Friday, May 31, 2013

Keputusan Peperiksaan dan Tragedi sedih.

Apabila sesuatu keputusan peperiksaan rasmi negara diumumkan , samada UPSR, PMR, SPM atau STPM ianya mendapat liputan meluas media. Tidak kiralah media elektronik atau media cetak, ianya menjadi nilai berita yang baik untuk disiarkan. Biasanya berita mengenai keputusan peperiksaan mendapat tempat dimuka depan akhbar dan menjadi berita khas dalam slot rancangan pendidikan. Mereka yang berjaya di temuramah mengenai rahsia mendapat kejayaan cemerlang. Wajah2 ceria mereka menghiasi media. Dimedia sosial, umpamanya di Facebook keputusan anak yang memperolehi deretan A dan A+ di letakkan di wall ayah dan ibu mereka. Dalam kalangan masyarakat juga keputusan peperiksaan akan menjadi bualan hangat. Ramai yang akan bertanya kepada mereka yang mempunyai anak-anak yang mendapat keputusan peperiksaan. Bagi ibubapa yang meraikan kejayaan kecemerlangan anak-anak ianya satu kebanggaan keluarga. Mereka mendapat curahan ucapan tahniah dari pelbagai pihak. Namun bagi yang kurang cemerlang, mereka akan hanya senyum bila ditanya mengenai keputusan peperiksaan dan tidak banyak membicarakannya. Dalam kegembiraan menyanjung mereka yang cemerlang, pernahkah kita terfikir mengenai mereka yang tidak mendapat keputusan cemerlang? Apa yang sedang mereka lakukan ketika membuka slip keputusan peperiksaan. Bagaimana reaksi mereka ketika mendapat tahu mengenai keputusan yang kurang cemerlang itu. Ada antara mereka menangis, terketar ketar dan pelbagai reaksi lagi. Namun jarang yang ambil peduli mengenai kekecewaan anak-anak dan pelajar yang sedang bergelut dengan perasaan takut dan bersalah kerana mendapat keputusan yang tidak pernah mereka jangkakan. Pelbagai perasaan melanda mereka. Ada yang takut balik kerumah, ada yang terlalu tertekan sehingga kaku membisu dan kelu untuk berkata-kata. Tidak hairan lah ada berita mengenai kes pelajar bunuh diri dan lari dari rumah sewaktu musim keputusan peperiksaan diumumkan. Perkara seumpama ini bukan satu isu baru setiap kali negara meraikan keputusan pencapaian akademik terbaik. Bila dikaji dan dibuat tinjauan secara rambang didapati ada ibubapa yang terlalu mementingkan pencapaian akademik dan memberi tekanan kepada anak2 untuk mendapat keputusan cemerlang walaupun kemampuan anak-anak tidak sampai ketahap berkenaan. Anak anak menjadi begitu stress. Mereka mahu buat yang terbaik untuk ibubapa dan keluarga, tetapi kerana gagal berbuat demikian mereka akhirnya mengambil keputusan menghukum diri. Paling malang jika ada antara mereka yang sanggup mengambil nyawa sendiri kerana malu untuk berhadapan dengan keluarga dan saudara mara yang sentiasa suka membandingkan pencapaian akademik antara anak anak mereka. Paradigma ibubapa yang terlalu berorientasikan pada peperiksaan telah menyebabkan ramai pelajar menjadi fobia setiap kali musim peperiksaan dan waktu pengumuman keputusannya. Ada antaranya sudah diberikan amaran oleh ibubapa sekiranya mereka gagal memperolehi keputusan baik, mereka akan dikenakan beberapa tindakan dan hukuman. Disebabkan itu anak-anak terlalu memaksa diri untuk memuaskan kehendak ibubapa dan keluarga . Bagi ibubapa pula mereka sanggup berhabisan beribu ringgit untuk menghantar anak-anak ke kelas tambahan untuk memastikan anak-anak mendapat keputusan cemerlang dan dapat diterima masuk Universiti atau belajar keluar negara. Mereka ibarat melihat satu pintu saja dalam pendidikan anak-anak. Bagi mereka, gagal mencapai keputusan yang baik dalam peperiksaan umum negara menandakan kegagalan untuk meneruskan kehidupan dimasa depan. Sedangkan pada hakikatnya anak-anak yang kurang menyerlah dalam akademik ini sebenarnya masih boleh menceburi bidang lain seperti kemahiran dan keusahawanan yang boleh menjamin masa depan mereka. Pemikiran mereka ini disempitkan dengan orientasi peperiksaan, sehingga ada yang beranggapan jika gagal peperiksaan SPM atau STPM, masa depan mereka akan gelap. Perlu diingat bahawa, pendidikan akademik semata-mata belum tentu dapat melahirkan insan yang syumul. Anak-anak perlu juga di seimbangkan dengan ilmu agama yang dapat membentuk peribadi mulia dari sudut spiritual dan pembentukan akhlak yang baik. Selain itu, anak-anak dan pelajar juga mestilah diterapkan dengan ilmu berfikir secara lebih kritis dan kreatif dalam pembelajaran. Adakalanya pembelajaran didalam bilik darjah sahaja tidak dapat membina rangka pemikiran kreatif dan kritis anak-anak. Ini kerana kebanyakan teori yang kita belajar didalam kelas dan buku hanya lah sebagai satu garis panduan dan tidak dapat diaplikasikan sepenuhnya dalam kehidupan. Benar kata pepatah, pengalaman adalah guru yang terbaik dalam kehidupan. Justru dalam kaitan yang sama, Ibubapa seharusnya menjadi semangat dan dahan berteduh kepada anak2 yang kurang cemerlang dalam pencapaian akademik. Seperti kata pepatah, ’setandan pisang tak semuanya masak sama’. Maknanya anak-anak juga mempunyai kekuatan dan kelemahan masing-masing. Jangan selalu membandingkan pencapaian akademik anak itu dengan adik beradiknya yang lain. Peranan ibubapa amat penting dalam mencungkil setiap bakat dan skill yang ada dalam diri anak2 untuk diperkembangkan. Beri anak-anak kebebasan memilih bidang yang mereka suka, Pupuk bidang dan kebolehan mereka sejak kecil. Pantau mereka dan beri kasih sayang serta seimbangkan ilmu akademik dan pengetahuan agama dalam diri mereka. Apabila mereka tahu ibubapa memahami apa yang mereka mahu dalam hidup dan ibubapa juga menjadi pembimbingnya insyaAllah, mereka boleh cemerlang dalam apa juga bidang yang diceburi dan juga cemerlang dalam kehidupan . Penulis adalah Pensyarah Kanan Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media UiTM Shah Alam

Memperkasa Budaya dan Bahasa Melayu di Zaman Siber

Cara dan gaya seorang ibu berbangsa Melayu bersama anaknya yang bertutur dalam Bahasa Inggeris disebuah pusat membelibelah di bandaraya Shah Alam, menarik perhatian penulis untuk membincangkan isu ini. Perkataan gantinama diri `I’ dan `You’ antara ibu dan anak serta nada suara yang kurang enak didengari halwa telinga membuatkan penulis terpanggil untuk mengkaji mengenai isu bahasa dan budaya Melayu. Dibandar bertutur dalam bahasa Inggeris adalah satu scenario biasa, malah ramai juga dalam kalangan sahabat penulis menjadikan bahasa Inggeris bahasa pertuturan di rumah bersama anak-anak dan keluarga. Mereka berpendapat anak anak perlu diajar mahir berbahasa Inggeris kerana, ianya menjadi satu keperluan diperingkat sekolah dan interaksi dizaman yang serba pantas dan maju. Selain itu mereka juga merasakan penguasaan bahasa Inggeris yang baik menjadikan minda anak-anak lebih terbuka dan maju. Manakala Bahasa Melayu pula dikatakan lebih menyekat pemikiran anak-anak, selain agak ketinggalan zaman dan tidak berkembang mengikut peredaran masa. Mungkin ini pendapat segelintir masyarakat sahaja, kerana cara seseorang menggunakan bahasa mencerminkan pemikiran dan perilakunya serta cara mereka dibesarkan serta persekitaran yang membentuk minda mereka. Dalam hal ini, sememangnya kita tidak menafikan keperluan Bahasa Inggeris dan kepentingannya sebagai bahasa ilmu dan bahasa global untuk berinteraksi. Namun, apa yang membimbangkan ialah ketaksuban dan akibat terlalu mementingkan Bahasa Inggeris dalam kehidupan, secara tidak sedar mereka meminggirkan Bahasa Ibunda sendiri dan secara tidak langsung menolak budaya Melayu dalam kehidupan mereka. Ada juga segelintir masyarakat Bandar yang malu untuk bercakap dalam bahasa Melayu kerana bimbang dikatakan tidak `educated’ ( tidak berpelajaran) dan `low class’ . Perkara ini diakui beberapa pensyarah yang pernah membentangkan kertas kerja mengenai masyarakat Melayu yang dikatakan mempunyai sindrom rendah diri bila bercakap dalam bahasa Melayu Pengalaman penulis kerumah sahabat dan saudara mara memperlihatkan ada segelintirnya mengadaptasi cara Barat dalam mendidik anak-anak. Umpamanya penekanan budaya menghormati tetamu sudah semakin longgar. Jika dulu ibubapa penulis amat tegas dalam hal menghormati tetamu, pada hari ini, budaya bersalam dan budaya menyapa tetamu sudah semakin terhakis. Segelintirnya hanya Melayu pada nama sahaja tapi pada perlakuan dan adap sopan amat jauh menyimpang dari budaya Melayu sebaliknya lebih mirip masyarakat Barat. Teringat satu adegan dalam Filem Allahyarham Tan Sri Dr P Ramlee yang mengetengahkan isu Bahasa Menunjukkan Bangsa, apabila Sudin yang memanggil Jaga berbangsa Sikh hoi…hoi…lalu jaga berkenaan membalas dengan mengatakan `nama saja Melayu, sikit bahasa pun tak ada’. Ini jelas membuktikan bahawa identiti masyarakat Melayu ialah bahasa yang sopan dan cara interaksi yang mengamalkan system nilai yang baik . Sesuai dengan peribahasa ini, hidup dikandung adat , mati dikandung tanah. Bahasa melambangkan peribadi dan didalam bahasa itu sendiri terpancar istilah dan makna yang berasaskan system nilai masyarakat melayu. Memetik kata-kata penulis Harun Mat Piah mengenai Bahasa dan Masyarakat Melayu dalam sebuah buku hasil penulisannya berbunyi begini: “ Keindahan, kehalusan dan pemikiran Melayu terpancar di dalam bahasanya. Umumnya keindahan bahasa dapat dilihat di dalam penggunaan Bahasa Figuratif. Sesuatu ayat atau prasa di klasifikasikan sebagai figuratif apabila terdapat perkataan yang membawa makna lain daripada makna biasa yang telah diterima oleh massa atau makna yang berbeza daripada yang diberikan oleh Kamus. Bahasa figuratif digolongkan sebagai bahasa kiasan atau secara umum disebut juga sebagai bahasa berbunga. .(Harun Mat Piah,1981:224) Sementara itu ,Profesor Dr Sidek Baba, penulis dan pensyarah dari Universiti Islam Antarabangsa berpendapat, bahasa Melayu berada dalam kedudukan yang amat unik untuk dijadikan bahasa integrasi dan bahasa ilmu. Memperkasa diri dengan penguasaan bahasa Inggeris malah bahasa bahasa lain adalah satu keperluan kerana sifat zaman cepat berubah dan perkongsian ilmu dalam tamadun orang lain adalah dituntut. Katanya lagi persoalan berbangkit ialah memperkasa bahasa inggeris telah menyebabkan status aplikasi bahasa melayu beransur-ansur dipinggirkan. “ Tidak ada asas akademik dan hujah integriti yang menyatakan bahawa meninggalkan bahasa ibunda dalam penguasaan ilmu dan mendakap atau menguasai bahasa kedua sebagai bahasa utama menyebabkan sesuatu bangsa itu maju. Kita lihat saja orang Peranchis, Jepun, Jerman , Korea dan china. Mereka masih tetap mempertahankan integriti bahasa ibundanya untuk maju tetapi dalam masa yang sama amat terbuka untuk menguasai bahasa lain sebagai strategi untuk maju dan membangun” kata Dr Sidek Baba. Beliau juga menambah bahawa bangsa Melayu sekarang sedang menghadapi cabaran jati diri. Kemajmukan globalisasi dan proses pembaratan telah menyebabkan bangsa ini terhimpit antara ingin maju dan berubah dalam kerangka system kapitalis-liberal yang menuju kepada kerapuhan tradisi akibat daripada proses pengilmuan dan pendidikan yang menumpu kepada ketrampilan dan fikiran serta semakin kurang menekankan budi dan zikir. Nasihat beliau kepada generasi muda Melayu ialah supaya mereka ini meninjau kembali kekuatan yang sudah dilupakan supaya jati diri umat Melayu yang berteraskan nilai budi dan adab sentiasa menjadi pedoman asas dalam mengubah kemajuan dan perubahan. Justru sesuai dengan peribahasa `Budaya disanjung, budi bahasa dijunjung’ masyarakat Melayu tidak seharusnya meminggirkan bahasa dan budaya Melayu semata-mata mengejar kemajuan dan menyertai pasaran komunikasi dunia. Seperti kata Dato Dr Hassan Ahmad bekas Pengarah Dewan bahasa dan Pustaka dalam bukunya Ke Arah Malahirkan Melayu Glokal, orang Melayu perlu membina kekuatan dari dalam sebelum dapat menjadi bangsa yang mampu menghadapi dan menangani cabaran dari luar iaitu cabaran globalisasi. Mereka harus terlebih dahulu bertindak sebagai orang Melayu didalam kawasan setempatnya iaitu Negara ini, sebelum menjadi bangsa yang cukup bersedia untuk berfikir dan bertindak sebagai peserta global diluar kawasan global ( diluar negara) yang dikatakan tidak bersempadan. Sama-sama kita renungkan meskipun zaman bergerak pantas dengan perkembangan teknologi yang semakin pesat, system nilai masyarakat Melayu yang kaya dengan adap dan sopan santun serta berakhlak mulia perlu dikekalkan dan usahlah kita korbankan kemurnian bahasa dan budaya Melayu demi mengejar sebuah kemajuan. Biarlah ianya berjalan seiring, mesra dalam penyatuan pembangunan dan tanpa menghakis budaya dan Bahasa Melayu yang menjadi teras Negara yang aman dan harmoni seperti hari ini. Tingkap papan kayu bersegi, Sampan sakat di Pulau Angsa; Indah tampan kerana budi, Tinggi darjat kerana bahasa. Tamat.

Lelaki Melayu dan Jiwa Penyayang

Dalam penyelidikan secara ilmiah, kajian berkaitan lelaki Melayu khususnya yang menyentuh mengenai perasaan dan jiwa halus mereka amat kurang dikaji oleh sarjana di Negara kita. Jika dibandingkan dinegara Barat, kajian mengenai keintiman dan kasih sayang berkaitan lelaki banyak dilakukan tetapi di Negara kita ia kurang dikaji. Ini mungkin disebabkan budaya Barat lebih terbuka berbanding sistem nilai masyarakat Melayu yang masih kuat berpegang pada adat dan menghormati peribadi seseorang. Oleh kerana kajian terperinci mengenai isu itu tidak banyak diselidik dinegara kita, laporan media dan pemerhatian yang dijalankan oleh pakar motivasi mengenai sikap dan pelakuan Lelaki Melayu sering dijadikan kayu ukur untuk menilai lelaki Melayu.

Malah tanggapan umum mengenai lelaki Melayu yang dikatakan tidak budiman atau tidak romantis adalah sesuatu yang biasa kita dengar . Tidak dinafikan terdapat juga segelintir wanita tempatan beranggapan lelaki Melayu tidak seperti lelaki asing yang lebih pandai memujuk dan mengambil hati wanita serta bijak meluahkan perasaan. Malah lelaki Melayu sering dikatakan mudah berubah sikap apabila sudah berkahwin. .Walaupun ia hanyalah pandangan stereotype masyarakat , khususnya wanita terhadap lelaki Melayu, realitinya tidak pernah dibuktikan melalui kajian ilmiah dan secara empirikal malah tidak ada bukti yang kukuh, untuk melabelkan semua lelaki Melayu bersifat demikian. Tanggapan ini seolah-olah mencabar kewibawaan lelaki Melayu sebagai suami dan bapa penyayang terhadap keluarga Namun dalam mencari satu kebenaran tidak dinafikan banyak kes keganasan rumahtangga yang dilaporkan dilakukan suami Melayu.

Ini secara tidak langsung menguatkan lagi hujjah bahawa lelaki Melayu sememangnya ramai yang tidak penyayang. Adalah tidak adil membuat satu kenyatan umum secara rambang keranan masih ramai lelaki Melayu yang budiman diluar sana yang harus diberi penghargaan diatas pengorbanan dan tangungjawab mereka sebagai bapa dan suami yang baik . Jangankan `sebab nila setitik rosak susu sebelanga’ Penulis terpanggil untuk membuat kajian mengenai sikap lelaki Melayu khususnya dalam seni pemujukan dan ekspresi kasih sayang terhadap isteri. Mereka yang sudah berkahwin lebih daripada 10 tahun dijadikan kajian dalam penyelidikan ini. Secara jujurnya tidak mudah mendapatkan responden dalam kajian ini kerana ramai lelaki Melayu tidak mahu berkongsi cara mereka meluahkan kasih sayang terhadap pasangan. Ini mungkin disebabkan perasaan malu atau merasakan perkara sedemikian adalah sesuatu yang remeh untuk dijadikan bahan kajian.

Walaupun pada mulanya sukar mendapatkan responden namun kajian ini berjaya di laksanakan dan telah pun dibentangkan di seminar Penyelidikan dan Pemikiran Melayu di Universiti Teknologi MARA Shah Alam baru-baru ini. Ironinya sejak dulu, lelaki menjadi icon keperkasaan dan keberanian. Malah gambaran yang diberikan terhadap seorang lelaki dalam budaya melayu ialah sifat gagah, berdisiplin, garang, bertanggungjawab terhadap anak-anak dan isteri-isteri, berkuasa dan tempat wanita bergantung. Secara tidak langsung lelaki juga dikaitkan dengan ego yang tinggi dan sentiasa menjaga maruah kelakiannya. Dalam agama Islam sendiri, lelaki dipertanggungjawabkan untuk menjaga keluarga sebagaimana Firman Allah yang bermaksud: "Kaum lelaki adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan, oleh kerana Allah melebihkan lelaki (dengan beberapa keistimewaan) atas perempuan dan kerana lelaki sudah membelanjakan (memberi nafkah) sebahagian dari harta mereka.

 Disebabkan lelaki Melayu sering di kaitkan dengan kegagahan dan maruah kelakian, sifat penyayang dan jiwa halus mereka tenggelam dalam fizikal yang mereka miliki. Namun dalam kajian ini, lelaki Melayu sebenarnya punya keunikan yang tersendiri dalam meluahkan rasa kasih sayang dan hebat dalam memujuk isteri, tetapi tidak dizahirkan dengan jelas. Mungkin secara luarannya mereka nampak garang, pendiam dan tidak suka perkara remeh, tetapi secara dalamannya mereka punya jiwa yang sangat penyayang dan sanggup bekorban untuk isteri dan anak-anak.

Secara fitrahnya lelaki tidak gemar menunjukkan kasih sayang kerna meluahkan rasa kasih sayang secara terbuka dan berlebihan akan mencabar sifat kelakian mereka. Mereka amat suka dihormati, seiring dengan peranan mereka sebagai pemimpin. Justru, mengkaji sikap lelaki penyayang atau tidak ditentukan oleh beberapa factor. Antaranya latarbelakang keluarga yang mengukur tahap budiman dan sikap bertanggungjawab seorang lelaki. Mereka yang dilahirkan dalam keluarga yang mempunyai ayah yang garang dan tidak menunjukkan kasih sayang terhadap ibu mereka akan menjadi ikutan kepada anak-anak lelaki. Begitu juga anak lelaki sulung yang mempunyai adik beradik yang ramai dan tidak pandai mempamerkan rasa kasih sayang terhadap adik beradik akan menjadi suami yang kurang meluahkan kasih sayang terhadap pasangan.

 Dalam kaitan yang sama lelaki yang dibesarkan dalam sebuah keluarga yang bahagia dan rapat dengan ibu dan kakak-kakak akan lebih memahami jiwa wanita dan sentiasa berusaha menggembirakan wanita yang dicintainya. Selain itu pengalaman masa lalu juga boleh membentuk peribadi dan pemikiran lelaki terhadap konsep pemujukan dan rasa kasih sayang terhadap keluarga. Natijahnya naluri manusia sentiasa dahagakan kasih sayang tidak terkecuali samada lelaki atau wanita . Mempamerkan kasih sayang dalam keluarga khususnya kepada isteri dan anak-anak amat dituntut dalam kehidupan dan agama. Nabi juga mempamerkan sifat yang sangat mulia terhadap isteri-isteri baginda.

 Seorang sarjana German yang membuat kajian mengenai hubungan sentuhan dan tahap kesihatan menjelaskan bahawa seseorang itu boleh panjang umur jika memeluk isterinya setiap hari kerana pelukan dan sentuhan boleh menyebabkan tubuh manusia mengeluarkan pelbagai hormon termasuk endorfin yang baik untuk kesihatan tubuh. Malah kajian di Amerika Syarikat (AS) juga mendapati pelukan suami dapat mengurangkan tahap kolesterol dan meningkatkan kesihatan isteri. Sehubungan itu kaum lelaki pelajari teknik memujuk isteri untuk mengekalkan kebahagiaan dalam rumahtangga sehingga akhir hayat.


 Tamat

Kembalikan Kegemilangan Pendidik.

Oleh : Hariyati Ariffin

 Kerjaya sebagai pendidik sentiasa dipandang mulia oleh masyarakat sejak dulu hingga kehari ini. Tidak hairanlah, selain Ibubapa, guru dan pendidik adalah orang yang amat dipercayai oleh pelajar dan masyarakat. Mereka menjadi contoh terbaik kepada pelajar dan sentiasa dihormati. Pepatah ada mengatakan guru ibarat lilin yang membakar dirinya untuk menerangi orang lain. Seorang Doktor, jurutera, arkitek dan golongan professional bermula dengan tunjuk ajar seorang guru. Jasa baik guru dan pendidik sentiasa dikenang sampai bila-bila. Mungkin bukan suatu yang memeranjatkan jika ada yang masih mengingati guru mahupun pensyarah mereka walau sudah berpuluh tahun meninggalkan alam persekolahan dan Universiti.

 Di sekolah rendah guru merupakan ejen sosialisasi yang membentuk peribadi kanak-kanak sejak kecil. Mereka diajar dengan pelbagai asas ilmu dan nilai murni. Guru mengajar membaca, menulis, mengira dan berbudi bahasa seperti mengucapkan terima kasih, saling bekerjasama dan berakhlak mulia. Seringkali kita dapati guru disekolah rendah terdiri daripada mereka yang sangat penyayang dan prihatin terhadap murid-murid mereka. Diperingkat sekolah Menengah guru juga memainkan peranan penting, memberi ilmu dan memupuk sikap bertoleransi serta menjadi pendengar yang baik kepada ramai murid-murid yang mengalami transisi dari peringkat kanak-kanak menjadi remaja.


Di Universiti misalnya, pendidik yang baik disenangi pelajar malah mudah untuk pelajar berinterak
si dan berbincang. Namun apabila zaman berubah, kerjaya guru dan pendidik mengalami evolusinya yang tersendiri. Jika zaman dulu guru dan pendidik terdiri daripada mereka yang benar-benar minat menjadi pendidik dan sanggup bekorban apa saja untuk kerjaya berkenaan, zaman siber memperlihatkan pola perubahan kepada profession itu. Walaupun ramai antara mereka yang memohon menjadi guru dan pendidik kerana minat mendalam dalam kerjaya itu, namun ada sesetengahnya memilih kerjaya mendidik kerana terpaksa. Profesion itu dalah pilihan kedua mereka yang tidak berjaya mendapat pekerjaan mengikut jurusan yang pelajari . Kerjaya ini dianggap sebagai suatu `survival’ untuk hidup kerana kesukaran mendapat pekerjaan lain.

Mungkin ada antara mereka pada mulanya hanya `suka-suka ’ memilih kerjaya ini, namun akhirnya mula mencintai profession ini apabila sudah bergelar pendidik. Bagaimanapun ada juga antara mereka yang menjadikan profession ini sekadar `tempat persinggahan ’ dengan menceburi bidang ini sekadar mendapat gaji dan tidak dapat menjiwai profession ini secara menyeluruh. Selain tidak dapat menjiwai profession yang mulia ini dengan baik mereka juga gagal menunjukkan contoh yang baik kepada pelajar serta tidak ikhlas dalam menjalankan amanah yang diberi. Sememangnya tidak dinafikan cabaran menjadi seorang pendidik dizaman siber ini, amat besar dan memerlukan satu transformasi cara pengajaran yang berkesan. Disinilah terletaknya kebijaksanaan dan kreativiti pendidik dalam menyampaikan ilmu kepada generasi tanpa wayar sekarang ini.

 Seorang pendidik perlu memiliki ciri-ciri peribadi yang baik seperti sabar, belas-kasihan, kreatif, berilmu , bijaksana dan berpengalaman. Memetik kata-kata Prof. Dr Sidek Baba dalam buku Pendidikan Rabbani beliau menjelaskan bahawa pendidik bukan sahaja mempunyai ilmu pengetahuan, maklumat, atau pengalaman malah kepakaran tentang sesuatu. Selain itu pendidik juga mesti memberi contoh dan pekerti yang baik ketika mendidik. Mereka juga mesti mempunyai sifat kesabaran, keikhlasan amanah, adil. Bertimbangrasa dan lain-lain kualiti peribadi yang penting dalam proses pendidikan. Berdasarkan ciri-ciri yang dinyatakan diatas, jelaslah bahawa bukan mudah menjadi pendidik yang mempunyai peribadi agung dan dihormati pelajar. Mereka menjadi pendidik terbilang apabila dapat melahirkan generasi berkualiti dan berakhlak mulia yang diperlukan negara dan umat masyarakat. Kisah pengorbanan guru-guru diluar bandar patut dijadikan contoh kepada guru yang mengajar dibandar besar dengan segala kemudahan berada dihujung jari. Bayangkan guru-guru dikawasan pendalaman terpaksa menaiki bot, meredah hutan dan berkorban banyak perkara untuk menyampaikan ilmu kepada murid-murid mereka. Namun mereka masih bertahan dengan kerjaya berkenaan.

 Walaupun negara sudah semakin maju, kita jangan pula lupa bahawa masih ada beberapa kawasan pendalaman yang tidak mendapat kemudahan dalam pembelajaran. Ada sesetengah sekolah dikawasan mundur masih amat jauh ketinggalan. Mereka tidak mempunyai kemudahan moden, umpamanya komputer, adakalanya kerusi dan meja juga amat daif selain kekurangan kelengkapan, infrastruktur dan prasarananya. Namun semangat guru-guru yang mengajar dikawasan seumpama ini amat dipuji. Penulis pernah membuat tinjauan disebuah kawasan pendalaman di hulu Perak dan mendapati kegigihan guru dan semangat murid-murid dikawasan berkenaan dalam proses pembelajaran amat jauh berbeza dengan sekolah dibandaraya yang bukan sahaja lengkap dengan alat-alat pembelajaran canggih dan moden malah ada antaranya memiliki kelas berhawa dingin. Justru dalam dunia pendidikan masa kini, melahirkan pendidik yang benar-benar menjiwai kerjaya mendidik bukanlah mudah. Landskap pendidikan juga sudah banyak berubah.

Guru dan pendidik bukan sahaja diamanahkan dengan tugas hakiki, tetapi juga terpaksa melaksanakan tugas pentadbiran, kokurikulum selain memegang jawatan tertentu dalam persatuan dalaman dan luar sekolah. Selain itu guru dan pendidik juga terikat dengan garis panduan dan dasar yang ditetapkan oleh kerajaan dan kementerian. Secara tidak langsung perkara ini dikatakan punca kerjaya ini tidak dapat dihayati sepenuhnya kerana pelbagai kekangan yang mereka hadapi didalam dunia pendidikan itu sendiri. Walaupun demikian semua ini adalah cabaran besar bagi guru dan pendidik. Diharap walaupun berhadapan dengan pelbagai cabaran, guru dan pendidik akan terus gigih mencurahkan bakti mereka dengan ikhlas bagi melahirkan lebih ramai lagi modal insan yang berkualiti dari sudut ilmu, akhlak dan sistem nilai. Ingatlah bahawa Pendidik terbilang melahirkan pelajar cemerlang.


 Tamat.......

Wednesday, April 18, 2012

Cinta Bersulam Noda

Nikmat Sekejap, Derita Sepanjang Hayat Oleh Hariyati Ariffin BILA menyebut mengenai cinta, umum mengetahui bahawa ia suatu perasaan amat indah, manis dan sentiasa dikenang. Ada yang masih mengingati cinta pertama walau sudah berlalu 30 atau 40 tahun lalu. Begitulah hebatnya cinta. Namun, di sebalik kehebatan dan keindahannya, perasaan cinta yang sudah tidak dapat dikawal boleh menjadi penyakit, bukan saja merosakkan pemikiran tetapi juga melemahkan rohani dan jasmani seseorang. Penyakit cinta bukan saja melanda golongan remaja, malah orang tua dan mereka yang sudah berkahwin dan berkeluarga. Menyingkap kisah percintaan pertama sejarah umat manusia iaitu Adam dan Hawa ia memberi gambaran Allah menyatukan lelaki dan perempuan untuk saling berkasih sayang, hidup penuh bertanggungjawab dan melahirkan zuriat yang baik untuk menjadi khalifah di muka bumi ini.Apatah lagi legenda cinta Uda dan Dara, Romeo dan Juliet menjadi idola pasangan yang mabuk dilanda ombak rindu dan perasaan. Pantun kasih “nasi lemak buah bidara, sayang selasih saya lurutkan, buang emak buang saudara kerana kekasih saya turutkan,” membawa maksud mendalam pengorbanan pasangan bercinta yang lupa pada adat dan keluarga.Bagaimanapun, pengorbanan itu ada kalanya sia-sia apabila cinta hanya indah di saat permulaan dan ibarat kata pepatah ‘habis manis sepah dibuang’. Kesan percintaan yang tidak sampai ke matlamat akhir menyebabkan wanita menderita sepanjang hayat akibat ternoda lantaran terlalu mengikut nafsu. Lebih teruk lagi buah cinta atau hasil cinta yang tidak dikehendaki menjadi sampah dan dibuang tanpa ada rasa belas kasihan dan perasaan kemanusiaan. Lawatan penulis ke Pusat Perlindungan Remaja, Kem Bina Insan Kewaja, di Gombak menyingkap banyak kisah suka duka yang tersirat dan tersurat dalam jebak cinta sehingga membawa mereka mendapat perlindungan di situ. Wajah redup dan sayu gadis yang tertipu dengan janji manis kaum Adam memaparkan seribu sesalan. Namun, apakan daya, nasi sudah menjadi bubur. Nikmat sekejap yang mereka kecapi membawa derita sepanjang hayat selain menconteng arang di muka keluarga. Stigma mengandung anak luar nikah terpaksa mereka tanggung selagi nyawa dikandung badan. Mungkin mereka juga tidak meminta menjadi sedemikian, namun kerana tersilap langkah mereka terpaksa menanggung segala-galanya bersendirian. Paling tidak adil, kaum Adam yang sama menikmati keindahan cinta, lesap entah ke mana apabila gadis ini mula berbadan dua. Melangkah kaki ke Kewaja membuatkan hati penulis tersentuh apabila melihat puluhan remaja wanita dalam lingkungan umur 16 hingga 28 tahun terboyot-boyot membawa perut hasil hubungan terlarang. Ada antara mereka juga yang masih dalam pantang selepas melahirkan anak. Bagi yang berusia 16 dan 17 tahun mereka sepatutnya berada di sekolah waktu itu tetapi terpaksa menjadi penghuni di Kewaja untuk menunggu saat melahirkan anak. Menurut Pengasas Kewaja, Yahya Mohamed Yusof, pusat perlindungan itu ditubuhkan lebih 20 tahun lalu dengan niat membantu gadis yang mengandung luar nikah agar tidak membuang bayi mereka selain menjadi tempat mereka yang dirogol dan wanita bermasalah. Katanya, daripada pemerhatiannya, kebanyakan penghuni di Kewaja adalah gadis bersifat lurus dan mudah diambil kesempatan. Beliau berkata, wanita seumpama ini mudah terpedaya dengan pujuk rayu lelaki dan mereka menjadi buntu, hilang arah serta panik apabila mengetahui diri berbadan dua. Ada juga kes apabila lelaki sudah tidak mahu lagi meneruskan perhubungan, si gadis terus memujuk rayu dan sanggup berbuat apa saja untuk mengembalikan hubungan mereka. Atas dasar ini lelaki yang tidak beriman dan tidak bertanggungjawab meminta habuan seks sebagai bukti kasih sayang. Oleh kerana terlalu sayangkan lelaki berkenaan dan tidak mahu berpisah, si gadis sanggup menyerahkan mahkota kesucian semata-mata tidak mahu perhubungan terputus. Apa yang terjadi sebaliknya ialah apabila si gadis didapati mengandung, lelaki berkenaan terus menghilangkan diri. Kes seumpama ini sebenarnya banyak berlaku sehingga membawa ramai gadis malang ini mendapatkan perlindungan di Kewaja. Dalam hal ini, menurut Yahya, masyarakat akan menuding jari kepada kaum hawa kerana terlalu percaya kepada pujuk rayu lelaki hingga menyebabkan mereka mengandung luar nikah dan membawa aib kepada keluarga . Justeru, Yahya memberitahu, masyarakat sekarang seakan-akan membiarkan saja maksiat berlaku di depan mata dan seolah-olah menghalalkan maksiat.Ini disebabkan masyarakat tidak berani menegur mahupun menasihati pasangan yang berkelakuan kurang sopan kerana bimbang dikatakan suka menjaga tepi kain orang dan dimarahi. Beliau menasihati ibu bapa agar bukan saja mengawal pergerakan anak perempuan supaya menjaga maruah tetapi juga mendidik anak lelaki supaya menghormati dan melindungi wanita serta tidak mengambil kesempatan terhadap mereka.Apa yang berlaku zaman sekarang ada segelintir ibu bapa yang membiarkan anak lelaki keluar bebas melakukan aktiviti bersama rakan hingga lewat malam dan ada kalanya tidak pulang ke rumah. Selain itu, anak lelaki juga harus ditekankan mengenai disiplin dan rasa tanggungjawab dalam hidup. Beliau berpendapat cara didikan tradisional iaitu anak lelaki lebih banyak diberikan kebebasan perlu diubah dengan memberi kesedaran bahawa hormat-menghormati antara jantina amat perlu dalam satu-satu perhubungan bagi menjamin kesejahteraan hidup. Natijahnya, melalui kisah di Kewaja, jelaslah bahawa usaha membanteras maksiat bukan terletak di bahu pihak tertentu, umpamanya jabatan agama Islam saja tetapi ibu bapa, masyarakat, pendidik dan rakan sebaya harus bersama-sama memantau dan saling menasihati pasangan agar kembali ke pangkal jalan. Dengan perkembangan zaman yang membataskan masa ibu bapa dengan anak, mereka tidak seharusnya lepas tangan dalam proses mendidik anak. Masa berkualiti harus diterapkan dalam keluarga. Pemantauan kegiatan anak di dalam mahupun di luar rumah mestilah dilakukan selain peranan masyarakat harus lebih menjurus ke arah ‘satu masyarakat satu keluarga’. Mereka harus berani menegur sesiapa yang mereka kenali supaya tidak melakukan kegiatan tidak sopan. Pendidik yang diibaratkan sebagai ibu bapa kedua bagi pelajar perlu berperanan mengikut kemampuan mereka dan membantu mengatasi masalah sosial ini.Tuntasnya kesejahteraan masyarakat adalah gabungan kerjasama dan keperihatinan semua pihak bermula dari rumah. Sekolah dan masyarakat. Masyarakat yang mempunyai nilai moral yang baik menjamin keharmonian negara dan umat sejagat. Penulis pensyarah UiTM lulusan Sarjana Komunikasi Massa

Thursday, April 5, 2012

Minda: Berjiran tanpa bersemuka

Oleh Hariyati Ariffin UNGKAPAN ‘Jiran sepakat membawa berkat’ pernah menjadi tagline untuk aktiviti kemasyarakatan, khususnya bagi mengeratkan hubungan silaturahim sesama jiran tetangga lebih 20 tahun lalu. Pada masa itu konsep kejiranan amat ditekankan dalam masyarakat supaya mereka dapat saling bantu-membantu dan memahami jiran tetangga tidak kira bangsa dan agama bagi mengekalkan keharmonian hidup bermasyarakat. Mungkin ramai masih ingat konsep Rukun Tetangga iaitu satu bentuk kawalan keselamatan yang dilakukan masyarakat setempat secara bergilir-gilir bagi menjaga keamanan jiran tetangga dan kawasan penempatan masing-masing. Paling menarik mereka yang bertugas dalam Rukun Tetangga juga diberikan cuti sehari selepas tamat bertugas pada malam berkenaan. Namun, di era siber yang serba canggih dan maju kini, dengan slogan segalanya bermula di hujung jari, konsep kejiranan juga mengalami perubahan amat ketara. Apa yang jelas, kepesatan teknologi melunturkan konsep kejiranan, khususnya di kalangan masyarakat bandar. Ketaksuban masyarakat dalam era ini membuatkan mereka lebih senang berinteraksi atas talian berbanding mengamalkan interaksi secara interpersonal atau komunikasi secara muka ke muka. Kawalan di kawasan perumahan juga diswastakan kepada pengawal keselamatan yang dibayar penduduk manakala majlis kenduri-kendara lebih mudah menggunakan khidmat katering. Jika hendak memberitahu jiran sesuatu perkara, mereka lebih gemar menggunakan khidmat pesanan ringkas (SMS), bercakap melalui telefon bimbit atau disampaikan melalui e-mel. Laman sosial seperti facebook kini digunakan untuk bersembang atau mengundang jiran serta rakan ke majlis tertentu berbanding bertandang ke rumah. Disebabkan budaya baru berkomunikasi menggunakan SMS dan Internet, ada antaranya yang tidak mengenali siapa jiran sebelah rumah, anak atau keluarga mereka. Itulah senario perbezaan konsep kejiranan dulu dan sekarang. Dalam kaitan yang sama, sememangnya tidak dapat dinafikan kehidupan di bandar banyak cabarannya berbanding di desa. Masyarakat bandar hidup dalam keadaan tertekan kerana perlu bergegas ke tempat kerja seawal jam 6 pagi bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas dan mereka juga terpaksa pulang lewat malam kerana menghabiskan tugas serta mengelak kesesakan lalu lintas pada waktu petangnya pula. Ada antara mereka juga mesti bekerja keras untuk menampung kehidupan kerana kos sara hidup di bandar tinggi. Tidak hairanlah ramai masyarakat di bandar membuat dua pekerjaan dalam satu masa untuk terus menampung kehidupan mereka. Cara hidup seumpama ini menyebabkan keadaan rumah sering sepi tanpa penghuni dan bagi mereka yang mampu mengambil pembantu rumah, yang selalu kelihatan hanyalah bibik yang menguruskan rumah dan menjaga anak kecil. Anak jiran juga jarang kelihatan kerana mereka terlalu sibuk dengan urusan persekolahan dan ada yang lebih gemar ke kafe siber atau duduk memerap dalam bilik masing-masing melayari Internet dan menjalankan aktiviti secara maya. Akibat kesibukan keluar bekerja dan kehidupan yang terlalu tertekan, masyarakat bandar tidak kisah terhadap apa yang berlaku di sekeliling mereka mahupun di sebelah rumah. Apabila ini menjadi rutin kehidupan mereka bertahun-tahun lamanya, secara tidak sedar tertanamlah sikap individualistik yang tebal dalam jiwa serta sikap tidak boleh berlebih kurang kerana mereka tidak mengenali jiran dan sukar untuk berkomunikasi bagi memahami jiran secara lebih dekat. Secara umumnya jelas bahawa sikap kejiranan di bandar hari ini amat menyedihkan dan ia bagai satu gaya hidup baru yang diterima umum apabila sikap tidak ambil tahu dan tidak kisah terhadap apa yang berlaku di kawasan masing-masing dianggap satu norma kehidupan. Mereka ini bukan dalam kalangan yang tidak berpelajaran, ada antaranya mempunyai kelulusan tinggi dalam pelbagai bidang dan cabang ilmu. Namun, apabila menyentuh soal konsep kejiranan dan kemasyarakatan, mereka tidak merasakan itu satu keperluan dan kepentingan dalam hidup. Pesanan Nabi junjungan kita terhadap hidup berjiran menunjukkan bahawa kehidupan seseorang mukmin tidak sempurna pada kaca mata Islam seandainya hubungan dengan jiran tetangga tidak dipelihara dengan baik serta mereka tidak dapat hidup dalam harmoni. Jelaslah juga melalui hadis Nabi yang diriwayatkan oleh Ahmad dan Hakim yang menyentuh mengenai konsep kejiranan: “Tidak akan datang kiamat sehingga banyak perbuatan dan perkataan keji, memutuskan hubungan silaturahim dan bersikap yang buruk dengan jiran.” Hubungan kejiranan dituntut Allah SWT kerana amalan kejiranan yang sempurna memupuk semangat kerjasama, persefahaman dan keharmonian. Seperti yang dijelaskan dalam Surah An Nisaa’ Ayat 36: “Dan hendaklah kamu berbuat baik kepada ibu bapa, kaum kerabat, anak yatim, orang miskin, jiran tetangga yang dekat, jiran tetangga yang jauh, orang musafir yang terlantar dan juga hamba yang kamu miliki.” Justeru, sudah tiba masanya kita merenung kembali dan menghayati konsep kejiranan yang semakin dilupakan dalam masyarakat khususnya di bandar. Keghairahan mengejar dunia materialistik akan memberi kesan amat mendalam kepada institusi kemasyarakatan kita. Sikap individualistik, tidak ambil kisah dan tidak boleh berkompromi dengan jiran tetangga jika berlarutan boleh membawa kepada pergaduhan besar dan mungkin juga menyebabkan kecederaan dan persengketaan yang membabitkan seluruh ahli keluarga. Secara tidak langsung semua ini akan menyebabkan kualiti kehidupan terganggu. Kempen menggalakkan keharmonian hidup berjiran seharusnya diperkenalkan semula khususnya kepada masyarakat bandar. Mereka perlu lebih banyak membuat aktiviti kejiranan bersama seperti gotong-royong dan kawalan keselamatan persekitaran kediaman bagi mengeratkan kembali semangat kejiranan. Haruslah diingat bahawa kemakmuran sesebuah negara bergantung kepada kemantapan dan keutuhan hubungan setiap lapisan masyarakatnya. Masyarakat yang berkualiti juga dilahirkan melalui persefahaman dan hubungan erat yang bermula daripada sebuah hubungan kejiranan yang bersatu padu dan saling memahami antara satu sama lain. Penulis pensyarah UiTM Shah Alam

Kasih Keluarga Penawar Jiwa

APABILA menyebut ‘sakit mental’ ramai membuat tanggapan bahawa individu mengalaminya gila dan perlu dijauhi. Stigma yang dilabelkan kepada golongan berkenaan amat tidak adil kerana pesakit tidak pernah terfikir untuk menjadi begitu tetapi kerana tekanan hidup yang tidak mampu dikawal adakalanya menjadikan mereka hilang arah dan sukar mengawal emosi serta bertindak di bawah sedar. Paling menyedihkan ada golongan pesakit mental dibiarkan berkeliaran tanpa mendapat pembelaan, penjagaan rapi serta disisihkan keluarga dan masyarakat. Ada juga yang mampu disembuhkan tetapi tetap disisihkan apabila rekod mengatakan mereka ini pernah menjadi pesakit mental. Justeru, tidak hairan akibat kekurangan sokongan moral untuk meneruskan hidup selepas sembuh, penyakit berulang kerana masyarakat tidak memberi sokongan untuk mereka meneruskan hidup secara lebih berkualiti. Berikut adalah kisah benar untuk renungan bersama. Dia seorang yang sangat bijak dalam pelajaran, disenangi keluarga, menjadi idola adik-beradik dan kebanggaan ibu bapa. Dia lulusan sarjana muda dari sebuah universiti tempatan dan amat suka membaca, menghabiskan masa membuat penyelidikan serta menghadiri majlis ilmu. Namun, satu hati dia menangis tanpa henti, tidur dari pagi sampai malam dan tidak mahu berjumpa sesiapa. Sejak itu perangainya mula berubah menjadi pendiam, susut tubuh badan, suka bercakap sendiri dan tergelak tanpa sebab. Ibu bapanya terlalu risau lalu cuba mendapatkan rawatan. Pelbagai kaedah rawatan dicuba, daripada perubatan hospital hingga tradisional. Lima tahun berlalu dan dia sedang dalam proses pemulihan. Bila keadaannya semakin pulih, dia ingin bekerja. Di mana dan bagaimana dia harus memulakan kehidupannya semula selepas hampir lima tahun menjadi orang asing dalam dirinya. Kisah di atas adalah sebuah kisah benar yang didiagnosis oleh doktor sebagai penyakit kemurungan iaitu satu daripada cabang penyakit mental. Adakalanya keluarga sendiri tidak menyedari perubahan tingkah laku pesakit sehingga satu tahap dia kelihatan benar-benar tidak normal dan merisaukan barulah mereka menyedari dia perlu mendapat rawatan. Ada antara golongan yang menghidap penyakit seumpama ini terdiri daripada golongan cerdik pandai dan profesional. Amat sedih dan rugi besar apabila mereka yang mempunyai kelulusan tinggi terpaksa menghabiskan sisa hidup dalam keadaan tidak menentu. Berdasarkan kisah di atas sakit mental mungkin dilihat sebagai satu penyakit biasa dan kurang mendapat perhatian masyarakat, tidak seperti kanser, jantung, buah pinggang dan sebagainya. Namun, peningkatan pesakit mental dilaporkan baru-baru ini, memberi isyarat kepada masyarakat dan kerajaan bahawa sesuatu perlu dilakukan demi menjaga kesejahteraan dan keharmonian masyarakat serta negara. Pesakit mental perlu mendapat rawatan dan pembelaan sewajarnya, bukan sekadar mendapat rawatan di hospital dan pengambilan ubat secara berterusan tetapi juga sokongan moral dan kasih sayang daripada keluarga dan masyarakat untuk memulihkan mereka menjadi individu berguna. Memang sesuatu tidak mudah tetapi tidak mustahil dilakukan. Berkaitan itu pula, fakta yang diperoleh daripada laporan akhbar dan media online mendapati statistik secara purata menunjukkan seorang daripada enam rakyat negara ini dikenal pasti menunjukkan ciri-ciri sakit mental. Malah tinjauan Kesihatan Mobiliti dan Kesihatan 2011 juga menunjukkan 12 peratus rakyat Malaysia berusia antara 18 dan 60 tahun berhadapan pelbagai jenis penyakit mental. Statistik terbabit juga mencatatkan jumlah pesakit mental meningkat 15.6 peratus pada 2010 berbanding tahun sebelumnya dengan 400,227 orang mendapatkan rawatan di hospital kerajaan berhubung penyakit mental pada 2010. Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin pernah dilaporkan berkata bilangan pesakit mental mencatat peningkatan drastik di negara ini dan jumlahnya kian bertambah setiap tahun. Selain itu, beberapa kajian oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan Bank Dunia mendapati kemurungan adalah penyakit keempat paling serius dalam melumpuhkan jiwa seseorang di muka bumi ini. Berdasarkan fakta dan statistik berkenaan, cuba bayangkan jika semakin hari semakin ramai mereka yang tidak sihat mentalnya hanya mendapat rawatan biasa saja tetapi mereka kurang mendapat sokongan moral untuk meneruskan kehidupan. Jika ini berlaku kemungkinan mereka ini sukar untuk sembuh dan tidak mustahil menjadi ancaman kepada masyarakat pula. Apa yang ingin dicadangkan ialah kerajaan dan pihak tertentu perlu mewujudkan satu kumpulan sokongan atau pusat sehenti bagi mereka yang mengalami masalah kemurungan dan tekanan melampau mendapat bantuan moral. Fungsinya mungkin lebih kurang seperti fungsi ‘cure n care’ iaitu sebuah ‘one stop centre’ bagi penagih dadah yang diwujudkan oleh Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) di Chow kit. Di pusat berkenaan, ia boleh dijadikan tempat pesakit bertukar-tukar pendapat dan menjalankan aktiviti bersama. Umpamanya ramai pesakit suka perkara yang tidak memberatkan fikiran. Mereka suka kepada hiburan seperti menyanyi, menari, melukis dan membuat kraftangan. Jika ada sebuah tempat seumpama itu mereka boleh duduk beberapa jam sehari untuk proses pemulihan. Selain itu, interaksi mereka yang senasib mungkin boleh memberi semangat kepada pesakit kembali menjadi normal. Selain itu, jika ada pesakit yang sudah pulih, mereka harus diberikan peluang untuk bekerja dan menyara hidup tanpa prejudis. Peluang pekerjaan yang berkaitan harus dibuka untuk bekas pesakit mental bagi memberikan mereka sinar baru dalam kehidupan. Ini juga akan membuat mereka berasa lebih tenang menghadapi kehidupan. Dalam hal ini juga peranan keluarga amat penting memberi sokongan moral untuk menyembuhkan pesakit. Semangat kasih sayang dan perhatian keluarga adalah ubat paling mujarab menyembuhkan pesakit. Kasih sayang sifat terpuji dalam Islam. Ini kerana belaian dan layanan mesra daripada ahli keluarga akan melahirkan suasana yang tenang, harmoni dan damai dalam kehidupan. Ada juga segelintir keluarga tidak sanggup berkorban masa dan mencurah kasih sayang untuk bersama mereka yang mengalami sakit mental. Pesakit dianggap sudah tidak berguna lagi dan sanggup menghantar pesakit ke hospital bahagia dan pusat rawatan tradisional yang memisahkan pesakit dan keluarga. Amatlah menyedihkan apabila kita mendengar kisah mereka yang menghidap sakit mental mendapat rawatan secara tradisional yang menyeksa seperti dipukul dan dikurung dengan alasan untuk menghalau jin dan syaitan. Oleh: Hariyati Ariffin Penulis pensyarah Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media UiTM Shah Alam