Friday, September 23, 2011

NAK SALAHKAN ANAK-ANAK KAH KALAU PERANGAI MAK BAPAK PUN TAK SENONOH

MINDA (HARIAN METRO) Nak salahkan cupakkah...’ Oleh Hariyati Ariffin 24 SEPTEMBER 2011 BENARKAH masyarakat kita sudah ketandusan nilai murni dan kasih sayang? Walaupun sukar untuk dipastikan namun senario kekeluargaan masa kini kurang menggambarkan ciri-ciri murni yang harus dimiliki oleh sebuah masyarakat penyayang. Masalah sosial dan kepincangan yang melanda masyarakat kita dewasa ini jelas digambarkan di media massa. Malah, hampir setiap hari berita mengenai keganasan rumah tangga, penderitaan anak dan isteri yang ditinggalkan dan didera suami, kezaliman anak terhadap ibu bapa serta persengketaan antara saudara mara sentiasa mengisi ruang di media. Konsep masyarakat penyayang terkandung dalam cabaran ketujuh Wawasan 2020 iaitu mewujudkan masyarakat penyayang dan budaya penyayang. Masyarakat penyayang adalah satu sistem sosial yang mementingkan masyarakat lebih daripada diri sendiri dengan kebajikan insan tidak berkisar pada negara atau orang perseorangan tetapi sekeliling keluarga yang kukuh. Dengan kata lain, masyarakat penyayang ialah masyarakat yang hidup bermuafakat dengan anggotanya yang mesra dan bertimbang rasa. Setiap orang saling faham-memahami dan hormat-menghormati iaitu yang muda menghormati yang tua dan yang tua mengasihi yang muda. Berdasarkan konsep itu sememangnya untuk mewujudkan satu masyarakat penyayang bukanlah mudah dan ia memerlukan kesungguhan bukan saja di pihak yang berwajib tetapi yang penting ia harus bermula di rumah dalam sebuah unit asas sosial iaitu keluarga. Peranan keluarga amat penting sekali dalam melahirkan masyarakat penyayang. Ini kerana keluarga adalah komponen penting dalam proses pembentukan masyarakat dan sebuah negara. Dari sebuah keluarga yang bahagia dan harmoni akan lahirlah negara yang sejahtera dan makmur. Dalam hal ini ibu bapalah memainkan peranan penting mendidik anak-anak menjadi masyarakat yang mengamalkan nilai murni dan bertanggungjawab sekali gus melahirkan keluarga penyayang. Tepat sekali dengan hadis nabi yang mengatakan bahawa anak-anak itu ibarat kain putih, ibu bapalah yang mencorakkan mereka. Walaupun tidak dinafikan institusi sosial lain seperti media, persekitaran, sekolah dan rakan-rakan adalah ejen sosial yang mencorakkan peribadi seorang anak, namun peranan ibu bapa dikatakan lebih dominan untuk mencorakkan sikap dan menanamkan nilai murni dalam peribadi anak mereka. Dalam kaitan yang sama sarjana dan ilmuan bersetuju pengaruh ibu bapa dan persekitaran rumah dapat membentuk peribadi anak yang baik. Mereka menyatakan anak yang dididik dengan sempurna oleh ibu bapa, bukan saja akan menjadi anggota masyarakat yang berguna tetapi akan mempunyai ikatan emosi dan sentimen yang kuat terhadap ibu dan bapa. Jelas sekali bahawa pengaruh ibu bapa dan rumah adalah komponen utama dalam melahirkan individu penyayang sekali gus melahirkan masyarakat penyayang. Walaupun perubahan sosial begitu ketara melanda masyarakat kita masa kini, ia tidak bermakna ibu bapa boleh ‘lepas tangan’ terhadap pendidikan anak-anak. Ramai yang beranggapan sekolah adalah tempat anak mendapat pendidikan, tetapi pendidikan asas tetap bermula di rumah. Banyak perkara boleh dilakukan ibu bapa dalam menyemai rasa kasih dan sayang terhadap anak serta memberikan perhatian sewajarnya dalam pembentuk peribadi mulia mereka. Sebenarnya banyak perkara tidak diajar di sekolah, tetapi diperoleh di rumah dengan pemerhatian dan apa yang didedahkan oleh ibu bapa kepada anak-anak. Adakala anak-anak langsung tidak diajar mengenai budaya murni bersalam dengan orang lebih tua dan budaya bercakap dengan nada lembut dan bersopan. Begitu juga sikap tegur-menegur dan mengamalkan komunikasi berhemah. Adakalanya apabila kita menegur dan menyapa mereka, anak tidak ada tindak balas seolah-olah kita tidak wujud di depan mereka. Sikap dingin anak dalam hubungan masyarakat ini secara tidak langsung memaparkan sikap ibu bapa mereka. Mungkin di rumah ibu bapa jarang ada dan cara berkomunikasi berhemah tidak diterapkan oleh mereka. Oleh itu anak-anak merasakan untuk tidak menegur dan menjawab pertanyaan seseorang adalah satu yang bukan dikira kesalahan dan melanggar norma kehidupan. Memang benar melalui konsep kepemimpinan melalui teladan, ibu bapa memberi contoh (tidak kiralah contoh baik atau sebaliknya) kepada anak-anak. Oleh itu jika ibu bapa tidak tahu mengamalkan adab dan nilai murni, bagaimana anak mahu mengikutnya. Pepatah ada mengatakan, “Nak salahkan cupakkah kalau gantang tak penuh. Nak salahkan perangai anakkah kalau mak bapa pun tak senonoh.” Sebagai ‘role model’ dalam mendidik anak-anak, ibu bapa mestilah menunjukkan contoh baik dan dapat diikuti oleh anak-anak. Seperti kata pepatah, ke mana tumpah kuah kalau tidak ke nasi dan bagaimana acuan begitulah kuihnya menggambarkan ibu bapa seharusnya memberi contoh dan mengamalkan konsep nilai murni dan kasih sayang supaya ia dapat ditanamkan di jiwa anak-anak dan seterusnya menjadi darah daging mereka sehingga dewasa. Namun begitu, jika suasana rumah tidak pernah kondusif dan ibu ayah sentiasa berkonflik, ia secara tidak langsung memberi kesan mendalam kepada anak-anak. Kajian sarjana komunikasi mendapati, anak-anak yang dibesarkan dalam persekitaran ibu bapa yang berkonflik akan menyebabkan mereka stres, kemurungan dan antisosial. Tidak dinafikan bahawa pendidikan dari rumah sememangnya mencorakkan peribadi seorang individu. Ini disokong Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mashitah Ibrahim yang menyatakan, fungsi keluarga tidak hanya terbatas untuk meneruskan keturunan kerana dalam bidang pendidikan, keluarga adalah sumber pendidikan utama kerana segala pengetahuan dan kecerdasan intelektual manusia diperolehi oleh kanak-kanak melalui orang tuanya dan ahli keluarganya. Sesuai dengan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Daripada Abdullah bin Umar, berkata ya, aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: Seorang lelaki adalah pemimpin dalam urusan keluarganya dan dia akan diminta bertanggungjawab dalam kepemimpinannya. Seorang isteri adalah pemimpin dalam mengurus rumah tangga suaminya dan dia akan diminta bertanggungjawab dalam kepemimpinannya.” (Hadis riwayat Al-Imam Al-Bukhari). Justeru, ibu bapa yang memberi alasan terlalu sibuk bekerja sehingga tidak ada masa mendidik anak sukar diterima. Mereka perlu berkorban memberikan sedikit masa dan perhatian untuk anak-anak agar mereka rasa dihargai dan disayangi. Kasih sayang yang disemai oleh ibu bapa akan terus subur dalam jiwa anak-anak. Ingatlah bahawa hidup ini satu putaran, jika kita tidak mempedulikan mereka sekarang kemungkinan apabila kita tua mereka akan meminggirkan kita. Oleh itu melahirkan masyarakat penyayang memerlukan komitmen tinggi bukan saja melalui dasar yang digubal kerajaan tetapi pelaksanaannya harus dibuat secara berterusan oleh Institusi keluarga, masyarakat dan mereka yang terbabit secara langsung dalam merealisasikannya. Kita amat berharap negara dapat mencapai matlamat melahirkan masyarakat penyayang sebagaimana dalam Wawasan 2020 yang pernah diperkenalkan mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Muhammad 10 tahun lalu. Hanya tinggal 10 tahun lagi bagi mencapai matlamat itu. Bolehkah kita melakukannya, jika panjang umur, sama-samalah kita tunggu dan lihat. Penulis pensyarah UiTM, Shah Alam

1 comment:

Anonymous said...

king casino: play free demo mode - Shootercasino
Play the King Casino 1xbet korean Slot Online for Free or Real Money 제왕카지노 with the aim to become King of Slots 샌즈카지노 - a top-rated Casino Software developer