Friday, November 19, 2010
Wanita dan Penderaan Mental
Wanita menderita dalam diam
Oleh Hariyati Ariffin
2010/09/22
Sanggup mengorbankan hidup kerana tidak peka terhadap hak sebenar
BENARKAH ungkapan `lelaki memberi cinta untuk mendapatkan seks, wanita pula memberi seks untuk mendapatkan cinta’?
Tidak dapat dinyatakan dengan pasti kesahihan ungkapan itu, namun, banyak contoh menunjukkan kebanyakan wanita bersikap sedemikian sehingga ada ketikanya, keadaan itu mendedahkan mereka menjadikan mangsa keganasan lelaki, baik suami, teman lelaki mahu pun rakan.
Sikap lembut, penyabar dan sering beralah wanita menyebabkan mereka terpaksa menderita dalam diam kerana tidak mahu dianggap derhaka dan tidak setia kepada pasangan. Malah, ada wanita sanggup mengorbankan hidup dan keluarganya kerana tidak mahu melanggar adat dan agama.
Berdasarkan fakta itu, ia mungkin juga antara penyebab mengapa kes keganasan terhadap wanita kini semakin serius. Saban hari, ada saja kes keganasan terhadap wanita dipaparkan media.
Statistik Jabatan Pembangunan Wanita mencatatkan kes keganasan wanita yang mendapat perkhidmatan kaunseling pada 2008 ialah 957 kes. Jumlah itu meningkat kepada 1,633 pada 2009 dan dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini, 1,008 kes sudah dilaporkan.
Perkara ini harus diberi perhatian. Wanita harus diberi pendidikan dan kesedaran sewajarnya mengenai hak mereka. Berikutan itu, satu seminar Literasi Undang-undang Menangani Masalah Keganasan Terhadap Wanita dianjurkan Jabatan Pembangunan Wanita dan Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media Universiti Teknologi Mara (UiTM).
Ketua Pengarah Jabatan Pembangunan Wanita, Wan Hasmah Wan Mohd, berkata peningkatan statistik mengenai kes penderaan terhadap wanita mencerminkan mereka masih belum peka mengenai hak sebagai wanita yang dilindungi.
Beliau berkata, wanita perlu sedar mereka mempunyai hak mempertahankan diri dari segi undang-undang jika didera.
“Didera suami sekali pun, keadaan itu perlu dibawa ke muka pengadilan. Jika mereka tidak bertindak, dikhuatiri gejala penderaan terus berleluasa hingga menyebabkan mereka diperlakukan sesuka hati.
“Senario ini amat menyedihkan kerana wanita masa kini adalah tunggak pembangunan negara. Jika isu ini tidak dibendung, negara akan rugi kerana tenaga dan kepakaran wanita amat diperlukan bagi membangunkan ekonomi dan pembangunan modal insan,” katanya.
Seminar seperti ini, kata Wan Hasmah, memberi penjelasan kepada peserta mengenai hak, pengetahuan, keyakinan dan kesedaran mengenai undang-undang apabila berdepan situasi tertentu seperti perkahwinan, perceraian, nafkah, gangguan seksual, rogol, cabul, pembuangan bayi dan eksploitasi oleh orang yang tidak bertanggungjawab.
Ketika mengulas isu berkaitan, seorang peguam, Tengku Naufal Tengku Mansor, berkata keganasan terhadap wanita adalah jenayah dan pencabulan hak asasi terhadap mereka.
Beliau berkata, penderaan juga adalah bentuk keganasan wanita bukan saja dalam bentuk fizikal tetapi emosi dan psikologi, lazimnya dilakukan lelaki yang menganggap wanita tidak setaraf dan lemah.
Keganasan terhadap wanita, katanya, sudah menjadi isu global, tidak mengira golongan mahu pun taraf hidup.
Tengku Naufal berkata, bagi kategori penderaan fizikal, wanita sering dikasari dengan pelbagai cara menyakitkan antaranya, dipukul, ditoreh hingga nyawa mereka terancam.
Malah, katanya, usaha menghalang keperluan manusia seperti makan, minum, tidur dan mendapat perlindungan juga termasuk dalam kategori penderaan fizikal.
“Penderaan fizikal yang boleh mencederakan ini jelas melanggar hak asasi manusia. Perbuatan seumpama ini boleh dihukum. Kecederaan seumpama itu pastinya dapat dilihat. Bagaimana pula dengan penderaan emosi, tanpa disedari penderaan sedemikian menyebabkan mangsa berada dalam keadaan trauma dan sentiasa murung dan boleh menyebabkan gangguan mental,” katanya.
Lazimnya penderaan seperti itu, kata Tengku Naufal, berlaku dalam bentuk ugutan, tengking, herdik, cacian dan hinaan. Penderaan ini menjejaskan nilai harga diri seorang wanita. Keadaan berlarutan hinggakan mangsa mengalami perasaan rendah diri.
Jika isteri mengalami keadaan sedemikian, mangsa, kata beliau, tidak boleh berfungsi dengan baik sebagai seorang isteri dan ibu kepada keluarganya. Jika dia berkerjaya dan memegang jawatan tinggi dalam sesebuah organisasi, pasti produktivitinya terjejas.
Selain penderaan fizikal, emosi dan psikologi, katanya, wanita juga terdedah kepada penderaan dan gangguan seksual. Gangguan sedemikian adalah perilaku atau pendekatan berkaitan seks tidak diingini. Ia termasuk permintaan melakukan seks dan perilaku lainnya yang secara verbal atau fizikal merujuk kepada seks.
Menurut Tengku Naufal lagi, dalam gangguan seksual, 10 peratus datangnya daripada ancaman, 10 peratus lagi intonasi (nada suara), iaitu gangguan berbentuk perkataan lucah, pujian berbaur seks dan perkataan yang boleh menjatuhkan maruah wanita manakala 80 peratus perbuatan atau non-verbal atau isyarat iaitu menjelirkan lidah, bermain mata, isyarat tangan, pandangan dan kerlingan.
Dalam zaman serba canggih kini, beliau berkata, gangguan boleh disebarkan dalam bentuk penghantaran visual lucah dan mesej berbaur seks serta ajakan seks menerusi telefon.
Gangguan seksual memberi kesan langsung kepada status pekerjaan wanita, sama ada untung atau rugi, kenaikan atau penurunan pangkat. Biasanya perkara ini berlaku daripada pihak atasan kepada pekerja.
Umpamanya rasuah seks, jika pekerja bawahan inginkan kenaikan pangkat mereka perlu memuaskan nafsu majikan mereka dan mengikut arahan yang bertentangan dengan etika kehidupan.
Dalam membendung isu keganasan itu, Tengku Naufal berkata, kerajaan menyediakan peruntukan khas mengikut undang-undang yang membela wanita daripada terus dianiaya.
Beberapa akta digubal bagi membela nasib wanita dan memberikan mereka peluang mengecapi kehidupan dengan lebih tenteram dan tenang. Kanun keseksaan Seksyen 509 ada menyebut sesiapa yang melakukan keganasan atau jenayah kepada wanita akan dikenakan tindakan mengikut kanun keseksaan berkenaan.
“Sudah tidak masanya kaum wanita bangkit dan memperjuangkan hak mereka. Bangun dari mimpi negeri dan sedar hak mereka dilindungi. Wanita adalah tunggak masa depan negara. Meskipun wanita lembut, mereka bukan lemah,” katanya.
________________________________________
Perkahwinan dan Perceraian
Harian Metro ( 20 November 2010)
Minda: Apabila Pasangan Mula Buat Hal
Oleh: Hariyati Ariffin
KATA orang ‘perkahwinan itu satu perjudian’. Ada kalanya kita menang dan ada kalanya kita kalah dalam melayari bahtera berumah tangga. Jika sebelum berkahwin banyak perkara mengenai pasangan kita yang kita tidak ketahui, tetapi apabila sudah serumah dan berkongsi semua perkara, barulah terserlah baik buruknya.
Ada yang berkata mengapa pasangan mereka tidak boleh menjadi seperti waktu bercinta, semuanya indah, semuanya boleh dan semuanya mudah. Namun, alam perkahwinan membuktikan bahawa keindahan zaman bercinta hanya fantasi dan realiti sebenarnya baru diketahui sewaktu melayari alam berumah tangga. Semakin bertambah usia perkahwinan semakin banyak masalah yang terpaksa ditanggung pasangan berkahwin. Justeru, jika tidak sabar dan tidak boleh berkompromi, perceraian adalah jalan keluar kemelut rumah tangga mereka.
Dalam kaitan yang sama, kajian Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) pada 2008 mendapati perkahwinan dalam tempoh 10 tahun pertama terdedah kepada keruntuhan rumah tangga sekiranya tiada kesabaran. Dalam tempoh berkenaan, perkahwinan menghadapi cabaran hebat seperti berlaku konflik dalam rumah tangga sehingga mencetuskan perceraian. Menurut Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) Jakim, Othman Mustapha, kajian Jakim menunjukkan 44.9 peratus perceraian berpunca daripada pasangan gagal menjalankan tanggungjawab masing-masing selain masalah akhlak, kewangan, masalah seksual dan campur tangan orang ketiga.
Selain itu, Jakim juga merekodkan bahawa statistik perceraian di seluruh Malaysia semakin meningkat dari setahun ke setahun. Pada 2007, kes perceraian direkodkan 20,529, pada 2008 (22,289 kes) dan 2009 (27,116 kes). Jakim juga ada membuat kajian bahawa 32.2 peratus perkahwinan untuk tempoh lima tahun pertama mengalami perceraian manakala 27.7 peratus perceraian berlaku untuk tempoh enam hingga 10 tahun pertama perkahwinan.
Penulis juga ada membuat kajian mengenai konflik perkahwinan dalam masyarakat Melayu dari sudut komunikasi dan mendapati tahun pertama dan kedua adalah tahun berbulan madu dan pasangan merasakan ia satu tempoh bahagia bagi mereka. Namun, apabila masuk tahun kedua dan anak-anak mula lahir dan ditambah dengan masalah kewangan dan kesempitan masa untuk diri sendiri dan keluarga, ia mula menggoyahkan kebahagiaan rumah tangga. Ada suami dan isteri mula bosan jika pasangan tidak mahu bekerjasama dalam rumah tangga. Masing-masing mula mementingkan diri sendiri dan saling tidak puas hati antara satu sama lain. Masuk tahun seterusnya masing-masing sudah menunjukkan sikap sebenar dan ego mula memainkan peranan. Tahun ketiga hingga ke- lima perkahwinan, masing-masing sudah mengenali sikap sebenar pasangan. Bak kata orang sekarang ‘buruk baiknya dah ada dalam tangan, dah tahu semuanya’. Masa ini semua yang dibuat pasangan mula tidak kena. Buat itu salah, buat ini salah. Semua perkara sudah menyakitkan hati. Masuk tahun kelima dan seterusnya pasangan berkahwin mula diuji dengan pelbagai dugaan, umpamanya masalah dengan orang ketiga, masalah kebosanan, campur tangan keluarga dan kewangan. Masuk tahun kesepuluh, masing-masing sudah buat hal sendiri. Suami tidak kisah apa berlaku di rumah, manakala isteri buat tidak kisah pasal suami. Kasih sayang mulai luntur dan sekiranya kurang keimanan untuk menghadapi semua ini tidak mustahil akan berlaku perceraian. Perlu diingat perkahwinan adalah satu perkongsian hidup. Namun, apa yang berlaku zaman sekarang ialah sikap ego lelaki dan perempuan yang masing-masing tidak mahu mengalah sehingga memburukkan lagi keadaan. Akhirnya yang menjadi mangsa adalah anak-anak. Mereka tersepit dalam kemelut rumah tangga ibu bapa mereka. Apabila ini berlaku anak-anak juga mencari pelarian dengan terlibat dalam masalah sosial, ibu bapa di rumah asyik bergaduh manakala anak-anak terbiar tanpa pembelaan. Mereka menjadi sedih dan bingung.
Dalam kajian penulis, ada suami mengatakan apabila isteri bergaji besar mereka mula melupakan tanggungjawab terhadap suami dan anak-anak serta rumah tangga. Makan pakai suami tidak dihiraukan lagi, rumah dibiarkan berselerak dan anak-anak tidak dijaga. Masa untuk suami juga sudah tidak ada berbanding masa bercinta dulu. Isteri merasakan sudah boleh berdikari dan tidak perlu harapkan suami, justeru mereka terlupa menunaikan tanggungjawab terhadap suami. Apabila suami bosan mereka mencari kasih di luar sebagai pelarian kepada masalah rumah tangga. Bagi pihak isteri pula mereka mengatakan suami zaman sekarang suka bergantung pada isteri. Mereka kerap ambil kesempatan terhadap isteri yang bekerja dengan tidak memberi nafkah. Alasan sering diberikan suami ialah wanita zaman sekarang bergaji lebih besar daripada lelaki jadi tidak salah isteri tanggung semuanya dan membayar segala keperluan hidup kerana perkahwinan pada hakikatnya satu perkongsian dan tidak salah jika lelaki menumpang kesenangan isteri. Ada juga sikap suami yang keterlaluan. Apabila isteri bergaji besar mereka letakkan segala tanggungjawab kepada isteri sedangkan mereka boleh berseronok di luar. Pada mulanya isteri masih boleh bersabar kerana perasaan kasih masih ada dan selalunya kerana anak-anak. Jika perangai suami tidak berubah sehingga masuk tahun ke-20, jangan terperanjat jika ada yang bercerai setelah berkahwin sekian lama. Sehubungan itu, perkahwinan adalah satu ikatan yang amat suci dan diberkati Allah. Memang tidak mudah melayari bahtera perkahwinan. Kesabaran, ketabahan dan kompromi amat penting dalam melalui kehidupan berumah tangga. Kes perceraian yang semakin meningkat di kalangan masyarakat kita akan memberi impak besar pada pembinaan jati diri masyarakat kita khususnya agama dan negara. Anak-anak yang menjadi mangsa perceraian akan berhadapan konflik kehidupan dalam diri. Bilangan mereka yang mengalami tekanan jiwa semakin meningkat dan laporan akhbar baru-baru ini mengenai statistik mereka yang sakit mental semakin bertambah, amat membimbangkan. Justeru, jika masyarakat terus memandang remeh pada masalah dan konflik perkahwinan, tidak mustahil kadar orang sakit mental semakin bertambah dan kerajaan perlu membina lebih banyak hospital bahagia demi menampung masyarakat seumpama ini. Bayangkan jika hampir 30,000 masyarakat kita berhadapan dengan masalah perceraian, apakah yang terjadi kepada nasib generasi masa depan kita, khususnya anak-anak? Bolehkah mereka menjadi pemimpin negara yang baik dan memimpin masyarakat jika kehidupan mereka sentiasa berada dalam dilema dan kucar-kacir? Masalah ini tidak lagi boleh dipandang remeh dan dikategorikan sebagai masalah keluarga saja. Apabila ia serius, masalah ini sudah menjadi masalah negara yang harus diberikan perhatian lebih terperinci dan ditangani dengan segera. Jika ingin masyarakat berkualiti, perkara seumpama ini harus menjadi agenda utama negara khususnya dalam hal pembinaan insan. Kita semua ingin hidup dalam aman damai dan sejahtera. Sama-samalah kita fikirkan untuk melahirkan masyarakat sejahtera dan negara makmur.
>
Penulis ialah Pensyarah Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media
UiTM Shah Alam
Subscribe to:
Posts (Atom)