Saturday, November 12, 2011
Pelajar Goda Pensyarah: Cara Mudah Lulus Cemerlang
Setelah tersiarnya artikel mama dalam Minda Harian Metro 12 November 2011, Mama menerima mesej dari beberapa rakan pensyarah dan teman didalam profession pendidikan yang mengatakan, Mama sepatutnya menulis pula mengenai pelajar yang bijak menggoda pensyarah untuk lulus cemerlang. Bukan sahaja terhad kepada pelajar perempuan yang cantik manis menggoda pensyarah lelaki yang tua mahupun muda, tetapi juga kes pelajar lelaki yang menggoda pensyarah wanita untuk tujuan yang sama.
Kes seumpama ini memang ada terjadi, tetapi seringkali pensyarah pula yang menjadi mangsa keadaan. Ada kes pensyarah wanita yang tidak berkahwin didekati pelajar lelaki yang bijak menggoda sehingga pensyarah ini bukan sahaja kehilangan maruah tetapi juga wang ringgit akibat terlalu menyayangi pelajar lelaki ini. Ada juga kes pelajar wanita yang pandai memujuk rayu, menggoda pensyarah bukan sahaja untuk mendapat markah tinggi tetapi juga mendapat barangan berharga seperti telefon dan pakaian berjenama mahal. Perkara seumpama ini pula biasanya berlaku keatas pensyarah yang sudah agak berumur dan pelajar wanita tersebut tergolong dalam kategori yang seksi dan berani melakukan apa saja demi markah cemerlang. Dua kes berkenaan adalah kisah benar yang pernah terjadi.
Sememangnya apa yang dipaparkan diatas terjadi kerana pensyarah juga manusia dan kerana tertipu dengan niat sebenar pelajar mereka menjadi mangsa keadaan. Tetapi sebagai pensyarah, mama berpendapat mereka ini (pensyarah) sebarusnya lebih bijak dan boleh menilai niat sebenar pelajar berkenaan. Adalah menyalahi etika seorang pendidik jika mempunyai sifat berat sebelah atau pilih kasih kerana ini akan menyebabkan pelajar yang lain bukan sahaja rasa teraniaya malah hilang mood untuk belajar. Mereka juga akan hilang rasa hormat kepada pensyarah berkenaan dan merasakan apa yang dipelajari selama ini amat tidak berguna.
Dalam hal yang berkaitan, kadangkala seorang pelajar itu bijak mempelajari kelemahan pensyarahnya. Ye lah...mereka tau pensyarah juga manusia yang mempunyai kelemahan masing-masing. Umpamanya jika seorang pensyarah itu sedang menghadapi masalah rumahtangga dengan isteri atau mempunyai masalah kurang perhatian, dia akan mudah jatuh kedalam perangkap pelajar manis yang manja dan bijak menggoda. Adakalanya pelajar ini bukan sahaja mahukan keputusan cemerlang dengan cara mudah tetapi juga menjadi penasihat peribadi pensyarah berkenaan selain dapat habuan lain seperti wang ringgit dan hadiah.
Sebagai manusia, amatlah sukar mengawal kehendak nafsu melainkan benteng keimanan seseorang itu amat kukuh. Ditambah pula pada zaman ini, fesyen dan cara berpakaian pelajar amat merangsang nafsu pensyarah dan mereka mampu berbuat apa sahaja sebagai seorang penggoda. walaupun etika berpakaian di kuat kuasakan di Universiti, adakalanya jika pelajar wanita berpakaian yang agak menjolok mata ianya tidak ditegur oleh pensyarah lelaki. Ada berpendapat pelajar yang cantik dan seksi adalah sebagai menjamu mata bagi pensyarah lelaki.
Sebagai seorang yang berpendidikan tinggi, tidak kira lah pensyarah atau pelajar , mereka semestinya sudah tahu membezakan apa yang baik dan buruk dalam kehidupan. Jika perangai menggoda ini dan cara mudah memperolehi kecemerlangan melalui sifat tidak eluk diteruskan, ianya bakal melahirkan graduan yang tidak berkualiti dari segi akhlak. Sebagai seorang yang berilmu, semestinya berakhlak menjadi gandingan mantap melahirkan cendikiawan berkualiti. Justru jika pensyarah dan pelajar sudah hilang pedoman dalam kehidupan, apa kah yang akan terjadi pada institusi pendidikan tinggi negara yang sentiasa berusaha melahirkan insan yang berimu dan berakhlak.
Jika mereka yang berperangai buruk ini dibenarkan terus berada di dalam institusi ini dengan selesa, apakah yang akan terjadi kepada bakal pendidik dan golongan cerdik pandai yang amat dipandang tinggi oleh masyarakat. Seharusnya perlu ada satu guideline yang lebih jelas dan tegas mengenai perlakuan di Universiti yang boleh membuat seseorang yang menceburi bidang pendidikan selain menjadi pelajar agar mengawal perkara seumpama ini menjadi barah dalam institusi pendidikan tinggi. Adakalanya perlakuan tidak senonoh pensyarah tidak dilaporkan kerana bimbang pihak Universiti menyebelahi pensyarah, begitu juga jika perlakuan tidak senonoh pelajar dilaporkan adakalanya mereka menggunakan kabel yang lebih besar untuk menjatuh kan institusi pendidikan tinggi berkenaan.
Banyak kekangan dan perkara yang tidak telus dalam hal ini. Sehubungan itu, sama-sama lah kita fikirkan kerana kita sebenarnya sudah semakin tipis nilai murni dan akhlak...tidak kira lah dalam kalangan mereka yang bukan berpendidikan tinggi atau yang berpendidikan tinggi dan berpangkat dalam masyarakat. Kronism, kedudukan, pakatan dan fahaman politik adalah kekangan paling besar untuk melaksanakan satu keadilan ....ini semua membuatkan masyarakat semakin takut untuk bertindak dan membiarkan apa juga yang berlaku berlalu begitu saja. Mereka takut untuk sama2 membenteras kerana bimbang disabitkan bersama dan secara tidak langsung mendapat tempias yang membuatkan hidup mereka juga tertekan...akhirnya kita menjadi masyarakat yang hanya mampu melihat...dan tidak mahu ambil kisah kerana bimbang kita juga akan menjadi mangsa akhirnya....
Tamat.
Perlakuan Sumbang Pensyarah
Ruangan Minda (Harian Metro)
12 November 2011
Waspada bahasa tubuh
Oleh Hariyati Ariffin
“SEBAB nila setitik rosak susu sebelanga”. Kisah pensyarah tidak bermoral sering mendapat perhatian umum, sekali gus menjadikan profesion berkenaan tercemar dengan perlakuan sumbang yang menyalahi etika.
Meskipun kes salah laku membabitkan pensyarah agak terpencil namun oleh kerana profesion berkenaan kerjaya yang dipandang mulia, ia menjadi perhatian masyarakat.
Baru-baru ini dua kes membabitkan salah laku pensyarah lelaki yang dikatakan merogol dan mencabul kehormatan pelajar perempuannya mendapat liputan akhbar.
Pada 29 0ktober lalu, Harian Metro melaporkan perbuatan seorang pensyarah sebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di Lembah Klang berusia lingkungan 50-an mencabul pelajar perempuan di bilik universiti berkenaan. Pensyarah terbabit didakwa memaksa pelajar berusia 23 tahun berkenaan melakukan aksi ‘ringan-ringan’ dengan mengumpan meluluskan pelajar itu dalam peperiksaan.
Enam hari selepas itu pada 3 November seorang pelajar perempuan sebuah kolej swasta pula dirogol pensyarah berusia 40-an di Kuala Lumpur. Pelajar perempuan kolej swasta itu didakwa diheret dari sebuah tempat letak kereta di Sentul sebelum dirogol pensyarah itu. Sebelum kejadian, pensyarah itu memperdaya mangsa untuk berjumpa di pejabatnya dengan alasan berbincang mengenai pelajaran.
Kedua-dua kes yang dilaporkan jelas membuka mata masyarakat bahawa walaupun ia kes terpencil namun tidak boleh dipandang remeh kerana sejak kebelakangan ini masalah salah laku tidak hanya membabitkan mereka yang tidak berpelajaran tetapi juga menular kepada golongan berpendidikan tinggi, berpangkat dan dipandang mulia masyarakat.
Jelaslah pangkat, ilmu dan kematangan seseorang bukan kayu pengukur kepada akhlak mulia. Bagaimanapun, masalah ini berpunca daripada banyak faktor.
Kaunselor di Pusat Kerjaya dan Kaunseling, Hal Ehwal Pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Dayang Suzana Awang berkata, masalah salah laku pensyarah tidak boleh dilihat dari satu sudut saja. Tidak dinafikan si pelaku sering dipersalahkan dalam hal ini. Secara logik akal seorang yang berilmu dan berpendidikan tinggi boleh membezakan antara perkara baik dan sebaliknya.
“Namun, dalam hal ini faktor persekitaran kadangkala turut memainkan peranan. Ia berlaku kerana ada kesempatan dan peluang selain masalah lain termasuk peribadi yang dialami pensyarah berkenaan. Biasanya sebelum perkara ini berlaku isyarat awal mungkin telah dikesan oleh pelajar mengenai pensyarah berkenaan,” katanya.
Menurutnya, perkara seumpama ini bukan berlaku sekelip mata, malah lazimnya sudah pun diberi isyarat awal. Umpamanya daripada perkataan, perbuatan dan bahasa tubuh yang dilakukan pensyarah berkenaan kepada pelajar adalah sebagai satu tanda yang dapat difahami mengenai niat seseorang itu.
“Kadangkala naluri juga dapat mengesan perasaan dan perbuatan yang dianggap tidak normal. Jika ini berlaku dan isyarat awal sudah dapat dikesan, pelajar seharusnya boleh mengagak bahawa pensyarah berkenaan ada niat tidak baik. Oleh yang demikian pelajar perlu lebih berhati-hati apabila berurusan dengannya.
“Jika pelajar mengabaikan isyarat awal berkenaan, persepsi pensyarah mungkin beranggapan pelajar menunjukkan rela dan ini mendorong perbuatan tidak bermoral pensyarah berkenaan. Pelajar juga dianggap bersetuju dengan isyarat dan makna tersirat yang diberikan oleh pensyarah. Seharusnya apabila pelajar dapat mengesan atau berasakan sesuatu yang tidak kena dengan pensyarah berkenaan mereka harus menghindarkan diri,” jelasnya.
Selain itu, Dayang Suzana juga menasihati pelajar agar berpakaian mengikut etika kerana jika pakaian menjolok mata juga antara faktor yang boleh merangsang seksual pensyarah lelaki untuk melakukan sesuatu di luar jangkaan. Dengan lambakan bahan porno di pasaran tidak mustahil pengaruh negatif itu menular kepada sesiapa juga tanpa mengira kedudukan dan pangkat.
Dengan itu beliau menasihatkan pelajar perempuan agar lebih berhati-hati apabila datang berjumpa pensyarah lelaki berseorangan. Adalah lebih baik datang dengan rakan apabila berurusan dengan pensyarah sebagai jalan selamat.
“Bagi mengelakkan perkara seumpama ini berlaku pelajar wanita perlu tahu hak mereka dan jangan kerana terlalu taksub untuk mendapatkan markah cemerlang hingga sanggup berbuat apa saja untuk pensyarah. Adakalanya pelajar tidak rasa bersalah kerana beranggapan pensyarah sebagai orang yang lebih tua dan boleh dianggap bapa, tetapi sebenarnya nafsu tidak mengenal usia dan pangkat. Oleh itu sebagai wanita mereka perlu lebih berhati-hati menjaga hak mereka daripada diceroboh,” tegasnya.
Menurut Dayang Suzana lagi, kes pelajar yang dicabul tanpa kerelaan hati, memang ada namun setengahnya berasa serba salah atau malu untuk membuat laporan kerana bimbang masa depan mereka terjejas jika digagalkan oleh pensyarah. Dalam hal ini beliau menasihatkan pelajar perempuan agar berani melaporkan kepada pihak atasan jika berlaku perkara tidak diingini terhadap mereka.
Beliau tidak menafikan ada juga kes pelajar yang merelakan perbuatan tidak bermoral pensyarah kerana mereka ingin berjaya dengan cara mudah. Pelajar seumpama ini akan menjadi graduan yang tidak berkualiti dan apabila menceburi bidang pekerjaan akan gagal menjadi pekerja yang baik, amanah dan bertanggungjawab.
Menurut beliau, situasi yang tidak sihat ini akan merosakkan masa depan negara kerana melahirkan graduan tidak berkualiti hingga menjadikan masyarakat kurang yakin kepada mereka yang berjawatan tinggi dan berilmu.
Sementara itu, Dr Zaridah Abdullah dari Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, UiTM Shah Alam pula menyifatkan pensyarah yang mencabul pelajar sebagai “pagar makan padi”. Sebagai pendidik mereka seharusnya menunjukkan contoh baik dan menganggap pelajar sebagai anak mereka.
“Pensyarah juga adalah sebagai pengganti ibu dan ayah kepada pelajar kerana di universiti pelajar lebih banyak berurusan dengan mereka dalam proses mendapat ilmu dan menimba pengalaman.
“Jelas menyalahi etika dan hak asasi kemanusiaan jika pensyarah yang diamanahkan oleh universiti dan ibu bapa untuk memberi ilmu berbuat sesuatu yang tidak bermoral kepada pelajar,” katanya.
Peranan pendidik dan pensyarah amat luas bukan saja setakat memberi ilmu tetapi juga bertanggungjawab menasihati pelajar jika mereka membuat kesilapan dan salah laku yang menyalahi undang-undang serta peraturan universiti dan peraturan hidup.
Zaridah berpendapat mungkin kes yang membabitkan salah laku pensyarah amat kecil namun kes seumpama ini tidak boleh dipandang ringan kerana jika tidak ditangani boleh menjejaskan bukan saja kehidupan individu yang terbabit tapi juga institusi pendidikan secara umumnya.
Ini juga, katanya, sebagai amaran kepada pensyarah dan pendidik bahawa amatlah penting menjaga tingkah laku dan menunjukkan contoh baik bagi meningkatkan lagi profesion mereka di mata masyarakat. Ia bertujuan memperkasakan profesion tenaga pengajar seterusnya memberikan keyakinan kepada masyarakat agar terus memartabatkan kerjaya di bidang pendidikan di negara kita.
Justeru, di sebalik kes terpencil yang membabitkan pensyarah, hakikatnya masih ramai pensyarah dan tenaga pengajar yang masih disanjung masyarakat. Apa yang mereka lakukan adalah contoh terbaik bagaimana profesion itu adalah satu kerjaya yang sangat mulia di mata masyarakat.
Di kawasan pedalaman, misalnya kita dapat melihat kegigihan guru yang tidak mengenal erti penat dan jemu menabur bakti memberi ilmu kepada anak bangsa. Mereka itulah serikandi negara yang tidak jemu berkorban untuk melahirkan generasi berilmu dan berakhlak. Mereka juga ibarat lilin yang membakar diri untuk menerangi orang lain.
Natijahnya “Janganlah kerana seekor kerbau membawa lumpur semuanya terpalit sama”. Sama-samalah kita membanteras perkara yang mungkar dan membangunkan anak bangsa dengan memberi sokongan kepada profesion pendidikan agar generasi akan datang dapat dibentuk menjadi masyarakat yang berkualiti sejajar dengan penerapan ilmu dan akhlak yang seimbang.
Penulis pensyarah
Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media,
UiTM Shah Alam
Friday, September 23, 2011
Komunikasi Dalam Senyuman.
Minda (HARIAN METRO):
Senyuman ikhlas ekspresi amat indah
Oleh Hariyati Ariffin
Oleh Hariyati Ariffin
PESAN orang tua-tua ‘cakap siang pandang-pandang, cakap malam dengar-dengar’ yang bermaksud kita perlu berhati-hati jika bercakap agar tidak menyentuh perasaan orang lain serta tidak menyakitkan hati orang yang mendengarnya.
Maksud dan pengertiannya amat mendalam khususnya dalam keberkesanan komunikasi seharian yang banyak membabitkan hubungan individu dengan individu yang lain serta masyarakat keseluruhannya.
Tidak dinafikan masalah dalam komunikasi seharian terlalu banyak antaranya, silap tafsir dan pengertian terhadap mesej yang hendak disampaikan, konflik yang berlaku antara rakan pejabat, konflik dalam keluarga, mengendalikan aduan dan rungutan tidak kira di rumah atau tempat lain.
Selain itu, berhadapan dengan orang yang bersikap autokratik dan sentiasa ‘hendak menang’ serta orang yang bersikap talam dua muka dan orang yang ego dan sukar menerima pendapat orang lain.
Ini adalah antara sebahagian masalah komunikasi dalam kehidupan manusia yang tidak pernah habis selagi kita bernyawa.
Proses komunikasi sentiasa berlaku dalam kehidupan kita. Malah, ada kajian yang mengatakan 80 peratus daripada masa sehari manusia digunakan untuk bercakap dan mendengar.
Pernahkah kita berhadapan dengan situasi berkomunikasi yang kurang menyenangkan seperti yang dinyatakan tadi?
Adakalanya masalah komunikasi mengganggu ketenangan hidup kita dan menambah tekanan terhadap hidup yang sudah sentiasa berdepan dengan pelbagai cabaran yang lain.
Masalah komunikasi juga menghilangkan keceriaan dalam hidup seseorang serta mendatangkan penyakit seperti kemurungan dan pengasingan diri daripada masyarakat atau antisosial.
Benarlah seperti kata sarjana komunikasi bahawa komunikasi adalah proses yang sangat rumit kerana halangan perhubungan seperti sikap, latar belakang, bahasa dan persekitaran sering menjadi punca utama konflik dalam hubungan dan ini mengganggu keharmonian hidup dan tugas kita seharian.
Menurut Sigmund Freud, komunikasi adalah kata-kata yang mempunyai kuasa sakti yang boleh membawa kegembiraan dan keputusan yang mendalam. Ia berupaya menimbulkan emosi yang mendalam dan menggerakkan tindakan manusia.
Berdasarkan itu amat jelas sekali bagaimana peranan komunikasi dapat mengubah banyak perkara dalam hidup seseorang.
Dalam kaitan yang sama kita mungkin pernah berhadapan dengan individu yang tidak tahu berbahasa dengan lembut dan setiap perkataannya terlalu menghiris perasaan sesiapa saja yang mendengarnya. Adakalanya bukan saja sindiran sinis dan kata-kata yang tajam keluar dari mulutnya, tetapi termasuk juga intonasi yang kurang menyenangkan halua telinga serta bahasa tubuh (body language) yang kurang sopan hingga menyebabkan ramai orang cuba menjauhkan diri daripada individu seumpama ini.
Tidak hairanlah ada pepatah Melayu yang mengatakan ‘sebab pulut santan binasa sebab mulut badan binasa.’
Pernahkah kita terfikir bagaimana mahu berhadapan dengan individu seumpama ini yang adakalanya membuatkan hidup kita menjadi sukar dan hilang keceriaan serta kesabaran?
Islam sendiri mempunyai garis panduan dalam berkomunikasi secara berhemah bertujuan menjaga keharmonian hidup bermasyarakat.
Malah, Nabi Muhammad s.a.w amat menggalakkan umatnya untuk bercakap dengan lemah-lembut serta berhemah. Orang yang tidak berhemah dalam berkomunikasi mungkin menghadapi masalah dalam diri mereka yang memerlukan bantuan rakan sepejabat dan orang yang rapat dengan mereka bagi membantu mereka menukar gaya komunikasi agar dapat menjalin interaksi yang baik dengan orang sekeliling.
Pejabat merupakan rumah kedua bagi mereka yang bekerja. Suasana pejabat yang tenang dan harmoni boleh meningkatkan prestasi kerja dan interaksi sosial bersama rakan setugas.
Justeru, ketika di pejabat adalah amat digalakkan berkomunikasi secara berhemah bagi melicinkan pentadbiran di tempat kerja selain membentuk hubungan mesra dan mewujudkan satu persekitaran pekerjaan yang kondusif dan mudah menjalankan tugas sebagai satu pasukan.
Banyak perkara asas dalam berkomunikasi yang boleh kita amalkan di pejabat bagi menceriakan suasana di tempat kerja selain dapat menjalankan tugas dengan penuh dedikasi dan ikhlas.
Umpamanya senyuman dan memberi salam adalah satu cara membuka jiwa dan perasaan sesiapa saja yang menerimanya. Ia juga satu tanda kita menghormati orang lain dan memperkasakan budaya murni kita. Dengan memberi senyuman ikhlas kita boleh membuat semua orang turut tersenyum kerana senyuman adalah bahasa universal yang menggambarkan keikhlasan hati kita.
Senyuman yang ikhlas adalah sesuatu yang terindah bagi siapa saja yang menerimanya, kerana senyuman merupakan ekspresi dari hati atas kesenangan atau kegembiraan yang dirasakan pemilik senyum itu sendiri.
Seperti kata Nabi senyum itu satu sedekah yang paling mudah, tetapi amat berharga.
Selain itu, menjadi pendengar yang baik dan aktif adalah satu lagi perkara yang dapat dipraktikkan dalam komunikasi berhemah bagi memupuk keharmonian di pejabat. Sebagai pendengar yang baik, kita dapat mencerna maklumat yang diterima dengan berkesan dan secara tidak langsung maklum balasnya akan menyebabkan kita lebih dipercayai dan disegani.
Dalam menjalin hubungan baik sesama rakan sekerja bersikap positif dan ikhlas dalam apa juga yang dilakukan di tempat kerja adalah amalan yang sangat terpuji.
Secara fitrahnya manusia tidak pernah puas dengan apa yang mereka ada dan miliki.
Maka tidak hairan mengapa adakalanya orang suka merungut dan tidak pernah puas dengan apa yang mereka ada serta suka mencari kesalahan orang lain.
Jika kita ikhlas dan berfikiran positif segala apa yang berlaku di pejabat dapat dihadapi dengan tenang.
Komunikasi berhemah juga dapat dipraktikkan di pejabat dengan bersifat empati dan memahami masalah orang lain.
Sikap seumpama ini membuatkan individu berkenaan mudah didekati kerana mereka memahami masalah orang lain dan tidak bersikap individualistik.
Ironisnya dengan perubahan gaya hidup dan cabaran dunia pekerjaan yang menduga kesabaran mungkin tidak salah jika kita kembali mengamalkan budaya murni dan mempraktikkan komunikasi berhemah seperti memberi senyuman, bersalam dan sentiasa memahami rakan sekerja dalam pergaulan seharian kita.
Seperti pesanan Luqman Al Hakim: “Layanlah orang kecil sesuai dengan kecilnya, layanlah orang besar sesuai dengan kedudukannya. Orang jahil berdasarkan kekurangan ilmunya dan orang alim berdasarkan kelebihannya.”
Dengan demikian berdasarkan persefahaman dan nilai murni yang dipupuk melalui komunikasi secara tidak langsung dapat meningkatkan produktiviti selain menjadikan suasana pejabat tempat paling kondusif mencari rezeki selain mendapat ketenangan.
# Penulis pensyarah UiTM
DASAR KELUARGA NEGARA : Benteng Hadapi Cabaran Sosial
Oleh Hariyati Ariffin
HARIAN METRO 25 OGOS 2011
HIDUP berkeluarga adalah budaya masyarakat kita dan tradisi itu masih diamalkan sejak dulu hingga kini. Slogan masyarakat sejahtera bermula daripada keluarga bahagia yang menunjukkan institusi kekeluargaan masih diutamakan dalam kehidupan bermasyarakat di negara ini. Justeru, unit keluarga memainkan peranan penting melahirkan modal insan berkualiti, seterusnya meneraju sebuah negara cemerlang dan gemilang.
Namun, tidak dinafikan institusi keluarga masa kini dilanda cabaran apabila media terus memaparkan konflik dan keganasan rumah tangga serta peningkatan pesakit mental yang melanda institusi keluarga.
Dengan erti kata lain perubahan sosial turut mengubah sistem nilai institusi kekeluargaan hingga menyebabkan budaya hidup berkeluarga seperti bertanggungjawab, berkasih sayang dan prihatin semakin terhakis dan dipandang sepi.
Senario ini tidak memeranjatkan kerana dengan kos sara hidup yang tinggi dan pendapatan rendah, khususnya bagi mereka tinggal di bandar serta pelbagai tekanan kehidupan lain mendorong masyarakat mengabaikan nilai kasih sayang dan luntur tanggungjawab terhadap ahli keluarga.
Tekanan demi tekanan yang melanda sistem kekeluargaan mendorong banyak masalah sosial yang secara tidak langsung memberi tempias kepada kerajaan dan masyarakat.
Apa yang dipaparkan di media membuatkan kita berfikir mengapa dan kenapa sistem kekeluargaan masyarakat kita semakin tenat dengan peningkatan kes pembuangan anak, perceraian, anak terbiar, keganasan rumah tangga, pengabaian warga emas dan banyak lagi masalah sosial yang berlaku.
Bagi masyarakat prihatin pasti mencari penyelesaian terhadap permasalahan ini dan apa yang dikehendaki oleh masyarakat ialah sistem kekeluargaan ini disuburkan kembali dengan dasar, undang-undang dan peraturan bagi menjamin kesejahteraan masyarakat dan negara. Sehubungan itu, baru-baru ini satu polisi baru yang dinamakan Dasar Keluarga Negara (DKN) diperkenalkan LPPKN sebagai langkah mengembalikan kesejahteraan institusi keluarga selain menjadi benteng kepada institusi itu menghadapi pelbagai cabaran sosial.
Berdasarkan DKN, konsep yang diperjuangkan berkaitan dengan kesejahteraan keluarga dan pelan tindakannya akan menangani tujuh isu utama dalam permasalahan dihadapi keluarga di negara ini.
Pengerusi LPPKN, Tan Sri Napsiah Omar dilaporkan berkata tujuh isu utama itu ialah demografi usia penduduk kurang seimbang, penurunan kesuburan penduduk, pertambahan bilangan isi rumah, senario perkahwinan membimbangkan, jenis keluarga masa kini, isu sosial dalam keluarga dan keluarga yang tidak bersepadu.
Menurutnya, DKN akan bertindak sebagai pemangkin dalam menggesa semua pihak berkaitan memfokuskan kepada 'perspektif keluarga' dalam setiap perancangan, strategi mahupun pembangunan yang bakal dilaksanakan.
Selain itu, LPPKN giat menjalankan siri jelajah seluruh negara bagi mempromosikan DKN melalui 15 program bual bicara bermula April hingga Disember 2011 yang membabitkan kerajaan negeri, sektor swasta dan masyarakat setempat.
Napsiah juga menyebut bagi memastikan DKN berjalan lancar, dua jawatankuasa khas akan dicadangkan ditubuhkan iaitu Majlis Penasihat Kesejahteraan Keluarga dan Jawatankuasa Teknikal DKN.
LPPKN juga akan mengumpul maklumat mengenai inisiatif mesra keluarga di tempat kerja, sama ada sektor awam mahupun swasta.
Sementara itu Ketua Pengarah Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara, Datuk Aminah Abd Rahman, dipetik daripada akhbar mengatakan DKN secara prinsipnya menggesa semua pihak mengutamakan perspektif keluarga secara konsisten dalam setiap usaha perancangan pembangunan negara.
Menerusi dasar ini, semua inisiatif yang mesra keluarga dan bersifat tersirat dapat diselaraskan demi kesejahteraan keluarga dan kestabilan sosial. Beliau juga memberitahu setiap aspek pembangunan yang hendak dilaksanakan mesti mengambil kira kepentingan keluarga.
Contohnya, jika dulu pemaju yang mahu membina pusat beli-belah tidak mengambil kira aspek keluarga, tetapi sekarang mereka mesti mengambil kira semua faktor itu.
Datuk Aminah juga menegaskan bahawa pihak berkenaan juga perlu menyediakan semua keperluan kerana istilah keluarga merangkumi orang tua, kanak-kanak, wanita dan orang kurang upaya (OKU).
Dalam aspek pekerjaan, katanya, majikan perlu mengambil kira penyediaan pusat penjagaan kanak-kanak, waktu kerja anjal, cuti kecemasan untuk menjaga anak sakit kerana ini semua merangkumi perspektif keluarga.
Jelaslah apa yang dinyatakan dalam DKN adalah satu langkah baik bagi mengembalikan semula kepentingan kekeluargaan dalam kehidupan masyarakat.
Ini usaha murni kerajaan untuk mengembalikan kasih sayang dan tanggungjawab terhadap keluarga.
Mudah-mudahan masyarakat kita akan kembali mengutamakan keluarga dan memiliki sistem nilai serta akhlak yang baik seperti sikap tolong menolong, mesra, bersopan dan prihatin terhadap masyarakat setempat.
Diharap juga dasar ini dapat menjadi benteng masalah sosial, sekali gus ruang rujuk jika berlaku permasalahan dalam keluarga.
Semoga usaha murni LPPKN mendapat sambutan daripada pelbagai pihak dan merealisasikan dasar berorientasikan kekeluargaan dan seterusnya melahirkan modal insan berkualiti dari segi rohani dan jasmani. Apa yang ingin disarankan ialah penekanan terhadap perancangan pembangunan negara yang berorientasikan kekeluargaan mesti dilaksanakan segera dan mendapat sokongan semua pihak.
Kerajaan dan pihak tertentu perlu lebih tegas dalam memperkenalkan undang-undang dan bertindak berhubung isu ini.
Janganlah nanti dasar hanya tinggal dasar dan rakyat kecewa kerana perubahan yang pada mulanya begitu gah dicanangkan, menjadi dingin di peringkat pelaksanaan.
Kita sudah mual membaca berita pembunuhan yang membabitkan ahli keluarga seperti anak sembelih ayah, cucu bunuh nenek dan sebagainya. Sayugia diingatkan keruntuhan institusi kekeluargaan ibarat barah yang memakan diri secara senyap, jika lambat tindakan dan pelaksanaan, akan runtuhlah tamadun dan hilanglah keutuhan tradisi kekeluargaan ditelan perubahan masa yang terlalu pantas berlalu. Penulis pensyarah UiTM Shah Alam
NAK SALAHKAN ANAK-ANAK KAH KALAU PERANGAI MAK BAPAK PUN TAK SENONOH
MINDA (HARIAN METRO)
Nak salahkan cupakkah...’
Oleh Hariyati Ariffin
24 SEPTEMBER 2011
BENARKAH masyarakat kita sudah ketandusan nilai murni dan kasih sayang? Walaupun sukar untuk dipastikan namun senario kekeluargaan masa kini kurang menggambarkan ciri-ciri murni yang harus dimiliki oleh sebuah masyarakat penyayang. Masalah sosial dan kepincangan yang melanda masyarakat kita dewasa ini jelas digambarkan di media massa.
Malah, hampir setiap hari berita mengenai keganasan rumah tangga, penderitaan anak dan isteri yang ditinggalkan dan didera suami, kezaliman anak terhadap ibu bapa serta persengketaan antara saudara mara sentiasa mengisi ruang di media. Konsep masyarakat penyayang terkandung dalam cabaran ketujuh Wawasan 2020 iaitu mewujudkan masyarakat penyayang dan budaya penyayang. Masyarakat penyayang adalah satu sistem sosial yang mementingkan masyarakat lebih daripada diri sendiri dengan kebajikan insan tidak berkisar pada negara atau orang perseorangan tetapi sekeliling keluarga yang kukuh. Dengan kata lain, masyarakat penyayang ialah masyarakat yang hidup bermuafakat dengan anggotanya yang mesra dan bertimbang rasa. Setiap orang saling faham-memahami dan hormat-menghormati iaitu yang muda menghormati yang tua dan yang tua mengasihi yang muda.
Berdasarkan konsep itu sememangnya untuk mewujudkan satu masyarakat penyayang bukanlah mudah dan ia memerlukan kesungguhan bukan saja di pihak yang berwajib tetapi yang penting ia harus bermula di rumah dalam sebuah unit asas sosial iaitu keluarga. Peranan keluarga amat penting sekali dalam melahirkan masyarakat penyayang. Ini kerana keluarga adalah komponen penting dalam proses pembentukan masyarakat dan sebuah negara. Dari sebuah keluarga yang bahagia dan harmoni akan lahirlah negara yang sejahtera dan makmur. Dalam hal ini ibu bapalah memainkan peranan penting mendidik anak-anak menjadi masyarakat yang mengamalkan nilai murni dan bertanggungjawab sekali gus melahirkan keluarga penyayang. Tepat sekali dengan hadis nabi yang mengatakan bahawa anak-anak itu ibarat kain putih, ibu bapalah yang mencorakkan mereka. Walaupun tidak dinafikan institusi sosial lain seperti media, persekitaran, sekolah dan rakan-rakan adalah ejen sosial yang mencorakkan peribadi seorang anak, namun peranan ibu bapa dikatakan lebih dominan untuk mencorakkan sikap dan menanamkan nilai murni dalam peribadi anak mereka.
Dalam kaitan yang sama sarjana dan ilmuan bersetuju pengaruh ibu bapa dan persekitaran rumah dapat membentuk peribadi anak yang baik. Mereka menyatakan anak yang dididik dengan sempurna oleh ibu bapa, bukan saja akan menjadi anggota masyarakat yang berguna tetapi akan mempunyai ikatan emosi dan sentimen yang kuat terhadap ibu dan bapa. Jelas sekali bahawa pengaruh ibu bapa dan rumah adalah komponen utama dalam melahirkan individu penyayang sekali gus melahirkan masyarakat penyayang.
Walaupun perubahan sosial begitu ketara melanda masyarakat kita masa kini, ia tidak bermakna ibu bapa boleh ‘lepas tangan’ terhadap pendidikan anak-anak. Ramai yang beranggapan sekolah adalah tempat anak mendapat pendidikan, tetapi pendidikan asas tetap bermula di rumah. Banyak perkara boleh dilakukan ibu bapa dalam menyemai rasa kasih dan sayang terhadap anak serta memberikan perhatian sewajarnya dalam pembentuk peribadi mulia mereka. Sebenarnya banyak perkara tidak diajar di sekolah, tetapi diperoleh di rumah dengan pemerhatian dan apa yang didedahkan oleh ibu bapa kepada anak-anak. Adakala anak-anak langsung tidak diajar mengenai budaya murni bersalam dengan orang lebih tua dan budaya bercakap dengan nada lembut dan bersopan. Begitu juga sikap tegur-menegur dan mengamalkan komunikasi berhemah. Adakalanya apabila kita menegur dan menyapa mereka, anak tidak ada tindak balas seolah-olah kita tidak wujud di depan mereka. Sikap dingin anak dalam hubungan masyarakat ini secara tidak langsung memaparkan sikap ibu bapa mereka. Mungkin di rumah ibu bapa jarang ada dan cara berkomunikasi berhemah tidak diterapkan oleh mereka. Oleh itu anak-anak merasakan untuk tidak menegur dan menjawab pertanyaan seseorang adalah satu yang bukan dikira kesalahan dan melanggar norma kehidupan. Memang benar melalui konsep kepemimpinan melalui teladan, ibu bapa memberi contoh (tidak kiralah contoh baik atau sebaliknya) kepada anak-anak. Oleh itu jika ibu bapa tidak tahu mengamalkan adab dan nilai murni, bagaimana anak mahu mengikutnya. Pepatah ada mengatakan, “Nak salahkan cupakkah kalau gantang tak penuh. Nak salahkan perangai anakkah kalau mak bapa pun tak senonoh.” Sebagai ‘role model’ dalam mendidik anak-anak, ibu bapa mestilah menunjukkan contoh baik dan dapat diikuti oleh anak-anak. Seperti kata pepatah, ke mana tumpah kuah kalau tidak ke nasi dan bagaimana acuan begitulah kuihnya menggambarkan ibu bapa seharusnya memberi contoh dan mengamalkan konsep nilai murni dan kasih sayang supaya ia dapat ditanamkan di jiwa anak-anak dan seterusnya menjadi darah daging mereka sehingga dewasa. Namun begitu, jika suasana rumah tidak pernah kondusif dan ibu ayah sentiasa berkonflik, ia secara tidak langsung memberi kesan mendalam kepada anak-anak. Kajian sarjana komunikasi mendapati, anak-anak yang dibesarkan dalam persekitaran ibu bapa yang berkonflik akan menyebabkan mereka stres, kemurungan dan antisosial. Tidak dinafikan bahawa pendidikan dari rumah sememangnya mencorakkan peribadi seorang individu. Ini disokong Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mashitah Ibrahim yang menyatakan, fungsi keluarga tidak hanya terbatas untuk meneruskan keturunan kerana dalam bidang pendidikan, keluarga adalah sumber pendidikan utama kerana segala pengetahuan dan kecerdasan intelektual manusia diperolehi oleh kanak-kanak melalui orang tuanya dan ahli keluarganya.
Sesuai dengan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Daripada Abdullah bin Umar, berkata ya, aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: Seorang lelaki adalah pemimpin dalam urusan keluarganya dan dia akan diminta bertanggungjawab dalam kepemimpinannya. Seorang isteri adalah pemimpin dalam mengurus rumah tangga suaminya dan dia akan diminta bertanggungjawab dalam kepemimpinannya.” (Hadis riwayat Al-Imam Al-Bukhari).
Justeru, ibu bapa yang memberi alasan terlalu sibuk bekerja sehingga tidak ada masa mendidik anak sukar diterima. Mereka perlu berkorban memberikan sedikit masa dan perhatian untuk anak-anak agar mereka rasa dihargai dan disayangi. Kasih sayang yang disemai oleh ibu bapa akan terus subur dalam jiwa anak-anak. Ingatlah bahawa hidup ini satu putaran, jika kita tidak mempedulikan mereka sekarang kemungkinan apabila kita tua mereka akan meminggirkan kita. Oleh itu melahirkan masyarakat penyayang memerlukan komitmen tinggi bukan saja melalui dasar yang digubal kerajaan tetapi pelaksanaannya harus dibuat secara berterusan oleh Institusi keluarga, masyarakat dan mereka yang terbabit secara langsung dalam merealisasikannya. Kita amat berharap negara dapat mencapai matlamat melahirkan masyarakat penyayang sebagaimana dalam Wawasan 2020 yang pernah diperkenalkan mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Muhammad 10 tahun lalu. Hanya tinggal 10 tahun lagi bagi mencapai matlamat itu. Bolehkah kita melakukannya, jika panjang umur, sama-samalah kita tunggu dan lihat. Penulis pensyarah UiTM, Shah Alam
Thursday, September 22, 2011
KONGSI KASIH BERSAMA SUAMI ORANG TREND WANITA MUDA MASA KINI
Minda ( HARIAN METRO) :
Hati terpikat pujuk rayu Oleh Hariyati Ariffin
Hati terpikat pujuk rayu Oleh Hariyati Ariffin
KERELAAN wanita muda sanggup berkongsi kasih mula mendapat perhatian dan dianggap trend kehidupan masa kini. Namun, wanita bersuami kurang senang dengan fenomena yang berlaku. Tetapi sebagai wanita yang beragama Islam mereka ‘terpaksa’ menerima hidup berpoligami kerana ia dibenarkan dalam agama.
Malangnya, dalam kerelaan isteri membenarkan poligami ada segelintir suami yang mengambil kesempatan dan menyalahgunakan ‘tiket’ menambah cawangan ini dengan alasan dibenarkan oleh agama hingga mengabaikan tanggungjawab yang diamanahkan sebagai suami.
Penasihat Majlis Agama Islam Johor, Datuk Nooh Gadut, dipetik sebagai berkata: “Hukum berkahwin terbahagi kepada lima iaitu wajib, sunat, harus, makruh dan haram. Seandainya ketika bermonogami (berkahwin seorang) lagi lelaki itu telah menunjukkan ciri-ciri tidak adil dan tidak berkemampuan baik dari segi kewangan dan kesihatan, maka hukumnya untuk berkahwin lagi adalah haram.”
Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria pula berkata, walaupun poligami dibenarkan dalam Islam, namun ia sering disalahgunakan oleh segelintir lelaki.
Mereka sepatutnya menilai kemampuan diri terlebih dulu dan bukan berkahwin kerana nafsu semata-mata.
Oleh itu, katanya, apabila ini terjadi, perceraian sering saja menjadi pilihan wanita daripada memilih untuk hidup bermadu. Islam sebenarnya tidak menggalakkan poligami apatah lagi, perceraian.
Mengulas isu poligami, di mana wanita muda lebih suka suami orang berbanding lelaki bujang, pensyarah Psikologi, Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Mohamed Yaakob berkata, berdasarkan konsep psikologi dan komunikasi, manusia hidup bersandarkan kepada beberapa keperluan.
Antaranya keperluan asas, keperluan keselamatan dan keperluan sosial.
Dalam hal ini, wanita muda yang sanggup bermadu ingin memenuhi keperluan yang tiga tadi, terutamanya keperluan keselamatan dan sosial. Wanita muda apabila berjumpa suami orang, mereka lebih rasa selamat dan dapat memenuhi keperluan sosial mereka.
“Ini kerana lelaki yang sudah berkahwin lebih banyak pengalaman dalam memujuk rayu wanita muda dan bijak memenuhi kehendak keselamatan (financial security) dengan pelbagai hadiah dan bijak menjalankan modus operandi untuk memikat hati wanita. Kebiasaannya lelaki yang sudah berkahwin dan kukuh kedudukannya bijak memikat hati wanita muda,” katanya.
Mohamed berkata, mereka bukan saja bijak bercakap, memujuk rayu dan bersikap gentlemen, sentimental, malah penyabar, mempunyai ketrampilan dan berkarisma tinggi yang menjadi idaman wanita muda. Berbanding lelaki bujang yang baru tamat pengajian dan baru bekerja, kedudukan ekonomi mereka juga belum kukuh dan jika dikaji daripada sikap pula, mereka kurang arif mengenai cara-cara memikat wanita.
“Ada lelaki bujang yang tidak berkeyakinan dalam menjalinkan hubungan.
Mereka kurang memahami kehendak wanita muda kerana mereka sama-sama muda dan kurang pengalaman. Ini menyebabkan hubungan mereka sering mengalami konflik,” katanya.
Menurut Mohamed, wanita muda suka dipujuk rayu dan meminati lelaki yang penyabar. Sedangkan lelaki bujang adakalanya tidak memahami kehendak wanita muda dan sikap tidak penyabar lelaki bujang kadangkala membuatkan wanita muda lebih suka berhubungan dengan suami orang yang lebih penyayang dan pandai memujuk rayu.
“Manusia memerlukan keseronokan sensory, istilah dalam psikologi yang merujuk kepada mendapat kepuasan hidup dan keseronokan (pleasure in life). Bagi lelaki yang sudah berkahwin dan ada yang sudah meningkat usia, keseronokan sensory ini amat penting dalam hidup mereka.
“Mereka mahu satu keseronokan sebagai pelarian kepada kebosanan yang sedang mereka alami. Umpamanya jika isteri sudah meningkat usia, mereka sudah tidak lagi seperti zaman muda.
Wanita meningkat usia melalui fasa menopaus dan adakalanya malu untuk berjalan dan bermesra dengan suami dengan alasan sudah masuk usia senja” jelasnya.
Namun, kata Mohamed wanita sering salah tafsir kehendak lelaki kerana kaum Adam ini semakin mereka tua mereka memerlukan kasih sayang dan belaian isteri. Hormon testosteron (seks) dalam diri lelaki sentiasa ada berbanding wanita yang perlu dirangsang. Jika kaum Adam ini dibiarkan dalam dahaga kasih sayang, tidak mustahil suami seumpama ini mencari belaian dan kasih sayang daripada wanita muda yang sentiasa suka dibelai dan dimanja. Ini mungkin sebahagian daripada faktor mengapa wanita muda suka lelaki yang sudah berkahwin.
Walau bagaimanapun, Mohamed menegaskan lelaki yang sudah berkahwin dan ingin menambah cawangan dengan berkahwin wanita muda sebenarnya lebih kepada ‘lapar mata’. Beliau menjelaskan bahawa istilah lapar mata ini merujuk kepada keinginan yang membuak-buak sebelum mendapatnya tetapi apabila sudah memiliki ia hanya boleh dipandang saja kerana adakalanya kemampuan mereka terhad sama ada dari segi zahir mahupun batin.
Jika ini berlaku tidak mustahil konflik dan perceraian bakal terjadi.
Tidak semua lelaki bersikap sedemikian. Kebanyakan lelaki lebih mementingkan keharmonian keluarga dan menjaga hati isteri yang dinikahinya berpuluh tahun lamanya. Lelaki yang suka kahwin dan cerai serta banyak menambah cawangan tidak peka pada perasaan isteri dan mereka juga tidak mempunyai sikap empati (memahami perasaan orang lain dalam hal ini isteri sendiri).
“Mereka lebih mementingkan diri sendiri dan keseronokan diri. Ada kes suami yang suka kahwin cerai, menyebabkan dia dibenci keluarga terutama anak-anak. Apabila usia tua dan tiada siapa yang peduli mereka menyalahkan anak-anak dan isteri sedangkan sewaktu sihatnya dia lupa tanggungjawab pada anak-anak dan isteri kerana terlalu asyik mencari keseronokan diri.
“Begitu juga bagi yang berkahwin ramai, ada kalanya nafkah anak-anak dan isteri tidak mencukupi dan lebih menyedihkan ada suami yang menyuruh isteri menyara kehidupan mereka sendiri sedangkan suami berseronok dan tenggelam dalam kehidupan tanpa tanggungjawab,” katanya.
Bagi Mohamed, bukan mudah menjadi ketua keluarga, lebih-lebih lagi yang mempunyai lebih daripada satu isteri. Mereka bukan saja perlu stabil dan kukuh dari segi ekonomi, kesihatan dan mental, tetapi juga harus mempunyai pegangan agama yang baik dan boleh membimbing isteri dan anak-anak.
Berkahwin memang nampak seronok tetapi tanggungjawab yang perlu digalas juga berganda sebagaimana bertambahnya isteri dan anak-anak. Senario kekeluargaan masa kini menurut Mohamed amat menyedihkan kerana banyak kes yang dipaparkan mengenai sikap tidak bertanggungjawab suami yang menyebabkan anak-anak dan isteri menjadi mangsa keadaan.
Ada juga kes kesibukan terlampau ibu bapa mencari rezeki menyebabkan anak-anak terbiar dan terjerumus dalam masalah sosial. Masyarakat perlu didedahkan kepada ilmu atau pendidikan kekeluargaan dan dengan pendidikan berkenaan ia boleh membimbing dan mencorak institusi kekeluargaan yang lebih berkualiti selain melahirkan masyarakat yang dapat menuju ke arah kesejahteraan secara total.
Justeru, kepada semua suami, menjadi nakhoda untuk sebuah kapal sudah terlalu sukar kerana kehidupan ini sering dilanda ombak dan badai kehidupan. Inikan pula mahu mengemudi dua atau tiga kapal pada waktu sama.
Mungkin berkahwin lebih daripada satu adalah sunnah Nabi, tetapi bolehkah suami bersikap adil seperti Nabi?
Bagi wanita muda, tidak salah berkongsi kasih, tetapi haruslah diingat jika anda berada di tempat isteri yang terpaksa dimadukan, janganlah mencari kebahagiaan di atas penderitaan wanita lain. Mereka mungkin nampak reda tetapi di dalam hati Allah saja yang tahu. Sebenarnya masih ramai lelaki bujang yang berkualiti dan boleh menjadi suami baik jika di beri peluang.
Seperti kata pepatah Indonesia, suami adalah orang yang mencari kebahagiaan hidup dengan menghilangkan sebahagian daripada kemerdekaannya. Itulah sebenarnya suami dan ayah yang terbaik. Selamat Hari Bapa buat semua yang bergelar bapa.
Penulis pensyarah UiTM Shah Alam
PERANAN LELAKI DAN TANGGUNG JAWAB DALAM KELUARGA
Disiarkan di ruangan Minda, Harian Metro: Peranan Hero Keluarga
Oleh Hariyati Ariffin
LELAKI adalah insan hebat yang dipilih Allah untuk menjadi khalifah di muka bumi ini. Dalam institusi kekeluargaan, lelaki memainkan peranan penting memastikan keharmonian keluarga, kesejahteraan dan hala tuju keluarga dalam mencapai matlamat hidup yang sempurna dan bahagia. Bersesuaian dengan firman Allah dalam al-Quran yang mengatakan ‘Lelaki itu adalah pemimpin terhadap perempuan.’ (Surah al-Nisa’: 34). Bertepatan dengan hadis di atas dan sempena Hari Bapa yang akan diraikan pada 17 Jun ini, lelaki di seluruh dunia sentiasa dipandang tinggi oleh masyarakat sebagai hero kepada anak-anak dan isteri mereka. Bapa yang bertanggungjawab dan suami penyayang serta menjadi pelindung keluarga akan mewujudkan suasana syurga dalam rumah tangga.
Dalam kaitan yang sama budaya masyarakat Cina kebiasaannya lebih mengutamakan anak lelaki berbanding perempuan kerana menurut kepercayaan mereka anak lelaki adalah penyambung zuriat dan keturunan serta menjadi pelindung keluarga. Dalam masyarakat kita juga ada segelintir yang begitu taksub dengan anak lelaki sehingga ada kalanya terlepas pandang keistimewaan anak perempuan. Jelaslah, jika dilihat secara umum tanggungjawab yang digalas lelaki amat berat dan besar dalam menentukan kestabilan institusi kekeluargaan yang secara tidak langsung akan membawa kesejahteraan masyarakat secara umumnya.
Sebagai suami dan bapa, lelaki adalah nakhoda rumah tangga, yang perlu bijak mengemudikan bahtera keluarganya dalam kehidupan yang serba mencabar, lebih-lebih lagi di zaman siber yang serba canggih dan pantas ini. Kegagalan seseorang bapa mengendalikan rumah tangganya dengan bijak akan menyebabkan bahtera keluarganya karam dipukul ombak dan badai lautan kehidupan yang ganas. Justeru, sebenarnya bukan mudah menjadi bapa dan suami yang bertanggungjawab serta mampu melahirkan sebuah keluarga bahagia. Amanah menjaga keluarga yang diberikan Allah kepada kaum Adam ini amat berat tanggungjawabnya.
Hanya mereka yang memahami amanah ini dapat melakukannya dengan baik dan sempurna. Namun sejak akhir-akhir ini kita sering didedahkan kehidupan yang menjurus kepada konflik keluarga dan keruntuhan rumah tangga yang amat membimbangkan di kalangan masyarakat. Secara tidak langsung ia memberi kesan terhadap masa depan generasi akan datang dan kualiti pembinaan insan yang akan menentukan hala tuju kehidupan masyarakat. Hipotesis yang mengatakan lelaki bertanggungjawab dan dianggap sebagai pelindung kepada keluarga, anak-anak dan isteri di zaman ini sudah berkurangan, malah lelaki yang berkualiti juga sudah semakin ‘pupus’. Kegagalan golongan Adam menjalankan tanggungjawab dan amanah Allah sebagai bapa dan suami juga dikatakan antara punca keruntuhan institusi kekeluargaan dan penyebab kepada gejala sosial yang berleluasa masa kini. Secara kasarnya kenyataan ini mungkin juga ada kebenarannya.
Banyak faktor lain yang menyebabkan keruntuhan institusi kekeluargaan masa kini. Namun, apa yang ingin ditekankan di sini ialah peranan sebenar lelaki dalam memastikan keharmonian rumah tangga. Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mashitah Ibrahim pernah berkata, statistik perceraian semakin meningkat setiap tahun dan sangat membimbangkan masyarakat kita. Ini jelas menunjukkan kegoyahan institusi perkahwinan di negara kita. Malah, katanya lagi, berdasarkan kajian Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), golongan lelaki lebih ramai membuat ‘perangai’ sehingga mendorong isteri memfailkan perceraian. Kajian itu mendapati 5,345 daripada 8,241 punca perceraian adalah disebabkan kaum Adam. Sementara itu, Peguam bela dan Peguam cara Tengku Naufal & Co, Dr Tengku Naufal Tengku Mansor, berkata statistik kes keganasan rumah tangga terhadap wanita secara puratanya meningkat dari setahun ke setahun.
Malah, lebih 90 peratus kes keganasan rumah tangga dilakukan lelaki (suami) terhadap isteri, manakala hanya lima peratus kes wanita mengasari lelaki. Menurut Tengku Naufal, wanita selalu menderita dalam diam kerana ada antaranya yang terpaksa merahsiakan penderitaan yang dilalui kerana ingin menjaga maruah keluarga dan suami. Mereka juga ada kalanya tersilap tafsir terhadap tanggungjawab suami sehingga rela dianiaya kerana beranggapan suami berhak melakukan seumpama itu. Disebabkan ada wanita tidak tahu hak mereka atau sesetengahnya sudah malas dan penat mencari keadilan menyebabkan ada segelintir lelaki beranggapan menjadi pemimpin kepada keluarga adalah lesen bagi mereka berbuat sesuka hati untuk melakukan perkara zalim terhadap anak dan isteri serta mempunyai kuasa veto dalam apa juga keputusan keluarga.
Ada kes suami yang tidak memberi nafkah kepada isteri dan anak dengan alasan isteri bergaji besar daripada suami. Adakalanya isteri dan anak-anak hidup tertekan tetapi tidak mampu berbuat apa-apa kerana si ayah atau si bapa tidak mahu berubah walaupun sudah lama berkahwin. Ramai juga pasangan yang tidak mahu perpecahan dalam keluarga membiarkan saja persoalan seumpama itu sehingga mereka tua. Namun, ada kalanya kesan terhadap kegagalan ayah dan suami yang tidak bertanggungjawab dalam keluarga menjadikan konflik keluarga berpanjangan hingga menimbulkan rasa kurang hormat anak-anak terhadap ayah menyebabkan mereka mempunyai pandangan tersendiri terhadap kaum Adam. Berdasarkan itu, hipotesis atau andaian yang mengatakan lelaki yang benar-benar berkualiti sebagai bapa dan suami bertanggungjawab pada zaman sekarang sudah mula mengalami kepupusan mungkin benar.
Justeru, tidak hairanlah jika ada wanita yang sanggup berkongsi kasih dengan dua atau tiga wanita lain bersama seorang suami atau lelaki yang mereka anggap paling bertanggungjawab dan boleh membahagiakan mereka. Namun, hakikatnya yang banyak berlaku masa kini ialah poligami lebih menjurus kepada masalah ketidakadilan dan perpecahan keluarga berbanding kesejahteraan dan keharmonian keluarga. Mungkin lelaki boleh berbangga sebab mampu memiliki lebih daripada seorang isteri, namun hakikat perkahwinan itu sendiri hanya diketahui oleh mereka yang empunya diri. Begitu juga lelaki yang suka kahwin dan cerai, ada kalanya mereka terus mengabaikan anak-anak daripada bekas isteri kerana mereka sekarang punya tanggungjawab baru untuk digalas. Daripada kes yang sudah biasa kita dengar ini jelaslah bahawa menjadi bapa dan suami yang bertanggungjawab bukan semudah yang disangka. Menukar keluarga juga bukan semudah menukar pakaian atau menukar kereta.
Kesan perceraian dan kesan terhadap perbuatan bapa yang tidak bertanggungjawab memberi impak kepada masalah sosial. Ada anak-anak yang hidup menderita kerana ayah suka mementingkan diri dan berasa mereka berhak menentukan banyak perkara dalam keluarga. Akibatnya berlaku masalah sosial kerana anak-nak mencari sesuatu terhadap penderitaan hidup mereka akibat konflik keluarga hingga terjerumus ke lembah yang tidak diingini. Allah berfirman bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu daripada api neraka.” (Surah Tahrim, ayat 6). Oleh itu, sebagai pemimpin dan pelindung keluarga lelaki harus bijak memainkan peranan membimbing keluarga, memberi kasih sayang, memelihara keimanan keluarga, menjadi contoh terbaik bagi ahli keluarga, melengkapkan diri dengan kemahiran keibubapaan selari dengan peredaran zaman dan mempunyai ilmu pengetahuan yang boleh membimbing keluarga ke arah kesejahteraan dunia dan akhirat.
Pepatah Melayu mengatakan ‘ikut hati mati ikut nafsu lesu’. Semoga lelaki muhasabah diri memikirkan kembali tanggungjawab dan amanah yang telah diberikan Allah kepada mereka. Manusia mudah lupa, justeru tidak salah kita saling mengingatkan antara satu sama lain, mengenai tanggungjawab yang harus dipikul oleh bapa demi kesejahteraan keluarga dan negara. Harus juga diingat bahawa keharmonian keluarga adalah asas kesejahteraan masyarakat, negara dan umat manusia secara keseluruhan.
# Penulis pensyarah UiTM, Shah Alam
Tamat.
LELAKI adalah insan hebat yang dipilih Allah untuk menjadi khalifah di muka bumi ini. Dalam institusi kekeluargaan, lelaki memainkan peranan penting memastikan keharmonian keluarga, kesejahteraan dan hala tuju keluarga dalam mencapai matlamat hidup yang sempurna dan bahagia. Bersesuaian dengan firman Allah dalam al-Quran yang mengatakan ‘Lelaki itu adalah pemimpin terhadap perempuan.’ (Surah al-Nisa’: 34). Bertepatan dengan hadis di atas dan sempena Hari Bapa yang akan diraikan pada 17 Jun ini, lelaki di seluruh dunia sentiasa dipandang tinggi oleh masyarakat sebagai hero kepada anak-anak dan isteri mereka. Bapa yang bertanggungjawab dan suami penyayang serta menjadi pelindung keluarga akan mewujudkan suasana syurga dalam rumah tangga.
Dalam kaitan yang sama budaya masyarakat Cina kebiasaannya lebih mengutamakan anak lelaki berbanding perempuan kerana menurut kepercayaan mereka anak lelaki adalah penyambung zuriat dan keturunan serta menjadi pelindung keluarga. Dalam masyarakat kita juga ada segelintir yang begitu taksub dengan anak lelaki sehingga ada kalanya terlepas pandang keistimewaan anak perempuan. Jelaslah, jika dilihat secara umum tanggungjawab yang digalas lelaki amat berat dan besar dalam menentukan kestabilan institusi kekeluargaan yang secara tidak langsung akan membawa kesejahteraan masyarakat secara umumnya.
Sebagai suami dan bapa, lelaki adalah nakhoda rumah tangga, yang perlu bijak mengemudikan bahtera keluarganya dalam kehidupan yang serba mencabar, lebih-lebih lagi di zaman siber yang serba canggih dan pantas ini. Kegagalan seseorang bapa mengendalikan rumah tangganya dengan bijak akan menyebabkan bahtera keluarganya karam dipukul ombak dan badai lautan kehidupan yang ganas. Justeru, sebenarnya bukan mudah menjadi bapa dan suami yang bertanggungjawab serta mampu melahirkan sebuah keluarga bahagia. Amanah menjaga keluarga yang diberikan Allah kepada kaum Adam ini amat berat tanggungjawabnya.
Hanya mereka yang memahami amanah ini dapat melakukannya dengan baik dan sempurna. Namun sejak akhir-akhir ini kita sering didedahkan kehidupan yang menjurus kepada konflik keluarga dan keruntuhan rumah tangga yang amat membimbangkan di kalangan masyarakat. Secara tidak langsung ia memberi kesan terhadap masa depan generasi akan datang dan kualiti pembinaan insan yang akan menentukan hala tuju kehidupan masyarakat. Hipotesis yang mengatakan lelaki bertanggungjawab dan dianggap sebagai pelindung kepada keluarga, anak-anak dan isteri di zaman ini sudah berkurangan, malah lelaki yang berkualiti juga sudah semakin ‘pupus’. Kegagalan golongan Adam menjalankan tanggungjawab dan amanah Allah sebagai bapa dan suami juga dikatakan antara punca keruntuhan institusi kekeluargaan dan penyebab kepada gejala sosial yang berleluasa masa kini. Secara kasarnya kenyataan ini mungkin juga ada kebenarannya.
Banyak faktor lain yang menyebabkan keruntuhan institusi kekeluargaan masa kini. Namun, apa yang ingin ditekankan di sini ialah peranan sebenar lelaki dalam memastikan keharmonian rumah tangga. Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mashitah Ibrahim pernah berkata, statistik perceraian semakin meningkat setiap tahun dan sangat membimbangkan masyarakat kita. Ini jelas menunjukkan kegoyahan institusi perkahwinan di negara kita. Malah, katanya lagi, berdasarkan kajian Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), golongan lelaki lebih ramai membuat ‘perangai’ sehingga mendorong isteri memfailkan perceraian. Kajian itu mendapati 5,345 daripada 8,241 punca perceraian adalah disebabkan kaum Adam. Sementara itu, Peguam bela dan Peguam cara Tengku Naufal & Co, Dr Tengku Naufal Tengku Mansor, berkata statistik kes keganasan rumah tangga terhadap wanita secara puratanya meningkat dari setahun ke setahun.
Malah, lebih 90 peratus kes keganasan rumah tangga dilakukan lelaki (suami) terhadap isteri, manakala hanya lima peratus kes wanita mengasari lelaki. Menurut Tengku Naufal, wanita selalu menderita dalam diam kerana ada antaranya yang terpaksa merahsiakan penderitaan yang dilalui kerana ingin menjaga maruah keluarga dan suami. Mereka juga ada kalanya tersilap tafsir terhadap tanggungjawab suami sehingga rela dianiaya kerana beranggapan suami berhak melakukan seumpama itu. Disebabkan ada wanita tidak tahu hak mereka atau sesetengahnya sudah malas dan penat mencari keadilan menyebabkan ada segelintir lelaki beranggapan menjadi pemimpin kepada keluarga adalah lesen bagi mereka berbuat sesuka hati untuk melakukan perkara zalim terhadap anak dan isteri serta mempunyai kuasa veto dalam apa juga keputusan keluarga.
Ada kes suami yang tidak memberi nafkah kepada isteri dan anak dengan alasan isteri bergaji besar daripada suami. Adakalanya isteri dan anak-anak hidup tertekan tetapi tidak mampu berbuat apa-apa kerana si ayah atau si bapa tidak mahu berubah walaupun sudah lama berkahwin. Ramai juga pasangan yang tidak mahu perpecahan dalam keluarga membiarkan saja persoalan seumpama itu sehingga mereka tua. Namun, ada kalanya kesan terhadap kegagalan ayah dan suami yang tidak bertanggungjawab dalam keluarga menjadikan konflik keluarga berpanjangan hingga menimbulkan rasa kurang hormat anak-anak terhadap ayah menyebabkan mereka mempunyai pandangan tersendiri terhadap kaum Adam. Berdasarkan itu, hipotesis atau andaian yang mengatakan lelaki yang benar-benar berkualiti sebagai bapa dan suami bertanggungjawab pada zaman sekarang sudah mula mengalami kepupusan mungkin benar.
Justeru, tidak hairanlah jika ada wanita yang sanggup berkongsi kasih dengan dua atau tiga wanita lain bersama seorang suami atau lelaki yang mereka anggap paling bertanggungjawab dan boleh membahagiakan mereka. Namun, hakikatnya yang banyak berlaku masa kini ialah poligami lebih menjurus kepada masalah ketidakadilan dan perpecahan keluarga berbanding kesejahteraan dan keharmonian keluarga. Mungkin lelaki boleh berbangga sebab mampu memiliki lebih daripada seorang isteri, namun hakikat perkahwinan itu sendiri hanya diketahui oleh mereka yang empunya diri. Begitu juga lelaki yang suka kahwin dan cerai, ada kalanya mereka terus mengabaikan anak-anak daripada bekas isteri kerana mereka sekarang punya tanggungjawab baru untuk digalas. Daripada kes yang sudah biasa kita dengar ini jelaslah bahawa menjadi bapa dan suami yang bertanggungjawab bukan semudah yang disangka. Menukar keluarga juga bukan semudah menukar pakaian atau menukar kereta.
Kesan perceraian dan kesan terhadap perbuatan bapa yang tidak bertanggungjawab memberi impak kepada masalah sosial. Ada anak-anak yang hidup menderita kerana ayah suka mementingkan diri dan berasa mereka berhak menentukan banyak perkara dalam keluarga. Akibatnya berlaku masalah sosial kerana anak-nak mencari sesuatu terhadap penderitaan hidup mereka akibat konflik keluarga hingga terjerumus ke lembah yang tidak diingini. Allah berfirman bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu daripada api neraka.” (Surah Tahrim, ayat 6). Oleh itu, sebagai pemimpin dan pelindung keluarga lelaki harus bijak memainkan peranan membimbing keluarga, memberi kasih sayang, memelihara keimanan keluarga, menjadi contoh terbaik bagi ahli keluarga, melengkapkan diri dengan kemahiran keibubapaan selari dengan peredaran zaman dan mempunyai ilmu pengetahuan yang boleh membimbing keluarga ke arah kesejahteraan dunia dan akhirat.
Pepatah Melayu mengatakan ‘ikut hati mati ikut nafsu lesu’. Semoga lelaki muhasabah diri memikirkan kembali tanggungjawab dan amanah yang telah diberikan Allah kepada mereka. Manusia mudah lupa, justeru tidak salah kita saling mengingatkan antara satu sama lain, mengenai tanggungjawab yang harus dipikul oleh bapa demi kesejahteraan keluarga dan negara. Harus juga diingat bahawa keharmonian keluarga adalah asas kesejahteraan masyarakat, negara dan umat manusia secara keseluruhan.
# Penulis pensyarah UiTM, Shah Alam
Tamat.
Subscribe to:
Posts (Atom)