Wednesday, March 11, 2015

Kita Semua Akan Tua

Setiap yang muda akan menjadi tua. Itu adalah hakikat kehidupan. Kita tidak boleh lari dari menjadi tua. Walau kita cuba pelbagai petua untuk menjadi awet muda, membuat pembedahan plastik, namun saat menjadi tua pasti akan tiba dan tidak ada siapa yang dapat lari dari menjadi tua. Setiap tahun 1 oktober  telah diisytiharkan sebagai Hari Warga Emas Sedunia bagi mengenang jasa orang lama yang telah banyak berkorban bagi masa depan generasi kini. Definisi mereka yang tergolong dalam warga emas adalah individu yang telah mencapai usia 60 tahun dan keatas.

Hari warga emas juga bukan sekadar memperingati orang lama yang menjadi teras masyarakat tetapi juga memberi kesedaran bahawa setiap manusia akan melalui saat menjadi tua dan persiapan tertentu perlu diambil untuk mempersiapkan diri mengharungi masa tua. Menurut Jabatan Statistik Malaysia jumlah golongan tua yang berusia lebih 60 tahun pada tahun 2013 dinegara kita  adalah seramai  , 2.573.7 ( 2.5 juta) dan bagi tahun 2014 bilangan mereka adalah 2.694.5 (2.7 juta). Malah menjelang tahun 2020 Jumlah warga emas di Malaysia dijangka mencecah 3.2 juta orang.

Pepatah Melayu menyebut” Yang muda disayangi yang tua dihormati” .Ungkapan ini membawa makna yang besar dalam proses sosialisasi manusia dimana golongan tua dan muda ini saling memerlukan dan saling hormat menghormati serta sayang menyayangi agar mereka dapat meneruskan kehidupan dengan lebih harmoni dan sejahtera. Tiada yang tua tiada yang muda. Golongan tua punya pengalaman dan kepakaran tersendiri, kata pepatah lama “ mereka lebih dulu makan garam” dan telah merasa pahit manis kehidupan. Menghormati orang tua adalah juga antara adap dan nilai murni yang digariskan oleh budaya Melayu kita. Malah agama Islam juga memberi pesanan agar menghormati orang tua dan mengasihani mereka yang muda atau anak-anak kecil. Nabi pernah berpesan dalam hadith yang diriwayatkan oleh Al-Tabrani yang bermaksud” Bukanlah dari golongan kami, sesiapa yang tidak menghormati orang tua kami dan tidak pula mengasihani anak kecil kami”

Namun dalam zaman yang serba maju ini golongan tua turut terkesan dan mendapat tempias pembangunan apabila ramai golongan warga emas ini terabai dan terpinggir. Ada yang terpaksa tinggal seorang diri dikampung, kerana anak-anak sudah berhijrah dibandar dan ada juga anak-anak yang tidak mampu menyara kehidupan warga emas ini kerana masalah ekonomi. Wujudnya rumah perlindungan warga emas yang semakin banyak di dirikan serta pengabaian anak-anak terhadap ibubapa menunjukkan bahawa isu warga emas adalah satu fenomena yang memerlukan penyelesaian yang terbaik. Statistik  dari Jabatan Kebajikan Masyarakat pada tahun 2012, mencatatkan seramai 2020 warga emas telah ditempatkan di rumah-rumah kebajikan Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Dari jumlah tersebut seramai 982 orang (48%) adalah orang Melayu Islam dan 19% dari jumlah kemasukan ke rumah kebajikan adalah kes-kes pengabaian serta dipinggir oleh keluarga sendiri. Manakala 26% berkaitan masalah penjagaan dan 3% berkaitan dengan masalah penderaan. Ada juga anak-anak yang berkemampuan turut menghantar ibubapa mereka ke pusat penjagaan warga emas kerana kekangan masa untuk menjaga golongan ini, serta masalah lain. Namun disebalik statistik yang diberikan JKM ini, masih ada golongan yang terbiar dan tidak termasuk dalam senarai statistik berkenaan dan masih hidup terpinggir dikampung dan dikawasan terpencil disekitar bandar.

Mungkin ada anak-anak yang mengatakan, adalah lebih selamat menghantar ibubapa yang uzur dan tua kepusat penjagaan kerana ibubapa mereka mendapat jagaan yang baik kerana mereka juga sibuk mencari rezeki untuk keluarga. Tidak dinafikan ada pusat penjagaan  yang memberi perkhidmatan yang baik, tetapi ada juga yang mengabaikan warga emas disitu sehingga jika melihat keadaan mereka sangatlah menyedihkan.

Sebenarnya apa yang ibubapa atau warga emas mahu diusia tua mereka hanyalah untuk menghabiskan masa bersama keluarga sementara ada sisa usia. Jika boleh anak-anak digalakkan menjaga ibubapa yang tua dan uzur dan tidak menghantar mereka kepusat jagaan yang adakalanya belum tentu dapat menjaga mereka dengan baik. Pelbagai kisah penderaan orang tua kita dengar dimedia massa. Sudahlah mereka tidak berdaya, dipinggirkan keluarga dan turut didera. Bayangkan jika kita berada dalam keadaan mereka. Oleh yang demikian, carilah alternatif untuk menjaga kedua ibubapa yang telah tua dan uzur, agar mereka dapat menghabiskan sisa usia dalam keadaan yang lebih tenang dan bahagia.

Pesanan bagi mereka yang sedang menuju kearah zaman tua, jagalah kesihatan diri dan sentiasa berfikiran positif, bersikap terbuka, senang didekati  serta teruskan usaha menyumbang apa juga tenaga dan idea untuk kepentingan generasi masa depan. Jika kita sihat dan sentiasa bekerja, ia membantu kita melalui zaman tua dengan lebih baik dan memudahkan orang lain menjaga kita terutama anak-anak dan cucu.

Natijahnya menjadi tua adalah pasti, proses penuaan juga adalah proses semulajadi yang akan dilalui oleh semua orang. Kehidupan ini juga satu putaran. Jika kita berbuat baik pada kedua orang tua kita, memberi contoh yang baik pada anak-anak, pasti mereka juga akan berbuat baik pada kita. Apa yang penting, jaga kesihatan sejak muda, kerana kesihatan adalah asset yang sangat penting untuk meneruskan hidup yang lebih berkualiti apabila kita tua nanti. Semoga kita dapat menghadapi usia tua dengan lebih tenang dan gemilang.

Tamat.



No comments: