Thursday, April 5, 2012

Minda: Berjiran tanpa bersemuka

Oleh Hariyati Ariffin UNGKAPAN ‘Jiran sepakat membawa berkat’ pernah menjadi tagline untuk aktiviti kemasyarakatan, khususnya bagi mengeratkan hubungan silaturahim sesama jiran tetangga lebih 20 tahun lalu. Pada masa itu konsep kejiranan amat ditekankan dalam masyarakat supaya mereka dapat saling bantu-membantu dan memahami jiran tetangga tidak kira bangsa dan agama bagi mengekalkan keharmonian hidup bermasyarakat. Mungkin ramai masih ingat konsep Rukun Tetangga iaitu satu bentuk kawalan keselamatan yang dilakukan masyarakat setempat secara bergilir-gilir bagi menjaga keamanan jiran tetangga dan kawasan penempatan masing-masing. Paling menarik mereka yang bertugas dalam Rukun Tetangga juga diberikan cuti sehari selepas tamat bertugas pada malam berkenaan. Namun, di era siber yang serba canggih dan maju kini, dengan slogan segalanya bermula di hujung jari, konsep kejiranan juga mengalami perubahan amat ketara. Apa yang jelas, kepesatan teknologi melunturkan konsep kejiranan, khususnya di kalangan masyarakat bandar. Ketaksuban masyarakat dalam era ini membuatkan mereka lebih senang berinteraksi atas talian berbanding mengamalkan interaksi secara interpersonal atau komunikasi secara muka ke muka. Kawalan di kawasan perumahan juga diswastakan kepada pengawal keselamatan yang dibayar penduduk manakala majlis kenduri-kendara lebih mudah menggunakan khidmat katering. Jika hendak memberitahu jiran sesuatu perkara, mereka lebih gemar menggunakan khidmat pesanan ringkas (SMS), bercakap melalui telefon bimbit atau disampaikan melalui e-mel. Laman sosial seperti facebook kini digunakan untuk bersembang atau mengundang jiran serta rakan ke majlis tertentu berbanding bertandang ke rumah. Disebabkan budaya baru berkomunikasi menggunakan SMS dan Internet, ada antaranya yang tidak mengenali siapa jiran sebelah rumah, anak atau keluarga mereka. Itulah senario perbezaan konsep kejiranan dulu dan sekarang. Dalam kaitan yang sama, sememangnya tidak dapat dinafikan kehidupan di bandar banyak cabarannya berbanding di desa. Masyarakat bandar hidup dalam keadaan tertekan kerana perlu bergegas ke tempat kerja seawal jam 6 pagi bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas dan mereka juga terpaksa pulang lewat malam kerana menghabiskan tugas serta mengelak kesesakan lalu lintas pada waktu petangnya pula. Ada antara mereka juga mesti bekerja keras untuk menampung kehidupan kerana kos sara hidup di bandar tinggi. Tidak hairanlah ramai masyarakat di bandar membuat dua pekerjaan dalam satu masa untuk terus menampung kehidupan mereka. Cara hidup seumpama ini menyebabkan keadaan rumah sering sepi tanpa penghuni dan bagi mereka yang mampu mengambil pembantu rumah, yang selalu kelihatan hanyalah bibik yang menguruskan rumah dan menjaga anak kecil. Anak jiran juga jarang kelihatan kerana mereka terlalu sibuk dengan urusan persekolahan dan ada yang lebih gemar ke kafe siber atau duduk memerap dalam bilik masing-masing melayari Internet dan menjalankan aktiviti secara maya. Akibat kesibukan keluar bekerja dan kehidupan yang terlalu tertekan, masyarakat bandar tidak kisah terhadap apa yang berlaku di sekeliling mereka mahupun di sebelah rumah. Apabila ini menjadi rutin kehidupan mereka bertahun-tahun lamanya, secara tidak sedar tertanamlah sikap individualistik yang tebal dalam jiwa serta sikap tidak boleh berlebih kurang kerana mereka tidak mengenali jiran dan sukar untuk berkomunikasi bagi memahami jiran secara lebih dekat. Secara umumnya jelas bahawa sikap kejiranan di bandar hari ini amat menyedihkan dan ia bagai satu gaya hidup baru yang diterima umum apabila sikap tidak ambil tahu dan tidak kisah terhadap apa yang berlaku di kawasan masing-masing dianggap satu norma kehidupan. Mereka ini bukan dalam kalangan yang tidak berpelajaran, ada antaranya mempunyai kelulusan tinggi dalam pelbagai bidang dan cabang ilmu. Namun, apabila menyentuh soal konsep kejiranan dan kemasyarakatan, mereka tidak merasakan itu satu keperluan dan kepentingan dalam hidup. Pesanan Nabi junjungan kita terhadap hidup berjiran menunjukkan bahawa kehidupan seseorang mukmin tidak sempurna pada kaca mata Islam seandainya hubungan dengan jiran tetangga tidak dipelihara dengan baik serta mereka tidak dapat hidup dalam harmoni. Jelaslah juga melalui hadis Nabi yang diriwayatkan oleh Ahmad dan Hakim yang menyentuh mengenai konsep kejiranan: “Tidak akan datang kiamat sehingga banyak perbuatan dan perkataan keji, memutuskan hubungan silaturahim dan bersikap yang buruk dengan jiran.” Hubungan kejiranan dituntut Allah SWT kerana amalan kejiranan yang sempurna memupuk semangat kerjasama, persefahaman dan keharmonian. Seperti yang dijelaskan dalam Surah An Nisaa’ Ayat 36: “Dan hendaklah kamu berbuat baik kepada ibu bapa, kaum kerabat, anak yatim, orang miskin, jiran tetangga yang dekat, jiran tetangga yang jauh, orang musafir yang terlantar dan juga hamba yang kamu miliki.” Justeru, sudah tiba masanya kita merenung kembali dan menghayati konsep kejiranan yang semakin dilupakan dalam masyarakat khususnya di bandar. Keghairahan mengejar dunia materialistik akan memberi kesan amat mendalam kepada institusi kemasyarakatan kita. Sikap individualistik, tidak ambil kisah dan tidak boleh berkompromi dengan jiran tetangga jika berlarutan boleh membawa kepada pergaduhan besar dan mungkin juga menyebabkan kecederaan dan persengketaan yang membabitkan seluruh ahli keluarga. Secara tidak langsung semua ini akan menyebabkan kualiti kehidupan terganggu. Kempen menggalakkan keharmonian hidup berjiran seharusnya diperkenalkan semula khususnya kepada masyarakat bandar. Mereka perlu lebih banyak membuat aktiviti kejiranan bersama seperti gotong-royong dan kawalan keselamatan persekitaran kediaman bagi mengeratkan kembali semangat kejiranan. Haruslah diingat bahawa kemakmuran sesebuah negara bergantung kepada kemantapan dan keutuhan hubungan setiap lapisan masyarakatnya. Masyarakat yang berkualiti juga dilahirkan melalui persefahaman dan hubungan erat yang bermula daripada sebuah hubungan kejiranan yang bersatu padu dan saling memahami antara satu sama lain. Penulis pensyarah UiTM Shah Alam

No comments: