Friday, May 31, 2013

Kembalikan Kegemilangan Pendidik.

Oleh : Hariyati Ariffin

 Kerjaya sebagai pendidik sentiasa dipandang mulia oleh masyarakat sejak dulu hingga kehari ini. Tidak hairanlah, selain Ibubapa, guru dan pendidik adalah orang yang amat dipercayai oleh pelajar dan masyarakat. Mereka menjadi contoh terbaik kepada pelajar dan sentiasa dihormati. Pepatah ada mengatakan guru ibarat lilin yang membakar dirinya untuk menerangi orang lain. Seorang Doktor, jurutera, arkitek dan golongan professional bermula dengan tunjuk ajar seorang guru. Jasa baik guru dan pendidik sentiasa dikenang sampai bila-bila. Mungkin bukan suatu yang memeranjatkan jika ada yang masih mengingati guru mahupun pensyarah mereka walau sudah berpuluh tahun meninggalkan alam persekolahan dan Universiti.

 Di sekolah rendah guru merupakan ejen sosialisasi yang membentuk peribadi kanak-kanak sejak kecil. Mereka diajar dengan pelbagai asas ilmu dan nilai murni. Guru mengajar membaca, menulis, mengira dan berbudi bahasa seperti mengucapkan terima kasih, saling bekerjasama dan berakhlak mulia. Seringkali kita dapati guru disekolah rendah terdiri daripada mereka yang sangat penyayang dan prihatin terhadap murid-murid mereka. Diperingkat sekolah Menengah guru juga memainkan peranan penting, memberi ilmu dan memupuk sikap bertoleransi serta menjadi pendengar yang baik kepada ramai murid-murid yang mengalami transisi dari peringkat kanak-kanak menjadi remaja.


Di Universiti misalnya, pendidik yang baik disenangi pelajar malah mudah untuk pelajar berinterak
si dan berbincang. Namun apabila zaman berubah, kerjaya guru dan pendidik mengalami evolusinya yang tersendiri. Jika zaman dulu guru dan pendidik terdiri daripada mereka yang benar-benar minat menjadi pendidik dan sanggup bekorban apa saja untuk kerjaya berkenaan, zaman siber memperlihatkan pola perubahan kepada profession itu. Walaupun ramai antara mereka yang memohon menjadi guru dan pendidik kerana minat mendalam dalam kerjaya itu, namun ada sesetengahnya memilih kerjaya mendidik kerana terpaksa. Profesion itu dalah pilihan kedua mereka yang tidak berjaya mendapat pekerjaan mengikut jurusan yang pelajari . Kerjaya ini dianggap sebagai suatu `survival’ untuk hidup kerana kesukaran mendapat pekerjaan lain.

Mungkin ada antara mereka pada mulanya hanya `suka-suka ’ memilih kerjaya ini, namun akhirnya mula mencintai profession ini apabila sudah bergelar pendidik. Bagaimanapun ada juga antara mereka yang menjadikan profession ini sekadar `tempat persinggahan ’ dengan menceburi bidang ini sekadar mendapat gaji dan tidak dapat menjiwai profession ini secara menyeluruh. Selain tidak dapat menjiwai profession yang mulia ini dengan baik mereka juga gagal menunjukkan contoh yang baik kepada pelajar serta tidak ikhlas dalam menjalankan amanah yang diberi. Sememangnya tidak dinafikan cabaran menjadi seorang pendidik dizaman siber ini, amat besar dan memerlukan satu transformasi cara pengajaran yang berkesan. Disinilah terletaknya kebijaksanaan dan kreativiti pendidik dalam menyampaikan ilmu kepada generasi tanpa wayar sekarang ini.

 Seorang pendidik perlu memiliki ciri-ciri peribadi yang baik seperti sabar, belas-kasihan, kreatif, berilmu , bijaksana dan berpengalaman. Memetik kata-kata Prof. Dr Sidek Baba dalam buku Pendidikan Rabbani beliau menjelaskan bahawa pendidik bukan sahaja mempunyai ilmu pengetahuan, maklumat, atau pengalaman malah kepakaran tentang sesuatu. Selain itu pendidik juga mesti memberi contoh dan pekerti yang baik ketika mendidik. Mereka juga mesti mempunyai sifat kesabaran, keikhlasan amanah, adil. Bertimbangrasa dan lain-lain kualiti peribadi yang penting dalam proses pendidikan. Berdasarkan ciri-ciri yang dinyatakan diatas, jelaslah bahawa bukan mudah menjadi pendidik yang mempunyai peribadi agung dan dihormati pelajar. Mereka menjadi pendidik terbilang apabila dapat melahirkan generasi berkualiti dan berakhlak mulia yang diperlukan negara dan umat masyarakat. Kisah pengorbanan guru-guru diluar bandar patut dijadikan contoh kepada guru yang mengajar dibandar besar dengan segala kemudahan berada dihujung jari. Bayangkan guru-guru dikawasan pendalaman terpaksa menaiki bot, meredah hutan dan berkorban banyak perkara untuk menyampaikan ilmu kepada murid-murid mereka. Namun mereka masih bertahan dengan kerjaya berkenaan.

 Walaupun negara sudah semakin maju, kita jangan pula lupa bahawa masih ada beberapa kawasan pendalaman yang tidak mendapat kemudahan dalam pembelajaran. Ada sesetengah sekolah dikawasan mundur masih amat jauh ketinggalan. Mereka tidak mempunyai kemudahan moden, umpamanya komputer, adakalanya kerusi dan meja juga amat daif selain kekurangan kelengkapan, infrastruktur dan prasarananya. Namun semangat guru-guru yang mengajar dikawasan seumpama ini amat dipuji. Penulis pernah membuat tinjauan disebuah kawasan pendalaman di hulu Perak dan mendapati kegigihan guru dan semangat murid-murid dikawasan berkenaan dalam proses pembelajaran amat jauh berbeza dengan sekolah dibandaraya yang bukan sahaja lengkap dengan alat-alat pembelajaran canggih dan moden malah ada antaranya memiliki kelas berhawa dingin. Justru dalam dunia pendidikan masa kini, melahirkan pendidik yang benar-benar menjiwai kerjaya mendidik bukanlah mudah. Landskap pendidikan juga sudah banyak berubah.

Guru dan pendidik bukan sahaja diamanahkan dengan tugas hakiki, tetapi juga terpaksa melaksanakan tugas pentadbiran, kokurikulum selain memegang jawatan tertentu dalam persatuan dalaman dan luar sekolah. Selain itu guru dan pendidik juga terikat dengan garis panduan dan dasar yang ditetapkan oleh kerajaan dan kementerian. Secara tidak langsung perkara ini dikatakan punca kerjaya ini tidak dapat dihayati sepenuhnya kerana pelbagai kekangan yang mereka hadapi didalam dunia pendidikan itu sendiri. Walaupun demikian semua ini adalah cabaran besar bagi guru dan pendidik. Diharap walaupun berhadapan dengan pelbagai cabaran, guru dan pendidik akan terus gigih mencurahkan bakti mereka dengan ikhlas bagi melahirkan lebih ramai lagi modal insan yang berkualiti dari sudut ilmu, akhlak dan sistem nilai. Ingatlah bahawa Pendidik terbilang melahirkan pelajar cemerlang.


 Tamat.......

No comments: