara tidak langsung dapat meningkatkan produktiviti selain menjadikan suasana pejabat tempat paling kondusif mencari rezeki selain mendapat ketenangan Tamat.... .

Thursday, June 16, 2011

Poligami: Trend terkini wanita Muda rela berkongsi kasih dengan Suami Orang

Poligami isu yang menjadi hit dalam masyarakat kita. Apabila berbicara mengenai poligami, ia menjadi isu hangat untuk didebat atau dibincangkan. Kisah menarik ini bagaikan selingan dalam kesibukan masyarakat yang sentiasa mengejar masa dalam kehidupan mereka yang serba mencabar ini. Kaum Adam sudah semestinya menyokong sedangkan kaum wanita menjadi pembangkang tegar. Kerelaan wanita muda sanggup berkongsi kasih mula mendapat perhatian umum dan didakwa sebagai trend kehidupan masa kini. Lebih menarik lagi, media massa tidak jemu-jemu membawa isu berkenaan seolah-olah ianya sesuatu yang dapat dibanggakan dan bakal menjadi gaya hidup masa kini. 

Ada juga yang mengatakan tidak menolak kemungkinan isu poligami suatu hari nanti bukan lagi perkara sensitif yang perlu ditakuti dan digeruni para isteri dinegara ini dan bila wanita dan isteri sudah boleh menerima hakikat ini, mungkin isu poligami menjadi suatu fenomena yang biasa. Namun sebenarnya tidak semudah yang dapat diucapkan. Sudah menjadi lumrah manusia tidak ada siapa yang suka berkongsi kasih. Namun sebagai wanita dan yang beragama Islam mereka `terpaksa’ menerima hidup berpoligami kerana ianya dibenarkan dalam agama. Mahu atau tidak mereka terpaksa menerima `takdir’ hidup yang telah ditentukan.

 Malangnya dalam kerelaan dan keikhlasan isteri membenarkan poligami ada segelintir suami yang mengambil kesempatan dan menyalahgunakan ` tiket’ menambah cawangan ini dengan alasan dibenarkan oleh agama. . Memetik ulasan Penasihat Majlis Agama Islam Johor, Datuk Nooh Gadut, dalam sebuah akhbar baru-baru ini beliau berkata “Hukum berkahwin terbahagi kepada lima iaitu wajib, sunat, harus, makruh dan haram. “Seandainya ketika bermonogami (berkahwin seorang) lagi lelaki itu telah menunjukkan ciri-ciri tidak adil dan tidak berkemampuan baik dari segi kewangan dan kesihatan, maka hukumnya untuk berkahwin lagi adalah haram,” Sementara itu Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria juga dalam akhbar yang sama menjelaskan bahawa, walaupun poligami dibenarkan dalam islam, namun ianya sering disalahgunakan oleh segelintir kaum lelaki. Golongan lelaki sepatutnya menilai kemampuan diri terlebih dahulu dan bukan berkahwin kerana nafsu semata-mata.

 Oleh yang demikian kata beliau apabila ini terjadi penceraian sering sahaja menjadi pilihan wanita daripada memilih untuk hidup bermadu. Beliau juga berkata Islam sebenarnya tidak menggalakkan poligami apatah lagi, penceraian. Mengulas isu poligami, dimana wanita muda lebih suka suami orang berbanding lelaki bujang pensyarah Saikologi, Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi MARA ( UiTM) Shah Alam, Mohamed Yaakob berkata berdasarkan konsep saikologi dan komunikasi, manusia hidup bersandarkan kepada beberapa keperluan. Antaranya keperluan asas, keperluan keselamatan dan keperluan sosial. Dalam hal ini, wanita muda yang sanggup bermadu ingin memenuhi keperluan yang tiga tadi, terutamanya keperluan keselamatan dan sosial. Mohamed juga berkata wanita muda apabila berjumpa suami orang, mereka lebih rasa selamat dan dapat memenuhi keperluan sosial mereka. Ini kerana lelaki yang sudah berkahwin lebih banyak pengalaman dalam memujuk rayu wanita muda dan bijak memenuhi kehendak keselamatan ( financial security) dengan pelbagai hadiah dan bijak menjalankan modus operandi untuk memikat hati wanita. 

Kebiasaannya lelaki yang sudah berkahwin dan kukuh kedudukannya bijak memikat hati wanita muda. Mereka bukan sahaja bijak bercakap, memujuk rayu dan bersikap gentlemen, sentimental, malah bersikap penyabar, mempunyai ketrampilan dan berkarisma tinggi yang menjadi idaman wanita muda. Berbanding lelaki bujang yang baru tamat pengajian, dan baru bekerja, kedudukan ekonomi mereka juga belum kukuh dan jika dikaji dari sikap pula, ramai lelaki bujang kurang arif mengenai cara2 memikat wanita. Ada lelaki bujang yang tidak berkeyakinan dalam menjalinkan hubungan. Mereka kurang memahami kehendak wanita muda kerana mereka sama-sama muda dan kurang pengalaman. Ini menyebabkan hubungan mereka sering mengalami konflik Menurut Mohamed lagi, wanita muda suka dipujuk rayu dan suka lelaki yang penyabar. Sedangkan lelaki bujang adakalanya tidak memahami kehendak wanita muda dan sikap tidak penyabar lelaki bujang kadangkala membuatkan wanita muda lebih suka berhubungan dengan suami orang yang lebih penyayang dan pandai memujuk rayu dan bijak `mengayat’ istilah anak2 muda sekarang .

 Beliau juga menambah manusia memerlukan keseronokan sensory, istilah dalam saikologi yang merujuk kepada mendapat kepuasan hidup dan keseronokan ( pleasure in life) Bagi lelaki yang sudah berkahwin dan ada yang sudah meningkat usia, keseronokan sensory ini amat penting dalam hidup mereka. Mereka mahu satu keseronokan sebagai pelarian kepada kebosanan yang sedang mereka alami. Umpamanya jika isteri sudah meningkat usia, mereka sudah tidak lagi seperti zaman muda. Wanita meningkat usia melalui fasa monopause dan adakalanya malu untuk berjalan dan bermesra dengan suami dengan alasan sudah masuk usia senja. Namun kata Mohamed wanita sering salah tafsir kehendak lelaki kerana kaum Adam ini semakin mereka tua mereka memerlukan kasih sayang dan belaian dari isteri. Hormon testeron (sex) dalam diri lelaki sentiasa ada berbanding wanita yang perlu di rangsang. 

Oleh yang demikian menurut Mohamed, jika kaum Adam ini dibiarkan dalam dahaga kasih sayang, tidak mustahil para suami seumpama ini mencari belaian dan kasih sayang dari wanita muda yang sentiasa suka dibelai dan dimanja. Ini kata Mohamed lagi mungkin sebahagian daripada faktor mengapa wanita muda suka lelaki yang sudah berkahwin Walau bagaimanapun, Mohamed menegaskan bahawa, lelaki yang sudah berkahwin dan ingin menambah cawangan dengan berkahwin wanita muda sebenarnya lebih kepada `lapar mata’. Beliau menjelaskan bahawa istilah lapar mata ini merujuk kepada keinginan yang membuak-buak sebelum mendapatnya tetapi apabila sudah memiliki ianya hanya boleh dipandang sahaja kerana adakalanya kemampuan mereka terhad samada dari segi zahir mahupun batin. 

 Jika ini berlaku tidak mustahil konflik dan perceraian bakal terjadi. Namun begitu, Mohamed menjelaskan bahawa, tidak semua lelaki bersikap sedemikian. Kebanyakan lelaki lebih mementingkan keharmonian keluarga dan menjaga hati isteri yang dinikahinya berpuluh tahun lamanya. Bagi Mohamed, lelaki yang suka kawin dan cerai serta banyak menambah cawangan tidak peka pada perasaan isteri mereka juga tidak mempunyai sikap empathy ( memahami perasaan orang lain dalam hal ini isteri sendiri). Mereka lebih mementingkan diri sendiri dan keseronokan diri. Ada kes suami yang suka kahwin cerai, menyebabkan dia dibenci keluarga terutama anak-anak. Apabila usia tua dan tiada siapa yang peduli mereka menyalahkan anak-anak dan isteri sedangkan sewaktu sihatnya dia lupa tanggungjawab pada anak-anak dan isteri kerana terlalu asyik mencari keseronokan diri. Begitu juga bagi yang berkahwin ramai, adakalanya nafkah anak2 dan isteri2 tidak mencukupi dan lebih menyedihkan ada suami yang menyuruh isteri menyara kehidupan mereka sendiri sedangkan suami berseronok dan tenggelam dalam kehidupan tanpa tanggungjawab. 

 Bagi Mohamed, bukan mudah menjadi ketua keluarga, lebih-lebih lagi mereka yang mempunyai lebih dari satu isteri. Mereka ini bukan sahaja perlu stabil dan kukuh dari segi ekonomi, kesihatan dan mental, tetapi juga harus mempunyai pegangan agama yang baik dan boleh membimbing isteri2 dan anak-anak. Berkahwin memang nampak seronok tetapi tanggungjawab yang perlu digalas juga berganda sebagaimana bertambanhnya isteri dan anak2. Senario kekeluargaan masa kini menurut Mohamed amat menyedihkan kerana banyak kes yang dipaparkan dalam media mengenai sikap tidak bertanggungjawab suami dan ayah yang menyebabkan anak-anak dan isteri menjadi mangsa keadaan. Ada juga kes kesibukan terlampau kedua ibubapa mencari rezeki menyebabkan anak2 terbiar dan terjerumus dalam masalah sosial. 

Beliau menambah masyarakat perlu didedahkan kepada ilmu atau pendidikan kekeluargaan dan dengan pendidikan berkenaan ianya boleh membimbing dan mencorak institusi kekeluargaan yang lebih berkualiti selain melahirkan masyarakat yang dapat menuju kearah kesejahteraan secara total.. Justru kepada semua para suami dan kaum bapa diluar sana, menjadi nakhoda untuk sebuah kapal sudah terlalu sukar kerana kehidupan ini sering dilanda ombak dan badai kehidupan. Inikan pula mahu mengemudi dua atau tiga kapal pada waktu yang sama. Mungkin berkahwin lebih dari satu adalah sunnah Nabi, tetapi bolehkah para suami bersikap adil seperti Nabi. 

Bagi wanita muda, tidak salah berkongsi kasih, tetapi haruslah diingat jika anda berada ditempat isteri yang terpaksa dimadukan, janganlah mencari kebahagiaan diatas penderitaan wanita lain. Mereka mungkin nampak redha tetapi didalam hati Allah sahaja yang tahu. Sebenarnya masih ramai lelaki bujang yang berkualiti dan boleh menjadi suami yang baik jika di beri peluang. Seperti kata pepatah dari Indonesia ini, suami adalah orang yang mencari kebahagiaan hidup dengan menghilangkan sebahagiaan daripada kemerdekaannya. Itulah sebenarnya suami dan ayah yang terbaik. Selamat Hari Bapa buat semua yang bergelar Bapa.


 Tamat....

Thursday, December 9, 2010

Kisah dan Pengajaran di Rumah Orang-orang Tua

Oleh: Hariyati Ariffin Masyarakat masa kini semakin luntur kemanusiaannya. Saban hari ada saja berita yang dilaporkan di media mengenai kisah penderaan suami terhadap isteri, kes isteri yang derhaka, penganiayaan terhadap anak-anak, pembuangan bayi, pengabaian ibubapa yang tua dan pelbagai kisah sadis, kejam dan sedih yang jelas menggambarkan senario masyarakat yang semakin tipis nilai murni, luntur kasih sayang dan hilang rasa kemanusiaan. Ungkapan `what you give is what you get’ atau setiap perbuatan ada balasannya membuka mata dan hati kita mengenai kesan terhadap perbuatan seseorang apabila dia tua nanti. Ada kes ayah dan ibu yang asyik berkahwin dan cerai beberapa kali sehingga anak-anak tidak mendapat kasih sayang dan terpaksa mencari haluan sendiri dalam kehidupan. Ada juga kisah ibubapa yang zalim dan mendera mental dan fizikal anak-anak dan mengabaikan hak anak2 sehingga hidup mereka terabai dari kecil sampai usia dewasa. Ibubapa memegang amanah paling besar dari Allah agar mencorakkan masa depan anak-anak. Namun jika ibubapa ingkar menunaikan amanah yang dipertanggungjawabkan mereka harus menerima karma yang telah menanti mereka. Kisah dan tauladan ini banyak terdapat di rumah orang-orang tua yang seharusnya di jadikan panduan kepada masyarakat kerana kita tidak selamanya menjadi muda, kaya dan sihat. Benar seperti kata pepatah ini, ingat sihat sebelum sakit, muda sebelum tua, kaya sebelum miskin, lapang sebelum sempit dan hidup sebelum mati. Kewujudan dan pertambahan rumah orang-orang tua dinegara kita jelas menggambarkan kesan kehidupan masyarakat khususnya di alaf 21 ini apabila kita tua nanti. Dalam satu kajian yang dibuat Jabatan Kebajikan Masyarakat, warga emas berbangsa melayu adalah yang paling ramai menghuni 11 rumah orang2 tua dibawah seliaan JKM. Selain itu rumah perlindungan orang-orang tua persendirian juga mempunyai penghuni Melayu yang agak ramai. Dalam kaitan yang sama, Timbalan Penguasa Rumah Orang-orang Tua Seri Kenangan Cheng Melaka, Mohd Emran Abdul Salam, memberitahu penghuni rumah berkenaan ialah seramai 236 orang dan orang Melayu adalah majoriti penghuni disitu. Beliau juga menjelaskan orang-orang tua yang dimasukkan dirumah berkenaan mempunyai pelbagai latar belakang dan kisah hidup mereka sendiri. Mohd Emran telah mengkategorikan kemasukan orang-orang tua ke rumah berkenaan dibawah beberapa faktor. Antaranya faktor sikap mereka sendiri sebagai ibubapa yang gagal mendidik anak-anak dengan baik sehingga menyebabkan anak-anak menghantar kedua ibubapa disitu. Ada ibubapa yang terlalu mementingkan diri sendiri. Mereka terlalu sibuk dengan pekerjaan dan kononnya mencari rezeki untuk anak-anak tetapi pada hakikatnya anak-anak terbiar dan membesar dalam suasana dan persekitaran tanpa perhatian dan kasih sayang. Anak-anak yang kurang kasih sayang ini akan membesar seperti mana dicorakkan ibubapa mereka. Akhirnya apabila ibubapa sudah uzur dan tua mereka pula yang mengabaikan kedua ibubapa dengan menghantar mereka ke rumah orang-orang tua dengan alasan mereka juga sibuk dan punya keluarga sendiri. Jika ini berlaku siapakah yang harus dipersalahkan? Faktor kedua pula ialah sikap anak-anak yang kurang menghargai jasa ibu bapa dan terlalu mengejar kemewahan dan kebendaan sehingga terlupa bahawa restu ibubapa adalah penting dalam melakukan setiap perkara. Paling menyedihkan kerana berpangkat tinggi dan mempunyai kedudukan dalam masyarakat mereka sudah tidak mempunyai masa melawat atau meluangkan masa untuk ibubapa kerana terlalu sibuk dan risau masa yang di habiskan bersama ibubapa merugikan mereka mereka. Selain itu ada juga diantara anak-anak penghuni disitu tidak mahu menjaga orang tua mereka kerana desakan dari pasangan seperti keengganan isteri atau suami menerima ibubapa mereka serta desakan hidup seperti masalah kewangan. Faktor seterusnya ialah mengenai peribadi penghuni itu sendiri, umpamanya kehidupan masa lalu yang kurang baik seperti penagih dadah, bekas banduan, pekerja sosial dan masalah peribadi yang lain. Mereka yang pernah terlibat dengan gejala kurang sihat akan terpinggir apabila tua kerana, kehidupan masa lalu telah mengasingkan mereka dengan ahli keluarga dan seterusnya menyebabkan mereka terpaksa mengharungi kehidupan bersaorangan kerana keluarga tidak lagi memperdulikan mereka akibat perbuatan masa lalu. Menurut Mohd Ehsan lagi, faktor orang bujang yang tidak mempunyai waris atau pasangan untuk menjaga mereka menyebabkan mereka mencari tempat perlindungan dan penjagaan masa tua. Di RSK Cheng terdapat kira-kira 25 peratus penghuninya yang masih bujang dan tinggal disitu. Ramai dikalangan penghuni yang masih bujang sampai ke usia emas ini menjadi penghuni disitu kerana mereka dapat berinteraksi dengan kawan-kawan yang senasib serta dapat menghabiskan waktu tua dengan lebih berfaedah. Selain itu ada juga kes ibubapa yang merajuk dengan anak2 dan keluarga dan membawa diri untuk tinggal dirumah berkenaan. Hati orang tua mudah terguris dan mereka merasakan kehadiran dirumah anak-anak menyusahkan mereka dan akhirnya membawa diri ke RSK untuk mencari ketenangan. Bagi kes ibubapa yang merajuk biasanya anak-anak akan datang dan berjaya memujuk mereka kembali kepangkuan keluarga. Akhir sekali faktor ekonomi yang menjadi alasan lazim bagi anak-anak menghantar ibubapa kerumah berkenaan. Ramai anak-anak yang menghantar ibubapa di rumah berkenaan memberi alasan kedudukan ekonomi yang tidak kukuh menyebabkan mereka tidak boleh menyara ibubapa. Alasan ini sememangnya amat tidak kukuh dan agak memalukan. Jika sewaktu kecil ibubapa boleh menyara 10 anak dengan pendapatan RM 500. Anak-anak sekarang yang berpendapatan RM 5,000 mengeloh kerana pendapatan sebanyak itu tidak cukup menjaga seorang ibu atau ayah. Emran juga berkata selama menjadi penguasa di rumah orang-orang tua beliau berhadapan dengan pelbagai kes dan kisah menyayat hati yang harus dijadikan panduan masyarakat masa kini untuk lebih prihatin dalam menjaga kedua ibubapa mereka. Bagi anak-anak yang masih mempunyai ibubapa seharusnya mereka menjaga ibubapa dengan baik kerana orang tua mempunyai sifat yang terlalu sensitif dan perlukan belaian dan kasih sayang dari anak-anak dan keluarga. Bagi yang mampu menjaga kedua ibubapa beliau nasihatkan menjaga mereka selagi ibubapa masih ada usia. Dirumah berkenaan walaupun kakitangannya cukup dan keperluan fizikal seperti makan dan pakai di lengkapi namun penghuni disitu perlukan belaian dan kasih sayang anak-anak dan cucu untuk mereka mengisi masa yang masih tersisa dalam hidup ini. Kepada ibubapa masa kini pula beliau menasihatkan agar tidak mengabaikan anak-anak kerana mereka akan tua suatu hari nanti dan memerlukan anak-anak untuk menjaga mereka. Kehidupan yang terlalu mengejar kebendaan dan status dalam hidup tidak menjamin apa-apa apbila tua nanti. Anak-anak adalah harta yang tidak ternilai dianugerahkan Allah kepada kita. Jika baik dan bijak mendidik mereka insyaAllah mereka akn membalas jasa akedua ibubapa. Sementara itu, pengasas dan Pengetua rumah oran-orang tua Al Ikhlas Puchong Selangor, Muji Sulaiman pula berkata kisah hidup penghuni dirumah yang dihantar ahli keluarga membuatkan kita terfikir betapa kehidupan masyarakat masa kini terlalu jauh berbeza dengan zaman dulu. Jika dulu ibubapa yang tua adalah tanggungjawab anak-anak tidak kira mereka miskin atau kaya, namun sekarang masyarakat mengambil jalan mudah menghantar ibubapa kerumah orang tua atas alasan tiada masa dan kekangan ekonomi. Jika anak-anak kaya pula mereka lebih rela membayar sejumlah wang yang banyak kepada pusat jagaan orang tua daripada menjaga dan menguruskan ibubapa sendiri. Alasan yang sering diberi ialah kesuntukan masa dan terlalu sibuk dengan pekerjaan sehingga tidak ada masa untuk menjenguk mahupun menjaga ibu dan ayah. Namun menurut Muji lagi disebalik itu, ada kisah tersirat yang membawa mereka kesitu. Penghuni disitu yang rata-ratanya beragama Islam mempunyai kisah tersendiri sehingga mereka terlantar disitu. Antaranya termasuk kehidupan masa lalu penghuni disitu yang menjadi faktor utama mereka menginap dirumah berkenaan. Ada anak-anak yang menghantar ibu dan ayah kesitu kerana kecewa dengan sikap ibubapa mereka yang sewaktu mudanya lebih mementingkan diri sendiri. Ada juga kisah ayah dan ibu yang berkahwin banyak sehingga anak-anak yang pernah terbiar menghantar mereka kesitu dengan alasan masa muda mereka tak ingat anak-anak dah tua barulah memerlukan anak-anak. Tidak kurang kisah kezaliman anak-anak yang meninggalkan ibubapa dihospital tanpa dituntut sekian lama dan menyebabkan Muji mengambil mereka untuk tinggal disitu. Namun paling banyak adalah kes tidak ada siapa yang boleh menjaga ibubapa yang tua kerana kesibukan bekerja dan masalah ekonomi. Walau apapun menurut Muji lagi, beliau menasihatkan anak-anak agar melupakan kisah silam dan menjaga kedua ibubapa mereka yang tua dengan penuh kasih sayang. Beliau juga berkata keberkatan menjaga kedua ibubapa yang sudah tua dan uzur akan dapat dirasai mereka yang tabah dan sabar. Semua agama didunia menekankan mengenai rasa hormat dan kasih sayang kepada kedua ibubapa . Islam juga menggariskan panduan menjaga ibubapa dan balasan syurga bagi mereka yang berbuat baik kepada kedua ibubapa. Sememangnya bukan mudah menjaga kedua ibubpa yang telah uzur dan sakit. Jika kita memberi contoh yang baik kepada anak-anak kita dengan menjaga orang tua kita insyaAllah mereka juga akan menjaga kita suatu hari nanti. Pesanan kepada mereka yang mungkin lupa bahawa kita tidak sentiasa muda dan kaya serta sihat, tanggungjawab yang diamanahkan Allah amat penting untuk kita laksanakan. Bagi ibubapa yang sentiasa sibuk dan terlalu mengejar kebendaan dan status, luangkan sedikit masa untuk anak-anak yang memerlukan perhatian dan kasih sayang. Bagi anak-anak pula janganlah abaikan tanggungjawab terhadap kedua ibubapa yang tua dan uzur hanya kerana kita terlalu sibuk dengan pekerjaan. Kasihanilah ibubapa kita kerana mereka amat memerlukan perhatian dan kasih sayang untuk mengisi usia yang tersisa dalam hidup mereka. Lupakan apa juga kisah silam mereka, kerana kita juga tidak tahu apa nasib kita apabila kita seusia mereka kelak. Ingatlah bahawa hidup ini satu putaran. Hari ini kita perlakukan pada ibubapa kita , tidak mustahil hari esok anak-anak kita lakukan perkara yang sama keatas kita. Jelaslah ungkapan ` What goes around comes around ' menggambarkan hukuman Allah terhadap setiap perbuatan. Tamat.

Friday, November 19, 2010

Wanita dan Penderaan Mental

Wanita menderita dalam diam Oleh Hariyati Ariffin 2010/09/22 Sanggup mengorbankan hidup kerana tidak peka terhadap hak sebenar BENARKAH ungkapan `lelaki memberi cinta untuk mendapatkan seks, wanita pula memberi seks untuk mendapatkan cinta’? Tidak dapat dinyatakan dengan pasti kesahihan ungkapan itu, namun, banyak contoh menunjukkan kebanyakan wanita bersikap sedemikian sehingga ada ketikanya, keadaan itu mendedahkan mereka menjadikan mangsa keganasan lelaki, baik suami, teman lelaki mahu pun rakan. Sikap lembut, penyabar dan sering beralah wanita menyebabkan mereka terpaksa menderita dalam diam kerana tidak mahu dianggap derhaka dan tidak setia kepada pasangan. Malah, ada wanita sanggup mengorbankan hidup dan keluarganya kerana tidak mahu melanggar adat dan agama. Berdasarkan fakta itu, ia mungkin juga antara penyebab mengapa kes keganasan terhadap wanita kini semakin serius. Saban hari, ada saja kes keganasan terhadap wanita dipaparkan media. Statistik Jabatan Pembangunan Wanita mencatatkan kes keganasan wanita yang mendapat perkhidmatan kaunseling pada 2008 ialah 957 kes. Jumlah itu meningkat kepada 1,633 pada 2009 dan dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini, 1,008 kes sudah dilaporkan. Perkara ini harus diberi perhatian. Wanita harus diberi pendidikan dan kesedaran sewajarnya mengenai hak mereka. Berikutan itu, satu seminar Literasi Undang-undang Menangani Masalah Keganasan Terhadap Wanita dianjurkan Jabatan Pembangunan Wanita dan Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media Universiti Teknologi Mara (UiTM). Ketua Pengarah Jabatan Pembangunan Wanita, Wan Hasmah Wan Mohd, berkata peningkatan statistik mengenai kes penderaan terhadap wanita mencerminkan mereka masih belum peka mengenai hak sebagai wanita yang dilindungi. Beliau berkata, wanita perlu sedar mereka mempunyai hak mempertahankan diri dari segi undang-undang jika didera. “Didera suami sekali pun, keadaan itu perlu dibawa ke muka pengadilan. Jika mereka tidak bertindak, dikhuatiri gejala penderaan terus berleluasa hingga menyebabkan mereka diperlakukan sesuka hati. “Senario ini amat menyedihkan kerana wanita masa kini adalah tunggak pembangunan negara. Jika isu ini tidak dibendung, negara akan rugi kerana tenaga dan kepakaran wanita amat diperlukan bagi membangunkan ekonomi dan pembangunan modal insan,” katanya. Seminar seperti ini, kata Wan Hasmah, memberi penjelasan kepada peserta mengenai hak, pengetahuan, keyakinan dan kesedaran mengenai undang-undang apabila berdepan situasi tertentu seperti perkahwinan, perceraian, nafkah, gangguan seksual, rogol, cabul, pembuangan bayi dan eksploitasi oleh orang yang tidak bertanggungjawab. Ketika mengulas isu berkaitan, seorang peguam, Tengku Naufal Tengku Mansor, berkata keganasan terhadap wanita adalah jenayah dan pencabulan hak asasi terhadap mereka. Beliau berkata, penderaan juga adalah bentuk keganasan wanita bukan saja dalam bentuk fizikal tetapi emosi dan psikologi, lazimnya dilakukan lelaki yang menganggap wanita tidak setaraf dan lemah. Keganasan terhadap wanita, katanya, sudah menjadi isu global, tidak mengira golongan mahu pun taraf hidup. Tengku Naufal berkata, bagi kategori penderaan fizikal, wanita sering dikasari dengan pelbagai cara menyakitkan antaranya, dipukul, ditoreh hingga nyawa mereka terancam. Malah, katanya, usaha menghalang keperluan manusia seperti makan, minum, tidur dan mendapat perlindungan juga termasuk dalam kategori penderaan fizikal. “Penderaan fizikal yang boleh mencederakan ini jelas melanggar hak asasi manusia. Perbuatan seumpama ini boleh dihukum. Kecederaan seumpama itu pastinya dapat dilihat. Bagaimana pula dengan penderaan emosi, tanpa disedari penderaan sedemikian menyebabkan mangsa berada dalam keadaan trauma dan sentiasa murung dan boleh menyebabkan gangguan mental,” katanya. Lazimnya penderaan seperti itu, kata Tengku Naufal, berlaku dalam bentuk ugutan, tengking, herdik, cacian dan hinaan. Penderaan ini menjejaskan nilai harga diri seorang wanita. Keadaan berlarutan hinggakan mangsa mengalami perasaan rendah diri. Jika isteri mengalami keadaan sedemikian, mangsa, kata beliau, tidak boleh berfungsi dengan baik sebagai seorang isteri dan ibu kepada keluarganya. Jika dia berkerjaya dan memegang jawatan tinggi dalam sesebuah organisasi, pasti produktivitinya terjejas. Selain penderaan fizikal, emosi dan psikologi, katanya, wanita juga terdedah kepada penderaan dan gangguan seksual. Gangguan sedemikian adalah perilaku atau pendekatan berkaitan seks tidak diingini. Ia termasuk permintaan melakukan seks dan perilaku lainnya yang secara verbal atau fizikal merujuk kepada seks. Menurut Tengku Naufal lagi, dalam gangguan seksual, 10 peratus datangnya daripada ancaman, 10 peratus lagi intonasi (nada suara), iaitu gangguan berbentuk perkataan lucah, pujian berbaur seks dan perkataan yang boleh menjatuhkan maruah wanita manakala 80 peratus perbuatan atau non-verbal atau isyarat iaitu menjelirkan lidah, bermain mata, isyarat tangan, pandangan dan kerlingan. Dalam zaman serba canggih kini, beliau berkata, gangguan boleh disebarkan dalam bentuk penghantaran visual lucah dan mesej berbaur seks serta ajakan seks menerusi telefon. Gangguan seksual memberi kesan langsung kepada status pekerjaan wanita, sama ada untung atau rugi, kenaikan atau penurunan pangkat. Biasanya perkara ini berlaku daripada pihak atasan kepada pekerja. Umpamanya rasuah seks, jika pekerja bawahan inginkan kenaikan pangkat mereka perlu memuaskan nafsu majikan mereka dan mengikut arahan yang bertentangan dengan etika kehidupan. Dalam membendung isu keganasan itu, Tengku Naufal berkata, kerajaan menyediakan peruntukan khas mengikut undang-undang yang membela wanita daripada terus dianiaya. Beberapa akta digubal bagi membela nasib wanita dan memberikan mereka peluang mengecapi kehidupan dengan lebih tenteram dan tenang. Kanun keseksaan Seksyen 509 ada menyebut sesiapa yang melakukan keganasan atau jenayah kepada wanita akan dikenakan tindakan mengikut kanun keseksaan berkenaan. “Sudah tidak masanya kaum wanita bangkit dan memperjuangkan hak mereka. Bangun dari mimpi negeri dan sedar hak mereka dilindungi. Wanita adalah tunggak masa depan negara. Meskipun wanita lembut, mereka bukan lemah,” katanya. ________________________________________

Perkahwinan dan Perceraian

Harian Metro ( 20 November 2010) Minda: Apabila Pasangan Mula Buat Hal Oleh: Hariyati Ariffin KATA orang ‘perkahwinan itu satu perjudian’. Ada kalanya kita menang dan ada kalanya kita kalah dalam melayari bahtera berumah tangga. Jika sebelum berkahwin banyak perkara mengenai pasangan kita yang kita tidak ketahui, tetapi apabila sudah serumah dan berkongsi semua perkara, barulah terserlah baik buruknya. Ada yang berkata mengapa pasangan mereka tidak boleh menjadi seperti waktu bercinta, semuanya indah, semuanya boleh dan semuanya mudah. Namun, alam perkahwinan membuktikan bahawa keindahan zaman bercinta hanya fantasi dan realiti sebenarnya baru diketahui sewaktu melayari alam berumah tangga. Semakin bertambah usia perkahwinan semakin banyak masalah yang terpaksa ditanggung pasangan berkahwin. Justeru, jika tidak sabar dan tidak boleh berkompromi, perceraian adalah jalan keluar kemelut rumah tangga mereka. Dalam kaitan yang sama, kajian Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) pada 2008 mendapati perkahwinan dalam tempoh 10 tahun pertama terdedah kepada keruntuhan rumah tangga sekiranya tiada kesabaran. Dalam tempoh berkenaan, perkahwinan menghadapi cabaran hebat seperti berlaku konflik dalam rumah tangga sehingga mencetuskan perceraian. Menurut Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) Jakim, Othman Mustapha, kajian Jakim menunjukkan 44.9 peratus perceraian berpunca daripada pasangan gagal menjalankan tanggungjawab masing-masing selain masalah akhlak, kewangan, masalah seksual dan campur tangan orang ketiga. Selain itu, Jakim juga merekodkan bahawa statistik perceraian di seluruh Malaysia semakin meningkat dari setahun ke setahun. Pada 2007, kes perceraian direkodkan 20,529, pada 2008 (22,289 kes) dan 2009 (27,116 kes). Jakim juga ada membuat kajian bahawa 32.2 peratus perkahwinan untuk tempoh lima tahun pertama mengalami perceraian manakala 27.7 peratus perceraian berlaku untuk tempoh enam hingga 10 tahun pertama perkahwinan. Penulis juga ada membuat kajian mengenai konflik perkahwinan dalam masyarakat Melayu dari sudut komunikasi dan mendapati tahun pertama dan kedua adalah tahun berbulan madu dan pasangan merasakan ia satu tempoh bahagia bagi mereka. Namun, apabila masuk tahun kedua dan anak-anak mula lahir dan ditambah dengan masalah kewangan dan kesempitan masa untuk diri sendiri dan keluarga, ia mula menggoyahkan kebahagiaan rumah tangga. Ada suami dan isteri mula bosan jika pasangan tidak mahu bekerjasama dalam rumah tangga. Masing-masing mula mementingkan diri sendiri dan saling tidak puas hati antara satu sama lain. Masuk tahun seterusnya masing-masing sudah menunjukkan sikap sebenar dan ego mula memainkan peranan. Tahun ketiga hingga ke- lima perkahwinan, masing-masing sudah mengenali sikap sebenar pasangan. Bak kata orang sekarang ‘buruk baiknya dah ada dalam tangan, dah tahu semuanya’. Masa ini semua yang dibuat pasangan mula tidak kena. Buat itu salah, buat ini salah. Semua perkara sudah menyakitkan hati. Masuk tahun kelima dan seterusnya pasangan berkahwin mula diuji dengan pelbagai dugaan, umpamanya masalah dengan orang ketiga, masalah kebosanan, campur tangan keluarga dan kewangan. Masuk tahun kesepuluh, masing-masing sudah buat hal sendiri. Suami tidak kisah apa berlaku di rumah, manakala isteri buat tidak kisah pasal suami. Kasih sayang mulai luntur dan sekiranya kurang keimanan untuk menghadapi semua ini tidak mustahil akan berlaku perceraian. Perlu diingat perkahwinan adalah satu perkongsian hidup. Namun, apa yang berlaku zaman sekarang ialah sikap ego lelaki dan perempuan yang masing-masing tidak mahu mengalah sehingga memburukkan lagi keadaan. Akhirnya yang menjadi mangsa adalah anak-anak. Mereka tersepit dalam kemelut rumah tangga ibu bapa mereka. Apabila ini berlaku anak-anak juga mencari pelarian dengan terlibat dalam masalah sosial, ibu bapa di rumah asyik bergaduh manakala anak-anak terbiar tanpa pembelaan. Mereka menjadi sedih dan bingung. Dalam kajian penulis, ada suami mengatakan apabila isteri bergaji besar mereka mula melupakan tanggungjawab terhadap suami dan anak-anak serta rumah tangga. Makan pakai suami tidak dihiraukan lagi, rumah dibiarkan berselerak dan anak-anak tidak dijaga. Masa untuk suami juga sudah tidak ada berbanding masa bercinta dulu. Isteri merasakan sudah boleh berdikari dan tidak perlu harapkan suami, justeru mereka terlupa menunaikan tanggungjawab terhadap suami. Apabila suami bosan mereka mencari kasih di luar sebagai pelarian kepada masalah rumah tangga. Bagi pihak isteri pula mereka mengatakan suami zaman sekarang suka bergantung pada isteri. Mereka kerap ambil kesempatan terhadap isteri yang bekerja dengan tidak memberi nafkah. Alasan sering diberikan suami ialah wanita zaman sekarang bergaji lebih besar daripada lelaki jadi tidak salah isteri tanggung semuanya dan membayar segala keperluan hidup kerana perkahwinan pada hakikatnya satu perkongsian dan tidak salah jika lelaki menumpang kesenangan isteri. Ada juga sikap suami yang keterlaluan. Apabila isteri bergaji besar mereka letakkan segala tanggungjawab kepada isteri sedangkan mereka boleh berseronok di luar. Pada mulanya isteri masih boleh bersabar kerana perasaan kasih masih ada dan selalunya kerana anak-anak. Jika perangai suami tidak berubah sehingga masuk tahun ke-20, jangan terperanjat jika ada yang bercerai setelah berkahwin sekian lama. Sehubungan itu, perkahwinan adalah satu ikatan yang amat suci dan diberkati Allah. Memang tidak mudah melayari bahtera perkahwinan. Kesabaran, ketabahan dan kompromi amat penting dalam melalui kehidupan berumah tangga. Kes perceraian yang semakin meningkat di kalangan masyarakat kita akan memberi impak besar pada pembinaan jati diri masyarakat kita khususnya agama dan negara. Anak-anak yang menjadi mangsa perceraian akan berhadapan konflik kehidupan dalam diri. Bilangan mereka yang mengalami tekanan jiwa semakin meningkat dan laporan akhbar baru-baru ini mengenai statistik mereka yang sakit mental semakin bertambah, amat membimbangkan. Justeru, jika masyarakat terus memandang remeh pada masalah dan konflik perkahwinan, tidak mustahil kadar orang sakit mental semakin bertambah dan kerajaan perlu membina lebih banyak hospital bahagia demi menampung masyarakat seumpama ini. Bayangkan jika hampir 30,000 masyarakat kita berhadapan dengan masalah perceraian, apakah yang terjadi kepada nasib generasi masa depan kita, khususnya anak-anak? Bolehkah mereka menjadi pemimpin negara yang baik dan memimpin masyarakat jika kehidupan mereka sentiasa berada dalam dilema dan kucar-kacir? Masalah ini tidak lagi boleh dipandang remeh dan dikategorikan sebagai masalah keluarga saja. Apabila ia serius, masalah ini sudah menjadi masalah negara yang harus diberikan perhatian lebih terperinci dan ditangani dengan segera. Jika ingin masyarakat berkualiti, perkara seumpama ini harus menjadi agenda utama negara khususnya dalam hal pembinaan insan. Kita semua ingin hidup dalam aman damai dan sejahtera. Sama-samalah kita fikirkan untuk melahirkan masyarakat sejahtera dan negara makmur. > Penulis ialah Pensyarah Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media UiTM Shah Alam