Oleh Hariyati Ariffin
PESAN orang tua-tua ‘cakap siang pandang-pandang, cakap malam dengar-dengar’ yang bermaksud kita perlu berhati-hati jika bercakap agar tidak menyentuh perasaan orang lain serta tidak menyakitkan hati orang yang mendengarnya.
Maksud dan pengertiannya amat mendalam khususnya dalam keberkesanan komunikasi seharian yang banyak membabitkan hubungan individu dengan individu yang lain serta masyarakat keseluruhannya.
Tidak dinafikan masalah dalam komunikasi seharian terlalu banyak antaranya, silap tafsir dan pengertian terhadap mesej yang hendak disampaikan, konflik yang berlaku antara rakan pejabat, konflik dalam keluarga, mengendalikan aduan dan rungutan tidak kira di rumah atau tempat lain.
Selain itu, berhadapan dengan orang yang bersikap autokratik dan sentiasa ‘hendak menang’ serta orang yang bersikap talam dua muka dan orang yang ego dan sukar menerima pendapat orang lain.
Ini adalah antara sebahagian masalah komunikasi dalam kehidupan manusia yang tidak pernah habis selagi kita bernyawa.
Proses komunikasi sentiasa berlaku dalam kehidupan kita. Malah, ada kajian yang mengatakan 80 peratus daripada masa sehari manusia digunakan untuk bercakap dan mendengar.
Pernahkah kita berhadapan dengan situasi berkomunikasi yang kurang menyenangkan seperti yang dinyatakan tadi?
Adakalanya masalah komunikasi mengganggu ketenangan hidup kita dan menambah tekanan terhadap hidup yang sudah sentiasa berdepan dengan pelbagai cabaran yang lain.
Masalah komunikasi juga menghilangkan keceriaan dalam hidup seseorang serta mendatangkan penyakit seperti kemurungan dan pengasingan diri daripada masyarakat atau antisosial.
Benarlah seperti kata sarjana komunikasi bahawa komunikasi adalah proses yang sangat rumit kerana halangan perhubungan seperti sikap, latar belakang, bahasa dan persekitaran sering menjadi punca utama konflik dalam hubungan dan ini mengganggu keharmonian hidup dan tugas kita seharian.
Menurut Sigmund Freud, komunikasi adalah kata-kata yang mempunyai kuasa sakti yang boleh membawa kegembiraan dan keputusan yang mendalam. Ia berupaya menimbulkan emosi yang mendalam dan menggerakkan tindakan manusia.
Berdasarkan itu amat jelas sekali bagaimana peranan komunikasi dapat mengubah banyak perkara dalam hidup seseorang.
Dalam kaitan yang sama kita mungkin pernah berhadapan dengan individu yang tidak tahu berbahasa dengan lembut dan setiap perkataannya terlalu menghiris perasaan sesiapa saja yang mendengarnya. Adakalanya bukan saja sindiran sinis dan kata-kata yang tajam keluar dari mulutnya, tetapi termasuk juga intonasi yang kurang menyenangkan halua telinga serta bahasa tubuh (body language) yang kurang sopan hingga menyebabkan ramai orang cuba menjauhkan diri daripada individu seumpama ini.
Tidak hairanlah ada pepatah Melayu yang mengatakan ‘sebab pulut santan binasa sebab mulut badan binasa.’
Pernahkah kita terfikir bagaimana mahu berhadapan dengan individu seumpama ini yang adakalanya membuatkan hidup kita menjadi sukar dan hilang keceriaan serta kesabaran?
Islam sendiri mempunyai garis panduan dalam berkomunikasi secara berhemah bertujuan menjaga keharmonian hidup bermasyarakat.
Malah, Nabi Muhammad s.a.w amat menggalakkan umatnya untuk bercakap dengan lemah-lembut serta berhemah. Orang yang tidak berhemah dalam berkomunikasi mungkin menghadapi masalah dalam diri mereka yang memerlukan bantuan rakan sepejabat dan orang yang rapat dengan mereka bagi membantu mereka menukar gaya komunikasi agar dapat menjalin interaksi yang baik dengan orang sekeliling.
Pejabat merupakan rumah kedua bagi mereka yang bekerja. Suasana pejabat yang tenang dan harmoni boleh meningkatkan prestasi kerja dan interaksi sosial bersama rakan setugas.
Justeru, ketika di pejabat adalah amat digalakkan berkomunikasi secara berhemah bagi melicinkan pentadbiran di tempat kerja selain membentuk hubungan mesra dan mewujudkan satu persekitaran pekerjaan yang kondusif dan mudah menjalankan tugas sebagai satu pasukan.
Banyak perkara asas dalam berkomunikasi yang boleh kita amalkan di pejabat bagi menceriakan suasana di tempat kerja selain dapat menjalankan tugas dengan penuh dedikasi dan ikhlas.
Umpamanya senyuman dan memberi salam adalah satu cara membuka jiwa dan perasaan sesiapa saja yang menerimanya. Ia juga satu tanda kita menghormati orang lain dan memperkasakan budaya murni kita. Dengan memberi senyuman ikhlas kita boleh membuat semua orang turut tersenyum kerana senyuman adalah bahasa universal yang menggambarkan keikhlasan hati kita.
Senyuman yang ikhlas adalah sesuatu yang terindah bagi siapa saja yang menerimanya, kerana senyuman merupakan ekspresi dari hati atas kesenangan atau kegembiraan yang dirasakan pemilik senyum itu sendiri.
Seperti kata Nabi senyum itu satu sedekah yang paling mudah, tetapi amat berharga.
Selain itu, menjadi pendengar yang baik dan aktif adalah satu lagi perkara yang dapat dipraktikkan dalam komunikasi berhemah bagi memupuk keharmonian di pejabat. Sebagai pendengar yang baik, kita dapat mencerna maklumat yang diterima dengan berkesan dan secara tidak langsung maklum balasnya akan menyebabkan kita lebih dipercayai dan disegani.
Dalam menjalin hubungan baik sesama rakan sekerja bersikap positif dan ikhlas dalam apa juga yang dilakukan di tempat kerja adalah amalan yang sangat terpuji.
Secara fitrahnya manusia tidak pernah puas dengan apa yang mereka ada dan miliki.
Maka tidak hairan mengapa adakalanya orang suka merungut dan tidak pernah puas dengan apa yang mereka ada serta suka mencari kesalahan orang lain.
Jika kita ikhlas dan berfikiran positif segala apa yang berlaku di pejabat dapat dihadapi dengan tenang.
Komunikasi berhemah juga dapat dipraktikkan di pejabat dengan bersifat empati dan memahami masalah orang lain.
Sikap seumpama ini membuatkan individu berkenaan mudah didekati kerana mereka memahami masalah orang lain dan tidak bersikap individualistik.
Ironisnya dengan perubahan gaya hidup dan cabaran dunia pekerjaan yang menduga kesabaran mungkin tidak salah jika kita kembali mengamalkan budaya murni dan mempraktikkan komunikasi berhemah seperti memberi senyuman, bersalam dan sentiasa memahami rakan sekerja dalam pergaulan seharian kita.
Seperti pesanan Luqman Al Hakim: “Layanlah orang kecil sesuai dengan kecilnya, layanlah orang besar sesuai dengan kedudukannya. Orang jahil berdasarkan kekurangan ilmunya dan orang alim berdasarkan kelebihannya.”
Dengan demikian berdasarkan persefahaman dan nilai murni yang dipupuk melalui komunikasi secara tidak langsung dapat meningkatkan produktiviti selain menjadikan suasana pejabat tempat paling kondusif mencari rezeki selain mendapat ketenangan.
# Penulis pensyarah UiTM