Wednesday, April 18, 2012
Cinta Bersulam Noda
Nikmat Sekejap, Derita Sepanjang Hayat
Oleh Hariyati Ariffin
BILA menyebut mengenai cinta, umum mengetahui bahawa ia suatu perasaan amat indah, manis dan sentiasa dikenang. Ada yang masih mengingati cinta pertama walau sudah berlalu 30 atau 40 tahun lalu. Begitulah hebatnya cinta.
Namun, di sebalik kehebatan dan keindahannya, perasaan cinta yang sudah tidak dapat dikawal boleh menjadi penyakit, bukan saja merosakkan pemikiran tetapi juga melemahkan rohani dan jasmani seseorang. Penyakit cinta bukan saja melanda golongan remaja, malah orang tua dan mereka yang sudah berkahwin dan berkeluarga. Menyingkap kisah percintaan pertama sejarah umat manusia iaitu Adam dan Hawa ia memberi gambaran Allah menyatukan lelaki dan perempuan untuk saling berkasih sayang, hidup penuh bertanggungjawab dan melahirkan zuriat yang baik untuk menjadi khalifah di muka bumi ini.Apatah lagi legenda cinta Uda dan Dara, Romeo dan Juliet menjadi idola pasangan yang mabuk dilanda ombak rindu dan perasaan.
Pantun kasih “nasi lemak buah bidara, sayang selasih saya lurutkan, buang emak buang saudara kerana kekasih saya turutkan,” membawa maksud mendalam pengorbanan pasangan bercinta yang lupa pada adat dan keluarga.Bagaimanapun, pengorbanan itu ada kalanya sia-sia apabila cinta hanya indah di saat permulaan dan ibarat kata pepatah ‘habis manis sepah dibuang’.
Kesan percintaan yang tidak sampai ke matlamat akhir menyebabkan wanita menderita sepanjang hayat akibat ternoda lantaran terlalu mengikut nafsu. Lebih teruk lagi buah cinta atau hasil cinta yang tidak dikehendaki menjadi sampah dan dibuang tanpa ada rasa belas kasihan dan perasaan kemanusiaan.
Lawatan penulis ke Pusat Perlindungan Remaja, Kem Bina Insan Kewaja, di Gombak menyingkap banyak kisah suka duka yang tersirat dan tersurat dalam jebak cinta sehingga membawa mereka mendapat perlindungan di situ. Wajah redup dan sayu gadis yang tertipu dengan janji manis kaum Adam memaparkan seribu sesalan. Namun, apakan daya, nasi sudah menjadi bubur. Nikmat sekejap yang mereka kecapi membawa derita sepanjang hayat selain menconteng arang di muka keluarga. Stigma mengandung anak luar nikah terpaksa mereka tanggung selagi nyawa dikandung badan.
Mungkin mereka juga tidak meminta menjadi sedemikian, namun kerana tersilap langkah mereka terpaksa menanggung segala-galanya bersendirian. Paling tidak adil, kaum Adam yang sama menikmati keindahan cinta, lesap entah ke mana apabila gadis ini mula berbadan dua. Melangkah kaki ke Kewaja membuatkan hati penulis tersentuh apabila melihat puluhan remaja wanita dalam lingkungan umur 16 hingga 28 tahun terboyot-boyot membawa perut hasil hubungan terlarang. Ada antara mereka juga yang masih dalam pantang selepas melahirkan anak. Bagi yang berusia 16 dan 17 tahun mereka sepatutnya berada di sekolah waktu itu tetapi terpaksa menjadi penghuni di Kewaja untuk menunggu saat melahirkan anak.
Menurut Pengasas Kewaja, Yahya Mohamed Yusof, pusat perlindungan itu ditubuhkan lebih 20 tahun lalu dengan niat membantu gadis yang mengandung luar nikah agar tidak membuang bayi mereka selain menjadi tempat mereka yang dirogol dan wanita bermasalah.
Katanya, daripada pemerhatiannya, kebanyakan penghuni di Kewaja adalah gadis bersifat lurus dan mudah diambil kesempatan.
Beliau berkata, wanita seumpama ini mudah terpedaya dengan pujuk rayu lelaki dan mereka menjadi buntu, hilang arah serta panik apabila mengetahui diri berbadan dua.
Ada juga kes apabila lelaki sudah tidak mahu lagi meneruskan perhubungan, si gadis terus memujuk rayu dan sanggup berbuat apa saja untuk mengembalikan hubungan mereka.
Atas dasar ini lelaki yang tidak beriman dan tidak bertanggungjawab meminta habuan seks sebagai bukti kasih sayang.
Oleh kerana terlalu sayangkan lelaki berkenaan dan tidak mahu berpisah, si gadis sanggup menyerahkan mahkota kesucian semata-mata tidak mahu perhubungan terputus. Apa yang terjadi sebaliknya ialah apabila si gadis didapati mengandung, lelaki berkenaan terus menghilangkan diri.
Kes seumpama ini sebenarnya banyak berlaku sehingga membawa ramai gadis malang ini mendapatkan perlindungan di Kewaja.
Dalam hal ini, menurut Yahya, masyarakat akan menuding jari kepada kaum hawa kerana terlalu percaya kepada pujuk rayu lelaki hingga menyebabkan mereka mengandung luar nikah dan membawa aib kepada keluarga . Justeru, Yahya memberitahu, masyarakat sekarang seakan-akan membiarkan saja maksiat berlaku di depan mata dan seolah-olah menghalalkan maksiat.Ini disebabkan masyarakat tidak berani menegur mahupun menasihati pasangan yang berkelakuan kurang sopan kerana bimbang dikatakan suka menjaga tepi kain orang dan dimarahi.
Beliau menasihati ibu bapa agar bukan saja mengawal pergerakan anak perempuan supaya menjaga maruah tetapi juga mendidik anak lelaki supaya menghormati dan melindungi wanita serta tidak mengambil kesempatan terhadap mereka.Apa yang berlaku zaman sekarang ada segelintir ibu bapa yang membiarkan anak lelaki keluar bebas melakukan aktiviti bersama rakan hingga lewat malam dan ada kalanya tidak pulang ke rumah.
Selain itu, anak lelaki juga harus ditekankan mengenai disiplin dan rasa tanggungjawab dalam hidup. Beliau berpendapat cara didikan tradisional iaitu anak lelaki lebih banyak diberikan kebebasan perlu diubah dengan memberi kesedaran bahawa hormat-menghormati antara jantina amat perlu dalam satu-satu perhubungan bagi menjamin kesejahteraan hidup.
Natijahnya, melalui kisah di Kewaja, jelaslah bahawa usaha membanteras maksiat bukan terletak di bahu pihak tertentu, umpamanya jabatan agama Islam saja tetapi ibu bapa, masyarakat, pendidik dan rakan sebaya harus bersama-sama memantau dan saling menasihati pasangan agar kembali ke pangkal jalan. Dengan perkembangan zaman yang membataskan masa ibu bapa dengan anak, mereka tidak seharusnya lepas tangan dalam proses mendidik anak. Masa berkualiti harus diterapkan dalam keluarga.
Pemantauan kegiatan anak di dalam mahupun di luar rumah mestilah dilakukan selain peranan masyarakat harus lebih menjurus ke arah ‘satu masyarakat satu keluarga’. Mereka harus berani menegur sesiapa yang mereka kenali supaya tidak melakukan kegiatan tidak sopan.
Pendidik yang diibaratkan sebagai ibu bapa kedua bagi pelajar perlu berperanan mengikut kemampuan mereka dan membantu mengatasi masalah sosial ini.Tuntasnya kesejahteraan masyarakat adalah gabungan kerjasama dan keperihatinan semua pihak bermula dari rumah. Sekolah dan masyarakat. Masyarakat yang mempunyai nilai moral yang baik menjamin keharmonian negara dan umat sejagat.
Penulis pensyarah UiTM lulusan Sarjana Komunikasi Massa
Subscribe to:
Posts (Atom)