Friday, March 20, 2015

Pengorbanan Seorang Ibu

Salam...apa yang akan saya tulis ini hanya sekadar pengalaman peribadi dan tidak bertujuan menyakitkan hati sesiapa. Kalau ada yang tersinggung saya minta maaf. Saya selalu berkongsi pengalaman peribadi supaya mereka yang punya cerita yang seakan sama tapi tidak serupa boleh mengambil iktibar dan belajar dari pengalaman dan kesilapan saya. Bagi mereka yang ada anak dalam kategori " kurang kewarasan mental" pasti merasa seperti apa yang saya rasa. Anak2 sebegini adakalanya tak sedar apa yang mereka buat, sehingga adakalanya perbuatan mereka akan membuatkan kita menanggung malu dan disebabkan itu kita terpaksa kawal dia dengan rapi dan kita juga terpaksa menghadkan kehidupan sosial kita dengan orang lain.
Bila kita kurang bersosial orang akan kata macam2, tapi hanya ibubapa yang ada anak macam ni yang tahu betapa sukar berhadapan dengan situasi begini. Adakalanya mereka dah tak kisah apa orang lain nak kata, macam saya juga. Walaupun anak saya dalam proses sembuh dan dah nampak kesembuhannya tahap 80 peratus, saya dah lalui macam2 perkara sejak dia mula2 sakit sampai ketahap nak sembuh ni yang makan masa hampir 9 tahun. Kak Long ni suka nak pergi rumah adik beradik saya, tapi saya tak benarkan dia pergi rumah adik beradik saya seperti yang dia selalu minta. Kalau ikutkan apa yang dia mahu, setiap hari suruh saya hantar rumah adik beradik saya sebab dia nak tukar angin katanya.
Dia pandai pujuk saya dan cakap " rindulah kat pak cik mak cik, rindu kat sepupu sepupunya, lama tak jumpa mereka,teringat kisah masa kecik2... seronok nak jumpa Lily, nana, Hazwan dan lain2... nak tukar angin nak tidur sana sini" tapi saya tak akan ikutkan kehendaknya. Sebab dia pernah " buat hal" dan buat perkara2 pelik sampai adik beradik saya ( mak cik2) dan sepupu2nya tak tahan.Bila macam tu saya yang menanggung malu. Dia memang nampak ok untuk sehari atau setengah hari saja, tapi ramai yang tak faham dia dan adakalanya boleh menyebabkan salah faham antara kami adik beradik. Hanya saya dan anak2 saya yang lain je yang faham perangai kak Long.
Dah lama juga saya asingkan diri saya dan dia dari pergi rumah adik beradik saya. Bukan saya marah atau merajuk, tapi hanya saya yang faham sikap dan perangai anak saya. Saya tak mahu hanya kerana orang tidak faham dia, saya yang akan tersinggung dengan kata2 orang. Biar saya ubatkan dia sampai dia sembuh 100 peratus, kemudian baru saya boleh bawa dia kerumah saudara mara, itu pun kalau saya panjang umur dan dia sihat sepenuhnya.
Moral of the story....sebagai Ibubapa ...jika kita ada anak istimewa seperti ini ...kita mesti menjaga anak2 itu dengan penuh kasih sayang, kawal dan sentiasa nasihat dia. Saya dah belajar dari kesilapan masa lalu. Kita tidak mahu disebabkan perangai pelik dia orang lain bersangka buruk terhadap kita dan timbul salah faham yang boleh menyebabkan persengketaan keluarga.. Apa pun yang terjadi kita jaga anak tu dengan baik...jangan harap orang lain nak tengok2kan dia. Berkorban demi anak itu, mungkin itu sudah takdir dan jalan hidup kita. Orang lain tak tau apa yang kita lalui dan walau macam mana berat sekalipun dugaan ini kita tanggung dan redha. Oleh itu kita buat yang terbaik untuk anak berkenaan walau kita terpaksa berkorban banyak perkara dalam hidup ini. Insya Allah saya yakin janji Allah itu pasti.

Kak Long semakin sembuh, Alhamdulillah

Wednesday, March 11, 2015

Tanggang Moden Memapar Kehidupan masyarakat kurang ilmu kekeluargaan.

Jika zaman dulu jarang sekali kita mendengar kes ahli keluarga saling saman menyaman antara satu sama lain. Namun sejak dunia semakin canggih dan moden, kes seumpama itu mula menjadi budaya masyarakat kita. Terdapat beberapa kes anak saman bapa dan bapa saman anak serta kes saman antara sesama ahli keluarga. Dalam kaitan yang sama kes yang menyebabkan ayah saman anak adalah atas dasar anak-anak yang tidak bertanggungjawab dan mengabaikan ibubapa yang tua. Kes yang dikategorikan sebagai tanggang moden ini biasanya mendapat liputan meluas media dan mendapat pelbagai reaksi daripasa masyarakat.

Berdasarkan itu, dua kes mengenai anak derhaka atau tanggang moden yang pernah mendapat liputan meluas dimedia pada tahun 2010 dan 2012 menarik minat penulis untuk mengupas isu anak derhaka dan kaitannya terhadap kehidupan dizaman serba maju ini. Dua kes yang berlaku lebih 4 tahun lalu telah membuka mata masyarakat bahawa banyak factor yang menyebabkan anak-anak menjadi tanggang moden atau menderhaka pada ibubapa. Antaranya kurang didikan agama, kekurangan wang, materialistic, kos sara hidup yang tinggi, hukum karma dimana sewaktu kecil anak-anak diabaikan oleh ibubapa bila mereka besar mereka membalas dendam, kepincangan keluarga dan masalah social.

Mengimbau kembali Kes dalam tahun 2010 yang melibatkan seorang pensyarah Universiti, berkelulusan Ijazah Doktor Falsafah , Mahkamah Tinggi Syariah di Seremban, telah memerintahkan beliau dan suaminya memberi nafkah kepada ibu bapanya sepanjang hayat. Hakim juga memerintahkan pensyarah dan suaminya itu, memenuhi lima tuntutan lain yang difailkan bapa berkenaan dan ibunya yang masing2 berusia 74 dan 66,  untuk membenarkan mereka tinggal sepanjang hayat di rumah mereka di Negeri Sembilan.

Perkara ini menjadi kes di Mahkamah Tinggi Syariah apabila pensyarah berkenaan didakwa memungkiri janji dan mengusir kedua ibubapanya dari rumah yang dipindah milik kepada beliau dan suaminya. Ayah pensyarah berkenaan memindah pemilikan tanah kepada anaknya itu selepas mereka ( pensyarah dan suaminya) berjanji menanggung nafkah ibubapanya selagi mereka hidup serta membenarkan kedua-duanya tinggal di rumah itu. Bagaimanapun pensyarah berkenaan memungkiri janji dan mengabaikan kebajikan ibubapanya.

Kes kedua yang turut mendapat liputan meluas media pada tahun 2012  ialah apabila  Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Trengganu, mengarahkan seorang  pengurus operasi yang berpendapatan RM 18,000 sebulan memohon maaf secara terbuka mengikut hukum syarak terhadap kedua-dua ibu bapa dan dua anaknya yang diabaikan lebih lapan tahun . Beliau juga diarahkan membayar tuntutan sebanyak RM400 sebulan terhadap kedua ibu bapanya serta RM400 sebulan setiap seorang terhadap dua anaknya yang ketika itu berusia 17 dan 15 tahun. Dia juga  turut diarahkan membayar sebanyak RM1,000 setiap seorang anak dalam tempoh dua minggu setiap kali menyambut Aidilfitri sebagai persiapan. 

Selain itu, pengurus operasi disebuah syarikat minyak berkenaan  turut diarahkan membayar sebanyak RM18,866.50 atau tunggakan perbelanjaan dan sebagai teladan kerana tidak pulang ke rumah menemui keluarga termasuk kedua-dua anaknya dalam masa lebih lapan tahun sebelum ini. Semua tuntutan tersebut difailkan  oleh jedua ibubapa pengurus berkenaan kerana beliau mengabaikan tanggungjawab menjaga kedua anaknya lebih lapan tahun selepas bercerai dengan isteri pertama. Melalui dua kes yang di jadikan contoh, ternyata kehidupan moden dan terlalu bersifat materialistic mendorong anak-anak menderhaka pada ibubapa.

 Pendidikan yang tinggi dan status kehidupan yang baik belum tentu dapat menjamin mereka menjadi anak yang baik dan boleh menjaga kedua ibubapa bila tua. Lebih tinggi kedudukan mereka dan pendapatan mereka adakalanya mereka semakin sibuk dan lalai dengan urusan dunia sehingga melupakan kedua ibubapa. Memetik syarahan ustaz Kazim Ahmad dalam ceramahnya bertajuk ` anak derhaka” beliau ada menyebut,  pengorbanan ibu dan ayah tidak ada tolok bandingnya. Semasa kecil anak-anak dijaga dengan penuh kasih sayang oleh ibubapa, malah najis anak-anak juga dibasoh dengan tangan mereka sendiri tanpa rasa jijik. Namun apabila ibubapa sudah tua dan uzur serta tidak berdaya  ada kalangan anak-anak yangmencuci najis ibubapa menggunakan plastic, kaki dan menggunakan penutup hidung. Ini menunjukkan  seolah-olah anak-anak terlalu jijik mengurukan kepada kedua orang tua yang telah banyak berkorban untuk mereka.

Disebabkan sikap anak-anak yang tidak sanggup berkorban untuk ibubapa , pusat perlindungan orang tua dan rumah warga emas semakin banyak di dirikan. Ini secara tidak langsung mencerminkan sikap kurang prihatin dan kurang nilai murni masyarakat kita khususnya anak-anak yang tidak sanggup menjaga karenah ibubapa yang tua dan lebih sanggup menghantar kedua ibubapa kerumah orang tua bagi memudahkan hidup mereka.

 Zainuddin Ayip dalam artikelnya bertajuk “  Penangan si Tanggang Moden, siapa yang bersalah “  dalam sebuah majalah tempatan menggariskan ciri-ciri tanggang moden antaranya: 1) enggan menjaga ibu bapa yang menghadapi masalah fizikal dan mental. 2) membalas dendam kerana sikap dan sejarah lampau ibu bapa. 3) enggan menjaga ibu bapa dengan alasan mempunyai tanggungan yang ramai. 4) mengambil barang kemas, wang dan harta benda ibu bapa. 5) memaksa ibu bapa menukarkan nama harta kepada namanya. 6) merajuk kerana tidak sependapat dengan ibu bapa sehingga mengabaikan mereka. 7) bertindak kasar seperti menengking, menampar, ugut dengan senjata. 8) menyuruh ibu bapa menjaga anak-anak meskipun mampu menghantar mereka ke pusat penjagaan kanak-kanak, 9) tidak memberikan wang 10 ) menghambakan ibubapa seperti orang gaji untuk memasak, membasuh dan menguruskan rumahtangga mereka.

Oleh yang demikian jelas sekali bahawa fenomena tanggang moden mencerminkan kepincangan institusi kekeluargaan dan sifat kurang kasih sayang serta dasar materialistic masyarakat kita yang sudah menjadi sebahagian dari cara hidup masyarakat masa kini. Malah kajian Institut Kajian Sosial, Universiti Putra Malaysia (UPM) pada 2010, mendapati dengan bilangan warga emas yang berusia lebih 60 tahun ke atas bakal mencapai jumlah 2.2 juta orang menjelang tahun 2020, dan masa yang sama jumlah anak derhaka juga dijangka bertambah.

Tuntasnya  mungkin sesuatu boleh dilakukan untuk mengurangkan fenomena ini dari terus berleluasa. Masyarakat perlu kembali pada norma kehidupan yang lebih murni, menjaga kerukunan rumahtangga, mengeratkan silaturahim sesame ahli keluarga dan paling penting kembali kejalan agama yang banyak memberi panduan dan ajaran dalam kehidupan serta menjamin ketenangan hidup. Ingatlah bahawa hidup ini satu putaran, jika kita berbuat baik kepada ibubapa kita, insya Allah anak-anak akan berbuat baik kepada kita. 


Tamat.   

Kita Semua Akan Tua

Setiap yang muda akan menjadi tua. Itu adalah hakikat kehidupan. Kita tidak boleh lari dari menjadi tua. Walau kita cuba pelbagai petua untuk menjadi awet muda, membuat pembedahan plastik, namun saat menjadi tua pasti akan tiba dan tidak ada siapa yang dapat lari dari menjadi tua. Setiap tahun 1 oktober  telah diisytiharkan sebagai Hari Warga Emas Sedunia bagi mengenang jasa orang lama yang telah banyak berkorban bagi masa depan generasi kini. Definisi mereka yang tergolong dalam warga emas adalah individu yang telah mencapai usia 60 tahun dan keatas.

Hari warga emas juga bukan sekadar memperingati orang lama yang menjadi teras masyarakat tetapi juga memberi kesedaran bahawa setiap manusia akan melalui saat menjadi tua dan persiapan tertentu perlu diambil untuk mempersiapkan diri mengharungi masa tua. Menurut Jabatan Statistik Malaysia jumlah golongan tua yang berusia lebih 60 tahun pada tahun 2013 dinegara kita  adalah seramai  , 2.573.7 ( 2.5 juta) dan bagi tahun 2014 bilangan mereka adalah 2.694.5 (2.7 juta). Malah menjelang tahun 2020 Jumlah warga emas di Malaysia dijangka mencecah 3.2 juta orang.

Pepatah Melayu menyebut” Yang muda disayangi yang tua dihormati” .Ungkapan ini membawa makna yang besar dalam proses sosialisasi manusia dimana golongan tua dan muda ini saling memerlukan dan saling hormat menghormati serta sayang menyayangi agar mereka dapat meneruskan kehidupan dengan lebih harmoni dan sejahtera. Tiada yang tua tiada yang muda. Golongan tua punya pengalaman dan kepakaran tersendiri, kata pepatah lama “ mereka lebih dulu makan garam” dan telah merasa pahit manis kehidupan. Menghormati orang tua adalah juga antara adap dan nilai murni yang digariskan oleh budaya Melayu kita. Malah agama Islam juga memberi pesanan agar menghormati orang tua dan mengasihani mereka yang muda atau anak-anak kecil. Nabi pernah berpesan dalam hadith yang diriwayatkan oleh Al-Tabrani yang bermaksud” Bukanlah dari golongan kami, sesiapa yang tidak menghormati orang tua kami dan tidak pula mengasihani anak kecil kami”

Namun dalam zaman yang serba maju ini golongan tua turut terkesan dan mendapat tempias pembangunan apabila ramai golongan warga emas ini terabai dan terpinggir. Ada yang terpaksa tinggal seorang diri dikampung, kerana anak-anak sudah berhijrah dibandar dan ada juga anak-anak yang tidak mampu menyara kehidupan warga emas ini kerana masalah ekonomi. Wujudnya rumah perlindungan warga emas yang semakin banyak di dirikan serta pengabaian anak-anak terhadap ibubapa menunjukkan bahawa isu warga emas adalah satu fenomena yang memerlukan penyelesaian yang terbaik. Statistik  dari Jabatan Kebajikan Masyarakat pada tahun 2012, mencatatkan seramai 2020 warga emas telah ditempatkan di rumah-rumah kebajikan Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Dari jumlah tersebut seramai 982 orang (48%) adalah orang Melayu Islam dan 19% dari jumlah kemasukan ke rumah kebajikan adalah kes-kes pengabaian serta dipinggir oleh keluarga sendiri. Manakala 26% berkaitan masalah penjagaan dan 3% berkaitan dengan masalah penderaan. Ada juga anak-anak yang berkemampuan turut menghantar ibubapa mereka ke pusat penjagaan warga emas kerana kekangan masa untuk menjaga golongan ini, serta masalah lain. Namun disebalik statistik yang diberikan JKM ini, masih ada golongan yang terbiar dan tidak termasuk dalam senarai statistik berkenaan dan masih hidup terpinggir dikampung dan dikawasan terpencil disekitar bandar.

Mungkin ada anak-anak yang mengatakan, adalah lebih selamat menghantar ibubapa yang uzur dan tua kepusat penjagaan kerana ibubapa mereka mendapat jagaan yang baik kerana mereka juga sibuk mencari rezeki untuk keluarga. Tidak dinafikan ada pusat penjagaan  yang memberi perkhidmatan yang baik, tetapi ada juga yang mengabaikan warga emas disitu sehingga jika melihat keadaan mereka sangatlah menyedihkan.

Sebenarnya apa yang ibubapa atau warga emas mahu diusia tua mereka hanyalah untuk menghabiskan masa bersama keluarga sementara ada sisa usia. Jika boleh anak-anak digalakkan menjaga ibubapa yang tua dan uzur dan tidak menghantar mereka kepusat jagaan yang adakalanya belum tentu dapat menjaga mereka dengan baik. Pelbagai kisah penderaan orang tua kita dengar dimedia massa. Sudahlah mereka tidak berdaya, dipinggirkan keluarga dan turut didera. Bayangkan jika kita berada dalam keadaan mereka. Oleh yang demikian, carilah alternatif untuk menjaga kedua ibubapa yang telah tua dan uzur, agar mereka dapat menghabiskan sisa usia dalam keadaan yang lebih tenang dan bahagia.

Pesanan bagi mereka yang sedang menuju kearah zaman tua, jagalah kesihatan diri dan sentiasa berfikiran positif, bersikap terbuka, senang didekati  serta teruskan usaha menyumbang apa juga tenaga dan idea untuk kepentingan generasi masa depan. Jika kita sihat dan sentiasa bekerja, ia membantu kita melalui zaman tua dengan lebih baik dan memudahkan orang lain menjaga kita terutama anak-anak dan cucu.

Natijahnya menjadi tua adalah pasti, proses penuaan juga adalah proses semulajadi yang akan dilalui oleh semua orang. Kehidupan ini juga satu putaran. Jika kita berbuat baik pada kedua orang tua kita, memberi contoh yang baik pada anak-anak, pasti mereka juga akan berbuat baik pada kita. Apa yang penting, jaga kesihatan sejak muda, kerana kesihatan adalah asset yang sangat penting untuk meneruskan hidup yang lebih berkualiti apabila kita tua nanti. Semoga kita dapat menghadapi usia tua dengan lebih tenang dan gemilang.

Tamat.



Friday, May 31, 2013

Teknologi Baru meragut Masa Santai Bersama keluarga

Perkembangan teknologi komunikasi dan informasi banyak membawa perubahan kepada perilaku dan cara hidup berkeluarga masa kini. Jika dulu waktu cuti hujung minggu, rumah akan riuh rendah dengan suasana jerit pekik anak-anak yang bermain dan bergurau senda. Kini anak-anak kecil seusia tiga tahun sudah pandai bermain komputer dan lebih suka menyendiri disatu sudut untuk melayan `permainan komputer ’ milik mereka. Bagi yang remaja pula mereka akan leka dengan telefon pintar, headset, keypad smartphone dan media sosial yang boleh menghubungkan mereka dengan rakan seluruh dunia. Mereka tidak kisah terperap dibilik berhari-hari asalkan mereka dilengkapi dengan gadget terkini yang membolehkan mereka berinteraksi dan melayan kemahuan mereka melihat pelbagai video dan mengakses informasi dihujung jari mereka.

Dunia luar atau realiti sudah semakin hambar bagi mereka. Sebaliknya dunia IT sangat menarik bagi mereka dan geberasi digital native ini merasakan alam siber adalah dunia sebenar mereka.Tanpa memperdulikan apa juga yang sedang berlaku didalam rumah mereka, ketaksuban mereka terhadap teknologi baru tidak dapat disangkal lagi. kehidupan anak-anak ini terlalu luas dalam dunia tanpa sempadan mereka dan mereka tidak lagi memerlukan keluarga disaat itu. Tidak dinafikan senario begini berlaku dimana-mana dizaman ini Ketika teknologi semakin mengambil tempat dalam kehidupan manusia, Ibubapa juga tidak mahu ketinggalan dalam perubahan hidup yang serba mudah. Mereka juga tidak kurang hebatnya, dengan memiliki gadget peribadi yang membuatkan mereka semakin kurang berinteraksi dengan anak-anak dan keluarga.

Secara tidak langsung, ketaksuban terhadap teknologi baru menyebabkan ada segelintir ibubapa mengabaikan tanggungjawab mendidik sahsiah dan moral anak-anak serta gagal menjalankan tanggungjawab sebagai ibubapa. Ada surirumah yang terlalu taksub dengan media sosial sehingga lupa menjalankan tanggungjawab sebagai ibu dan isteri seperti memasak, mengemas dan menjaga anak-anak. Begitu juga ayah yang lupa mengambil anak-anak disekolah atau membeli keperluan harian kerana terlalu leka dengan media sosial seperti tweeter dan facebook. Ironisnya apabila melihat perkembangan senario kekeluargaan zaman ini, ternyata penangan dan kesan teknologi komunikasi masa kini terlalu hebat melanda institusi kekeluargaan. Secara sedar atau tidak perkembangan teknologi yang dikatakan memudahkan kehidupan manusia berinteraksi dan berkomunikasi tanpa sempadan secara realitinya telah mula melonggarkan dan menjauhkan ikatan kekeluargaa. Ini kerana keluarga sudah tidak lagi mempunyai ruang untuk berbual bersama-sama, bergurau senda atau bercerita kisah suka duka mereka secara bersemuka atau interpersonal.

 Begitu juga mereka tidak punya masa bagi meluahkan kasih sayang dan merasakan sentuhan jiwa dan melihat ekspressi wajah yang meninggalkan kesan dalam hati tiap ahli keluarga. Masa terlalu banyak dihabiskan dengan mengakses informasi dihujung jari mereka dan berinteraksi dengan rakan secara maya. Segalanya dilakukan dalam talian dan ada yang beranggapan mereka ketinggalan zaman apabila gagal menghadirkan diri dalam talian atau tidak online setiap hati Jelas sekali teknologi terkini telah meragut masa-masa santai bersama keluarga bila setiap ahli keluarga `buat hal sendiri’ dan didalam dunia masing-masing yang secara tidak langsung menghanyutkan setiap ahli keluarga dalam lautan informasi tanpa sempadan. Ini yang dikatakan dekat tapi jauh.

 Justru bagi mengembalikan keharmonian kehidupan berkeluarga dizaman siber ini, ibu dan ayah perlu lebih bijak memantau kegunaan gadget baru dalam kehidupan anak-anak. Mereka iaitu ibubapa sendiri perlu menunjukkan contoh yang baik kepada anak-anak. Melalui konsep kepimpinan melalui teladan ibubapa memainkan peranan penting sebagai role model yang baik dalam menunjukkan contoh terpuji menggunakan teknologi moden tanpa mengorbankan masa bersama dan mengamalkan interaksi interpersonal yang boleh memberi kesan terhadap jiwa dan perasaan anak-anak. Adakan satu waktu dimana seisi keluarga `berehat’ dari menggunakan gadget-gadget moden dan kembali berkomunikasi menggunakan konsep bersemuka. Selain itu sebagai `gatekeeper’ kepada anak-anak dalam menapis informasi dan mengawal perlakuan anak-anak, ibubapa mestilah meluangkan masa bersama anak-anak untuk waktu santai dan senggang bagi mendekatkan anak-anak dan memberi sentuhan peribadi yang amat berkesan dalam jiwa mereka.

 Saranan seterusnya jadikan hujung minggu hari bergotong royong seisi keluarga dan sesi mengemas dan membuang barang-barang lama untuk membersihkan kawasan rumah. Selain membuat aktiviti yang menyihatkan tubuh badan, saling berinteraksi sesama ahli keluarga kawasan dan dalaman rumah juga dapat dibersihkan. Mungkin belum terlambat untuk kita tunjukkan kasih sayang terhadap ahli keluarga dengan kembali mengamalkan nilai murni dalam kehidupan seperti yang pernah dilakukan oleh datuk nenek dan motang kita dulu. Amalkan konsep bersalaman dengan anak-anak dan ahli keluarga serta menjalankan kegiatan outdoor yang lebih menyihatkan tubuh badan. Tidak salah mengikuti perkembangan teknologi dunia moden tetapi berpada-padalah dalam apa juga yang kita lakukan. Setiap apa yang kita lakukan secara berlebihan dan taksub akan membawa kemudaratan. Semoga kita dapat menjadi masyarakat yang maju dan berakhlak mulia.

 Tamat...

Cabaran Menjadi Mahasiswa dan Mahasiswi Universiti.

Semua orang tidak kira yang tua atau muda bercita-cita ingin melanjutkan pelajaran di Universiti. Dalam zaman serba maju dan berteknologi tinggi kelulusan akademik dilihat sebagai satu laluan kearah memperolehi kerjaya yang baik dan dapat menjamin masa depan. Apabila keputusan peperiksaan rasmi negara diumumkan. Pelajar yang mendapat keputusan cemerlang akan memilih Universiti dan kursus yang mereka ingin pelajari. Bagi yang mempunyai ibubapa yang berpelajaran, mereka amat bernasib baik kerana Ibubapa turut menjadi penasihat dan pembimbing memilih kerjaya masa depan. Bagaimanapun bagi mereka yang kurang arif mengenai pemilihan bidang dan kusus yang sepatutnya di ambil, adakalanya terpaksa memilih apa saja bidang yang ada asalkan mereka dapat dipilih untuk belajar di Universiti.

 Perjalanan dan pengembaraan kehidupan di Universiti bermula apabila mereka terpilih menjadi mahasiswa dan mahasiswi Universiti tertentu. Saat itu bukan sahaja membanggakan keluarga dan diri mereka sendiri, malah pelbagai azam dan janji turut di buat. Sesi minggu suai kenal , merupakan cabaran pertama yang terpaksa ditempuh pelajar baru. Dalam masa seminggu itu pelajar didedahkan mengenai selok beluk dan kehidupan sebagai Mahasiswa dan mahasiswi serta maklumat mengenai kursus,Fakulti dan Universiti .Bagi pelajar lepasan SPM, STPM dan yang setara, persekitaran dan pembelajaran di peringkat Universiti amat berbeza daripada disekolah. Peralihan dari pendidikan menengah ke pendidikan tinggi adakalanya menyebabkan satu kejutan budaya kepada mereka. Di Universiti, survival adalah perkara utama yang harus menjadi pegangan mereka. Hidup diUniversiti perlu banyak berdikari dan semuanya dilakukan sendiri. Tidak ada ibu atau ayah serta saudara mara yang boleh membantu kehidupan mereka di Universiti. Semangat survival harus tinggi dan mereka juga mesti kuat dari segi Fizikal dan mental bagi mengharungi pelbagai cabaran yang bakal mereka hadapi di peringkat Universiti. Tidak dinafikan dalam mengharungi dunia baru dikampus, adakalanya emosi pelajar mudah terusik. Berjauhan dengan keluarga dan berada ditempat asing akan membuatkan mereka sentiasa terkenangkan kampung halaman.

Perkara yang sering melanda pelajar baru ialah mengenai `homesick’ atau rindu keluarga dan kampung halaman. Tidak hairanlah ada pelajar yang sanggup balik kekampung halaman mereka setiap minggu semata-mata kerana terlalu rindu pada keluarga dan sahabat handai yang ditinggalkan. Kalau mereka belajar di Shah Alam, pulang ke Melaka atau Negeri sembilan setiap minggu tidak lah menghairankan. Tetapi ada antara mereka yang tinggal di Kelantan, Trengganu, Kedah dan Perlis sanggup pulang ke kampung setiap minggu. Keadaan ini adakalanya menyebabkan mereka letih dan tidak dapat menyelesaikan tugasan yang diberi pensyarah. Apabila kuliah bermula antara cabaran yang dihadapi pelajar ialah pengurusan masa. Mereka perlu bijak mentadbir masa dalam kehidupan dan menghadiri kuliah yang sangat padat waktunya. Diperingkat Universiti tempuh satu semester sangat pendek antara tiga ke empat bulan sahaja. Matapelajaran yang ditawarkan pula banyak, antara tujuh hingga sembilan matapelajaran.

Disebabkan itu, masa amat berharga bagi pelajar Universiti, mereka perlu bijak mengurus masa dengan baik. Adakalanya kuliah bermula dari pagi dan tamat sebelah petangnya. Sabtu dan ahad pula ada kelas ko kurikulum dan aktiviti lain seperti Kemahiran Insaniah. Pendekkata hidup sebagai pelajar Universiti sentiasa sibuk dan mereka adakalanya tidak mempunyai masa untuk bersenang-senang dan waktu bersenggang. Mendisiplinkan diri untuk hadir kekuliah setiap hari, selain menyiapkan tugasan pada waktu yang ditentukan dan menjaga kesihatan amat penting bagi pelajar universiti. Jika mereka gagal menyesuaikan diri dalam persekitaran baru mereka akan ketinggalan banyak perkara dan menyebabkan ada antaranya tidak mampu meneruskan pengajian dan menyerah kalah sebelum berjuang.

 Di Universiti juga pelajar perlu membina rangkaian kawan-kawan baru dan perhubungan dengan rakan sekelas, sekolej dan mereka yang sama dalam pesatuan. Mereka perlu bijak berkomunikasi dan berinteraksi sesama rakan sebaya dan tidak menjadi katak dibawah tempurung yang tidak tahu perkembangan di kelas, fakulti mahupun Universiti. Mereka digalakkan menyertai persatuan dan tidak mengamalkan sikap anti sosial. Hubungan Interpersonal yang baik dapat menjalin persahabatan dengan ramai rakan baru termasuk pelajar senior selain mencambah minda dan menjadikan mereka lebih positif menghadapi alam baru dalam kampus.

 Dalam kaitan yang sama, rakan sebaya memainkan peranan penting membentuk sahsiah dan sikap seseorang mahasiswa dan mahasiswi. Kita biasa mendengar ungkapan ini, kawan mencerminkan siapa diri kita. Sama juga dengan perumpamaan ini, ” andai berkawan dengan penjual wangian, kalaupun kita tidak memakainya kita juga dikatakan berbau wangi, sebaliknya jika kita berkawan dengan pengimpal besi, kalaupun kita tidak melakukan pekerjaan itu, pasti percikan api dan besi terkena pada kita” . Umpamanya kita berkawan dengan rakan yang sangat malas bangun pagi dan sentiasa suka ponteng kelas, mereka juga tidak kisah dimarahi pensyarah jika tidak menyiapkan tugasan, akhirnya kita akan terikut-ikut perangai rakan kita tadi dan rasa selesa kerana ada rakan yang sama tidak kekuliah dan sebagainya. Justru apa yang ingin dijelaskan disini ialah memilih siapa kawan kita di Universiti adalah perkara yang amat penting.

 Jika tersalah pilih kawan, matlamat utama menjadi pelajar Universiti dan menimba ilmu untuk masa depan yang cerah mungkin tidak tercapai. Malah cita-cita mengganggam segulung diploma atau ijazah mungkin tidak kesampaian dan akan hanya tinggal kenangan. Kawan yang baik akan menasihatkan dan selalu mengajak ke arah kebaikan. Jika sudah tersalah langkah, seharusnya pelajar memikirkan kesusahan ibu dan ayah yang ada antaranya terpaksa bergolok bergadai demi menghantar anak-anak ke Universiti. Buat pemilihan yang bijak dan tanamkan satu tekad dan azam yang kuat untuk menghabiskan pengajian walau apa pun cabaran yang mereka hadapi di Universiti. Selain pemilihan rakan, adakalanya pelajar menghadapi kesukaran dalam bidang yang mereka pelajari.

Masalah bahasa menjadi satu halangan besar bagi pelajar yang kurang mahir berbahasa Inggeris. Sekiranya kuliah dijalankan dalam Bahasa Inggeris mereka akan menghadapi masalah kerana tidak faham apa yang disampaikan. Bagaimanapun itu bukan masalah besar, kerana dimana ada kemahuan disitu ada jalan. Masalah bahasa bukan penghalang utama bagi pelajar Universiti menimba ilmu , kerana jika mereka rajin membaca dan selalu membuat tugasan, ia seperti kata pepatah ` alah bisa tegal biasa’ . Lama kelamaan mereka akan terbiasa dengan penggunaan bahasa Inggeris sebagai medium pembelajaran mereka. Menyentuh mengenai cabaran seterusnya , pensyarah juga adakalanya menjadi cabaran kepada pelajar baru dan pelajar lama. Ramai pelajar merungut, sikap tertutup pensyarah yang sukar difahami pelajar ,yang secara tidak lansung membuatkan pelajar rasa tertekan untuk menghadiri kuliah.

Pensyarah cerewet, tidak boleh lebih kurang, terlalu ego adalah antara rungutan pelajar. Sebenarnya semua ini tidak akan menjadi masalah besar kepada pelajar jika mereka bijak berinteraksi dengan pensyarah. Mereka ini (pensyarah) manusia biasa, pelajar seharusnya berfikiran positif dan cuba mendekati pensyarah untuk berinteraksi secara berhemah dan menjalani proses penyaluran ilmu yang lebih mesra dan memberi manafaat. Jika pelajar bijak mengambil hati pensyarah seperti sentiasa datang awal kekuliah, tidak pernah ponteng, membuat tugasan yang diberikan dengan bersungguh-sungguh pasti mereka tidak akan menghadapi masalah dengan pensyarah.

 Oleh yang demikian, bagi mereka yang bakal bergelar Mahasiswa dan Mahasiswi Universiti lengkapkan diri anda dengan kekuatan rohani dan jasmani yang dapat membantu anda mengharungi dunia baru di kampus dan Universiti, sebagai langkah pertama merancang masa depan yang cemerlang. Sentiasa berfikiran positif, mendisiplinkan diri dan jangan lupa lengkapkan diri dengan pegangan agama yang baik yang dapat menjadi pendinding dan garis panduan dalam perlakuan dan amalan ketika berada di Universiti. Semoga anda semua menjadi graduan yang berilmu dan berakhlak yang bakal meneraju negara kearah kesejahteraan dunia sejagat.

 Penulis adalah Pensyarah Kanan
 Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media. UiTM Shah Alam.


Tamat.

Sabar, Ikhlas dan Berbudi Bicara dalam Mendidik

Seorang pensyarah muda bertanya kepada saya, rahsia bersabar dengan pelajar dan keakraban bersama pelajar. Beliau berkata, beliau tidak dapat bersabar dengan karenah pelajar yang adakalanya membuatkan beliau terlalu marah dan tidak dapat mengawal perasaan. Walaupun baru bekerja dalam tempuh dua tahun beliau sudah rasa mahu berhenti kerja, kerana tekanan yang dihadapinya daripada pelajar. Dengan memegang bahunya saya berkata, menjadi pendidik perlukan jiwa seorang pendidik. Sabar adalah satu daripada sifat dan peribadi pendidik yang baik. Selain sabar peribadi mulia yang harus ada pada pendidik ialah sifat kasih sayang, kasihan, bertanggungjawab dan sentiasa mendekati pelajar tidak kira latar belakang mereka. Lebih 15 tahun menjadi pensyarah di UiTM, saya sudah berdepan dengan pelbagai karenah pelajar. Ada yang rajin, ada yang pandai memberi alasan, ada yang nampak bijak tapi pada hakikatnya menggunakan orang lain untuk segala tugasan yang diberi.

Ada juga pelajar yang berbudi bahasa, rajin membantu dan tidak kurang juga pelajar yang mempunyai sikap sombong, angkuh dan ego. Pelajar sekarang lebih bijak memanipulasi keadaan berbanding pelajar dulu. Mereka hidup dalam dunia siber dan bijak menipu pensyrah dengan pelbagai cara. Golongan lama macam saya yang kurang bijak menggunakan teknologi terkini, adakalanya tertipu dengan helah pelajar. Apapun itu semua tidak pernah memetahkan semangat saya untuk terus berbakti dan berkhidmat untuk anak bangsa. Melalui pengalaman mengajar, saya berpendapat untuk dekati pelajar dan menyelami perasaan dan masalah mereka, pertama sekali kita mesti mengenali mereka secara dekat. Gunakan pendekatan saikoloji dan diplomasi. Pelajar suka jika pensyarah mengenali mereka melalui nama. saya akan cuba mengingati nama pelajar dan setiap kali masuk kelas saya akan panggil seorang demi seorang nama mereka dan cuba dekati mereka dalam kelas.

Sesekali saya buat panggilan telefon atau sms mereka mengingatkan tentang assignments dan kerja luar kelas. Jika ada rezeki lebih saya belanja mereka makan. saya dapati mereka menghargai cara saya dan ada antaranya pula yang menelefon mama untuk bercerita masalah dan sebagainya. Sesekali saya luangkan masa untuk pergi minum atau berbual kosong selepas kelas. Pendekatan seumpama itu memang berkesan pada saya untuk dekati pelajar. Paling tidak disangka masih ada bekas pelajar yang mengingati saya walaupun mereka sudah graduate lebih 10 tahun dari fakulti ini. Pernah juga saya terserempak dengan bekas pelajar yang saya sendiri sudah lupa siapa mereka. Bekas pelajar perempuan ini dengan begitu terujanya memeluk saya bila berjumpa. Kadang tu saya terpinga2 juga memikirkan siapa mereka, tapi kemudian mereka memberitahu mama mereka siapa dan bila saya ajar mereka. Semua ini menjadi kenangan paling indah dalam hidup saya. Seronok bila diingati. Inilah kebahagiaan dalam hidup saya sebagai pensyarah. Sebenarnya menjadi pendidik adalah cita-cita saya kecil lagi. Masih saya ingat kalau bermain dengan kawan-kawan saya akan mengajak mereka bermain `cikgu-cikgu’. Saya akan mengaturkan jenis permainan dan secara sukarela memilih diri untuk menjadi cikgu. Ketika itu saya akan memberikan soalan dan pelbagai ujian kepada rakan-rakan. Dirumah juga saya suka berlagak menjadi guru. Adik beradik saya yang ramai adalah suatu kelebihan untuk bermain `cikgu-cikgu’ . Apatah lagi saya anak kedua daripada 10 orang adik beradik dan merupakan anak perempuan sulung. Adik-adik semua menjadi Pak turut dan sentiasa patuh dan akur pada arahan saya. Begitulah seronoknya zaman kanak-kanak dan jiwa pendidik serta sifat sabar saya sememangnya sudah terselah sejak dari kecil dulu. Sebagai kakak sulung saya diamanahkan untuk menjaga adik2 yang ramai. Kenakalan mereka sentiasa menjadi kemarahan arwah mak dan arwah bapak saya. Sewaktu muda arwah mak dan bapak memang terlalu garang, kerana kami hidup dalam serba kekurangan.. Kami adik beradik selalu kena pukul kerana kenakalan dan kerana kesempitan hidup. Adakalanya hanya perkara kecil seperti adik2 merengek mahukan aiskerim mereka sudah menaikkan kemarahan arwah mak. Bukan apa, kami orang susah, nak makan aiskerim masa dulu memang susah, duit tak ada. Jadi jika ada adik2 yang degil dan tetap mahukan iaskerim, arwah mak akan pukul mereka supaya tidak berterusan meminta aiskerim. Sebagai kakak yang sulung, saya akan memujuk adik2 dan jika selepas kena pukul saya akan mandikan adik2 dan ajak makan, lepas tu suruh mereka tidur. Saya sentiasa tak sampai hati melihat adik-adik berterusan minta sesuatu yang mak dan bapak tak mampu. Selalunya saya akan menasihatkna adik2 dan memujuk mereka supaya jangan degil. saya lah tempat adik2 meminta tolong dan jurucakap untuk adik beradik yang lain. Seingat saya, apa saja yang disuruh oleh arwah mak dan bapak tidak pernah saya bantah. Saya ikut saja dan buat untuk mereka. Tidak hairan jika kedua arwah mak dan bapak sangat menyayangi saya. Adik saya selalu cakap, mak dan bapak pilih kasih sebab sayangkan saya, tapi sebenarnya saya menjadi orang yang ikut perintah mak dan bapak dan jarang menolak atau membantah apa yang mereka suruh. Sifat ini terbawa2 sehingga tua. saya sanggup bekorban untuk anak2 dan suami dan sentiasa cuba mengawal rasa marah. Apabila menceburi bidang pendidikan yang menjadi cita2 sejak kecil, saya menjiwai kerjaya ini sepenuh jiwa raga dan sentiasa rasa seronok bersama pelajar dan rakan2 pensyarah yang lain. Manusia ada pelbagai ragam dan perangai. Di Fakulti, pensyarah juga pelbagai perwatakan. Ada yang garang ada yang penyabar dan ada yang terlalu strict dengan peraturan yang mereka buat. Apa pun mereka adalah warna2 kehidupan dikampus dan fakulti. Pelajar juga begitu, mereka punya pelbagai sebab datang belajar dan pelbagai cara menghabiskan tempuh pengajian. Bagi saya jika kita menceburi bidang pendidikan, kita seharusnya sayang pada profession ini dan cuba menjiwai kerjaya ini sepenuhnya. Jika ada pelajar yang sentiasa bermasalah, cuba selidik apa masalah mereka. Adakalanya mereka kesempitan wang, masalah diri dan pelbagai lagi. Pada mama menjadi pendidik perlu banyak berkorban seperti kata pepatah, guru ibarat lilin yang membakar diri menerangi orang lain. Mungkin ada yang kata, mereka mempunyai banyak kerja lain, kerana pelajar Universiti sudah dewasa dan mereka boleh berdikari. Tetapi saya rasa dengan mendengar permasalah mereka saja sudah boleh menringankan apa juga perkara dan masalah yang membelenggu jiwa dan perasaan mereka. Saya amalkan menjadi pendengar yang baik. Sebenarnya mereka memerlukan orang untuk mendengar luahan hati dan perasaan sahaja. Bagi saya apa kita lakukan biarlah penuh keikhlasan dan semuanya kerana Allah. InsyaAllah ganjarannya lebih besar diberikan Allah pada kita. Justru menjadi seorang pendidik haruslah di bekalkan dengan sebuah perasaan halus yang memahami anak murid, disamping ketebalan rasa sabar dan kekuatan minda menyampaikan ilmu dengan berkesan dan kreatif serta sifat kasih sayang yang akan menyuburkan jiwa kita dan jiwa pelajar yang kita curahkan ilmu. Semoga lebih ramai pendidik mengamalkan sifat toleransi dan memahami anak2 didik mereka. Ingatlah bahawa pendidik yang terbilang, melahirkan pelajar cemerlang dari sudut ilmu dan akhlak.

Menanam Sifat Prihatin dan Nilai Murni Dalam Masyarakat.

Benarkah semakin maju dan canggih teknologi sesebuah negara, semakin mundur akhlak dan keprihatinan masyarakatnya. Mungkin pernyataan umum ini tidak benar bagi negara kita. Namun tidak mustahil jika kita tidak mengambil langkah tertentu masyarakat kita akan menjadi sebahagian daripada pernyataan diatas. Persoalan mengenai sikap prihatin dan berbudi bahasa sering dibincangkan di media cetak dan media elektronik, bukan sahaja dinegara kita, malah dinegara luar juga turut memberi penekanan terhadap kepentingannya bagi melahirkan sebuah negara yang sejahtera. Dimedia sosial seperti Facebook, tweeter dan sebagainya perbincangan mengenai sikap masyarakat yang lupa terhadap tanggungjawab sosial dan nilai murni sering di bahaskan dan mendapat tindak balas dan respon yang baik daripada pelbagai golongan masyarakat. Malah kerajaan melalui media arus perdana, berusaha dengan gigih menyemai nilai murni dalam masyarakat dengan membuat pelbagai aktiviti yang menjurus kearah kesejahteraan masyarakat. Melalui iklan di televisyen dan radio dipaparkan cara berbudi bahasa yang baik, seperti membantu orang tua, orang kurang upaya dan penggunaan bahasa yang bersopan dan berbudi. Di sekolah dan di pusat pengajian tinggi juga turut dijalankan kempen berbudi bahasa dan nilai murni bagi melahirkan insan berilmu dan berakhlak sekaligus menjana lebih ramai cerdik pandai yang berakhlak mulia. Malah amalan mulia ini adalah asas pekerti mulia di ajar dirumah oleh ibubapa dan keluarga kita. Walau bagaimanapun, disebalik pelbagai cara dan pendekatan yang di buat bagi menyemai sikap prihatin dan berbudi bahasa dalam kalangan masyarakat, masih ada segelintir mereka yang tidak mahu mengamalkannya sehingga menyebabkan berlaku perkara yang tidak diingini dan amat menyedihkan. Kisah sedih yang dipaparkan media mengenai sikap tidak ambil kisah masyarakat sehingga menyebabkan mangsa kejadian pukul, samun, rompak, rogol dan ragut menjadi korban perlu dijadikan iktibar mengajar masyarakat menjadi lebih sensitif terhadap isu kemanusian dan semangat tolong menolong. Apa yang lebih menghairankan, sikap tidak prihatin dan kurang berbudi pekerti ini bukan hanya dilihat berlaku dalam golongan remaja sahaja, malah turut melibatkan golongan dewasa juga. Mereka ( golongan dewasa) yang seharusnya menjadi contoh kepada golongan muda turut memperlihatkan sikap tidak prihatin dan tidak ambil kisah jika sesuatu berlaku didepan mata mereka. . Beberapa tahun lalu, kes seorang pelajar lelaki dipukul rakan sekolah di perhentian bas di Melaka sehingga menyebabkan pelajar berkenaan meninggal dunia, menjadi isu yang dibincangkan. Ketika kejadian ramai yang hanya menyaksikan pergaduhan pelajar-pelajar berkenaan namun tidak ada seorang pun yang cuba meleraikannya. Begitu juga video yang dimuatkan di youtube mengenai insiden curi motor disebuah stesen minyak di Hentian Rehat Butterworth, Kulim Express dan di Seksyen 7 Shah Alam. Orang ramai masih boleh membantu, tetapi mereka mengambil keputusan untuk menjadi penonton sahaja. Sikap seumpama ini amat menyedihkan, kerana jika masyarakat boleh bekerjasama membendung jenayah dan membantu mereka yang terlibat dalam kes seumpama itu, mungkin nyawa mereka yang terlibat boleh diselamatkan. Walaupun apa yang dipaparkan di media dan youtube berkenaan bukan mewakili sikap sebenar masyarakat Malaysia kerana masih ramai dalam kalangan masyarakat kita yang prihatin dan berhati mulia. Namun tidak dinafikan masyarakat masih memerlukan rasa keprihatin yang tinggi terhadap sesuatu kejadian yang berlaku. Ini kerana, sudah banyak kejadian yang tidak diingini berlaku hanya kerana sikap masyarakat yang mengamalkan tidak mahu `masuk campur’ atau `tidak mahu jaga tepi kain orang ’terhadap sesuatu perkara yang berlaku dihadapan mereka. Ada segelintirnya hanya menjadi penonton dan tidak mahu bertindak memanggil pihak berkuasa atau membantu apa yang termampu. Mereka lebih rela menyaksikan satu kejadian sadis dan kejam dari menyelamatkan mangsa. Jangan seperti kata pepatah, `dah terantuk baru terngadah’ , selepas sesuatu kejadian baru kita hendak mengambil langkah keselamatan. Akibatnya seorang yang sepatutnya dapat diselamatkan terkorban kerana sikap tidak prihatin masyarakat. Bayangkan jika kejadian seumpama itu berlaku pada ahli keluarga kita, apa yang kita rasakan. Sama-sama kita fikirkan kerana hari ini hari mereka, mungkin esok lusa siapa tahu kita pula mengalami nya. Pasti kita rasa sedih bila kita terpaksa bergelut menghadapi kejadian yang tidak diingini berseorangan. Justru, tanamkan lah sikap prihatin dan sikap tolong menolong dalam jiwa kita, kerana sikap prihatin dan nilai murni dalam masyarakat membantu kesejahteraan negara dan keharmonian hidup. Tamat.