Thursday, April 5, 2012
Minda: Berjiran tanpa bersemuka
Oleh Hariyati Ariffin
UNGKAPAN ‘Jiran sepakat membawa berkat’ pernah menjadi tagline untuk aktiviti kemasyarakatan, khususnya bagi mengeratkan hubungan silaturahim sesama jiran tetangga lebih 20 tahun lalu.
Pada masa itu konsep kejiranan amat ditekankan dalam masyarakat supaya mereka dapat saling bantu-membantu dan memahami jiran tetangga tidak kira bangsa dan agama bagi mengekalkan keharmonian hidup bermasyarakat.
Mungkin ramai masih ingat konsep Rukun Tetangga iaitu satu bentuk kawalan keselamatan yang dilakukan masyarakat setempat secara bergilir-gilir bagi menjaga keamanan jiran tetangga dan kawasan penempatan masing-masing.
Paling menarik mereka yang bertugas dalam Rukun Tetangga juga diberikan cuti sehari selepas tamat bertugas pada malam berkenaan.
Namun, di era siber yang serba canggih dan maju kini, dengan slogan segalanya bermula di hujung jari, konsep kejiranan juga mengalami perubahan amat ketara. Apa yang jelas, kepesatan teknologi melunturkan konsep kejiranan, khususnya di kalangan masyarakat bandar.
Ketaksuban masyarakat dalam era ini membuatkan mereka lebih senang berinteraksi atas talian berbanding mengamalkan interaksi secara interpersonal atau komunikasi secara muka ke muka.
Kawalan di kawasan perumahan juga diswastakan kepada pengawal keselamatan yang dibayar penduduk manakala majlis kenduri-kendara lebih mudah menggunakan khidmat katering.
Jika hendak memberitahu jiran sesuatu perkara, mereka lebih gemar menggunakan khidmat pesanan ringkas (SMS), bercakap melalui telefon bimbit atau disampaikan melalui e-mel.
Laman sosial seperti facebook kini digunakan untuk bersembang atau mengundang jiran serta rakan ke majlis tertentu berbanding bertandang ke rumah.
Disebabkan budaya baru berkomunikasi menggunakan SMS dan Internet, ada antaranya yang tidak mengenali siapa jiran sebelah rumah, anak atau keluarga mereka. Itulah senario perbezaan konsep kejiranan dulu dan sekarang.
Dalam kaitan yang sama, sememangnya tidak dapat dinafikan kehidupan di bandar banyak cabarannya berbanding di desa. Masyarakat bandar hidup dalam keadaan tertekan kerana perlu bergegas ke tempat kerja seawal jam 6 pagi bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas dan mereka juga terpaksa pulang lewat malam kerana menghabiskan tugas serta mengelak kesesakan lalu lintas pada waktu petangnya pula.
Ada antara mereka juga mesti bekerja keras untuk menampung kehidupan kerana kos sara hidup di bandar tinggi. Tidak hairanlah ramai masyarakat di bandar membuat dua pekerjaan dalam satu masa untuk terus menampung kehidupan mereka.
Cara hidup seumpama ini menyebabkan keadaan rumah sering sepi tanpa penghuni dan bagi mereka yang mampu mengambil pembantu rumah, yang selalu kelihatan hanyalah bibik yang menguruskan rumah dan menjaga anak kecil.
Anak jiran juga jarang kelihatan kerana mereka terlalu sibuk dengan urusan persekolahan dan ada yang lebih gemar ke kafe siber atau duduk memerap dalam bilik masing-masing melayari Internet dan menjalankan aktiviti secara maya.
Akibat kesibukan keluar bekerja dan kehidupan yang terlalu tertekan, masyarakat bandar tidak kisah terhadap apa yang berlaku di sekeliling mereka mahupun di sebelah rumah.
Apabila ini menjadi rutin kehidupan mereka bertahun-tahun lamanya, secara tidak sedar tertanamlah sikap individualistik yang tebal dalam jiwa serta sikap tidak boleh berlebih kurang kerana mereka tidak mengenali jiran dan sukar untuk berkomunikasi bagi memahami jiran secara lebih dekat.
Secara umumnya jelas bahawa sikap kejiranan di bandar hari ini amat menyedihkan dan ia bagai satu gaya hidup baru yang diterima umum apabila sikap tidak ambil tahu dan tidak kisah terhadap apa yang berlaku di kawasan masing-masing dianggap satu norma kehidupan.
Mereka ini bukan dalam kalangan yang tidak berpelajaran, ada antaranya mempunyai kelulusan tinggi dalam pelbagai bidang dan cabang ilmu. Namun, apabila menyentuh soal konsep kejiranan dan kemasyarakatan, mereka tidak merasakan itu satu keperluan dan kepentingan dalam hidup.
Pesanan Nabi junjungan kita terhadap hidup berjiran menunjukkan bahawa kehidupan seseorang mukmin tidak sempurna pada kaca mata Islam seandainya hubungan dengan jiran tetangga tidak dipelihara dengan baik serta mereka tidak dapat hidup dalam harmoni.
Jelaslah juga melalui hadis Nabi yang diriwayatkan oleh Ahmad dan Hakim yang menyentuh mengenai konsep kejiranan: “Tidak akan datang kiamat sehingga banyak perbuatan dan perkataan keji, memutuskan hubungan silaturahim dan bersikap yang buruk dengan jiran.”
Hubungan kejiranan dituntut Allah SWT kerana amalan kejiranan yang sempurna memupuk semangat kerjasama, persefahaman dan keharmonian. Seperti yang dijelaskan dalam Surah An Nisaa’ Ayat 36: “Dan hendaklah kamu berbuat baik kepada ibu bapa, kaum kerabat, anak yatim, orang miskin, jiran tetangga yang dekat, jiran tetangga yang jauh, orang musafir yang terlantar dan juga hamba yang kamu miliki.”
Justeru, sudah tiba masanya kita merenung kembali dan menghayati konsep kejiranan yang semakin dilupakan dalam masyarakat khususnya di bandar. Keghairahan mengejar dunia materialistik akan memberi kesan amat mendalam kepada institusi kemasyarakatan kita.
Sikap individualistik, tidak ambil kisah dan tidak boleh berkompromi dengan jiran tetangga jika berlarutan boleh membawa kepada pergaduhan besar dan mungkin juga menyebabkan kecederaan dan persengketaan yang membabitkan seluruh ahli keluarga.
Secara tidak langsung semua ini akan menyebabkan kualiti kehidupan terganggu.
Kempen menggalakkan keharmonian hidup berjiran seharusnya diperkenalkan semula khususnya kepada masyarakat bandar. Mereka perlu lebih banyak membuat aktiviti kejiranan bersama seperti gotong-royong dan kawalan keselamatan persekitaran kediaman bagi mengeratkan kembali semangat kejiranan.
Haruslah diingat bahawa kemakmuran sesebuah negara bergantung kepada kemantapan dan keutuhan hubungan setiap lapisan masyarakatnya.
Masyarakat yang berkualiti juga dilahirkan melalui persefahaman dan hubungan erat yang bermula daripada sebuah hubungan kejiranan yang bersatu padu dan saling memahami antara satu sama lain.
Penulis pensyarah UiTM Shah Alam
Kasih Keluarga Penawar Jiwa
APABILA menyebut ‘sakit mental’ ramai membuat tanggapan bahawa individu mengalaminya gila dan perlu dijauhi. Stigma yang dilabelkan kepada golongan berkenaan amat tidak adil kerana pesakit tidak pernah terfikir untuk menjadi begitu tetapi kerana tekanan hidup yang tidak mampu dikawal adakalanya menjadikan mereka hilang arah dan sukar mengawal emosi serta bertindak di bawah sedar.
Paling menyedihkan ada golongan pesakit mental dibiarkan berkeliaran tanpa mendapat pembelaan, penjagaan rapi serta disisihkan keluarga dan masyarakat. Ada juga yang mampu disembuhkan tetapi tetap disisihkan apabila rekod mengatakan mereka ini pernah menjadi pesakit mental. Justeru, tidak hairan akibat kekurangan sokongan moral untuk meneruskan hidup selepas sembuh, penyakit berulang kerana masyarakat tidak memberi sokongan untuk mereka meneruskan hidup secara lebih berkualiti.
Berikut adalah kisah benar untuk renungan bersama.
Dia seorang yang sangat bijak dalam pelajaran, disenangi keluarga, menjadi idola adik-beradik dan kebanggaan ibu bapa. Dia lulusan sarjana muda dari sebuah universiti tempatan dan amat suka membaca, menghabiskan masa membuat penyelidikan serta menghadiri majlis ilmu.
Namun, satu hati dia menangis tanpa henti, tidur dari pagi sampai malam dan tidak mahu berjumpa sesiapa. Sejak itu perangainya mula berubah menjadi pendiam, susut tubuh badan, suka bercakap sendiri dan tergelak tanpa sebab. Ibu bapanya terlalu risau lalu cuba mendapatkan rawatan. Pelbagai kaedah rawatan dicuba, daripada perubatan hospital hingga tradisional. Lima tahun berlalu dan dia sedang dalam proses pemulihan. Bila keadaannya semakin pulih, dia ingin bekerja. Di mana dan bagaimana dia harus memulakan kehidupannya semula selepas hampir lima tahun menjadi orang asing dalam dirinya.
Kisah di atas adalah sebuah kisah benar yang didiagnosis oleh doktor sebagai penyakit kemurungan iaitu satu daripada cabang penyakit mental. Adakalanya keluarga sendiri tidak menyedari perubahan tingkah laku pesakit sehingga satu tahap dia kelihatan benar-benar tidak normal dan merisaukan barulah mereka menyedari dia perlu mendapat rawatan.
Ada antara golongan yang menghidap penyakit seumpama ini terdiri daripada golongan cerdik pandai dan profesional. Amat sedih dan rugi besar apabila mereka yang mempunyai kelulusan tinggi terpaksa menghabiskan sisa hidup dalam keadaan tidak menentu.
Berdasarkan kisah di atas sakit mental mungkin dilihat sebagai satu penyakit biasa dan kurang mendapat perhatian masyarakat, tidak seperti kanser, jantung, buah pinggang dan sebagainya. Namun, peningkatan pesakit mental dilaporkan baru-baru ini, memberi isyarat kepada masyarakat dan kerajaan bahawa sesuatu perlu dilakukan demi menjaga kesejahteraan dan keharmonian masyarakat serta negara.
Pesakit mental perlu mendapat rawatan dan pembelaan sewajarnya, bukan sekadar mendapat rawatan di hospital dan pengambilan ubat secara berterusan tetapi juga sokongan moral dan kasih sayang daripada keluarga dan masyarakat untuk memulihkan mereka menjadi individu berguna. Memang sesuatu tidak mudah tetapi tidak mustahil dilakukan.
Berkaitan itu pula, fakta yang diperoleh daripada laporan akhbar dan media online mendapati statistik secara purata menunjukkan seorang daripada enam rakyat negara ini dikenal pasti menunjukkan ciri-ciri sakit mental.
Malah tinjauan Kesihatan Mobiliti dan Kesihatan 2011 juga menunjukkan 12 peratus rakyat Malaysia berusia antara 18 dan 60 tahun berhadapan pelbagai jenis penyakit mental.
Statistik terbabit juga mencatatkan jumlah pesakit mental meningkat 15.6 peratus pada 2010 berbanding tahun sebelumnya dengan 400,227 orang mendapatkan rawatan di hospital kerajaan berhubung penyakit mental pada 2010.
Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin pernah dilaporkan berkata bilangan pesakit mental mencatat peningkatan drastik di negara ini dan jumlahnya kian bertambah setiap tahun.
Selain itu, beberapa kajian oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan Bank Dunia mendapati kemurungan adalah penyakit keempat paling serius dalam melumpuhkan jiwa seseorang di muka bumi ini.
Berdasarkan fakta dan statistik berkenaan, cuba bayangkan jika semakin hari semakin ramai mereka yang tidak sihat mentalnya hanya mendapat rawatan biasa saja tetapi mereka kurang mendapat sokongan moral untuk meneruskan kehidupan. Jika ini berlaku kemungkinan mereka ini sukar untuk sembuh dan tidak mustahil menjadi ancaman kepada masyarakat pula.
Apa yang ingin dicadangkan ialah kerajaan dan pihak tertentu perlu mewujudkan satu kumpulan sokongan atau pusat sehenti bagi mereka yang mengalami masalah kemurungan dan tekanan melampau mendapat bantuan moral. Fungsinya mungkin lebih kurang seperti fungsi ‘cure n care’ iaitu sebuah ‘one stop centre’ bagi penagih dadah yang diwujudkan oleh Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) di Chow kit.
Di pusat berkenaan, ia boleh dijadikan tempat pesakit bertukar-tukar pendapat dan menjalankan aktiviti bersama. Umpamanya ramai pesakit suka perkara yang tidak memberatkan fikiran. Mereka suka kepada hiburan seperti menyanyi, menari, melukis dan membuat kraftangan.
Jika ada sebuah tempat seumpama itu mereka boleh duduk beberapa jam sehari untuk proses pemulihan. Selain itu, interaksi mereka yang senasib mungkin boleh memberi semangat kepada pesakit kembali menjadi normal.
Selain itu, jika ada pesakit yang sudah pulih, mereka harus diberikan peluang untuk bekerja dan menyara hidup tanpa prejudis. Peluang pekerjaan yang berkaitan harus dibuka untuk bekas pesakit mental bagi memberikan mereka sinar baru dalam kehidupan. Ini juga akan membuat mereka berasa lebih tenang menghadapi kehidupan.
Dalam hal ini juga peranan keluarga amat penting memberi sokongan moral untuk menyembuhkan pesakit. Semangat kasih sayang dan perhatian keluarga adalah ubat paling mujarab menyembuhkan pesakit. Kasih sayang sifat terpuji dalam Islam. Ini kerana belaian dan layanan mesra daripada ahli keluarga akan melahirkan suasana yang tenang, harmoni dan damai dalam kehidupan.
Ada juga segelintir keluarga tidak sanggup berkorban masa dan mencurah kasih sayang untuk bersama mereka yang mengalami sakit mental. Pesakit dianggap sudah tidak berguna lagi dan sanggup menghantar pesakit ke hospital bahagia dan pusat rawatan tradisional yang memisahkan pesakit dan keluarga.
Amatlah menyedihkan apabila kita mendengar kisah mereka yang menghidap sakit mental mendapat rawatan secara tradisional yang menyeksa seperti dipukul dan dikurung dengan alasan untuk menghalau jin dan syaitan.
Oleh: Hariyati Ariffin
Penulis pensyarah
Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media
UiTM Shah Alam
Subscribe to:
Posts (Atom)