Thursday, June 16, 2011

Poligami: Trend terkini wanita Muda rela berkongsi kasih dengan Suami Orang

Poligami isu yang menjadi hit dalam masyarakat kita. Apabila berbicara mengenai poligami, ia menjadi isu hangat untuk didebat atau dibincangkan. Kisah menarik ini bagaikan selingan dalam kesibukan masyarakat yang sentiasa mengejar masa dalam kehidupan mereka yang serba mencabar ini. Kaum Adam sudah semestinya menyokong sedangkan kaum wanita menjadi pembangkang tegar. Kerelaan wanita muda sanggup berkongsi kasih mula mendapat perhatian umum dan didakwa sebagai trend kehidupan masa kini. Lebih menarik lagi, media massa tidak jemu-jemu membawa isu berkenaan seolah-olah ianya sesuatu yang dapat dibanggakan dan bakal menjadi gaya hidup masa kini. 

Ada juga yang mengatakan tidak menolak kemungkinan isu poligami suatu hari nanti bukan lagi perkara sensitif yang perlu ditakuti dan digeruni para isteri dinegara ini dan bila wanita dan isteri sudah boleh menerima hakikat ini, mungkin isu poligami menjadi suatu fenomena yang biasa. Namun sebenarnya tidak semudah yang dapat diucapkan. Sudah menjadi lumrah manusia tidak ada siapa yang suka berkongsi kasih. Namun sebagai wanita dan yang beragama Islam mereka `terpaksa’ menerima hidup berpoligami kerana ianya dibenarkan dalam agama. Mahu atau tidak mereka terpaksa menerima `takdir’ hidup yang telah ditentukan.

 Malangnya dalam kerelaan dan keikhlasan isteri membenarkan poligami ada segelintir suami yang mengambil kesempatan dan menyalahgunakan ` tiket’ menambah cawangan ini dengan alasan dibenarkan oleh agama. . Memetik ulasan Penasihat Majlis Agama Islam Johor, Datuk Nooh Gadut, dalam sebuah akhbar baru-baru ini beliau berkata “Hukum berkahwin terbahagi kepada lima iaitu wajib, sunat, harus, makruh dan haram. “Seandainya ketika bermonogami (berkahwin seorang) lagi lelaki itu telah menunjukkan ciri-ciri tidak adil dan tidak berkemampuan baik dari segi kewangan dan kesihatan, maka hukumnya untuk berkahwin lagi adalah haram,” Sementara itu Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria juga dalam akhbar yang sama menjelaskan bahawa, walaupun poligami dibenarkan dalam islam, namun ianya sering disalahgunakan oleh segelintir kaum lelaki. Golongan lelaki sepatutnya menilai kemampuan diri terlebih dahulu dan bukan berkahwin kerana nafsu semata-mata.

 Oleh yang demikian kata beliau apabila ini terjadi penceraian sering sahaja menjadi pilihan wanita daripada memilih untuk hidup bermadu. Beliau juga berkata Islam sebenarnya tidak menggalakkan poligami apatah lagi, penceraian. Mengulas isu poligami, dimana wanita muda lebih suka suami orang berbanding lelaki bujang pensyarah Saikologi, Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi MARA ( UiTM) Shah Alam, Mohamed Yaakob berkata berdasarkan konsep saikologi dan komunikasi, manusia hidup bersandarkan kepada beberapa keperluan. Antaranya keperluan asas, keperluan keselamatan dan keperluan sosial. Dalam hal ini, wanita muda yang sanggup bermadu ingin memenuhi keperluan yang tiga tadi, terutamanya keperluan keselamatan dan sosial. Mohamed juga berkata wanita muda apabila berjumpa suami orang, mereka lebih rasa selamat dan dapat memenuhi keperluan sosial mereka. Ini kerana lelaki yang sudah berkahwin lebih banyak pengalaman dalam memujuk rayu wanita muda dan bijak memenuhi kehendak keselamatan ( financial security) dengan pelbagai hadiah dan bijak menjalankan modus operandi untuk memikat hati wanita. 

Kebiasaannya lelaki yang sudah berkahwin dan kukuh kedudukannya bijak memikat hati wanita muda. Mereka bukan sahaja bijak bercakap, memujuk rayu dan bersikap gentlemen, sentimental, malah bersikap penyabar, mempunyai ketrampilan dan berkarisma tinggi yang menjadi idaman wanita muda. Berbanding lelaki bujang yang baru tamat pengajian, dan baru bekerja, kedudukan ekonomi mereka juga belum kukuh dan jika dikaji dari sikap pula, ramai lelaki bujang kurang arif mengenai cara2 memikat wanita. Ada lelaki bujang yang tidak berkeyakinan dalam menjalinkan hubungan. Mereka kurang memahami kehendak wanita muda kerana mereka sama-sama muda dan kurang pengalaman. Ini menyebabkan hubungan mereka sering mengalami konflik Menurut Mohamed lagi, wanita muda suka dipujuk rayu dan suka lelaki yang penyabar. Sedangkan lelaki bujang adakalanya tidak memahami kehendak wanita muda dan sikap tidak penyabar lelaki bujang kadangkala membuatkan wanita muda lebih suka berhubungan dengan suami orang yang lebih penyayang dan pandai memujuk rayu dan bijak `mengayat’ istilah anak2 muda sekarang .

 Beliau juga menambah manusia memerlukan keseronokan sensory, istilah dalam saikologi yang merujuk kepada mendapat kepuasan hidup dan keseronokan ( pleasure in life) Bagi lelaki yang sudah berkahwin dan ada yang sudah meningkat usia, keseronokan sensory ini amat penting dalam hidup mereka. Mereka mahu satu keseronokan sebagai pelarian kepada kebosanan yang sedang mereka alami. Umpamanya jika isteri sudah meningkat usia, mereka sudah tidak lagi seperti zaman muda. Wanita meningkat usia melalui fasa monopause dan adakalanya malu untuk berjalan dan bermesra dengan suami dengan alasan sudah masuk usia senja. Namun kata Mohamed wanita sering salah tafsir kehendak lelaki kerana kaum Adam ini semakin mereka tua mereka memerlukan kasih sayang dan belaian dari isteri. Hormon testeron (sex) dalam diri lelaki sentiasa ada berbanding wanita yang perlu di rangsang. 

Oleh yang demikian menurut Mohamed, jika kaum Adam ini dibiarkan dalam dahaga kasih sayang, tidak mustahil para suami seumpama ini mencari belaian dan kasih sayang dari wanita muda yang sentiasa suka dibelai dan dimanja. Ini kata Mohamed lagi mungkin sebahagian daripada faktor mengapa wanita muda suka lelaki yang sudah berkahwin Walau bagaimanapun, Mohamed menegaskan bahawa, lelaki yang sudah berkahwin dan ingin menambah cawangan dengan berkahwin wanita muda sebenarnya lebih kepada `lapar mata’. Beliau menjelaskan bahawa istilah lapar mata ini merujuk kepada keinginan yang membuak-buak sebelum mendapatnya tetapi apabila sudah memiliki ianya hanya boleh dipandang sahaja kerana adakalanya kemampuan mereka terhad samada dari segi zahir mahupun batin. 

 Jika ini berlaku tidak mustahil konflik dan perceraian bakal terjadi. Namun begitu, Mohamed menjelaskan bahawa, tidak semua lelaki bersikap sedemikian. Kebanyakan lelaki lebih mementingkan keharmonian keluarga dan menjaga hati isteri yang dinikahinya berpuluh tahun lamanya. Bagi Mohamed, lelaki yang suka kawin dan cerai serta banyak menambah cawangan tidak peka pada perasaan isteri mereka juga tidak mempunyai sikap empathy ( memahami perasaan orang lain dalam hal ini isteri sendiri). Mereka lebih mementingkan diri sendiri dan keseronokan diri. Ada kes suami yang suka kahwin cerai, menyebabkan dia dibenci keluarga terutama anak-anak. Apabila usia tua dan tiada siapa yang peduli mereka menyalahkan anak-anak dan isteri sedangkan sewaktu sihatnya dia lupa tanggungjawab pada anak-anak dan isteri kerana terlalu asyik mencari keseronokan diri. Begitu juga bagi yang berkahwin ramai, adakalanya nafkah anak2 dan isteri2 tidak mencukupi dan lebih menyedihkan ada suami yang menyuruh isteri menyara kehidupan mereka sendiri sedangkan suami berseronok dan tenggelam dalam kehidupan tanpa tanggungjawab. 

 Bagi Mohamed, bukan mudah menjadi ketua keluarga, lebih-lebih lagi mereka yang mempunyai lebih dari satu isteri. Mereka ini bukan sahaja perlu stabil dan kukuh dari segi ekonomi, kesihatan dan mental, tetapi juga harus mempunyai pegangan agama yang baik dan boleh membimbing isteri2 dan anak-anak. Berkahwin memang nampak seronok tetapi tanggungjawab yang perlu digalas juga berganda sebagaimana bertambanhnya isteri dan anak2. Senario kekeluargaan masa kini menurut Mohamed amat menyedihkan kerana banyak kes yang dipaparkan dalam media mengenai sikap tidak bertanggungjawab suami dan ayah yang menyebabkan anak-anak dan isteri menjadi mangsa keadaan. Ada juga kes kesibukan terlampau kedua ibubapa mencari rezeki menyebabkan anak2 terbiar dan terjerumus dalam masalah sosial. 

Beliau menambah masyarakat perlu didedahkan kepada ilmu atau pendidikan kekeluargaan dan dengan pendidikan berkenaan ianya boleh membimbing dan mencorak institusi kekeluargaan yang lebih berkualiti selain melahirkan masyarakat yang dapat menuju kearah kesejahteraan secara total.. Justru kepada semua para suami dan kaum bapa diluar sana, menjadi nakhoda untuk sebuah kapal sudah terlalu sukar kerana kehidupan ini sering dilanda ombak dan badai kehidupan. Inikan pula mahu mengemudi dua atau tiga kapal pada waktu yang sama. Mungkin berkahwin lebih dari satu adalah sunnah Nabi, tetapi bolehkah para suami bersikap adil seperti Nabi. 

Bagi wanita muda, tidak salah berkongsi kasih, tetapi haruslah diingat jika anda berada ditempat isteri yang terpaksa dimadukan, janganlah mencari kebahagiaan diatas penderitaan wanita lain. Mereka mungkin nampak redha tetapi didalam hati Allah sahaja yang tahu. Sebenarnya masih ramai lelaki bujang yang berkualiti dan boleh menjadi suami yang baik jika di beri peluang. Seperti kata pepatah dari Indonesia ini, suami adalah orang yang mencari kebahagiaan hidup dengan menghilangkan sebahagiaan daripada kemerdekaannya. Itulah sebenarnya suami dan ayah yang terbaik. Selamat Hari Bapa buat semua yang bergelar Bapa.


 Tamat....

No comments: