Friday, May 31, 2013

Cabaran Menjadi Mahasiswa dan Mahasiswi Universiti.

Semua orang tidak kira yang tua atau muda bercita-cita ingin melanjutkan pelajaran di Universiti. Dalam zaman serba maju dan berteknologi tinggi kelulusan akademik dilihat sebagai satu laluan kearah memperolehi kerjaya yang baik dan dapat menjamin masa depan. Apabila keputusan peperiksaan rasmi negara diumumkan. Pelajar yang mendapat keputusan cemerlang akan memilih Universiti dan kursus yang mereka ingin pelajari. Bagi yang mempunyai ibubapa yang berpelajaran, mereka amat bernasib baik kerana Ibubapa turut menjadi penasihat dan pembimbing memilih kerjaya masa depan. Bagaimanapun bagi mereka yang kurang arif mengenai pemilihan bidang dan kusus yang sepatutnya di ambil, adakalanya terpaksa memilih apa saja bidang yang ada asalkan mereka dapat dipilih untuk belajar di Universiti.

 Perjalanan dan pengembaraan kehidupan di Universiti bermula apabila mereka terpilih menjadi mahasiswa dan mahasiswi Universiti tertentu. Saat itu bukan sahaja membanggakan keluarga dan diri mereka sendiri, malah pelbagai azam dan janji turut di buat. Sesi minggu suai kenal , merupakan cabaran pertama yang terpaksa ditempuh pelajar baru. Dalam masa seminggu itu pelajar didedahkan mengenai selok beluk dan kehidupan sebagai Mahasiswa dan mahasiswi serta maklumat mengenai kursus,Fakulti dan Universiti .Bagi pelajar lepasan SPM, STPM dan yang setara, persekitaran dan pembelajaran di peringkat Universiti amat berbeza daripada disekolah. Peralihan dari pendidikan menengah ke pendidikan tinggi adakalanya menyebabkan satu kejutan budaya kepada mereka. Di Universiti, survival adalah perkara utama yang harus menjadi pegangan mereka. Hidup diUniversiti perlu banyak berdikari dan semuanya dilakukan sendiri. Tidak ada ibu atau ayah serta saudara mara yang boleh membantu kehidupan mereka di Universiti. Semangat survival harus tinggi dan mereka juga mesti kuat dari segi Fizikal dan mental bagi mengharungi pelbagai cabaran yang bakal mereka hadapi di peringkat Universiti. Tidak dinafikan dalam mengharungi dunia baru dikampus, adakalanya emosi pelajar mudah terusik. Berjauhan dengan keluarga dan berada ditempat asing akan membuatkan mereka sentiasa terkenangkan kampung halaman.

Perkara yang sering melanda pelajar baru ialah mengenai `homesick’ atau rindu keluarga dan kampung halaman. Tidak hairanlah ada pelajar yang sanggup balik kekampung halaman mereka setiap minggu semata-mata kerana terlalu rindu pada keluarga dan sahabat handai yang ditinggalkan. Kalau mereka belajar di Shah Alam, pulang ke Melaka atau Negeri sembilan setiap minggu tidak lah menghairankan. Tetapi ada antara mereka yang tinggal di Kelantan, Trengganu, Kedah dan Perlis sanggup pulang ke kampung setiap minggu. Keadaan ini adakalanya menyebabkan mereka letih dan tidak dapat menyelesaikan tugasan yang diberi pensyarah. Apabila kuliah bermula antara cabaran yang dihadapi pelajar ialah pengurusan masa. Mereka perlu bijak mentadbir masa dalam kehidupan dan menghadiri kuliah yang sangat padat waktunya. Diperingkat Universiti tempuh satu semester sangat pendek antara tiga ke empat bulan sahaja. Matapelajaran yang ditawarkan pula banyak, antara tujuh hingga sembilan matapelajaran.

Disebabkan itu, masa amat berharga bagi pelajar Universiti, mereka perlu bijak mengurus masa dengan baik. Adakalanya kuliah bermula dari pagi dan tamat sebelah petangnya. Sabtu dan ahad pula ada kelas ko kurikulum dan aktiviti lain seperti Kemahiran Insaniah. Pendekkata hidup sebagai pelajar Universiti sentiasa sibuk dan mereka adakalanya tidak mempunyai masa untuk bersenang-senang dan waktu bersenggang. Mendisiplinkan diri untuk hadir kekuliah setiap hari, selain menyiapkan tugasan pada waktu yang ditentukan dan menjaga kesihatan amat penting bagi pelajar universiti. Jika mereka gagal menyesuaikan diri dalam persekitaran baru mereka akan ketinggalan banyak perkara dan menyebabkan ada antaranya tidak mampu meneruskan pengajian dan menyerah kalah sebelum berjuang.

 Di Universiti juga pelajar perlu membina rangkaian kawan-kawan baru dan perhubungan dengan rakan sekelas, sekolej dan mereka yang sama dalam pesatuan. Mereka perlu bijak berkomunikasi dan berinteraksi sesama rakan sebaya dan tidak menjadi katak dibawah tempurung yang tidak tahu perkembangan di kelas, fakulti mahupun Universiti. Mereka digalakkan menyertai persatuan dan tidak mengamalkan sikap anti sosial. Hubungan Interpersonal yang baik dapat menjalin persahabatan dengan ramai rakan baru termasuk pelajar senior selain mencambah minda dan menjadikan mereka lebih positif menghadapi alam baru dalam kampus.

 Dalam kaitan yang sama, rakan sebaya memainkan peranan penting membentuk sahsiah dan sikap seseorang mahasiswa dan mahasiswi. Kita biasa mendengar ungkapan ini, kawan mencerminkan siapa diri kita. Sama juga dengan perumpamaan ini, ” andai berkawan dengan penjual wangian, kalaupun kita tidak memakainya kita juga dikatakan berbau wangi, sebaliknya jika kita berkawan dengan pengimpal besi, kalaupun kita tidak melakukan pekerjaan itu, pasti percikan api dan besi terkena pada kita” . Umpamanya kita berkawan dengan rakan yang sangat malas bangun pagi dan sentiasa suka ponteng kelas, mereka juga tidak kisah dimarahi pensyarah jika tidak menyiapkan tugasan, akhirnya kita akan terikut-ikut perangai rakan kita tadi dan rasa selesa kerana ada rakan yang sama tidak kekuliah dan sebagainya. Justru apa yang ingin dijelaskan disini ialah memilih siapa kawan kita di Universiti adalah perkara yang amat penting.

 Jika tersalah pilih kawan, matlamat utama menjadi pelajar Universiti dan menimba ilmu untuk masa depan yang cerah mungkin tidak tercapai. Malah cita-cita mengganggam segulung diploma atau ijazah mungkin tidak kesampaian dan akan hanya tinggal kenangan. Kawan yang baik akan menasihatkan dan selalu mengajak ke arah kebaikan. Jika sudah tersalah langkah, seharusnya pelajar memikirkan kesusahan ibu dan ayah yang ada antaranya terpaksa bergolok bergadai demi menghantar anak-anak ke Universiti. Buat pemilihan yang bijak dan tanamkan satu tekad dan azam yang kuat untuk menghabiskan pengajian walau apa pun cabaran yang mereka hadapi di Universiti. Selain pemilihan rakan, adakalanya pelajar menghadapi kesukaran dalam bidang yang mereka pelajari.

Masalah bahasa menjadi satu halangan besar bagi pelajar yang kurang mahir berbahasa Inggeris. Sekiranya kuliah dijalankan dalam Bahasa Inggeris mereka akan menghadapi masalah kerana tidak faham apa yang disampaikan. Bagaimanapun itu bukan masalah besar, kerana dimana ada kemahuan disitu ada jalan. Masalah bahasa bukan penghalang utama bagi pelajar Universiti menimba ilmu , kerana jika mereka rajin membaca dan selalu membuat tugasan, ia seperti kata pepatah ` alah bisa tegal biasa’ . Lama kelamaan mereka akan terbiasa dengan penggunaan bahasa Inggeris sebagai medium pembelajaran mereka. Menyentuh mengenai cabaran seterusnya , pensyarah juga adakalanya menjadi cabaran kepada pelajar baru dan pelajar lama. Ramai pelajar merungut, sikap tertutup pensyarah yang sukar difahami pelajar ,yang secara tidak lansung membuatkan pelajar rasa tertekan untuk menghadiri kuliah.

Pensyarah cerewet, tidak boleh lebih kurang, terlalu ego adalah antara rungutan pelajar. Sebenarnya semua ini tidak akan menjadi masalah besar kepada pelajar jika mereka bijak berinteraksi dengan pensyarah. Mereka ini (pensyarah) manusia biasa, pelajar seharusnya berfikiran positif dan cuba mendekati pensyarah untuk berinteraksi secara berhemah dan menjalani proses penyaluran ilmu yang lebih mesra dan memberi manafaat. Jika pelajar bijak mengambil hati pensyarah seperti sentiasa datang awal kekuliah, tidak pernah ponteng, membuat tugasan yang diberikan dengan bersungguh-sungguh pasti mereka tidak akan menghadapi masalah dengan pensyarah.

 Oleh yang demikian, bagi mereka yang bakal bergelar Mahasiswa dan Mahasiswi Universiti lengkapkan diri anda dengan kekuatan rohani dan jasmani yang dapat membantu anda mengharungi dunia baru di kampus dan Universiti, sebagai langkah pertama merancang masa depan yang cemerlang. Sentiasa berfikiran positif, mendisiplinkan diri dan jangan lupa lengkapkan diri dengan pegangan agama yang baik yang dapat menjadi pendinding dan garis panduan dalam perlakuan dan amalan ketika berada di Universiti. Semoga anda semua menjadi graduan yang berilmu dan berakhlak yang bakal meneraju negara kearah kesejahteraan dunia sejagat.

 Penulis adalah Pensyarah Kanan
 Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media. UiTM Shah Alam.


Tamat.

2 comments:

Unknown said...

nak minta izin amik sikit cebisan dari article boleh ? Terima kasih :)

little_inula said...

Wahhh tak sabar pulak rasanya nak masuk universiti..mohon dpt uitm nanti