Thursday, September 22, 2011

KONGSI KASIH BERSAMA SUAMI ORANG TREND WANITA MUDA MASA KINI

Minda ( HARIAN METRO) :
 Hati terpikat pujuk rayu Oleh Hariyati Ariffin

 KERELAAN wanita muda sanggup berkongsi kasih mula mendapat perhatian dan dianggap trend kehidupan masa kini. Namun, wanita bersuami kurang senang dengan fenomena yang berlaku. Tetapi sebagai wanita yang beragama Islam mereka ‘terpaksa’ menerima hidup berpoligami kerana ia dibenarkan dalam agama. Malangnya, dalam kerelaan isteri membenarkan poligami ada segelintir suami yang mengambil kesempatan dan menyalahgunakan ‘tiket’ menambah cawangan ini dengan alasan dibenarkan oleh agama hingga mengabaikan tanggungjawab yang diamanahkan sebagai suami. Penasihat Majlis Agama Islam Johor, Datuk Nooh Gadut, dipetik sebagai berkata: “Hukum berkahwin terbahagi kepada lima iaitu wajib, sunat, harus, makruh dan haram. Seandainya ketika bermonogami (berkahwin seorang) lagi lelaki itu telah menunjukkan ciri-ciri tidak adil dan tidak berkemampuan baik dari segi kewangan dan kesihatan, maka hukumnya untuk berkahwin lagi adalah haram.” Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria pula berkata, walaupun poligami dibenarkan dalam Islam, namun ia sering disalahgunakan oleh segelintir lelaki.

 Mereka sepatutnya menilai kemampuan diri terlebih dulu dan bukan berkahwin kerana nafsu semata-mata. Oleh itu, katanya, apabila ini terjadi, perceraian sering saja menjadi pilihan wanita daripada memilih untuk hidup bermadu. Islam sebenarnya tidak menggalakkan poligami apatah lagi, perceraian. Mengulas isu poligami, di mana wanita muda lebih suka suami orang berbanding lelaki bujang, pensyarah Psikologi, Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Mohamed Yaakob berkata, berdasarkan konsep psikologi dan komunikasi, manusia hidup bersandarkan kepada beberapa keperluan. Antaranya keperluan asas, keperluan keselamatan dan keperluan sosial. 

Dalam hal ini, wanita muda yang sanggup bermadu ingin memenuhi keperluan yang tiga tadi, terutamanya keperluan keselamatan dan sosial. Wanita muda apabila berjumpa suami orang, mereka lebih rasa selamat dan dapat memenuhi keperluan sosial mereka. “Ini kerana lelaki yang sudah berkahwin lebih banyak pengalaman dalam memujuk rayu wanita muda dan bijak memenuhi kehendak keselamatan (financial security) dengan pelbagai hadiah dan bijak menjalankan modus operandi untuk memikat hati wanita. Kebiasaannya lelaki yang sudah berkahwin dan kukuh kedudukannya bijak memikat hati wanita muda,” katanya. Mohamed berkata, mereka bukan saja bijak bercakap, memujuk rayu dan bersikap gentlemen, sentimental, malah penyabar, mempunyai ketrampilan dan berkarisma tinggi yang menjadi idaman wanita muda. Berbanding lelaki bujang yang baru tamat pengajian dan baru bekerja, kedudukan ekonomi mereka juga belum kukuh dan jika dikaji daripada sikap pula, mereka kurang arif mengenai cara-cara memikat wanita. “Ada lelaki bujang yang tidak berkeyakinan dalam menjalinkan hubungan. 

Mereka kurang memahami kehendak wanita muda kerana mereka sama-sama muda dan kurang pengalaman. Ini menyebabkan hubungan mereka sering mengalami konflik,” katanya. Menurut Mohamed, wanita muda suka dipujuk rayu dan meminati lelaki yang penyabar. Sedangkan lelaki bujang adakalanya tidak memahami kehendak wanita muda dan sikap tidak penyabar lelaki bujang kadangkala membuatkan wanita muda lebih suka berhubungan dengan suami orang yang lebih penyayang dan pandai memujuk rayu. “Manusia memerlukan keseronokan sensory, istilah dalam psikologi yang merujuk kepada mendapat kepuasan hidup dan keseronokan (pleasure in life). Bagi lelaki yang sudah berkahwin dan ada yang sudah meningkat usia, keseronokan sensory ini amat penting dalam hidup mereka. “Mereka mahu satu keseronokan sebagai pelarian kepada kebosanan yang sedang mereka alami. Umpamanya jika isteri sudah meningkat usia, mereka sudah tidak lagi seperti zaman muda. 

Wanita meningkat usia melalui fasa menopaus dan adakalanya malu untuk berjalan dan bermesra dengan suami dengan alasan sudah masuk usia senja” jelasnya. Namun, kata Mohamed wanita sering salah tafsir kehendak lelaki kerana kaum Adam ini semakin mereka tua mereka memerlukan kasih sayang dan belaian isteri. Hormon testosteron (seks) dalam diri lelaki sentiasa ada berbanding wanita yang perlu dirangsang. Jika kaum Adam ini dibiarkan dalam dahaga kasih sayang, tidak mustahil suami seumpama ini mencari belaian dan kasih sayang daripada wanita muda yang sentiasa suka dibelai dan dimanja. Ini mungkin sebahagian daripada faktor mengapa wanita muda suka lelaki yang sudah berkahwin. Walau bagaimanapun, Mohamed menegaskan lelaki yang sudah berkahwin dan ingin menambah cawangan dengan berkahwin wanita muda sebenarnya lebih kepada ‘lapar mata’. Beliau menjelaskan bahawa istilah lapar mata ini merujuk kepada keinginan yang membuak-buak sebelum mendapatnya tetapi apabila sudah memiliki ia hanya boleh dipandang saja kerana adakalanya kemampuan mereka terhad sama ada dari segi zahir mahupun batin. Jika ini berlaku tidak mustahil konflik dan perceraian bakal terjadi.

 Tidak semua lelaki bersikap sedemikian. Kebanyakan lelaki lebih mementingkan keharmonian keluarga dan menjaga hati isteri yang dinikahinya berpuluh tahun lamanya. Lelaki yang suka kahwin dan cerai serta banyak menambah cawangan tidak peka pada perasaan isteri dan mereka juga tidak mempunyai sikap empati (memahami perasaan orang lain dalam hal ini isteri sendiri). “Mereka lebih mementingkan diri sendiri dan keseronokan diri. Ada kes suami yang suka kahwin cerai, menyebabkan dia dibenci keluarga terutama anak-anak. Apabila usia tua dan tiada siapa yang peduli mereka menyalahkan anak-anak dan isteri sedangkan sewaktu sihatnya dia lupa tanggungjawab pada anak-anak dan isteri kerana terlalu asyik mencari keseronokan diri. “Begitu juga bagi yang berkahwin ramai, ada kalanya nafkah anak-anak dan isteri tidak mencukupi dan lebih menyedihkan ada suami yang menyuruh isteri menyara kehidupan mereka sendiri sedangkan suami berseronok dan tenggelam dalam kehidupan tanpa tanggungjawab,” katanya. Bagi Mohamed, bukan mudah menjadi ketua keluarga, lebih-lebih lagi yang mempunyai lebih daripada satu isteri. Mereka bukan saja perlu stabil dan kukuh dari segi ekonomi, kesihatan dan mental, tetapi juga harus mempunyai pegangan agama yang baik dan boleh membimbing isteri dan anak-anak. 

 Berkahwin memang nampak seronok tetapi tanggungjawab yang perlu digalas juga berganda sebagaimana bertambahnya isteri dan anak-anak. Senario kekeluargaan masa kini menurut Mohamed amat menyedihkan kerana banyak kes yang dipaparkan mengenai sikap tidak bertanggungjawab suami yang menyebabkan anak-anak dan isteri menjadi mangsa keadaan. Ada juga kes kesibukan terlampau ibu bapa mencari rezeki menyebabkan anak-anak terbiar dan terjerumus dalam masalah sosial. Masyarakat perlu didedahkan kepada ilmu atau pendidikan kekeluargaan dan dengan pendidikan berkenaan ia boleh membimbing dan mencorak institusi kekeluargaan yang lebih berkualiti selain melahirkan masyarakat yang dapat menuju ke arah kesejahteraan secara total. Justeru, kepada semua suami, menjadi nakhoda untuk sebuah kapal sudah terlalu sukar kerana kehidupan ini sering dilanda ombak dan badai kehidupan. Inikan pula mahu mengemudi dua atau tiga kapal pada waktu sama. 

Mungkin berkahwin lebih daripada satu adalah sunnah Nabi, tetapi bolehkah suami bersikap adil seperti Nabi? Bagi wanita muda, tidak salah berkongsi kasih, tetapi haruslah diingat jika anda berada di tempat isteri yang terpaksa dimadukan, janganlah mencari kebahagiaan di atas penderitaan wanita lain. Mereka mungkin nampak reda tetapi di dalam hati Allah saja yang tahu. Sebenarnya masih ramai lelaki bujang yang berkualiti dan boleh menjadi suami baik jika di beri peluang. Seperti kata pepatah Indonesia, suami adalah orang yang mencari kebahagiaan hidup dengan menghilangkan sebahagian daripada kemerdekaannya. Itulah sebenarnya suami dan ayah yang terbaik. Selamat Hari Bapa buat semua yang bergelar bapa. 

 Penulis pensyarah UiTM Shah Alam

No comments: