Tuesday, March 9, 2010

Wartawan, kreativiti dan Tanggungjawab Sosial

Secara umumnya jika ditanya mengenai siapa wartawan, mungkin ramai yang akan menjawab wartawan adalah golongan penyampai ilmu dan maklumat melalui penulisan mereka. Malah tidak kurang juga yang akan mengatakan secara negatif bahawa wartawan adalah golongan yang suka menjaga tepi kain orang dan memutarbelitkan fakta untuk kepentingan satu-satu pihak. Walau apapun pandangan yang dilontarkan mengenai wartawan dan dunia kewartawanan, peranan mereka dan media massa dalam pembangunan dan pemodenan sememangnya tidak dapat dinafikan. Melalui penulisan mereka dapat mengubah pemikiran masyarakat malah kekuatan yang ada pada ketajaman penulisan mereka boleh menjatuhkan atau membangunkan sesebuah negara. Benarlah kata pepatah `Mata pena itu lebih tajam dari mata pedang’ Sejarah dalam negara juga telah membuktikan bahawa golongan wartawan ini juga merupakan pejuang kemerdekaan membebaskan negara daripada penjajah. Hasil penulisan mereka juga menyemarakkan semangat nasionalisma masyarakat ketika itu sehinggalah tercapainya kemerdekaan negara pada tahun 1957. Sejajar dengan peranan wartawan yang banyak menyumbang dalam pembangunan dan pemodenan negara satu kolokium kritikan media yang dianjurkan Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media UiTM Shah Alam telah membahaskan dan membincangkan isu berkenaan sebagai tajuk Kolokium kali ke 22 ini. Dua panel dari media dan organisasi media, dijemput membincangkan isu berkenaan dari sudut akademik dan pengamal media. Datuk A Kadir Jasin Pengarah Berita Publishing yang mewakili pengamal media telah membahaskan isu itu dengan berkata, Pembangunan adalah penting dalam semua sistem dan lokasi dalam sesebuah negara kerana wartawan dan media massa adalah adalah sebahagian daripada sistem tersebut. Wartawan juga merupakan agen yang terbabit dalam semua aktiviti masyarakat dan mereka terlibat secara langsung membuat liputan dan melihat perkembangan sesuatu laporan berkenaan. Menurut beliau lagi sejajar dengan perkembangan teknologi moden media baru telah mendominasi pemikiran masyarakat masa kini. Sejajar dengan itu media arus perdana sudah tidak lagi relevan dengan generasi muda kerana teknologi telah berubah dan mengubah keadaan dan bentuk media. Kemunculan Media baru adalah saingan hebat kepada media cetak. Cabaran baru, iaitu media baru adalah berpacukan internet. Sebagai contoh, laman-laman berita, akhbar –akhbar atas talian, youtube, twitter dan sebagainya. Media-media baru ini telah memberi saingan kepada media tradisional iaitu media cetak dan secara tidak langsung menyebabkan media tradisional merosot dan tidak meningkat. Namun, secara ironinya, media cetak yang masih menjadi wadah pengguna adalah media hiburan Berdasarkan itu , generasi muda kini sudah mula malas membaca, berfikir dan membuat analisis serta bergantung kepada teknologi semata-mata. Sekiranya keadaan ini berlanjutan, peranan media dan wartawan sebagai agen pembangunan dan pemodenan tidak akan berjalan dengan lancar dan wartawan tidak akan mampu menjadi agen kepada apa-apa sekalipun. Datuk Kadir Jasin juga menegaskan peranan media sebagai agen pembangunan dan pemodenan adalah terlalu luas termasuk menjadi agen dalam menyumbang ke arah ekonomi negara. Beliau mernyarankan agar wartawan dan pelajar Institusi Pengajian Tinggi (IPT) khususnya dalam bidang kewartawanan menjadikan model ekonomi baru sebagai bahan kajian utama agar dapat menyumbang ke arah bidang tersebut. Beliau menegaskan data dalam bentuk statistik dan kesahihan sumber amat penting bagi seorang wartawan. Beliau juga menyarankan agar Wartawan sebagai agen pembangunan dan pemodenan bukan sahaja harus menjadi wartawan yang baik, malah perlu bijak mengolah dan menyampaikan maklumat yang hendak disampaikan. Peranan wartawan sebagai agen pembangunan dan pemodenan tidak akan berfungsi dan tidak berkesan walaupun maklumat yang hendak disampaikan amat berguna sekiranya wartawan itu kurang berilmu dan cetek pengalaman. “ Cabaran media baru harus dijadikan dan dianggap sebagai kayu pengukur kejayaan peranan wartawan itu sendiri. Malah cabaran media baru harus dijadikan medium persaingan yang sihat yang akan menggerakkan fungsi wartawan itu sendiri.Media baru tidak semestinya memberikan kesan yang negatif atau buruk , tetapi sebagai laporan alternatif yang mempunyai pelbagai variasi yang rata-rata tidak dilaporkan dalam media tradisional, atau menyiarkan berita dari sudut-sudut yang berbeza” Kata beliau. Akhir sekali beliau menyarankan agar wartawan perlu banyak Latihan dan mempunyai kreativiti dan inisiatif sendiri sebagai batu loncatan untuk menjadi agen pembangunan dan pemodenan yang berkesan, konsisten dan bermutu kepada masyarakat dan negara. Sementara itu, Prof Dr Ahmad Murad Merican dari Universiti Petronas, Perak berkata wartawan perlu memodenkan diri mereka dari segi pemikiran dengan menguasai ilmu dan pengetahuan sebagai langkah untuk menerajui pemodenan dan pembangunan negara. Beliau turut berkata bahawa profesion kewartawanan merupakan bidang yang mendahului dari segi idea, pemikiran, pembangunan, negara dan bangsa. Namun, wartawan itu sendiri perlu memantapkan diri mereka dengan dedikasi yang tinggi untuk mengorak langkah yang lebih jauh dan berpotensi tinggi dalam membantu untuk kemajuan dan kemodenan negara. Beliau turut mengaitkan tentang media baru seperti blog dan kemudahan teknologi yang semakin mendapat tempat di kalangan masyarakat. Ini disebabkan media arus perdana yang selalu mendapat kritikan dalam menyebarkan maklumat. Kenyataan ini merujuk kepada penyebaran maklumat yang dilihat sebagai sebelah pihak dan kebiasaannya dikritik oleh Online Journalism yang melabelkan media arus perdana seolah-olah menjadi boneka kepada pihak tertentu. Beliau juga bersetuju bahawa kewujudan media baru dilihat sebagai ancaman kepada wartawan dalam bersaing untuk meyebarkan maklumat dengan lebih telus dan tepat. Ini katanya kerana masyarakat kini lebih memilih media baru yang semakin popular walaupun terdapat kesan positif dan negatif sebagai medium alternatif dalam mendapatkan maklumat tentang suatu isu. Media arus perdana pula sering dikatakan tidak telus dalam menyebarkan maklumat. Sehubungan dengan itu, beliau berpendapat seharusnya program seperti kolokium ini dapat berperanan sebagai pemerhati dan pengkritik media dilihat sebagai satu wadah yang membangun kepada pengamal media terutamanya wartawan-wartawan baru yang tidak menerima kritikan secara positif. Ini adalah penting bagi pemerhati media untuk mengkritik secara positif dengan memberi komen serta ulasan terhadap media di Malaysia dari sudut kekuatan dan kelemahan media terutamanya suratkhabar. Beliau juga menjelaskan bahawa soal ini perlu dinilai semula kerana kefahaman wartawan baru terhadap maksud kritikan itu sendiri sudah mendatangkan makna yang berbeza kerana kebiasaannya kritikan itu dilihat sebagai sesuatu yang negatif. Menurutnya sikap negatif ini perlu dikikis kerana sebagai wartawan mereka juga mengkritik dalam penulisan. Sehubungan itu mereka perlu menjadi lebih positif terhadap apa juga kritikan membina yang diterima dan sentiasa bermuhasabah diri untuk menunjukkan ciri wartawan yang berkualiti yang berfikiran terbuka. Murad menyelar segelintir wartawan masa kini yang dikatakan semakin lupa akan kepentingan dan keagungan dalam bidang penulisan lebih-lebih lagi dari segi genre dalam kewartawanan seperti kolum lidah pengarang, wawancara dan kritikan. Ini kerana, genre tersebut memainkan peranan penting dan memperlihatan keunggulan bidang kewartawan dari corak penulisan yang menyerapkan pengetahuan dan pendapat yang bernas untuk difikirkan bersama sebagai mengorak langkah ke arah kemajuan. Sensiviti juga perlu dijaga oleh pengamal media, memandangkan keadaan demografi di Malaysia yang terdiri dari pelbagai kaum, bangsa dan agama. Selain itu wartawan juga perlu mencari pengisian dalam pemantapan tahap pemikiran mereka dengan menjadi lebih arif tentang pengetahuan am, sejarah, ekonomi, agama setimpal dengan matlamat dalam membentuk negara yang moden dan maju. Kenyataan ini sejajar dengan mengatakan bahawa golongan wartawan turut memainkan peranan penting dalam membentuk masyarakat selain tenaga pengajar dan ibubapa. Akhir sekali beliau menegaskan bahawa kewartawanan adalah falsafah pemikiran dan bukan hanya satu bentuk penulisan dan sepatutnya menjadi bidang pengajian dan amalan. Ini bermaksud, terdapat nilai serta aspek yang boleh diterapkan melalui kewartawan sebagai bidang yang mendidik mampu masyarakat seterusnya memacu negara kearah pemodenan dan pembangunan negara.

1 comment:

FARA@ZoMBiE said...

Mama, teruskan usaha ma dlm penulisan blog,, i will always support u! Luv U Ma!! Muahh X)