Friday, May 31, 2013

Memperkasa Budaya dan Bahasa Melayu di Zaman Siber

Cara dan gaya seorang ibu berbangsa Melayu bersama anaknya yang bertutur dalam Bahasa Inggeris disebuah pusat membelibelah di bandaraya Shah Alam, menarik perhatian penulis untuk membincangkan isu ini. Perkataan gantinama diri `I’ dan `You’ antara ibu dan anak serta nada suara yang kurang enak didengari halwa telinga membuatkan penulis terpanggil untuk mengkaji mengenai isu bahasa dan budaya Melayu. Dibandar bertutur dalam bahasa Inggeris adalah satu scenario biasa, malah ramai juga dalam kalangan sahabat penulis menjadikan bahasa Inggeris bahasa pertuturan di rumah bersama anak-anak dan keluarga. Mereka berpendapat anak anak perlu diajar mahir berbahasa Inggeris kerana, ianya menjadi satu keperluan diperingkat sekolah dan interaksi dizaman yang serba pantas dan maju. Selain itu mereka juga merasakan penguasaan bahasa Inggeris yang baik menjadikan minda anak-anak lebih terbuka dan maju. Manakala Bahasa Melayu pula dikatakan lebih menyekat pemikiran anak-anak, selain agak ketinggalan zaman dan tidak berkembang mengikut peredaran masa. Mungkin ini pendapat segelintir masyarakat sahaja, kerana cara seseorang menggunakan bahasa mencerminkan pemikiran dan perilakunya serta cara mereka dibesarkan serta persekitaran yang membentuk minda mereka. Dalam hal ini, sememangnya kita tidak menafikan keperluan Bahasa Inggeris dan kepentingannya sebagai bahasa ilmu dan bahasa global untuk berinteraksi. Namun, apa yang membimbangkan ialah ketaksuban dan akibat terlalu mementingkan Bahasa Inggeris dalam kehidupan, secara tidak sedar mereka meminggirkan Bahasa Ibunda sendiri dan secara tidak langsung menolak budaya Melayu dalam kehidupan mereka. Ada juga segelintir masyarakat Bandar yang malu untuk bercakap dalam bahasa Melayu kerana bimbang dikatakan tidak `educated’ ( tidak berpelajaran) dan `low class’ . Perkara ini diakui beberapa pensyarah yang pernah membentangkan kertas kerja mengenai masyarakat Melayu yang dikatakan mempunyai sindrom rendah diri bila bercakap dalam bahasa Melayu Pengalaman penulis kerumah sahabat dan saudara mara memperlihatkan ada segelintirnya mengadaptasi cara Barat dalam mendidik anak-anak. Umpamanya penekanan budaya menghormati tetamu sudah semakin longgar. Jika dulu ibubapa penulis amat tegas dalam hal menghormati tetamu, pada hari ini, budaya bersalam dan budaya menyapa tetamu sudah semakin terhakis. Segelintirnya hanya Melayu pada nama sahaja tapi pada perlakuan dan adap sopan amat jauh menyimpang dari budaya Melayu sebaliknya lebih mirip masyarakat Barat. Teringat satu adegan dalam Filem Allahyarham Tan Sri Dr P Ramlee yang mengetengahkan isu Bahasa Menunjukkan Bangsa, apabila Sudin yang memanggil Jaga berbangsa Sikh hoi…hoi…lalu jaga berkenaan membalas dengan mengatakan `nama saja Melayu, sikit bahasa pun tak ada’. Ini jelas membuktikan bahawa identiti masyarakat Melayu ialah bahasa yang sopan dan cara interaksi yang mengamalkan system nilai yang baik . Sesuai dengan peribahasa ini, hidup dikandung adat , mati dikandung tanah. Bahasa melambangkan peribadi dan didalam bahasa itu sendiri terpancar istilah dan makna yang berasaskan system nilai masyarakat melayu. Memetik kata-kata penulis Harun Mat Piah mengenai Bahasa dan Masyarakat Melayu dalam sebuah buku hasil penulisannya berbunyi begini: “ Keindahan, kehalusan dan pemikiran Melayu terpancar di dalam bahasanya. Umumnya keindahan bahasa dapat dilihat di dalam penggunaan Bahasa Figuratif. Sesuatu ayat atau prasa di klasifikasikan sebagai figuratif apabila terdapat perkataan yang membawa makna lain daripada makna biasa yang telah diterima oleh massa atau makna yang berbeza daripada yang diberikan oleh Kamus. Bahasa figuratif digolongkan sebagai bahasa kiasan atau secara umum disebut juga sebagai bahasa berbunga. .(Harun Mat Piah,1981:224) Sementara itu ,Profesor Dr Sidek Baba, penulis dan pensyarah dari Universiti Islam Antarabangsa berpendapat, bahasa Melayu berada dalam kedudukan yang amat unik untuk dijadikan bahasa integrasi dan bahasa ilmu. Memperkasa diri dengan penguasaan bahasa Inggeris malah bahasa bahasa lain adalah satu keperluan kerana sifat zaman cepat berubah dan perkongsian ilmu dalam tamadun orang lain adalah dituntut. Katanya lagi persoalan berbangkit ialah memperkasa bahasa inggeris telah menyebabkan status aplikasi bahasa melayu beransur-ansur dipinggirkan. “ Tidak ada asas akademik dan hujah integriti yang menyatakan bahawa meninggalkan bahasa ibunda dalam penguasaan ilmu dan mendakap atau menguasai bahasa kedua sebagai bahasa utama menyebabkan sesuatu bangsa itu maju. Kita lihat saja orang Peranchis, Jepun, Jerman , Korea dan china. Mereka masih tetap mempertahankan integriti bahasa ibundanya untuk maju tetapi dalam masa yang sama amat terbuka untuk menguasai bahasa lain sebagai strategi untuk maju dan membangun” kata Dr Sidek Baba. Beliau juga menambah bahawa bangsa Melayu sekarang sedang menghadapi cabaran jati diri. Kemajmukan globalisasi dan proses pembaratan telah menyebabkan bangsa ini terhimpit antara ingin maju dan berubah dalam kerangka system kapitalis-liberal yang menuju kepada kerapuhan tradisi akibat daripada proses pengilmuan dan pendidikan yang menumpu kepada ketrampilan dan fikiran serta semakin kurang menekankan budi dan zikir. Nasihat beliau kepada generasi muda Melayu ialah supaya mereka ini meninjau kembali kekuatan yang sudah dilupakan supaya jati diri umat Melayu yang berteraskan nilai budi dan adab sentiasa menjadi pedoman asas dalam mengubah kemajuan dan perubahan. Justru sesuai dengan peribahasa `Budaya disanjung, budi bahasa dijunjung’ masyarakat Melayu tidak seharusnya meminggirkan bahasa dan budaya Melayu semata-mata mengejar kemajuan dan menyertai pasaran komunikasi dunia. Seperti kata Dato Dr Hassan Ahmad bekas Pengarah Dewan bahasa dan Pustaka dalam bukunya Ke Arah Malahirkan Melayu Glokal, orang Melayu perlu membina kekuatan dari dalam sebelum dapat menjadi bangsa yang mampu menghadapi dan menangani cabaran dari luar iaitu cabaran globalisasi. Mereka harus terlebih dahulu bertindak sebagai orang Melayu didalam kawasan setempatnya iaitu Negara ini, sebelum menjadi bangsa yang cukup bersedia untuk berfikir dan bertindak sebagai peserta global diluar kawasan global ( diluar negara) yang dikatakan tidak bersempadan. Sama-sama kita renungkan meskipun zaman bergerak pantas dengan perkembangan teknologi yang semakin pesat, system nilai masyarakat Melayu yang kaya dengan adap dan sopan santun serta berakhlak mulia perlu dikekalkan dan usahlah kita korbankan kemurnian bahasa dan budaya Melayu demi mengejar sebuah kemajuan. Biarlah ianya berjalan seiring, mesra dalam penyatuan pembangunan dan tanpa menghakis budaya dan Bahasa Melayu yang menjadi teras Negara yang aman dan harmoni seperti hari ini. Tingkap papan kayu bersegi, Sampan sakat di Pulau Angsa; Indah tampan kerana budi, Tinggi darjat kerana bahasa. Tamat.

No comments: