Friday, May 31, 2013

Menanam Sifat Prihatin dan Nilai Murni Dalam Masyarakat.

Benarkah semakin maju dan canggih teknologi sesebuah negara, semakin mundur akhlak dan keprihatinan masyarakatnya. Mungkin pernyataan umum ini tidak benar bagi negara kita. Namun tidak mustahil jika kita tidak mengambil langkah tertentu masyarakat kita akan menjadi sebahagian daripada pernyataan diatas. Persoalan mengenai sikap prihatin dan berbudi bahasa sering dibincangkan di media cetak dan media elektronik, bukan sahaja dinegara kita, malah dinegara luar juga turut memberi penekanan terhadap kepentingannya bagi melahirkan sebuah negara yang sejahtera. Dimedia sosial seperti Facebook, tweeter dan sebagainya perbincangan mengenai sikap masyarakat yang lupa terhadap tanggungjawab sosial dan nilai murni sering di bahaskan dan mendapat tindak balas dan respon yang baik daripada pelbagai golongan masyarakat. Malah kerajaan melalui media arus perdana, berusaha dengan gigih menyemai nilai murni dalam masyarakat dengan membuat pelbagai aktiviti yang menjurus kearah kesejahteraan masyarakat. Melalui iklan di televisyen dan radio dipaparkan cara berbudi bahasa yang baik, seperti membantu orang tua, orang kurang upaya dan penggunaan bahasa yang bersopan dan berbudi. Di sekolah dan di pusat pengajian tinggi juga turut dijalankan kempen berbudi bahasa dan nilai murni bagi melahirkan insan berilmu dan berakhlak sekaligus menjana lebih ramai cerdik pandai yang berakhlak mulia. Malah amalan mulia ini adalah asas pekerti mulia di ajar dirumah oleh ibubapa dan keluarga kita. Walau bagaimanapun, disebalik pelbagai cara dan pendekatan yang di buat bagi menyemai sikap prihatin dan berbudi bahasa dalam kalangan masyarakat, masih ada segelintir mereka yang tidak mahu mengamalkannya sehingga menyebabkan berlaku perkara yang tidak diingini dan amat menyedihkan. Kisah sedih yang dipaparkan media mengenai sikap tidak ambil kisah masyarakat sehingga menyebabkan mangsa kejadian pukul, samun, rompak, rogol dan ragut menjadi korban perlu dijadikan iktibar mengajar masyarakat menjadi lebih sensitif terhadap isu kemanusian dan semangat tolong menolong. Apa yang lebih menghairankan, sikap tidak prihatin dan kurang berbudi pekerti ini bukan hanya dilihat berlaku dalam golongan remaja sahaja, malah turut melibatkan golongan dewasa juga. Mereka ( golongan dewasa) yang seharusnya menjadi contoh kepada golongan muda turut memperlihatkan sikap tidak prihatin dan tidak ambil kisah jika sesuatu berlaku didepan mata mereka. . Beberapa tahun lalu, kes seorang pelajar lelaki dipukul rakan sekolah di perhentian bas di Melaka sehingga menyebabkan pelajar berkenaan meninggal dunia, menjadi isu yang dibincangkan. Ketika kejadian ramai yang hanya menyaksikan pergaduhan pelajar-pelajar berkenaan namun tidak ada seorang pun yang cuba meleraikannya. Begitu juga video yang dimuatkan di youtube mengenai insiden curi motor disebuah stesen minyak di Hentian Rehat Butterworth, Kulim Express dan di Seksyen 7 Shah Alam. Orang ramai masih boleh membantu, tetapi mereka mengambil keputusan untuk menjadi penonton sahaja. Sikap seumpama ini amat menyedihkan, kerana jika masyarakat boleh bekerjasama membendung jenayah dan membantu mereka yang terlibat dalam kes seumpama itu, mungkin nyawa mereka yang terlibat boleh diselamatkan. Walaupun apa yang dipaparkan di media dan youtube berkenaan bukan mewakili sikap sebenar masyarakat Malaysia kerana masih ramai dalam kalangan masyarakat kita yang prihatin dan berhati mulia. Namun tidak dinafikan masyarakat masih memerlukan rasa keprihatin yang tinggi terhadap sesuatu kejadian yang berlaku. Ini kerana, sudah banyak kejadian yang tidak diingini berlaku hanya kerana sikap masyarakat yang mengamalkan tidak mahu `masuk campur’ atau `tidak mahu jaga tepi kain orang ’terhadap sesuatu perkara yang berlaku dihadapan mereka. Ada segelintirnya hanya menjadi penonton dan tidak mahu bertindak memanggil pihak berkuasa atau membantu apa yang termampu. Mereka lebih rela menyaksikan satu kejadian sadis dan kejam dari menyelamatkan mangsa. Jangan seperti kata pepatah, `dah terantuk baru terngadah’ , selepas sesuatu kejadian baru kita hendak mengambil langkah keselamatan. Akibatnya seorang yang sepatutnya dapat diselamatkan terkorban kerana sikap tidak prihatin masyarakat. Bayangkan jika kejadian seumpama itu berlaku pada ahli keluarga kita, apa yang kita rasakan. Sama-sama kita fikirkan kerana hari ini hari mereka, mungkin esok lusa siapa tahu kita pula mengalami nya. Pasti kita rasa sedih bila kita terpaksa bergelut menghadapi kejadian yang tidak diingini berseorangan. Justru, tanamkan lah sikap prihatin dan sikap tolong menolong dalam jiwa kita, kerana sikap prihatin dan nilai murni dalam masyarakat membantu kesejahteraan negara dan keharmonian hidup. Tamat.

No comments: