Saturday, November 12, 2011
Pelajar Goda Pensyarah: Cara Mudah Lulus Cemerlang
Setelah tersiarnya artikel mama dalam Minda Harian Metro 12 November 2011, Mama menerima mesej dari beberapa rakan pensyarah dan teman didalam profession pendidikan yang mengatakan, Mama sepatutnya menulis pula mengenai pelajar yang bijak menggoda pensyarah untuk lulus cemerlang. Bukan sahaja terhad kepada pelajar perempuan yang cantik manis menggoda pensyarah lelaki yang tua mahupun muda, tetapi juga kes pelajar lelaki yang menggoda pensyarah wanita untuk tujuan yang sama.
Kes seumpama ini memang ada terjadi, tetapi seringkali pensyarah pula yang menjadi mangsa keadaan. Ada kes pensyarah wanita yang tidak berkahwin didekati pelajar lelaki yang bijak menggoda sehingga pensyarah ini bukan sahaja kehilangan maruah tetapi juga wang ringgit akibat terlalu menyayangi pelajar lelaki ini. Ada juga kes pelajar wanita yang pandai memujuk rayu, menggoda pensyarah bukan sahaja untuk mendapat markah tinggi tetapi juga mendapat barangan berharga seperti telefon dan pakaian berjenama mahal. Perkara seumpama ini pula biasanya berlaku keatas pensyarah yang sudah agak berumur dan pelajar wanita tersebut tergolong dalam kategori yang seksi dan berani melakukan apa saja demi markah cemerlang. Dua kes berkenaan adalah kisah benar yang pernah terjadi.
Sememangnya apa yang dipaparkan diatas terjadi kerana pensyarah juga manusia dan kerana tertipu dengan niat sebenar pelajar mereka menjadi mangsa keadaan. Tetapi sebagai pensyarah, mama berpendapat mereka ini (pensyarah) sebarusnya lebih bijak dan boleh menilai niat sebenar pelajar berkenaan. Adalah menyalahi etika seorang pendidik jika mempunyai sifat berat sebelah atau pilih kasih kerana ini akan menyebabkan pelajar yang lain bukan sahaja rasa teraniaya malah hilang mood untuk belajar. Mereka juga akan hilang rasa hormat kepada pensyarah berkenaan dan merasakan apa yang dipelajari selama ini amat tidak berguna.
Dalam hal yang berkaitan, kadangkala seorang pelajar itu bijak mempelajari kelemahan pensyarahnya. Ye lah...mereka tau pensyarah juga manusia yang mempunyai kelemahan masing-masing. Umpamanya jika seorang pensyarah itu sedang menghadapi masalah rumahtangga dengan isteri atau mempunyai masalah kurang perhatian, dia akan mudah jatuh kedalam perangkap pelajar manis yang manja dan bijak menggoda. Adakalanya pelajar ini bukan sahaja mahukan keputusan cemerlang dengan cara mudah tetapi juga menjadi penasihat peribadi pensyarah berkenaan selain dapat habuan lain seperti wang ringgit dan hadiah.
Sebagai manusia, amatlah sukar mengawal kehendak nafsu melainkan benteng keimanan seseorang itu amat kukuh. Ditambah pula pada zaman ini, fesyen dan cara berpakaian pelajar amat merangsang nafsu pensyarah dan mereka mampu berbuat apa sahaja sebagai seorang penggoda. walaupun etika berpakaian di kuat kuasakan di Universiti, adakalanya jika pelajar wanita berpakaian yang agak menjolok mata ianya tidak ditegur oleh pensyarah lelaki. Ada berpendapat pelajar yang cantik dan seksi adalah sebagai menjamu mata bagi pensyarah lelaki.
Sebagai seorang yang berpendidikan tinggi, tidak kira lah pensyarah atau pelajar , mereka semestinya sudah tahu membezakan apa yang baik dan buruk dalam kehidupan. Jika perangai menggoda ini dan cara mudah memperolehi kecemerlangan melalui sifat tidak eluk diteruskan, ianya bakal melahirkan graduan yang tidak berkualiti dari segi akhlak. Sebagai seorang yang berilmu, semestinya berakhlak menjadi gandingan mantap melahirkan cendikiawan berkualiti. Justru jika pensyarah dan pelajar sudah hilang pedoman dalam kehidupan, apa kah yang akan terjadi pada institusi pendidikan tinggi negara yang sentiasa berusaha melahirkan insan yang berimu dan berakhlak.
Jika mereka yang berperangai buruk ini dibenarkan terus berada di dalam institusi ini dengan selesa, apakah yang akan terjadi kepada bakal pendidik dan golongan cerdik pandai yang amat dipandang tinggi oleh masyarakat. Seharusnya perlu ada satu guideline yang lebih jelas dan tegas mengenai perlakuan di Universiti yang boleh membuat seseorang yang menceburi bidang pendidikan selain menjadi pelajar agar mengawal perkara seumpama ini menjadi barah dalam institusi pendidikan tinggi. Adakalanya perlakuan tidak senonoh pensyarah tidak dilaporkan kerana bimbang pihak Universiti menyebelahi pensyarah, begitu juga jika perlakuan tidak senonoh pelajar dilaporkan adakalanya mereka menggunakan kabel yang lebih besar untuk menjatuh kan institusi pendidikan tinggi berkenaan.
Banyak kekangan dan perkara yang tidak telus dalam hal ini. Sehubungan itu, sama-sama lah kita fikirkan kerana kita sebenarnya sudah semakin tipis nilai murni dan akhlak...tidak kira lah dalam kalangan mereka yang bukan berpendidikan tinggi atau yang berpendidikan tinggi dan berpangkat dalam masyarakat. Kronism, kedudukan, pakatan dan fahaman politik adalah kekangan paling besar untuk melaksanakan satu keadilan ....ini semua membuatkan masyarakat semakin takut untuk bertindak dan membiarkan apa juga yang berlaku berlalu begitu saja. Mereka takut untuk sama2 membenteras kerana bimbang disabitkan bersama dan secara tidak langsung mendapat tempias yang membuatkan hidup mereka juga tertekan...akhirnya kita menjadi masyarakat yang hanya mampu melihat...dan tidak mahu ambil kisah kerana bimbang kita juga akan menjadi mangsa akhirnya....
Tamat.
Perlakuan Sumbang Pensyarah
Ruangan Minda (Harian Metro)
12 November 2011
Waspada bahasa tubuh
Oleh Hariyati Ariffin
“SEBAB nila setitik rosak susu sebelanga”. Kisah pensyarah tidak bermoral sering mendapat perhatian umum, sekali gus menjadikan profesion berkenaan tercemar dengan perlakuan sumbang yang menyalahi etika.
Meskipun kes salah laku membabitkan pensyarah agak terpencil namun oleh kerana profesion berkenaan kerjaya yang dipandang mulia, ia menjadi perhatian masyarakat.
Baru-baru ini dua kes membabitkan salah laku pensyarah lelaki yang dikatakan merogol dan mencabul kehormatan pelajar perempuannya mendapat liputan akhbar.
Pada 29 0ktober lalu, Harian Metro melaporkan perbuatan seorang pensyarah sebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di Lembah Klang berusia lingkungan 50-an mencabul pelajar perempuan di bilik universiti berkenaan. Pensyarah terbabit didakwa memaksa pelajar berusia 23 tahun berkenaan melakukan aksi ‘ringan-ringan’ dengan mengumpan meluluskan pelajar itu dalam peperiksaan.
Enam hari selepas itu pada 3 November seorang pelajar perempuan sebuah kolej swasta pula dirogol pensyarah berusia 40-an di Kuala Lumpur. Pelajar perempuan kolej swasta itu didakwa diheret dari sebuah tempat letak kereta di Sentul sebelum dirogol pensyarah itu. Sebelum kejadian, pensyarah itu memperdaya mangsa untuk berjumpa di pejabatnya dengan alasan berbincang mengenai pelajaran.
Kedua-dua kes yang dilaporkan jelas membuka mata masyarakat bahawa walaupun ia kes terpencil namun tidak boleh dipandang remeh kerana sejak kebelakangan ini masalah salah laku tidak hanya membabitkan mereka yang tidak berpelajaran tetapi juga menular kepada golongan berpendidikan tinggi, berpangkat dan dipandang mulia masyarakat.
Jelaslah pangkat, ilmu dan kematangan seseorang bukan kayu pengukur kepada akhlak mulia. Bagaimanapun, masalah ini berpunca daripada banyak faktor.
Kaunselor di Pusat Kerjaya dan Kaunseling, Hal Ehwal Pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Dayang Suzana Awang berkata, masalah salah laku pensyarah tidak boleh dilihat dari satu sudut saja. Tidak dinafikan si pelaku sering dipersalahkan dalam hal ini. Secara logik akal seorang yang berilmu dan berpendidikan tinggi boleh membezakan antara perkara baik dan sebaliknya.
“Namun, dalam hal ini faktor persekitaran kadangkala turut memainkan peranan. Ia berlaku kerana ada kesempatan dan peluang selain masalah lain termasuk peribadi yang dialami pensyarah berkenaan. Biasanya sebelum perkara ini berlaku isyarat awal mungkin telah dikesan oleh pelajar mengenai pensyarah berkenaan,” katanya.
Menurutnya, perkara seumpama ini bukan berlaku sekelip mata, malah lazimnya sudah pun diberi isyarat awal. Umpamanya daripada perkataan, perbuatan dan bahasa tubuh yang dilakukan pensyarah berkenaan kepada pelajar adalah sebagai satu tanda yang dapat difahami mengenai niat seseorang itu.
“Kadangkala naluri juga dapat mengesan perasaan dan perbuatan yang dianggap tidak normal. Jika ini berlaku dan isyarat awal sudah dapat dikesan, pelajar seharusnya boleh mengagak bahawa pensyarah berkenaan ada niat tidak baik. Oleh yang demikian pelajar perlu lebih berhati-hati apabila berurusan dengannya.
“Jika pelajar mengabaikan isyarat awal berkenaan, persepsi pensyarah mungkin beranggapan pelajar menunjukkan rela dan ini mendorong perbuatan tidak bermoral pensyarah berkenaan. Pelajar juga dianggap bersetuju dengan isyarat dan makna tersirat yang diberikan oleh pensyarah. Seharusnya apabila pelajar dapat mengesan atau berasakan sesuatu yang tidak kena dengan pensyarah berkenaan mereka harus menghindarkan diri,” jelasnya.
Selain itu, Dayang Suzana juga menasihati pelajar agar berpakaian mengikut etika kerana jika pakaian menjolok mata juga antara faktor yang boleh merangsang seksual pensyarah lelaki untuk melakukan sesuatu di luar jangkaan. Dengan lambakan bahan porno di pasaran tidak mustahil pengaruh negatif itu menular kepada sesiapa juga tanpa mengira kedudukan dan pangkat.
Dengan itu beliau menasihatkan pelajar perempuan agar lebih berhati-hati apabila datang berjumpa pensyarah lelaki berseorangan. Adalah lebih baik datang dengan rakan apabila berurusan dengan pensyarah sebagai jalan selamat.
“Bagi mengelakkan perkara seumpama ini berlaku pelajar wanita perlu tahu hak mereka dan jangan kerana terlalu taksub untuk mendapatkan markah cemerlang hingga sanggup berbuat apa saja untuk pensyarah. Adakalanya pelajar tidak rasa bersalah kerana beranggapan pensyarah sebagai orang yang lebih tua dan boleh dianggap bapa, tetapi sebenarnya nafsu tidak mengenal usia dan pangkat. Oleh itu sebagai wanita mereka perlu lebih berhati-hati menjaga hak mereka daripada diceroboh,” tegasnya.
Menurut Dayang Suzana lagi, kes pelajar yang dicabul tanpa kerelaan hati, memang ada namun setengahnya berasa serba salah atau malu untuk membuat laporan kerana bimbang masa depan mereka terjejas jika digagalkan oleh pensyarah. Dalam hal ini beliau menasihatkan pelajar perempuan agar berani melaporkan kepada pihak atasan jika berlaku perkara tidak diingini terhadap mereka.
Beliau tidak menafikan ada juga kes pelajar yang merelakan perbuatan tidak bermoral pensyarah kerana mereka ingin berjaya dengan cara mudah. Pelajar seumpama ini akan menjadi graduan yang tidak berkualiti dan apabila menceburi bidang pekerjaan akan gagal menjadi pekerja yang baik, amanah dan bertanggungjawab.
Menurut beliau, situasi yang tidak sihat ini akan merosakkan masa depan negara kerana melahirkan graduan tidak berkualiti hingga menjadikan masyarakat kurang yakin kepada mereka yang berjawatan tinggi dan berilmu.
Sementara itu, Dr Zaridah Abdullah dari Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, UiTM Shah Alam pula menyifatkan pensyarah yang mencabul pelajar sebagai “pagar makan padi”. Sebagai pendidik mereka seharusnya menunjukkan contoh baik dan menganggap pelajar sebagai anak mereka.
“Pensyarah juga adalah sebagai pengganti ibu dan ayah kepada pelajar kerana di universiti pelajar lebih banyak berurusan dengan mereka dalam proses mendapat ilmu dan menimba pengalaman.
“Jelas menyalahi etika dan hak asasi kemanusiaan jika pensyarah yang diamanahkan oleh universiti dan ibu bapa untuk memberi ilmu berbuat sesuatu yang tidak bermoral kepada pelajar,” katanya.
Peranan pendidik dan pensyarah amat luas bukan saja setakat memberi ilmu tetapi juga bertanggungjawab menasihati pelajar jika mereka membuat kesilapan dan salah laku yang menyalahi undang-undang serta peraturan universiti dan peraturan hidup.
Zaridah berpendapat mungkin kes yang membabitkan salah laku pensyarah amat kecil namun kes seumpama ini tidak boleh dipandang ringan kerana jika tidak ditangani boleh menjejaskan bukan saja kehidupan individu yang terbabit tapi juga institusi pendidikan secara umumnya.
Ini juga, katanya, sebagai amaran kepada pensyarah dan pendidik bahawa amatlah penting menjaga tingkah laku dan menunjukkan contoh baik bagi meningkatkan lagi profesion mereka di mata masyarakat. Ia bertujuan memperkasakan profesion tenaga pengajar seterusnya memberikan keyakinan kepada masyarakat agar terus memartabatkan kerjaya di bidang pendidikan di negara kita.
Justeru, di sebalik kes terpencil yang membabitkan pensyarah, hakikatnya masih ramai pensyarah dan tenaga pengajar yang masih disanjung masyarakat. Apa yang mereka lakukan adalah contoh terbaik bagaimana profesion itu adalah satu kerjaya yang sangat mulia di mata masyarakat.
Di kawasan pedalaman, misalnya kita dapat melihat kegigihan guru yang tidak mengenal erti penat dan jemu menabur bakti memberi ilmu kepada anak bangsa. Mereka itulah serikandi negara yang tidak jemu berkorban untuk melahirkan generasi berilmu dan berakhlak. Mereka juga ibarat lilin yang membakar diri untuk menerangi orang lain.
Natijahnya “Janganlah kerana seekor kerbau membawa lumpur semuanya terpalit sama”. Sama-samalah kita membanteras perkara yang mungkar dan membangunkan anak bangsa dengan memberi sokongan kepada profesion pendidikan agar generasi akan datang dapat dibentuk menjadi masyarakat yang berkualiti sejajar dengan penerapan ilmu dan akhlak yang seimbang.
Penulis pensyarah
Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media,
UiTM Shah Alam
Subscribe to:
Posts (Atom)