Sunday, February 21, 2010

Yang Tua Di hormati Yang Muda Disayangi

Sikap saling hormat menghormati bukan sahaja diamalkan dikalangan bangsa kita Melayu. Malah bangsa lain seperti Jepun, Korea dan banyak lagi bangsa di dunia ini amat mementingkan rasa hormat menghormati dan saling memahami antara satu sama lain. Sejak dulu lagi, generasi muda dan generasi tua sering berbalah dan berselisih pendapat mengenai banyak perkara. Jika dizaman saya dulu, ibu dan ayah saya paling tidak gemar kepada fesyen dan gaya remaja masa dulu iaitu pakaian ketat dan seluar bellbottom serta rambut afro yang menjadi kegilaan fesyen ketika itu.Saya pula agak kurang senang dengan muzik zaman sekarang dan gaya hidup generasi muda yang terlalu ambil ringkas segala perkara seperti pendek dan ringkasnya sistem pesanan melalui telefon sekarang. Namun sebagai pensyarah apa yang saya masih boleh banggakan ialah sikap pelajar saya yang masih tebal dengan budi bahasa apabila bertemu saya. Mereka masih tidak lupa bersalam dan memberi senyuman apabila bertembung dengan saya di Fakulti mahupun di perkarangan Universiti. Sememangnya saya cukup menyenangi sikap mereka yang jika dilihat dari luaran mereka seperti kelihatan sombong namun betul kata pepatah melayu, jangan menilai seseorang dari luarannya sahaja. Pelajar Masscom sinonim dengan gaya glamour dan penampilan dress to kill mereka. Namun keluhuran hati mereka tidak boleh diukur dari penampilan luaran mereka. Bagaimanapun saya terpanggil untuk berkongsi pengalaman bersama semua pembaca dan pelajar saya mengenai sikap seorang pensyarah muda di Fakulti saya yang seakan tidak berpijak dibumi nyata. Kesombongan dan sikap tinggi dirinya mengatasi pensyarah yang sudah lama mengajar. Sedangkan beliau baru berkhidmat dua tahun memegang jawatan pensyarah di Fakulti kami. Bukan mengatakan diri saya baik atau sempurna, tetapi sikap suka mengadu hal kepada dekan dan ada saja perkara yang tidak kena serta tidak boleh berlebih kurang beliau membuatkan saya terpanggil menulis artikel ini dengan harapan para pelajar yang bakal menjadi pensyarah jangan mudah lupa diri. lebih-lebih lagi jika anda menjadi pensyarah ditempat yang anda pernah menimba ilmu pengetahuan. Jangan rasakan anda berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan pensyarah yang sudah lama berkhidmat. Hormati mereka ( pensyarah lama) walaupun mungkin anda lebih baik dari mereka. Tidak salah mempunyai sikap beralah dengan orang lama. yalah berapa lama sangatlah kami yang lama ini akan berkhidmat. Generasi muda inilah yang akan menjadi pelapis pensyarah di Fakulti ini serta menjadi pentadbir Fakulti yang menentukan arah tuju siswa dan siswinya. Ingatlah bahawa menjadi pensyarah adalah satu kerjaya yang sangat mulia dan memerlukan ketabahan dan kesabaran dalam menanggani banyak perkara dalam proses penyampaian ilmu. Menjadi pensyarah perlu ada `passion' dan minat mendalam. Bukan sekadar mengajar sahaja tetapi berkongsi segala maklumat dan menyebarkan ilmu serta menerapkan nilai murni dan akhlak pada pelajarnya. Sehubungan itu pensyarah perlu menunjukkan contoh yang baik kepada pelajarnya. Pada pendapat saya jika anda berumur 28 tahun dan menjadi pensyarah sudah semestinya pelajar lebih mudah mendekati anda daripada pensyarah tua seperti saya. Ini mungkin kerana persamaan pendapat dan ideologi orang muda yang memungkinkan mereka boleh menjalani proses pembelajaran dengan mudah. Namun lain mula dengan pensyarah ini. Sikap sombongnya amat ketara. Paling tidak menyenangka apabila pensyarah muda juga sudah pandai menengking dan herdik pelajar serta selalu boikot kelas dengan alasan pelajar datang lambat 10 minit ini. Sebenarnya tindakan ini menunjukkan attitude pensyarah yang kurang matang dan tidak layak duduk di Universiti menjadi tenaga pengajarnya. Sikap panas baran pensyarah muda ini dan sikap menunjuk pandai beliau amat memualkan. Bukan orang tidak kenal siapa beliau yang hanya pandai bercakap tapi kerja tak jalan. Ibarat tin kosong yang bising tanpa membawa faedah. Mungkin beliau terlalu teruja mendapat jawatan pensyarah di Fakulti ini sehingga lupa diri. Akhir kata nasihat pensyarah lama seperti saya kepada beliau, contohi ketabahan dan ketenangan serta kebijaksanaan pensyarah lama di Fakulti kita seperti Profesor Mokhtar, Prof Madya Abdullah, Dr Halimatun, dan ramai lagi yang menjadi icon Masscom. Seperti kata pepatah `Yang Tua Dihormati Yang Muda Disayangi' ubahlah sikap sombong yang ada pada anda supaya anda dihormati sebagai pensyarah yang berkalibar dan mempunyai akhlak yang boleh dicontohi pelajar lain.