Tuesday, June 28, 2011

KEAJAIBAN KATA-KATA

PERNAHKAH anda mendengar ungkapan ini, ‘kata-kata adalah doa.’ Setiap apa yang kita tuturkan memberi kesan pada diri kita. Perkataan positif dapat menjana kesihatan minda dan spiritual, selain menjadikan kita terus bertenaga untuk menjalani kehidupan seharian. Kenyataan ini disokong pakar komunikasi dengan mengatakan perkataan mempunyai kuasa ajaib yang boleh mempengaruhi kehidupan seseorang . Malah, melalui perkataan yang kita ucapkan ia akan menjadi satu kenyataan dan membentuk kehidupan kita berdasarkan pemikiran kita. Maka tidak hairanlah mengapa sejak kecil lagi kita dididik oleh ibu bapa kita untuk bercakap perkara yang baik dan menghindari perkataan buruk dan keji. Bukan setakat itu saja, kita juga disuruh berlemah lembut dalam setiap pertuturan dan perbuatan serta sentiasa menjaga hati orang lain dalam hubungan sosial. Masyarakat Melayu zaman dulu berpandukan adab dan nilai murni sebagai garis panduan kepada keharmonian dan kesejahteraan hidup. Sejak dulu kita diajar untuk berkomunikasi secara berhemah dan tidak menyinggung perasaan orang lain dalam pertuturan seharian kita. Sikap seumpama ini ditekankan lagi dalam banyak pepatah dan bidalan yang berkait rapat dengan bercakap baik dan berhemah. Umpamanya orang-orang tua selalu berpesan ‘jika bercakap biar berlapik’ jangan menyakitkan hati orang. ‘Cakap siang pandang-pandang cakap malam dengar-dengar.’ Keterlanjuran perkataan memberi kesan kepada pendengarnya dan amat bersesuaian dengan pepatah ‘terlajak perahu boleh diundur terlajak kata buruk padahnya.’ Pepatah paling popular, ‘sebab pulut santan binasa, sebab mulut badan binasa.’ Menurut sejarah, zaman kegemilangan tamadun Melayu banyak bergantung kepada nilai murni yang diamalkan pada zaman itu. Namun, apabila zaman beredar dan media baru mempengaruhi kehidupan masyarakat, cara berkomunikasi dan cara hidup juga turut berubah. Nilai murni serta budi bahasa turut mengalami kelunturan dan terancam. Alasan dan pendapat masa kini mengatakan kita harus berubah sejajar peredaran masa dan teknologi. Perkataan dan cara berkomunikasi menjadi semakin ringkas dan adakalanya membawa maksud dan persepsi berbeza mengikut peringkat umur. Menurut Zamri Mohamad, seorang perunding bebas dan penulis buku, perkataan mempunyai nilai kuasa tersendiri. Apabila kita mengetahui nilai kuasa tersebut, kita perlu lebih berhati-hati dan bertindak bijak untuk menyebut serta memilih perkataan yang memberi kesan baik kepada diri. Beliau juga berkata, perkataan yang keluar daripada mulut amat berpengaruh dalam kehidupan. Selain itu menurutnya, perkataan boleh mengubah emosi dan membuat manusia bertindak serta menggambarkan budaya hidup. Dalam kaitan yang sama apabila perkataan boleh mengubah emosi, kita mengambil contoh perkataan kurang baik dan menjatuhkan maruah seseorang. Secara tidak langsung perkataan seumpama itu akan menyebabkan individu berkenaan bukan saja rasa sedih dan malu malah menyebabkan kehidupan tertekan dan tidak bermotivasi. Tidak salah jika ingin membetulkan kesilapan seseorang melalui percakapan dan nasihat yang baik serta bahasa lemah lembut yang boleh menaikkan semangat mereka yang mendengarnya. Nabi juga pernah berpesan dan mengajar kita menggunakan perkataan yang baik-baik kerana ia dapat menghubungkan rasa kasih sayang dan memotivasikan seseorang bagi menuju kejayaan dunia dan akhirat. Dalam kaitan yang sama, sarjana komunikasi sendiri menggariskan antara ciri-ciri komunikasi berhemah ialah bercakap dengan lemah lembut serta menjadi pendengar yang baik. Ini bertujuan menjayakan komunikasi dua hala selain menjalin keharmonian dalam interaksi. Perkataan tidak manis didengar dan adakalanya menyakitkan hati menyebabkan manusia boleh bertindak di luar jangkaan. Perasaan marah dan sakit hati akibat perkataan menghina dan caci maki menyebabkan pergaduhan berlaku dan ada kalanya melibatkan nyawa dan kerosakan. Mungkin kita banyak membaca laporan di akhbar mengenai isu seumpama itu yang menyebabkan pergaduhan dan permusuhan kerana emosi kemarahan yang tidak dapat dikawal. Bercakap kurang sopan juga melambangkan sikap dan budaya serta cara hidup seseorang yang dipenuhi dengan unsur negatif. Umpamanya, individu yang selalu cepat marah tidak kira dalam apa juga situasi dan kerap memaki hamun tidak tentu pasal secara tidak langsung melambangkan peribadi kurang elok individu berkenaan. Kita mungkin pernah berhadapan dengan rakan pejabat, rakan sebaya atau mereka yang berurusan dengan kita yang sentiasa mengeluarkan perkataan tidak sopan dan mudah memaki hamun serta menghina orang lain. Aura negatif individu seumpama ini akan menyebabkan hidup kita juga tertekan dan tidak tenang untuk berurusan dan berinteraksi. Mereka yang tergolong dalam kumpulan ini sebenarnya mempunyai rasa tidak puas hati dengan diri mereka sendiri dan mengalami harga diri yang rendah. Sehubungan itu, pakar psikologi mengatakan individu yang berjaya adalah mereka yang mempunyai harga diri tinggi dan berfikiran positif manakala, individu yang gagal mempunyai harga diri rendah serta sentiasa berfikiran negatif. Mereka yang mempunyai harga diri tinggi bercakap dengan berhemah, bahasa yang mereka gunakan baik, lebih lancar, tersusun, lemah lembut dan tata bahasanya betul. Mereka menggunakan kata-kata jenis positif. Mereka juga menunjukkan komitmen kepada apa yang mereka ucapkan, iaitu mereka menepati janji dan menunaikan kata-kata mereka. Bagaimanapun, mereka yang punyai harga diri rendah adalah sebaliknya. Ironinya, kata-kata yang baik dan lembut pertuturannya membuatkan kita rasa seronok mendengar dan menghayatinya, sebaliknya kata-kata negatif, kasar dan penghinaan membuatkan kita rasa murung dan tidak bermotivasi. Justeru, walaupun zaman beredar tidak rugi jika kita mempraktikkan cara berbahasa dan bercakap dengan baik kepada semua golongan dan peringkat masyarakat. Di rumah umpamanya, amalkan cara berkomunikasi yang lembut dan baik dengan seluruh ahli keluarga kerana ibu bapa contoh terbaik kepada anak-anak. ‘Bagaimana kuih begitulah acuannya’ perlakuan ibu bapa menjadi contoh terbaik kepada anak-anak. Di sekolah dan di pusat pengajian tinggi pula, guru dan pendidik harus mengamalkannya supaya budaya murni ini dicontohi pelajar. Adakalanya guru dan pendidik menyuruh pelajar mengamalkan sikap baik tetapi mereka sendiri tidak mempraktikkannya. ‘Sikap kepemimpinan melalui teladan’ pendidik akan membuatkan pelajar lebih menghormati mereka. Begitu juga di pejabat, jika menjadi ketua pejabat, komunikasi yang baik dan berhemah menjalin kesejahteraan antara ketua dengan kakitangan serta antara kakitangan dan kakitangan yang lain. Sikap sombong dan tidak mesra seorang ketua pejabat akan menyebabkan produktiviti kakitangan menjadi rendah serta tidak bermotivasi. Seterusnya sebagai orang awam interaksi yang baik dengan masyarakat umum secara tidak langsung menunjukkan peribadi mulia anda. Mengamalkan cara berkomunikasi yang baik dan lemah lembut sebenarnya boleh mengubah seseorang serta menjaga keharmonian persahabatan seterusnya membina kesejahteraan hidup. Akhir sekali sifat terpuji yang amat disukai Allah dalam diri seseorang Muslim ialah sifat lemah lembut. Oleh sebab itu, Rasulullah pernah bersabda maksudnya: “Allah itu bersifat lemah lembut dan amat menyukai sifat lemah lembut dalam setiap urusan.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim). Oleh Hariyati Ariffin Pensyarah Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media Uitm, Shah Alam

Cabaran Menjaga Ibubapa Uzur.

Kitaran hidup manusia yang bermula sejak dari rahim Ibu sehingga saat kematian telah di tentukan oleh Allah. Yang muda akan menjadi tua dan mereka juga akan melalui apa yang pernah dilalui oleh mereka yang terdahulu . Menurut Erik Erikson (1963) pakar saikologi Barat, kitaran hidup manusia merangkumi beberapa tahap dalam kehidupan serta mempunyai tugas dan tanggungjawab perkembangan yang perlu dilakukan. Tahap tersebut bermula dari peringkat bayi hingga tua dan saat kematian. Oleh yang demikian menjadi tua adalah suatu yang pasti dan kita tidak dapat mengelakkannya. Dinegara kita bilangan warga emas semakin meningkat dengan kemajuan bidang perubatan dan kesedaran menjaga kesihatan. Hasilnya Warga emas dinegara kita dapat hidup lebih lama dan menjalani kehidupan yang lebih berkualiti. Statistik dari Kementerian Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat mendapati bilangan warga emas di Negara kita pada tahun lalu mencecah hampir 2 juta iaitu 7.1 peratus daripada 26.7 juta penduduk dinegara ini. Bilangan itu dijangka meningkat lebih 10 peratus sekitar 2025 dan akan mencapai 15 peratus pada tahun 2035. Apa yang ingin ditekan disini ialah dengan pertambahan jangkahayat warga emas di Negara kita, masyarakat perlu lebih bersedia memikul tanggungjawab menjaga kebajikan mereka khususnya ahli keluarga sendiri bagi terus membantu warga emas ini menjalani kehidupan masa tua dengan berkualiti dan penuh kasih sayang. Bagi warga emas yang sudah tidak berdaya untuk mengurus diri , mereka amat memerlukan sokongan, kasih sayang dan bantuan dari seluruh ahli keluarga dan masyarakat . Perubahan gaya hidup masa kini banyak memberi cabaran kepada anak2 untuk menjaga ibubapa yang telah uzur. Mungkin akibat desakan kehidupan dan factor ekonomi ada segelintir anak2 yang terpaksa menghantar ibubapa ke pusat jagaan orang2 tua sebagai jalan terbaik bagi ibubapa berkenaan. Masing-masing punya alasan tersendiri berbuat demikian. Disebalik kisah ibubapa yang dihantar kerumah orang2 tua, sebenarnya masih ramai juga yang mengambil tanggungjawab menjaga sendiri ibubapa yang sakit dan uzur dengan bantuan pembantu rumah dan anak2 serta menantu yang tidak bekerja dirumah. Keselesaan dan kasih sayang keluarga sememangnya ubat paling mujarab bagi warga emas melalui saat tua mereka. Selain itu rumah sendiri atau rumah anak2 adalah tempat paling kondusif bagi ibubapa uzur menghabiskan sisa hidup mereka. Sememangnya tidak semudah yang diperkatakan. Adakalanya konflik timbul dikalangan ahli keluarga sendiri kerana urusan menjaga ibubapa yang uzur dan adakalanya yang hilang keupayaan dan nyanyuk. Banyak faktor yang menyebabkan berlakunya konflik keluarga dalam penjagaan ibubapa seumpama ini. Salah satunya perangai ibubapa yang uzur dan terlalu meminta perhatian sehingga menyebabkan keluarga berkonflik. Sikap anak2 lain dan menantu yang jarang ambil berat serta sikap lepas tangan anak2 yang merasakan ibubapa mereka ada tempat bergantung yang selesa, Selain itu ada juga kes dimana mereka yang diamanahkan untuk menjaga ibubapa yang uzur kurang mendapat sokongan dan bantuan dari segi fizikal mental dan material daripada ahli keluarga yang lain. Biasanya anak2 yang terpilih menjaga ibubapa adalah mereka yang rapat dan paling sabar serta mempunyai kedudukan ekonomi yang agak kukuh. Dalam hal yang berkaitan, biasanya jika ibubapa berkenaan tinggal bersama anak2 yang boleh menjaga mereka ahli keluarga yang lain seringkali merasakan keperluan ibubapa sudah terisi. Mereka juga sering merasakan ibubapa berkenaan sudah selesa dengan mereka yang menjaganya dan adakalanya lupa bahawa mereka ( anak2 ini) juga harus bersama2 memberikan komitmen terhadap ibubapa berkenaan walaupun tinggal berasingan. Rambut sama hitam hati lain2, begitu lah sikap dan perangai manusia walaupun lahir dari satu ibu atau satu ayah, mereka punya pelbagai karenah dan pendirian hidup. Seperti kata pepatah, `dalam setandan pisang tidak semuanya yang eluk’. Dalam kes seumpama ini , jika ada anak yang sanggup bekorban menjaga ibubapa yang sakit anak2 yang lain dengan senang hati menjadi pemerhati jarak jauh sahaja. Adakalanya ahli keluarga yang lain tidak memikirkan bahawa mereka yang bertanggungjawab itu perlu menjalani kehidupan seperti orang lain walaupun pada hakikatnya mereka sanggup berkorban menggalas tanggungjawabmenjaga ibubapa yang uzur. Seringkali juga sikap tidak prihatin ahli keluarga yang lain terhadap kehendak ibubapa yang uzur dan mereka yang diamanahkan menjaga menyebabkan keluarga berpecah belah. Masing-masing mempunyai alasan tersendiri apabila terpaksa memberi sedikit komitmen dan masa untuk kedua ibubapa. Betul lah kata orang2 tua, seorang ibu boleh menjaga 10 anak, tapi seorang anak belum tentu boleh menjaga seorang ibu. Memang agak pedas bunyinya pepatah itu, tapi harus diingat bahawa, bukan mudah melayan karenah ibubapa yang sudah uzur dan sakit. Mereka amat2 memerlukan perhatian dan adakalanya permintaan mereka sering membuatkan anak2 menjadi keliru dan sukar memenuhinya atas alasan tertentu. Tidak semua orang tua mempunyai karenah cerewet dan sukar difahami, tapi jika ada yang sedemikian, ini adalah cabaran paling hebat buat mereka yang menjaganya. Sikap cerewet dan kembali menjadi keanak2anakan serta suka mengadu perkara yang bukan2 pada anak2 yang lain menyebabkan mereka yang menjaganya mendapat tekanan yang amat tinggi. Sebenarnya ibubapa yang uzur ini menjalankan `modus operandi’ seumpaman ini bagi menagih simpati dan kasih sayang anak2. Mereka mengalami apa yang dinamakan sebagai sindrom ` Empty Nest’ dalam sosiologi. Mereka kesunyian dan mahukan anak2 sentiasa berada disisi mereka. Karenah mereka memang amat mencabar. Mereka amat memerlukan perhatian disaat keuzuran. Oleh itu jika tidak berbuat demikian jarang yang ada datang melawat. Semuanya memberi alasan sibuk bekerja. Namun bagi anak2 yang kurang prihatin dan tidak sensitif terhadap kehendak ibubapa yang uzur ini menyebabkan mereka malas melayan segala perangai remeh temeh ibubapa yang uzur ini. Tetapi haruslah dingat bahawa melihat karenah orang tua adalah pengajaran terbaik bagi semua yang bergelar manusia kerana ada masanya kita juga akan tua dan menajdi seperti ibubapa kita yang uzur. Dalam hal ini bagi mereka yang menjaga ibubapa yang uzur semestinya amat maklum mengenai karenah dan perangai ibubapa berkenaan. Seperti kata pepatah `ditelan mati mak diluah mati bapak’ jika tidak diturutkan dikatakan anak derhaka jika terus menerus mengikut setiap apa suruhan dan melayan karenah yang kadangkala tidak masuk akal, mereka yang menjaga nya boleh menjadi terlalu tertekan dan mengalami sakit sampingan kerana berhadapan dengan kehidpan yang penuh stress. Betul lah ada yang kata, bahawa menjaga kedua orang tua yang sakit dan uzur perlu banyak bersabar dan tabah, kerana adakalanya kita mengumpul lebih banyak dosa berbanding pahala yang Allah berikan. Berat mata memandang berat lagi bahu yang memikul. Orang luar nampak segalanya cantik namun yang merasainya dan mengalaminya hanya tuhan sahaja yang tahu. Bagi mereka yang menjaga ibubapa uzur adakalanya rumahtangga juga boleh bergoyang. Jika suami atau isteri memahami dan tahu tanggungjawab mereka dalam menjaga ibubapa yang uzur mungkin masalah tidak terlalu rumit. Namun apa yang terjadi masa kini ada suami atau isteri khususnya menantu yang tidak dapat menerima tangggungjawab ini sebagai satu tanggungjawab bersama. Adakalanya ianya dibebankan pada satu pihak sahaja selalunya anak kandung sendiri sehingga menyebabkan mereka yang terpaksa menanggung ibubapa yang uzur mengalami tekanan dan terpaksa bertindak diluar dugaan. Justru, sebagai anak kita perlu banyak bersabar dan berdoa pada Allah semoga Ibubapa yang uzur diberikan ketabahan dan kesabaran sewaktu uzur. Melalui pengalaman mereka yang pernah menjaga ibubapa yang sakit, kesabaran dan ketabahan adalah pokok segalanya bagi meneruskan apa yang dilakukan. Adakalanya apa yang dipaparkan di media dan filem2 hanyalah pandangan satu pihak sahaja, namun realitinya menjaga ibu dan ayah yang sakit benar2 menguji kesabaran, keimanan dan ketabahan. Paling penting tahap kesabaran yang tinggi serta sentiasa merasakan ini semua satu tanggungjawab besar yang diamanahkan Allah. Tidak hairan lah mengapa Allah suruh kita berbuat baik dan bersabar kepada orang tua khususnya kedua ibubapa. Ini kerana ketabahan dan keimanan seseorang itu amat di duga Allah disaat berhadapan dengan karenah kedua ibubapa yang uzur. Ingatlah hidup ini karma, jika kita berbuat baik pada kedua ibubapa insyaAllah anak2 kita akan berbuat perkara yang sama kepada kita. Tamat.

Senyum Ikhlas, beramah mesra dan bertanggungjawab.

Amalan Komunikasi Berhemah di rumah dan di Pejabat. Pesan orang tua-tua ` cakap siang pandang-pandang, cakap malam dengar-dengar’ yang bermaksud menyuruh kita berhati-hati jika bercakap agar tidak menyentuh perasaan orang lain serta tidak menyakitkan hati orang yang mendengarnya. Maksud dan pengertian nya amat mendalam khususnya dalam keberkesanan komunikasi seharian yang banyak melibatkan hubungan individu dengan individu yang lain serta masyarakat keseluruhannya. Tidak dinafikan masalah dalam komunikasi seharian terlalu banyak antaranya, silap tafsir dan pengertian terhadap mesej yang nak disampaikan, konflik yang berlaku antara rakan pejabat, konflik dalam keluarga, mengendalikan aduan dan rungutan, tidak kira dirumah atau tempat lain . Selain itu berhadapan dengan orang yang bersikap autokratik dan sentiasa `hendak menang’, serta orang yang bersikap talam dua muka ’ dan orang yang ego dan sukar menerima pendapat orang lain. Ini adalah antara sebahagian masalah komunikasi dalam kehidupan manusia yang tidak pernah habis selagi kita bernyawa. Proses komunikasi sentiasa berlaku dalam kehidupan kita. Malah ada kajian yang mengatakan 80 peratus daripada masa sehari manusia digunakan untuk bercakap dan mendengar. Pernah kah kita berhadapan dengan situasi berkomunikasi yang kurang menyenangkan seperti yang dinyatakan tadi. Adakalanya masalah komunikasi menganggu ketenangan hidup kita dan menambah tekanan terhadap hidup yang sudah sentiasa berdepan dengan pelbagai cabaran yang lain khususnya dialaf ini. Masalah komunikasi juga menghilangkan keceriaan dalam hidup seseorang serta mendatangkan penyakit seperti kemurungan dan pengasingan diri dari masyarakat atau anti sosial. Benarlah seperti kata sarjana komunikasi bahawa komunikasi adalah proses yang sangat rumit. kerana halangan komunikasi seperti sikap, latar belakang, bahasa dan persekitaran sering menjadi punca utama konflik dalam hubungan dan ini menganggu keharmonian hidup dan tugas kita seharian. Menurut Sigmund Freud, komunikasi adalah kata-kata yang mempunyai kuasa sakti yang boleh membawa kegembiraan dan keputusan yang mendalam. Ia berupaya menimbulkan emosi yang mendalam dan menggerakkan tindakan manusia. Berdasarkan itu amat jelas sekali bagaimana peranan komunikasi dapat mengubah banyak perkara dalam hidup seseorang. . Dalam kaiatan yang sama kita mungkin pernah berhadapan dengan individu yang tidak tahu berbahasa dengan lembut dan setiap perkataannya terlalu menghiris perasaan sesiapa sahaja yang mendengarnya. Adakalanya bukan sahaja sindiran sinis dan kata-kata yang tajam keluar dari mulutnya tetapi termasuk juga intonasi yang kurang menyenangkan halua telinga serta bahasa tubuh (body language) yang kurang sopan hingga menyebabkan ramai orang cuba menjauhkan diri dari individu seumpama ini. Tidak hairanlah ada pepatah Melayu yang mengatakan `sebab pulut santan binasa sebab mulut badan binasa’ Pernah kah kita terfikir bagaimana mahu berhadpan dengan individu seumpama ini yang adakalanya membuatkan hidup kita menjadi sukar dan hilang keceriaan serta kesabaran Islam sendiri mempunyai garis panduan dalam berkomunikasi secara berhemah bertujuan menjaga keharmonian hidup bermasyarakat. Malah Nabi kita amat menggalakkan umatnya untuk bercakap dengan lemah lembut serta berhemah. Orang yang tidak berhemah dalam berkomunikasi mungkin menghadapi masalah dalam diri mereka yang memerlukan bantuan rakan sepejabat dan orang yang rapat dengan mereka bagi membantu mereka menukar gaya komunikasi agar dapat menjalin interaksi yang baik dengan orang sekeliling. Pejabat merupakan rumah kedua bagi mereka yang bekerja. Suasana pejabat yang tenang dan harmoni boleh meningkatkan prestasi kerja dan interaksi sosial bersama rakan setugas. Justru ketika dipejabat adalah amat digalakkan berkomunikasi secara berhemah bagi melicinkan pentadbiran di tempat kerja selain membentuk hubungan yang mesra dan mewujudkan satu persekitaran pekerjaan yang kondusif dan mudah menjalankan tugas sebagai satu pasukan. Banyak perkara asas dalam berkomunikasi yang boleh kita praktikan dipejabat bagi menceriakan suasana ditempat kerja selain dapat menjalankan tugas dnegan penuh dedikasi dan ikhlas. Umpamanya senyuman dan memberi salam adalah satu cara membuka jiwa dan perasaan sesiapa sahaja yang menerimanya. Ianya juga satu tanda kita menghormati orang lain dan memperkasakan budaya murni kita. Dengan memberi senyuman ikhlas kita boleh membuat semua orang turut tersenyum kerana senyuman adalah bahasa universal yang mennggambarkan keikhlasan hati kita. Senyuman yang ikhlas adalah sesuatu yang terindah bagi siapa saja yang menerimanya, karena senyuman merupakan ekspresi dari hati atas kesenangan atau kegembiraan yang dirasakan pemilik senyum itu sendiri. Seperti kata Nabi senyum itu satu sedekah yang paling mudah tapi amat berharga. Selain itu menjadi pendengar yang baik dan aktif adalah satu lagi perkara yang dapat dipraktikkan dalam komunikasi berhemah bagi memupuk keharmonian dipejabat. Sebagai pendengar yang baik, kita dapat mencerna maklumat yang diterima dengan berkesan dan secara tidak langsung feedback nya akan menyebakan kita lebih dipercayai dan disegani. Dalam menjalin hubungan baik sesama rakan sekerja bersikap positif dan ikhlas dalam apa juga yang dilakukan di tempat kerja.adalah amalan yang sangat terpuji. Secara fitrahnya manusia tidak pernah puas dengan apa yang mereka ada dan miliki. Maka tidak hairan mengapa adakalanya orang suka merungut dan tidak pernah puas dengan apa yang mereka ada serta suka mencari kesalahan orang lain. Jika kita ikhlas dan berfikiran positif segala apa yang berlaku dipejabat dapat di hadapi dengan tenang. Komunikasi berhemah juga dapat di praktikkan dipejabat dengan bersifat empati dan memahami masalah orang lain. Sikap seumpama ini membuatkan individu berkenaan mudah didekati kerana mereka memahami masalah orang lain dan tidak bersikap indivisualistik. Ironisnya dengan perubahan gaya hidup dan cabaran dunia pekerjaan yang menduga kesabaran mungkin tidak salah jika kita kembali mengamalkan budaya murni dan mempraktikkan komunikasi berhemah seperti memberi senyuman, bersalam dan sentiasa memahami rakan sekerja dalam pergaulan seharian kita. Seperti pesanan Luqman Al Hakim: Layanlah orang kecil sesuai dengan kecilnya, layanlah orang besar sesuai dengan kedudukannya. Orang jahil berdasarkn kekurangan ilmunya dan orang alim berdasarkan kelebihannya’ Dengan demikian berdasarkan persefahaman dan nilai murni yang dipupuk melalui komunikasi secara tidak langsung dapat meningkatkan produktiviti selain menjadikan suasana pejabat tempat paling kondusif mencari rezeki selain mendapat ketenangan Tamat.... .