Wednesday, March 11, 2015

Tanggang Moden Memapar Kehidupan masyarakat kurang ilmu kekeluargaan.

Jika zaman dulu jarang sekali kita mendengar kes ahli keluarga saling saman menyaman antara satu sama lain. Namun sejak dunia semakin canggih dan moden, kes seumpama itu mula menjadi budaya masyarakat kita. Terdapat beberapa kes anak saman bapa dan bapa saman anak serta kes saman antara sesama ahli keluarga. Dalam kaitan yang sama kes yang menyebabkan ayah saman anak adalah atas dasar anak-anak yang tidak bertanggungjawab dan mengabaikan ibubapa yang tua. Kes yang dikategorikan sebagai tanggang moden ini biasanya mendapat liputan meluas media dan mendapat pelbagai reaksi daripasa masyarakat.

Berdasarkan itu, dua kes mengenai anak derhaka atau tanggang moden yang pernah mendapat liputan meluas dimedia pada tahun 2010 dan 2012 menarik minat penulis untuk mengupas isu anak derhaka dan kaitannya terhadap kehidupan dizaman serba maju ini. Dua kes yang berlaku lebih 4 tahun lalu telah membuka mata masyarakat bahawa banyak factor yang menyebabkan anak-anak menjadi tanggang moden atau menderhaka pada ibubapa. Antaranya kurang didikan agama, kekurangan wang, materialistic, kos sara hidup yang tinggi, hukum karma dimana sewaktu kecil anak-anak diabaikan oleh ibubapa bila mereka besar mereka membalas dendam, kepincangan keluarga dan masalah social.

Mengimbau kembali Kes dalam tahun 2010 yang melibatkan seorang pensyarah Universiti, berkelulusan Ijazah Doktor Falsafah , Mahkamah Tinggi Syariah di Seremban, telah memerintahkan beliau dan suaminya memberi nafkah kepada ibu bapanya sepanjang hayat. Hakim juga memerintahkan pensyarah dan suaminya itu, memenuhi lima tuntutan lain yang difailkan bapa berkenaan dan ibunya yang masing2 berusia 74 dan 66,  untuk membenarkan mereka tinggal sepanjang hayat di rumah mereka di Negeri Sembilan.

Perkara ini menjadi kes di Mahkamah Tinggi Syariah apabila pensyarah berkenaan didakwa memungkiri janji dan mengusir kedua ibubapanya dari rumah yang dipindah milik kepada beliau dan suaminya. Ayah pensyarah berkenaan memindah pemilikan tanah kepada anaknya itu selepas mereka ( pensyarah dan suaminya) berjanji menanggung nafkah ibubapanya selagi mereka hidup serta membenarkan kedua-duanya tinggal di rumah itu. Bagaimanapun pensyarah berkenaan memungkiri janji dan mengabaikan kebajikan ibubapanya.

Kes kedua yang turut mendapat liputan meluas media pada tahun 2012  ialah apabila  Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Trengganu, mengarahkan seorang  pengurus operasi yang berpendapatan RM 18,000 sebulan memohon maaf secara terbuka mengikut hukum syarak terhadap kedua-dua ibu bapa dan dua anaknya yang diabaikan lebih lapan tahun . Beliau juga diarahkan membayar tuntutan sebanyak RM400 sebulan terhadap kedua ibu bapanya serta RM400 sebulan setiap seorang terhadap dua anaknya yang ketika itu berusia 17 dan 15 tahun. Dia juga  turut diarahkan membayar sebanyak RM1,000 setiap seorang anak dalam tempoh dua minggu setiap kali menyambut Aidilfitri sebagai persiapan. 

Selain itu, pengurus operasi disebuah syarikat minyak berkenaan  turut diarahkan membayar sebanyak RM18,866.50 atau tunggakan perbelanjaan dan sebagai teladan kerana tidak pulang ke rumah menemui keluarga termasuk kedua-dua anaknya dalam masa lebih lapan tahun sebelum ini. Semua tuntutan tersebut difailkan  oleh jedua ibubapa pengurus berkenaan kerana beliau mengabaikan tanggungjawab menjaga kedua anaknya lebih lapan tahun selepas bercerai dengan isteri pertama. Melalui dua kes yang di jadikan contoh, ternyata kehidupan moden dan terlalu bersifat materialistic mendorong anak-anak menderhaka pada ibubapa.

 Pendidikan yang tinggi dan status kehidupan yang baik belum tentu dapat menjamin mereka menjadi anak yang baik dan boleh menjaga kedua ibubapa bila tua. Lebih tinggi kedudukan mereka dan pendapatan mereka adakalanya mereka semakin sibuk dan lalai dengan urusan dunia sehingga melupakan kedua ibubapa. Memetik syarahan ustaz Kazim Ahmad dalam ceramahnya bertajuk ` anak derhaka” beliau ada menyebut,  pengorbanan ibu dan ayah tidak ada tolok bandingnya. Semasa kecil anak-anak dijaga dengan penuh kasih sayang oleh ibubapa, malah najis anak-anak juga dibasoh dengan tangan mereka sendiri tanpa rasa jijik. Namun apabila ibubapa sudah tua dan uzur serta tidak berdaya  ada kalangan anak-anak yangmencuci najis ibubapa menggunakan plastic, kaki dan menggunakan penutup hidung. Ini menunjukkan  seolah-olah anak-anak terlalu jijik mengurukan kepada kedua orang tua yang telah banyak berkorban untuk mereka.

Disebabkan sikap anak-anak yang tidak sanggup berkorban untuk ibubapa , pusat perlindungan orang tua dan rumah warga emas semakin banyak di dirikan. Ini secara tidak langsung mencerminkan sikap kurang prihatin dan kurang nilai murni masyarakat kita khususnya anak-anak yang tidak sanggup menjaga karenah ibubapa yang tua dan lebih sanggup menghantar kedua ibubapa kerumah orang tua bagi memudahkan hidup mereka.

 Zainuddin Ayip dalam artikelnya bertajuk “  Penangan si Tanggang Moden, siapa yang bersalah “  dalam sebuah majalah tempatan menggariskan ciri-ciri tanggang moden antaranya: 1) enggan menjaga ibu bapa yang menghadapi masalah fizikal dan mental. 2) membalas dendam kerana sikap dan sejarah lampau ibu bapa. 3) enggan menjaga ibu bapa dengan alasan mempunyai tanggungan yang ramai. 4) mengambil barang kemas, wang dan harta benda ibu bapa. 5) memaksa ibu bapa menukarkan nama harta kepada namanya. 6) merajuk kerana tidak sependapat dengan ibu bapa sehingga mengabaikan mereka. 7) bertindak kasar seperti menengking, menampar, ugut dengan senjata. 8) menyuruh ibu bapa menjaga anak-anak meskipun mampu menghantar mereka ke pusat penjagaan kanak-kanak, 9) tidak memberikan wang 10 ) menghambakan ibubapa seperti orang gaji untuk memasak, membasuh dan menguruskan rumahtangga mereka.

Oleh yang demikian jelas sekali bahawa fenomena tanggang moden mencerminkan kepincangan institusi kekeluargaan dan sifat kurang kasih sayang serta dasar materialistic masyarakat kita yang sudah menjadi sebahagian dari cara hidup masyarakat masa kini. Malah kajian Institut Kajian Sosial, Universiti Putra Malaysia (UPM) pada 2010, mendapati dengan bilangan warga emas yang berusia lebih 60 tahun ke atas bakal mencapai jumlah 2.2 juta orang menjelang tahun 2020, dan masa yang sama jumlah anak derhaka juga dijangka bertambah.

Tuntasnya  mungkin sesuatu boleh dilakukan untuk mengurangkan fenomena ini dari terus berleluasa. Masyarakat perlu kembali pada norma kehidupan yang lebih murni, menjaga kerukunan rumahtangga, mengeratkan silaturahim sesame ahli keluarga dan paling penting kembali kejalan agama yang banyak memberi panduan dan ajaran dalam kehidupan serta menjamin ketenangan hidup. Ingatlah bahawa hidup ini satu putaran, jika kita berbuat baik kepada ibubapa kita, insya Allah anak-anak akan berbuat baik kepada kita. 


Tamat.   

No comments: