Friday, May 31, 2013

Lelaki Melayu dan Jiwa Penyayang

Dalam penyelidikan secara ilmiah, kajian berkaitan lelaki Melayu khususnya yang menyentuh mengenai perasaan dan jiwa halus mereka amat kurang dikaji oleh sarjana di Negara kita. Jika dibandingkan dinegara Barat, kajian mengenai keintiman dan kasih sayang berkaitan lelaki banyak dilakukan tetapi di Negara kita ia kurang dikaji. Ini mungkin disebabkan budaya Barat lebih terbuka berbanding sistem nilai masyarakat Melayu yang masih kuat berpegang pada adat dan menghormati peribadi seseorang. Oleh kerana kajian terperinci mengenai isu itu tidak banyak diselidik dinegara kita, laporan media dan pemerhatian yang dijalankan oleh pakar motivasi mengenai sikap dan pelakuan Lelaki Melayu sering dijadikan kayu ukur untuk menilai lelaki Melayu.

Malah tanggapan umum mengenai lelaki Melayu yang dikatakan tidak budiman atau tidak romantis adalah sesuatu yang biasa kita dengar . Tidak dinafikan terdapat juga segelintir wanita tempatan beranggapan lelaki Melayu tidak seperti lelaki asing yang lebih pandai memujuk dan mengambil hati wanita serta bijak meluahkan perasaan. Malah lelaki Melayu sering dikatakan mudah berubah sikap apabila sudah berkahwin. .Walaupun ia hanyalah pandangan stereotype masyarakat , khususnya wanita terhadap lelaki Melayu, realitinya tidak pernah dibuktikan melalui kajian ilmiah dan secara empirikal malah tidak ada bukti yang kukuh, untuk melabelkan semua lelaki Melayu bersifat demikian. Tanggapan ini seolah-olah mencabar kewibawaan lelaki Melayu sebagai suami dan bapa penyayang terhadap keluarga Namun dalam mencari satu kebenaran tidak dinafikan banyak kes keganasan rumahtangga yang dilaporkan dilakukan suami Melayu.

Ini secara tidak langsung menguatkan lagi hujjah bahawa lelaki Melayu sememangnya ramai yang tidak penyayang. Adalah tidak adil membuat satu kenyatan umum secara rambang keranan masih ramai lelaki Melayu yang budiman diluar sana yang harus diberi penghargaan diatas pengorbanan dan tangungjawab mereka sebagai bapa dan suami yang baik . Jangankan `sebab nila setitik rosak susu sebelanga’ Penulis terpanggil untuk membuat kajian mengenai sikap lelaki Melayu khususnya dalam seni pemujukan dan ekspresi kasih sayang terhadap isteri. Mereka yang sudah berkahwin lebih daripada 10 tahun dijadikan kajian dalam penyelidikan ini. Secara jujurnya tidak mudah mendapatkan responden dalam kajian ini kerana ramai lelaki Melayu tidak mahu berkongsi cara mereka meluahkan kasih sayang terhadap pasangan. Ini mungkin disebabkan perasaan malu atau merasakan perkara sedemikian adalah sesuatu yang remeh untuk dijadikan bahan kajian.

Walaupun pada mulanya sukar mendapatkan responden namun kajian ini berjaya di laksanakan dan telah pun dibentangkan di seminar Penyelidikan dan Pemikiran Melayu di Universiti Teknologi MARA Shah Alam baru-baru ini. Ironinya sejak dulu, lelaki menjadi icon keperkasaan dan keberanian. Malah gambaran yang diberikan terhadap seorang lelaki dalam budaya melayu ialah sifat gagah, berdisiplin, garang, bertanggungjawab terhadap anak-anak dan isteri-isteri, berkuasa dan tempat wanita bergantung. Secara tidak langsung lelaki juga dikaitkan dengan ego yang tinggi dan sentiasa menjaga maruah kelakiannya. Dalam agama Islam sendiri, lelaki dipertanggungjawabkan untuk menjaga keluarga sebagaimana Firman Allah yang bermaksud: "Kaum lelaki adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan, oleh kerana Allah melebihkan lelaki (dengan beberapa keistimewaan) atas perempuan dan kerana lelaki sudah membelanjakan (memberi nafkah) sebahagian dari harta mereka.

 Disebabkan lelaki Melayu sering di kaitkan dengan kegagahan dan maruah kelakian, sifat penyayang dan jiwa halus mereka tenggelam dalam fizikal yang mereka miliki. Namun dalam kajian ini, lelaki Melayu sebenarnya punya keunikan yang tersendiri dalam meluahkan rasa kasih sayang dan hebat dalam memujuk isteri, tetapi tidak dizahirkan dengan jelas. Mungkin secara luarannya mereka nampak garang, pendiam dan tidak suka perkara remeh, tetapi secara dalamannya mereka punya jiwa yang sangat penyayang dan sanggup bekorban untuk isteri dan anak-anak.

Secara fitrahnya lelaki tidak gemar menunjukkan kasih sayang kerna meluahkan rasa kasih sayang secara terbuka dan berlebihan akan mencabar sifat kelakian mereka. Mereka amat suka dihormati, seiring dengan peranan mereka sebagai pemimpin. Justru, mengkaji sikap lelaki penyayang atau tidak ditentukan oleh beberapa factor. Antaranya latarbelakang keluarga yang mengukur tahap budiman dan sikap bertanggungjawab seorang lelaki. Mereka yang dilahirkan dalam keluarga yang mempunyai ayah yang garang dan tidak menunjukkan kasih sayang terhadap ibu mereka akan menjadi ikutan kepada anak-anak lelaki. Begitu juga anak lelaki sulung yang mempunyai adik beradik yang ramai dan tidak pandai mempamerkan rasa kasih sayang terhadap adik beradik akan menjadi suami yang kurang meluahkan kasih sayang terhadap pasangan.

 Dalam kaitan yang sama lelaki yang dibesarkan dalam sebuah keluarga yang bahagia dan rapat dengan ibu dan kakak-kakak akan lebih memahami jiwa wanita dan sentiasa berusaha menggembirakan wanita yang dicintainya. Selain itu pengalaman masa lalu juga boleh membentuk peribadi dan pemikiran lelaki terhadap konsep pemujukan dan rasa kasih sayang terhadap keluarga. Natijahnya naluri manusia sentiasa dahagakan kasih sayang tidak terkecuali samada lelaki atau wanita . Mempamerkan kasih sayang dalam keluarga khususnya kepada isteri dan anak-anak amat dituntut dalam kehidupan dan agama. Nabi juga mempamerkan sifat yang sangat mulia terhadap isteri-isteri baginda.

 Seorang sarjana German yang membuat kajian mengenai hubungan sentuhan dan tahap kesihatan menjelaskan bahawa seseorang itu boleh panjang umur jika memeluk isterinya setiap hari kerana pelukan dan sentuhan boleh menyebabkan tubuh manusia mengeluarkan pelbagai hormon termasuk endorfin yang baik untuk kesihatan tubuh. Malah kajian di Amerika Syarikat (AS) juga mendapati pelukan suami dapat mengurangkan tahap kolesterol dan meningkatkan kesihatan isteri. Sehubungan itu kaum lelaki pelajari teknik memujuk isteri untuk mengekalkan kebahagiaan dalam rumahtangga sehingga akhir hayat.


 Tamat

No comments: