Friday, May 31, 2013

Keputusan Peperiksaan dan Tragedi sedih.

Apabila sesuatu keputusan peperiksaan rasmi negara diumumkan , samada UPSR, PMR, SPM atau STPM ianya mendapat liputan meluas media. Tidak kiralah media elektronik atau media cetak, ianya menjadi nilai berita yang baik untuk disiarkan. Biasanya berita mengenai keputusan peperiksaan mendapat tempat dimuka depan akhbar dan menjadi berita khas dalam slot rancangan pendidikan. Mereka yang berjaya di temuramah mengenai rahsia mendapat kejayaan cemerlang. Wajah2 ceria mereka menghiasi media. Dimedia sosial, umpamanya di Facebook keputusan anak yang memperolehi deretan A dan A+ di letakkan di wall ayah dan ibu mereka. Dalam kalangan masyarakat juga keputusan peperiksaan akan menjadi bualan hangat. Ramai yang akan bertanya kepada mereka yang mempunyai anak-anak yang mendapat keputusan peperiksaan. Bagi ibubapa yang meraikan kejayaan kecemerlangan anak-anak ianya satu kebanggaan keluarga. Mereka mendapat curahan ucapan tahniah dari pelbagai pihak. Namun bagi yang kurang cemerlang, mereka akan hanya senyum bila ditanya mengenai keputusan peperiksaan dan tidak banyak membicarakannya. Dalam kegembiraan menyanjung mereka yang cemerlang, pernahkah kita terfikir mengenai mereka yang tidak mendapat keputusan cemerlang? Apa yang sedang mereka lakukan ketika membuka slip keputusan peperiksaan. Bagaimana reaksi mereka ketika mendapat tahu mengenai keputusan yang kurang cemerlang itu. Ada antara mereka menangis, terketar ketar dan pelbagai reaksi lagi. Namun jarang yang ambil peduli mengenai kekecewaan anak-anak dan pelajar yang sedang bergelut dengan perasaan takut dan bersalah kerana mendapat keputusan yang tidak pernah mereka jangkakan. Pelbagai perasaan melanda mereka. Ada yang takut balik kerumah, ada yang terlalu tertekan sehingga kaku membisu dan kelu untuk berkata-kata. Tidak hairan lah ada berita mengenai kes pelajar bunuh diri dan lari dari rumah sewaktu musim keputusan peperiksaan diumumkan. Perkara seumpama ini bukan satu isu baru setiap kali negara meraikan keputusan pencapaian akademik terbaik. Bila dikaji dan dibuat tinjauan secara rambang didapati ada ibubapa yang terlalu mementingkan pencapaian akademik dan memberi tekanan kepada anak2 untuk mendapat keputusan cemerlang walaupun kemampuan anak-anak tidak sampai ketahap berkenaan. Anak anak menjadi begitu stress. Mereka mahu buat yang terbaik untuk ibubapa dan keluarga, tetapi kerana gagal berbuat demikian mereka akhirnya mengambil keputusan menghukum diri. Paling malang jika ada antara mereka yang sanggup mengambil nyawa sendiri kerana malu untuk berhadapan dengan keluarga dan saudara mara yang sentiasa suka membandingkan pencapaian akademik antara anak anak mereka. Paradigma ibubapa yang terlalu berorientasikan pada peperiksaan telah menyebabkan ramai pelajar menjadi fobia setiap kali musim peperiksaan dan waktu pengumuman keputusannya. Ada antaranya sudah diberikan amaran oleh ibubapa sekiranya mereka gagal memperolehi keputusan baik, mereka akan dikenakan beberapa tindakan dan hukuman. Disebabkan itu anak-anak terlalu memaksa diri untuk memuaskan kehendak ibubapa dan keluarga . Bagi ibubapa pula mereka sanggup berhabisan beribu ringgit untuk menghantar anak-anak ke kelas tambahan untuk memastikan anak-anak mendapat keputusan cemerlang dan dapat diterima masuk Universiti atau belajar keluar negara. Mereka ibarat melihat satu pintu saja dalam pendidikan anak-anak. Bagi mereka, gagal mencapai keputusan yang baik dalam peperiksaan umum negara menandakan kegagalan untuk meneruskan kehidupan dimasa depan. Sedangkan pada hakikatnya anak-anak yang kurang menyerlah dalam akademik ini sebenarnya masih boleh menceburi bidang lain seperti kemahiran dan keusahawanan yang boleh menjamin masa depan mereka. Pemikiran mereka ini disempitkan dengan orientasi peperiksaan, sehingga ada yang beranggapan jika gagal peperiksaan SPM atau STPM, masa depan mereka akan gelap. Perlu diingat bahawa, pendidikan akademik semata-mata belum tentu dapat melahirkan insan yang syumul. Anak-anak perlu juga di seimbangkan dengan ilmu agama yang dapat membentuk peribadi mulia dari sudut spiritual dan pembentukan akhlak yang baik. Selain itu, anak-anak dan pelajar juga mestilah diterapkan dengan ilmu berfikir secara lebih kritis dan kreatif dalam pembelajaran. Adakalanya pembelajaran didalam bilik darjah sahaja tidak dapat membina rangka pemikiran kreatif dan kritis anak-anak. Ini kerana kebanyakan teori yang kita belajar didalam kelas dan buku hanya lah sebagai satu garis panduan dan tidak dapat diaplikasikan sepenuhnya dalam kehidupan. Benar kata pepatah, pengalaman adalah guru yang terbaik dalam kehidupan. Justru dalam kaitan yang sama, Ibubapa seharusnya menjadi semangat dan dahan berteduh kepada anak2 yang kurang cemerlang dalam pencapaian akademik. Seperti kata pepatah, ’setandan pisang tak semuanya masak sama’. Maknanya anak-anak juga mempunyai kekuatan dan kelemahan masing-masing. Jangan selalu membandingkan pencapaian akademik anak itu dengan adik beradiknya yang lain. Peranan ibubapa amat penting dalam mencungkil setiap bakat dan skill yang ada dalam diri anak2 untuk diperkembangkan. Beri anak-anak kebebasan memilih bidang yang mereka suka, Pupuk bidang dan kebolehan mereka sejak kecil. Pantau mereka dan beri kasih sayang serta seimbangkan ilmu akademik dan pengetahuan agama dalam diri mereka. Apabila mereka tahu ibubapa memahami apa yang mereka mahu dalam hidup dan ibubapa juga menjadi pembimbingnya insyaAllah, mereka boleh cemerlang dalam apa juga bidang yang diceburi dan juga cemerlang dalam kehidupan . Penulis adalah Pensyarah Kanan Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media UiTM Shah Alam

No comments: