Friday, August 13, 2010
Memperkasa Budi Bahasa Dalam Komunikasi
Memperkasa Budi bahasa dalam Komunikasi Seharian
Oleh: Hariyati Ariffin
Untuk Ruangan Minda Harian Metro)
“Yang kurik kundi, yang merah itu saga,
yang cantik itu budi, yang indah itu bahasa…”.
Keindahan pepatah Melayu lama ini jelas memberi gambaran bahawa salah satu aspek penting dalam komunikasi ialah penggunaan bahasa yang baik, halus, dan bersopan-santun. Komunikasi dalam budaya Melayu terkenal dengan cara pertuturan yang lemah lembut, beradap sopan dan halus budi bicaranya. Seperti kata Usman Awang dalam sajaknya yang bertajuk Melayu:
Melayu itu orangnya bijaksana
Nakalnya bersulam jenaka
Budi bahasanya tidak terkira
Kurang ajarnya tetap santun
Jika menipu pun masih bersopan
Bila mengampu bijak beralas tangan
Namun sejak akhir-akhir ini akibat ledakan teknologi dalam era globalisasi yang menyentuh pelbagai aspek kehidupan, ianya telah mengubah cara berkomunikasi dalam masyarakat kita. Semakin ramai yang sudah tidak memperdulikan aspek sopan santun dan berbudi bahasa apabila berkomunikasi. Sejajar dengan perkembangan teknologi moden dan media baru, kehidupan masyarakat menjadi semakin pantas dan ringkas sependek ayat-ayat dalam sistem pesanan ringkas (SMS) dan secepat kiriman mesej melalui telefon bimbit. Nilai2 murni juga sekali gus ditolak begitu saja dengan alas an takut ketinggalan zaman.
Tidak dinafikan perkembangan pesat teknologi dan pembangunan Negara menyebabkan masyarakat sudah tidak ada waktu untuk berkomunikasi dengan lebih berhemah kerana masa mengubah scenario kehidupan masa kini dari santai menjadi lebih pantas. Jika diperhatikan masyarakat tidak kira dari golongan tua atau muda menghadapi masalah yang sama dalam mepraktikkan konsep berbudi bahasa ketika berkomunikasi. Adakalanya kita mendengar dan melihat perlakuan remaja yang sungguh biadap dan kurang sopan dilakukan di khalayak ramai mahupun di tempat2 tertentu. Namun golongan dewasa juga tidak terkecuali. Ada kalanya mereka lebih teruk dengan mengeluarkan kata2 yang kurang enak didengar dan adakalanyanya cacian dan perkataan lucah yang dihamburkan begitu saja di kawasan umum. Adakah ini harga yang perlu dibayar untuk sebuah pembangunan.
Bertepatan dengan ungkapan ` first class infrastructure and third class mentality’ ianya jelas menggambarkan senario masyarakat kita masa kini. Kemajuan negara yang sedang pesat mebangun sudah tidak selari dengan peradaban dan pemikiran rakyat yang masih ditakuk lama Semakin maju negara semakin terhakis pula nilai murni dalam jiwa masyarakat. Jika ditanya mengapa ini semua berlaku masyarakat mempersalahkan perkembangan pesat teknologi dan pembangunan Negara yang tidak selari dengan peradaban manusia .Sememang nya tidak dapat dinafikan perlumbaan hidup masyarakat dalam era baru banyak mengubah sikap manusia. Namun hakikatnya apa pun alasan yang diberikan untuk kurang berbahasa, sebenarnya aspek budi bahasa adalah sangat penting dalam komunikasi seharian kerana ia adalah gambaran tentang peribadi kita apabila berinteraksi dan bersosial. Tidak kira dimana kita berada aspek budibahasa dalam komunikasi tidak boleh ditolak secara mentah dan dipandang remeh.
Ironinya dalam masyarakat hari ini , kita sering berhadapan dengan individu yang suka meninggikan suara apabila bercakap, tidak memikirkan perasaan orang lain dan bercakap mengikut sedap mulut kata orang-orang sekarang. Lebih buruk lagi jika mereka yang kurang berbahasa ini berurusan dengan orang ramai yang bukan sahaja akan menimbulkan sikap tidak puas hati tetapi juga hilang rasa yakin terhadap organisasi mahupun jabatan yang memberikan perkhidmatan.
Menurut Dr Maria Muda, pensyarah Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, UiTM Shah Alam, budi bahasa dan cara berkomunikasi yang baik adalah amalan turun temurun yang diamalkan masyarakat Melayu. Ianya dilihat sebagai cara menghormati orang lain dalam setiap urusan hidup. Beliau memberitahu kehalusan budi bahasa dalam komunikasi adalah sangat penting untuk memastikan bahawa pihak kedua yang terbabit dalam proses komunikasi akan berada dalam keadaan selesa.
Menggunakan budibahasa yang baik dalam berkomunikasi dapat memastikan tujuan komunikasi sampai kematlamatnya. Jika kita bercakap dengan baik dan berhemah mesej akan diterima dengan baik, sekali gus menjadikan proses komunikasi lebih berkesan. Apabila ianya berkesan maklum balas akan kita terima seperti yang kita harapkan. Umpamanya kata Dr Maria, jika seorang pensyarah bercakap dengan berhemah kepada pelajarnya, mesej yang akan disampaikan dapat diterima dengan jelas dan berkesan. Kedua-dua pihak akan berpuas hati.
Sebaliknya jika proses komunikasi berlaku dalam keadaan yang kasar, menggunakan bahasa kesat yang tidak enak didengar, pihak kedua yang terbabit dalam proses komunikasi ini juga akan berasa kurang selesa. Dalam kes pelajar dan pensyarah, kemungkinan pelajar tidak memahami maksud sebenar dan menyebabkan maklumat tidak sampai dan akhirnya interpretasi tentang sesuatu maksud akan terpesong dan tidak tepat. Keadaan ini juga akan memungkinkan pihak kedua menarik diri daripada proses tersebut, atau mesej ditolak mentah-mentah, dan ini memberi kesan buruk kepada orang yang memulakan proses komunikasi tadi. Akibatnya proses komunikasi menjadi tidak berkesan dan menimbulkan konflik dalam diri sipenerima mesej tadi.
Dr Mariah juga menyentuh mengenai budibahasa dalam masyarakat kita dengan mengatakan scenario zaman sekarang memperlihatkan pelbagai golongan masyarakat tidak kira yang tua atau yang muda mempunyai masalah berkomunikasi secara berhemah. Meskipun ramai yang menuding jari kepada segelintir generasi sekarang yang kurang berbahasa dan bersikap kurang ajar beliau menjelaskan orang dewasa juga tidak terkecuali kerana ada juga dalam golongan ini kurang bersopan apabila bercakap dan berkomunikasi kerana mereka merasakan diri lebih tua dan perlu dihormati generasi muda.
Bagaimanapun menyentuh aspek budi bahasa supaya tidak terabai dalam diri remaja ketika berkomunikasi beliau berkata semua pihak harus prihatin dalam hal ini. Menurutnya ibu bapa harus memainkan peranan penting sebagai role model kepada anak2 mereka. Seperti kata pepatah, ` bapa borek anak rintik’ atau pun `kemana tumpahnya kuah kalau tidak kenasi’. Justru agen sosialisasi yang amat penting datangnya dari rumah sendiri kerana komunikasi yang baik bermula dari rumah. Bagaimana anak2 mahu bercakap dengn lembut dan bersopan jika ibubapa sendiri tidak menunjukkan contoh yang baik dengan sentiasa meninggi suara dirumah, bercakap dengan perkataan yang kurang enak, memaki hamun dan berhadapan dengan konflik rumahtangga yang tidak berhabisannya.
Ibubapa katanya tidak harus melepaskan beban belajar agama dengan guru-guru agama sahaja, mereka sendiri harus menjadi guru agama dan guru dalam segala hal untuk anak-anak mereka. Pelajaran pertama anak2 bermula dari rumah. Ajarlah anak2 mempraktikkan konsep budibahasa dari rumah. `Melentur buluh biar dari rebungnya’ Jika mereka sudah biasa mengamalkan nilai murni dirumah kemungkinan besar sifat dan nilai murni ini akan dibawa apabila mereka kesekolah ataupun berinteraksi dengan umum.
Dr Mariah juga memberitahu , dalam hal yang berkaitan semua agama, budaya, dan cara hidup pelbagai kaum dinegara kita sangat mementingkan aspek budi bahasa ini. Katanya masyarakat melayu yang terkenal dengan budaya luhur ini tidak seharusnya menggadaikan nilai murni ini atas nama satu pembangunan. Justru kata beliau lagi jika semua pihak kembali kepada agama dan budaya masing-masing maka aspek budi bahasa dalam komunikasi bukanlah satu masalah lagi.
Sehubungan itu kempen budibahasa yang dijalankan kerajaan lima tahun lalu adalah bukti kesungguhan kerajaan untuk menghidupkan kembali suasana harmoni dalam berkomunikasi khusus untuk masyarakat Malaysia. Agenda lima tahun kerajaan yang bermula pada tahun 2005 untuk melahirkan rakyat Malaysia yang berbudi bahasa memang bertepatan dengan senario masa kini dimana nilai murni dikalangan masyarakat dilihat semakin luntur.
Usaha kerajaan khususnya kementerian kebudayaan dan kesenian patut dipuji kerana bersungguh2 dalam menjalankan kempen itu beberapa tahun lalu. Namun apa yang agak menyedihkan sejak kebelakangan ini kempen itu seakan dilupakan begitu sahaja. Ianya seolah2 semakin dingin dan masyarakat mula lupa mengamalkannya. Seharusnya kempen ini dijalankan secara lebih pro aktif dan tidak hanya berhenti sekerat jalan sahaja. Penumpuan harus diberikan pada sekolah2, Universiti, jabatan kerajaan dan swasta serta tempat2 awam. Media juga harus lebih pro aktif memberikan ruang untuk kempen ini dijalankan. Walaupun ada kempen baru yang di anjurkan kerajaan, seharusnya kempen budibahasa menjadi teras kepada kempen baru kerajaan agar ianya lebih mantap dan dapat dilaksanakan dengan lebih mudah. Memetik kata2 dari buku panduan Budibahasa Budaya kita:
`Kempen budi bahasa dan nilai-nilai murni ini merupakan agenda penting kerajaan untuk menyemarakkan dan menyemai semula budi bahasa dan nilai-nilai murni kedalam jiwa setiap rakyat Malaysia. Kempen ini diharap dapat memperkukuhkan kembali kekuatan peribadi dan jati diri setiap individu. Negara akan menjadi agung jika warganya terdiri dari insan-insan yang mengamalkan budaya murni. Tidak ada gunanya jika masyarakat Malaysia kaya dari segi kebendaan tapi muflis dari segi keperibadian.”
Justru jangan pula kita lupa saranan bekas Menteri Kebudayaan, kesenian dan Warisan Datuk Rais Yatim beberapa tahun lalu yang menyeru rakyat dan kerajaan agar berjuang bersama mewujudkan masyarakat berhemah dan berbudi supaya tamaddun kita tidak hilang mutu dan keindahan sosialnya.
Tamat.
Subscribe to:
Posts (Atom)