Friday, September 23, 2011

DASAR KELUARGA NEGARA : Benteng Hadapi Cabaran Sosial

Oleh Hariyati Ariffin HARIAN METRO 25 OGOS 2011 HIDUP berkeluarga adalah budaya masyarakat kita dan tradisi itu masih diamalkan sejak dulu hingga kini. Slogan masyarakat sejahtera bermula daripada keluarga bahagia yang menunjukkan institusi kekeluargaan masih diutamakan dalam kehidupan bermasyarakat di negara ini. Justeru, unit keluarga memainkan peranan penting melahirkan modal insan berkualiti, seterusnya meneraju sebuah negara cemerlang dan gemilang. Namun, tidak dinafikan institusi keluarga masa kini dilanda cabaran apabila media terus memaparkan konflik dan keganasan rumah tangga serta peningkatan pesakit mental yang melanda institusi keluarga. Dengan erti kata lain perubahan sosial turut mengubah sistem nilai institusi kekeluargaan hingga menyebabkan budaya hidup berkeluarga seperti bertanggungjawab, berkasih sayang dan prihatin semakin terhakis dan dipandang sepi. Senario ini tidak memeranjatkan kerana dengan kos sara hidup yang tinggi dan pendapatan rendah, khususnya bagi mereka tinggal di bandar serta pelbagai tekanan kehidupan lain mendorong masyarakat mengabaikan nilai kasih sayang dan luntur tanggungjawab terhadap ahli keluarga. Tekanan demi tekanan yang melanda sistem kekeluargaan mendorong banyak masalah sosial yang secara tidak langsung memberi tempias kepada kerajaan dan masyarakat. Apa yang dipaparkan di media membuatkan kita berfikir mengapa dan kenapa sistem kekeluargaan masyarakat kita semakin tenat dengan peningkatan kes pembuangan anak, perceraian, anak terbiar, keganasan rumah tangga, pengabaian warga emas dan banyak lagi masalah sosial yang berlaku. Bagi masyarakat prihatin pasti mencari penyelesaian terhadap permasalahan ini dan apa yang dikehendaki oleh masyarakat ialah sistem kekeluargaan ini disuburkan kembali dengan dasar, undang-undang dan peraturan bagi menjamin kesejahteraan masyarakat dan negara. Sehubungan itu, baru-baru ini satu polisi baru yang dinamakan Dasar Keluarga Negara (DKN) diperkenalkan LPPKN sebagai langkah mengembalikan kesejahteraan institusi keluarga selain menjadi benteng kepada institusi itu menghadapi pelbagai cabaran sosial. Berdasarkan DKN, konsep yang diperjuangkan berkaitan dengan kesejahteraan keluarga dan pelan tindakannya akan menangani tujuh isu utama dalam permasalahan dihadapi keluarga di negara ini. Pengerusi LPPKN, Tan Sri Napsiah Omar dilaporkan berkata tujuh isu utama itu ialah demografi usia penduduk kurang seimbang, penurunan kesuburan penduduk, pertambahan bilangan isi rumah, senario perkahwinan membimbangkan, jenis keluarga masa kini, isu sosial dalam keluarga dan keluarga yang tidak bersepadu. Menurutnya, DKN akan bertindak sebagai pemangkin dalam menggesa semua pihak berkaitan memfokuskan kepada 'perspektif keluarga' dalam setiap perancangan, strategi mahupun pembangunan yang bakal dilaksanakan. Selain itu, LPPKN giat menjalankan siri jelajah seluruh negara bagi mempromosikan DKN melalui 15 program bual bicara bermula April hingga Disember 2011 yang membabitkan kerajaan negeri, sektor swasta dan masyarakat setempat. Napsiah juga menyebut bagi memastikan DKN berjalan lancar, dua jawatankuasa khas akan dicadangkan ditubuhkan iaitu Majlis Penasihat Kesejahteraan Keluarga dan Jawatankuasa Teknikal DKN. LPPKN juga akan mengumpul maklumat mengenai inisiatif mesra keluarga di tempat kerja, sama ada sektor awam mahupun swasta. Sementara itu Ketua Pengarah Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara, Datuk Aminah Abd Rahman, dipetik daripada akhbar mengatakan DKN secara prinsipnya menggesa semua pihak mengutamakan perspektif keluarga secara konsisten dalam setiap usaha perancangan pembangunan negara. Menerusi dasar ini, semua inisiatif yang mesra keluarga dan bersifat tersirat dapat diselaraskan demi kesejahteraan keluarga dan kestabilan sosial. Beliau juga memberitahu setiap aspek pembangunan yang hendak dilaksanakan mesti mengambil kira kepentingan keluarga. Contohnya, jika dulu pemaju yang mahu membina pusat beli-belah tidak mengambil kira aspek keluarga, tetapi sekarang mereka mesti mengambil kira semua faktor itu. Datuk Aminah juga menegaskan bahawa pihak berkenaan juga perlu menyediakan semua keperluan kerana istilah keluarga merangkumi orang tua, kanak-kanak, wanita dan orang kurang upaya (OKU). Dalam aspek pekerjaan, katanya, majikan perlu mengambil kira penyediaan pusat penjagaan kanak-kanak, waktu kerja anjal, cuti kecemasan untuk menjaga anak sakit kerana ini semua merangkumi perspektif keluarga. Jelaslah apa yang dinyatakan dalam DKN adalah satu langkah baik bagi mengembalikan semula kepentingan kekeluargaan dalam kehidupan masyarakat. Ini usaha murni kerajaan untuk mengembalikan kasih sayang dan tanggungjawab terhadap keluarga. Mudah-mudahan masyarakat kita akan kembali mengutamakan keluarga dan memiliki sistem nilai serta akhlak yang baik seperti sikap tolong menolong, mesra, bersopan dan prihatin terhadap masyarakat setempat. Diharap juga dasar ini dapat menjadi benteng masalah sosial, sekali gus ruang rujuk jika berlaku permasalahan dalam keluarga. Semoga usaha murni LPPKN mendapat sambutan daripada pelbagai pihak dan merealisasikan dasar berorientasikan kekeluargaan dan seterusnya melahirkan modal insan berkualiti dari segi rohani dan jasmani. Apa yang ingin disarankan ialah penekanan terhadap perancangan pembangunan negara yang berorientasikan kekeluargaan mesti dilaksanakan segera dan mendapat sokongan semua pihak. Kerajaan dan pihak tertentu perlu lebih tegas dalam memperkenalkan undang-undang dan bertindak berhubung isu ini. Janganlah nanti dasar hanya tinggal dasar dan rakyat kecewa kerana perubahan yang pada mulanya begitu gah dicanangkan, menjadi dingin di peringkat pelaksanaan. Kita sudah mual membaca berita pembunuhan yang membabitkan ahli keluarga seperti anak sembelih ayah, cucu bunuh nenek dan sebagainya. Sayugia diingatkan keruntuhan institusi kekeluargaan ibarat barah yang memakan diri secara senyap, jika lambat tindakan dan pelaksanaan, akan runtuhlah tamadun dan hilanglah keutuhan tradisi kekeluargaan ditelan perubahan masa yang terlalu pantas berlalu. Penulis pensyarah UiTM Shah Alam

No comments: