Thursday, April 5, 2012
Kasih Keluarga Penawar Jiwa
APABILA menyebut ‘sakit mental’ ramai membuat tanggapan bahawa individu mengalaminya gila dan perlu dijauhi. Stigma yang dilabelkan kepada golongan berkenaan amat tidak adil kerana pesakit tidak pernah terfikir untuk menjadi begitu tetapi kerana tekanan hidup yang tidak mampu dikawal adakalanya menjadikan mereka hilang arah dan sukar mengawal emosi serta bertindak di bawah sedar.
Paling menyedihkan ada golongan pesakit mental dibiarkan berkeliaran tanpa mendapat pembelaan, penjagaan rapi serta disisihkan keluarga dan masyarakat. Ada juga yang mampu disembuhkan tetapi tetap disisihkan apabila rekod mengatakan mereka ini pernah menjadi pesakit mental. Justeru, tidak hairan akibat kekurangan sokongan moral untuk meneruskan hidup selepas sembuh, penyakit berulang kerana masyarakat tidak memberi sokongan untuk mereka meneruskan hidup secara lebih berkualiti.
Berikut adalah kisah benar untuk renungan bersama.
Dia seorang yang sangat bijak dalam pelajaran, disenangi keluarga, menjadi idola adik-beradik dan kebanggaan ibu bapa. Dia lulusan sarjana muda dari sebuah universiti tempatan dan amat suka membaca, menghabiskan masa membuat penyelidikan serta menghadiri majlis ilmu.
Namun, satu hati dia menangis tanpa henti, tidur dari pagi sampai malam dan tidak mahu berjumpa sesiapa. Sejak itu perangainya mula berubah menjadi pendiam, susut tubuh badan, suka bercakap sendiri dan tergelak tanpa sebab. Ibu bapanya terlalu risau lalu cuba mendapatkan rawatan. Pelbagai kaedah rawatan dicuba, daripada perubatan hospital hingga tradisional. Lima tahun berlalu dan dia sedang dalam proses pemulihan. Bila keadaannya semakin pulih, dia ingin bekerja. Di mana dan bagaimana dia harus memulakan kehidupannya semula selepas hampir lima tahun menjadi orang asing dalam dirinya.
Kisah di atas adalah sebuah kisah benar yang didiagnosis oleh doktor sebagai penyakit kemurungan iaitu satu daripada cabang penyakit mental. Adakalanya keluarga sendiri tidak menyedari perubahan tingkah laku pesakit sehingga satu tahap dia kelihatan benar-benar tidak normal dan merisaukan barulah mereka menyedari dia perlu mendapat rawatan.
Ada antara golongan yang menghidap penyakit seumpama ini terdiri daripada golongan cerdik pandai dan profesional. Amat sedih dan rugi besar apabila mereka yang mempunyai kelulusan tinggi terpaksa menghabiskan sisa hidup dalam keadaan tidak menentu.
Berdasarkan kisah di atas sakit mental mungkin dilihat sebagai satu penyakit biasa dan kurang mendapat perhatian masyarakat, tidak seperti kanser, jantung, buah pinggang dan sebagainya. Namun, peningkatan pesakit mental dilaporkan baru-baru ini, memberi isyarat kepada masyarakat dan kerajaan bahawa sesuatu perlu dilakukan demi menjaga kesejahteraan dan keharmonian masyarakat serta negara.
Pesakit mental perlu mendapat rawatan dan pembelaan sewajarnya, bukan sekadar mendapat rawatan di hospital dan pengambilan ubat secara berterusan tetapi juga sokongan moral dan kasih sayang daripada keluarga dan masyarakat untuk memulihkan mereka menjadi individu berguna. Memang sesuatu tidak mudah tetapi tidak mustahil dilakukan.
Berkaitan itu pula, fakta yang diperoleh daripada laporan akhbar dan media online mendapati statistik secara purata menunjukkan seorang daripada enam rakyat negara ini dikenal pasti menunjukkan ciri-ciri sakit mental.
Malah tinjauan Kesihatan Mobiliti dan Kesihatan 2011 juga menunjukkan 12 peratus rakyat Malaysia berusia antara 18 dan 60 tahun berhadapan pelbagai jenis penyakit mental.
Statistik terbabit juga mencatatkan jumlah pesakit mental meningkat 15.6 peratus pada 2010 berbanding tahun sebelumnya dengan 400,227 orang mendapatkan rawatan di hospital kerajaan berhubung penyakit mental pada 2010.
Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin pernah dilaporkan berkata bilangan pesakit mental mencatat peningkatan drastik di negara ini dan jumlahnya kian bertambah setiap tahun.
Selain itu, beberapa kajian oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan Bank Dunia mendapati kemurungan adalah penyakit keempat paling serius dalam melumpuhkan jiwa seseorang di muka bumi ini.
Berdasarkan fakta dan statistik berkenaan, cuba bayangkan jika semakin hari semakin ramai mereka yang tidak sihat mentalnya hanya mendapat rawatan biasa saja tetapi mereka kurang mendapat sokongan moral untuk meneruskan kehidupan. Jika ini berlaku kemungkinan mereka ini sukar untuk sembuh dan tidak mustahil menjadi ancaman kepada masyarakat pula.
Apa yang ingin dicadangkan ialah kerajaan dan pihak tertentu perlu mewujudkan satu kumpulan sokongan atau pusat sehenti bagi mereka yang mengalami masalah kemurungan dan tekanan melampau mendapat bantuan moral. Fungsinya mungkin lebih kurang seperti fungsi ‘cure n care’ iaitu sebuah ‘one stop centre’ bagi penagih dadah yang diwujudkan oleh Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) di Chow kit.
Di pusat berkenaan, ia boleh dijadikan tempat pesakit bertukar-tukar pendapat dan menjalankan aktiviti bersama. Umpamanya ramai pesakit suka perkara yang tidak memberatkan fikiran. Mereka suka kepada hiburan seperti menyanyi, menari, melukis dan membuat kraftangan.
Jika ada sebuah tempat seumpama itu mereka boleh duduk beberapa jam sehari untuk proses pemulihan. Selain itu, interaksi mereka yang senasib mungkin boleh memberi semangat kepada pesakit kembali menjadi normal.
Selain itu, jika ada pesakit yang sudah pulih, mereka harus diberikan peluang untuk bekerja dan menyara hidup tanpa prejudis. Peluang pekerjaan yang berkaitan harus dibuka untuk bekas pesakit mental bagi memberikan mereka sinar baru dalam kehidupan. Ini juga akan membuat mereka berasa lebih tenang menghadapi kehidupan.
Dalam hal ini juga peranan keluarga amat penting memberi sokongan moral untuk menyembuhkan pesakit. Semangat kasih sayang dan perhatian keluarga adalah ubat paling mujarab menyembuhkan pesakit. Kasih sayang sifat terpuji dalam Islam. Ini kerana belaian dan layanan mesra daripada ahli keluarga akan melahirkan suasana yang tenang, harmoni dan damai dalam kehidupan.
Ada juga segelintir keluarga tidak sanggup berkorban masa dan mencurah kasih sayang untuk bersama mereka yang mengalami sakit mental. Pesakit dianggap sudah tidak berguna lagi dan sanggup menghantar pesakit ke hospital bahagia dan pusat rawatan tradisional yang memisahkan pesakit dan keluarga.
Amatlah menyedihkan apabila kita mendengar kisah mereka yang menghidap sakit mental mendapat rawatan secara tradisional yang menyeksa seperti dipukul dan dikurung dengan alasan untuk menghalau jin dan syaitan.
Oleh: Hariyati Ariffin
Penulis pensyarah
Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media
UiTM Shah Alam
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment