Saturday, November 28, 2009
`SMS' dan `Chatting' Menolak Kemurnian Bahasa dan Budaya Melayu
SMS atau khidmat pesanan ringkas dan Chatting di laman sosial seperti Yahoo Messenger adalah antara fenomena kegilaan masyarakat masa kini. Masyarakat tidak kira dari pelbagai kelompok usia, menggunakan teknologi ini untuk bersosial dan menyampaikan maklumat selaras dengan perkembangan Teknologi Maklumat dan Komunikasi zaman ini.
Kewujudan Media baru yang menggabungkan teknologi Internet, audiovisual dan telefon ini bukan sahaja memberi banyak kemudahan untuk menyampaikan maklumat dan bersosial, malah hubungan dan interaksi diseluruh pelusuk dunia dapat dijalinkan dengan mudah ,cepat dan pantas.
Namun disebalik keghairahan masyarakat menggunakan teknologi baru ini, suatu perkara yang mungkin terlepas pandang ialah kemurnian Bahasa dan adap sopan dalam proses berkomunikasi.Sejajar dengan budaya Melayu yang sentiasa mementingkan serta menjaga adap, sopan dan ketertiban dalam berkomunikasi bahasa sms dan chatting dilihat sebagai menolak kemurnian bahasa. Melalui Bahasa sms dan chatting yang dikontotkan dan penggunaan akronim serta cara berkomunikasi yang amat ringkas kadangkala boleh menyebabkan kekeliruan dan memberi tafsiran berbeza dari seorang pengirim kepada penerima mesej.
Dalam kaitan yang sama Bahasa SMS yang sentiasa di ekonomikan kerana ruang menerima pesanan ringkas tidak boleh menampong lebih 160 perkataan sekali penghantaran, membuatkan penghantarnya sentiasa meminimum perkataan yang akan dihatar. Sekaligus jika di lihat dari sudut terminologi bahasa dan nahu ianya secara terang menjadi satu kesalahan bahasa. Apatah lagi jika menggunakan pengekronim bahasa seperti OMG, ASAP yang kadangkala tidak difahami akan membawa maksud yang berlainan dan disalahtafsirkan oleh penerima mesej berkenaan.
Bahasa SMS dan chatting ini sememangnya sudah diterima pakai oleh umum, namun dari sudut bahasa, ianya secara tidak langsung menolak kemurnian bahasa itu sendiri. Umpamanya jika seseorang bertanya kepada pengirim mesej dengan berbunyi begini:
`Ni sape ek' atau `mane ko dapat no aku ni' secara intonasinya jika di terjemahkan dalam bahasa lisan sudah terlalu kasar bunyinya. Malah amat tidak sopan lagi bila pensyarah menerima mesej yang kurang manis bunyinya seperti ini.
`ni sape ni ek'
Melalui sms itu jelas menunjukkan sikap kurang ajar yang ada dalam diri seorang pelajar berkenaan, namun disebalik tafsiran berkenaan mungkin pelajar itu tidak bermaksud untuk bersikap kurang ajar.
Salah tafsir atau maksud yang tidak sampai kerana ayat yang terlalu pendek juga berlaku, Mengambil contoh kejadian di FKPM (Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, UiTM, Shah Alam) iaitu apabila seorang pensyarah menerima mesej dari pelajarnya dan dia menjawab mesej berkenaan dengan begitu pendek sehingga menyebabkan kekeliruan kerana salah pentafsiran terhadap mesej berkenaan. Mesej berbunyi begini:
`Encik ari ni klas jam 8 pg di DK 16 kan...'
Jawab pensyarah:
` Ya...btl'
Apa yang terjadi apabila pensyarah tiba dikelas seorang pelajar pun tidak menghadiri kelas pagi itu. Rupa-rupanya pelajar mentafsirkan mesej pensyarah sebagai Ya Batal...
Senario ini adalah antara masalah pentafsiran dan salahfaham mesej kerana ayat yang dihantar terlalu pendek dan adakalanya kurang difahami penerima.
Menurut Siti Rohana Mohd Thani pensyarah di Fakulti Bahasa dan Linguistik Universiti Malaya, Bahasa sms dan chatting yang sentiasa memendekkan ayat akan membuat masyarakat tidak lagi tahu mengeja perkataan yang sebenarnya. Jika ianya menjadi budaya yang diterima pakai semua golongan, beliau bimbang golongan pelajar dan murid2 sekolah khususnya akan terpengaruh menulis dalam bentuk sms dan chatting dalam kerja sekolah dan tugasan di Universiti.
Rohana juga berkata jika gejala ini tidak dibendung dan tidak dipandang serius oleh pihak tertentu khususnya DBP dan kementerian yang berkenaan kemungkinan pelajar akan malas menulis dan tidak akan berminat dalam bidang penulisan lagi.
Beliau juga berkata,amat penting masyarakat kita mengagungkan bahasa, kerana bila kita lalai tentang maruah bahasa, kita juga akan lupa pada asal usul kita. Pepatah ada mengatakan Bahasa menunjukkan Bangsa dan bila rosak bahasa rosaklah bangsa.
Sementara itu, Pensyarah Kewartawanan di Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media,UiTM Shah Alam, Dr Rahmat Ghazali pula menegaskan bahawa kewujudan Media baru adalah penciptaan teknologi terkini yang memudahkan untuk berinteraksi dengan cepat diserata pelusok dunia. Ianya dilihat sebagai satu perkembangan teknologi terkini yang sangat memberi manafaat kepada manusia sejagat.
Namun beliau juga berpendapat terdapat sudut negatif dalam Media baru khususnya sms dan ruang sembang maya atau chatting ini. Beliau berpendapat penggunaan ayat-ayat yang tidak ditapis dan ayat sosial yang sewenang-wenangnya digunakan dalam internet dan sms mencemarkan budaya Melayu yang terkenal dengan bahasa yang indah dan berlapik.
Beliau memberi komen mengenai bahasa dalam ruangan chatting yang kadangkalanya amat keterlaluan sehingga terlalu bebas membicarakan apa sahaja termasuk seks dan bahasa lucah. Ketiadaaan `gatekeeper' atau badan penapisan dalam internet ini katanya membuatkan penyembang dengan berani menulis kata-kata yang kurang manis dan tidak bersopan dalam ruang sembang maya.
Menurut Dr Rahmat lagi, kajian yang dijalankan oleh seorang pelajar FKPM mengatakan ruang sembang maya Yahoo Messenger didapati digunakan sebagai wadah bagi mereka yang ingin mengiklankan diri bagi tujuan kurang sihat seperti mencari teman bersosial dan menjalankan aktiviti kurang sihat seperti mencari teman untuk kegiatan seks dan sebagainya. Beliau mengatakan penggunaan bahasa yang kurang bersopan secara tidak langsung mencemarkan budaya berkomunikasi dikalangan masyarakat Melayu.
Dr Rahmat mengatakan bahawa, melalui kajian yang dijalankan itu mendapati kebanyakan penyembang dalam Yahoo Messenger adalah golongan Melayu berdasarkan cara penulisan dan audio. Ini jelas membimbangkan kerana kata beliau lagi, masalah gejala sosial dikalangan masyarakat Melayu dikhuatiri akan meningkat jika tidak ada badan yang mengawal selia ruang sembang maya ini. Beliau juga menjelaskan ekoran dari sembang diinternet ini tidak mustahil gejala ini menjalar ke masalah sosial yang lain seperti kes pembuangan anak dan kes pesta seks dan sebagainya.
dalam kaitan yang sama laporan muka depan harian Metro dalam bulan Nov 2009 juga ada menyebut bagaimana enam siswi diperdaya oleh seorang lelaki yang pandai memujuk rayu dengan kata2 cintanya dalam ruang sembang maya sehingga menyebabkan enam siswi ini dikenduri oleh rakan2 lelaki berkenaan dalam satu pesta seks dan arak di Pahang.
Jelaslah bahawa, sesuatu inovasi teknologi terkini tidak semuanya memberi manafaat secara total kepada masyarakat sejagat. Naluri manusia sendiri lebih mudah menyalahgunakan sesuatu yang dicipta untuk tujuan tidak sihat. Sehubungan itu sebagai manusia kawal selia oleh pihak tertentu dikatakan sesuatu yang amat baik untuk mengawal kelalaian dan kealpaan manusia terhadap etika dan penggunaan sesuatu teknologi baru yang dicipta.
Seperti kata Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Dato Saifuddin Abdullah dalam satu seminar Antarabangsa Komunikasi dan Budaya di UiTM baru-baru ini, masyarakat perlu ada self regulation dalam mengawal selian penyalahgunaan teknologi baru ini. Bermakna masyarakat sendiri perlu mengawal diri dalam usaha membendung penyalahgunaan media baru serta mengamalkan etika murni kepada budaya baru masyarakat dunia masa kini. Ini kerana buat masa ini tidak ada lagi akta dalam Multi Media yang boleh mensabitkan mereka yang menyalahgunakan ruangan sembang dan sms ini. Dalam akta Komunikasi dan Multi Media 1992 ada menyebut:
`( Nothing in this law should be construct as allowing censorship)
Tidak ada mana-mana dalam akta ini yang boleh di terjemahkan sebagai membenarkan penapisan'
Mungkin tidak semudah saranan Dato Saifuddin tentang mengamalkan self regulation ini, kerana manusia sekarang sudah ramai yang tidak beretika, malah ada yang sudah menolak agama dalam hidup mereka. Jadi bagaimana mahu beretika dan mengikut peraturan jika alam siber sendiri sudah tidak dapat mengenal yang baik dan yang buruk serta ketaksuban alam ini membuatkan manusia sendiri lupa bahawa Allah melihat apa yang mereka lakukan.
Tidak hairanlah jika ada yang terpaksa dikorbankan kerana terlalu ghairah dengan keajaiban teknologi ini.Semestinya harga bagi sebuah kemajuan seumpaman ini terpaksa dibayar dengan maruah bahasa dan bangsa. Justru sebelum terlewat, pengawasan terhadap ketaksuban teknologi baru ini perlu ada hadnya. Dalam hal ini, dinegara kita khususnya isu bahasa dan kesopanan menggunakan teknologi ini perlu mendapat perhatian serius pihak tertentu. Kawalan dan tapisan juga perlu di buat bagi memastikan masyarakat tidak terlalu taksub terhadap perkembangan teknologi komunikasi ini sehingga tidak lagi menghiraukan isu bahasa dan adap sopan dalam norma kehidupan manusia.Jika negara seperti china, Arab saudi dan singapura boleh mengawal selia Media baru mereka mengapa negara kita tidak melakukannya.
Sudah tiba masanya MCMC, kementerian pendidikan dan kepimpinan tertinggi duduk semeja membincangkan mengenai kes-kes terpencil yang menjadi akar umbi kepada jenayah bahasa, penyalahgunaan media baru dan masalah2 lain yang boleh menjurus kepada masalah pembinaan jati diri dan pembinaan negara bangsa. Bak kata pepatah api sewaktu kecil menjadi kawan sesudah besar menjadi lawan. Begitulah masalah Media baru yang perlu dibendung penyalahgunaanya sebelum ianya merebak menjadi api yang memusnahkan.
Subscribe to:
Posts (Atom)